Laman Webantu   KM2A1: 3813 File Size: 15.7 Kb *



Tabung Haji: Baru Nak diKaji?
By Kapal Berita

18/2/2001 9:59 pm Sun

TABUNG HAJI: BARU NAK DIKAJI?

Baru sekarang ramai pihak mula bising dengan prestasi Tabung Haji (TH), termasuk Pemuda Umno sendiri. Padahal mereka sudah bersidang entah berapa kali sehingga muncul di kaca tv. Sepatutnya Umnolah yang mula-mula mencetus isu ini, jika mereka betul-betul memperjuangan nasib orang melayu.

Campurtangan politik pemimpin Umno telah merosakkan TH. Ia begitu banyak melabur dalam saham berisiko tinggi untuk menyokong kroni. Kita mempunyai ramai pakar ekonomi tetapi ia dikemudikan oleh orang politik dan suku sakat kroni yang dipilih oleh menteri. (Mengapa Ahmad Razali Ali, saudara lelaki kepada Hasmah Ali, isteri perdana menteri dipilih menjadi pengerusi TH?).

Pernah satu ketika dulu Professor Ungku Aziz menempelak cadangan membeli saham MAS kerana TH bukan tabung menyelamatkan kroni kerana itu peranan lain institusi. YB Ustaz Taib Azamudden ketika membahas belanjawan 2000 mengkritik Tabung Haji yang mengambil insuran tidak islamik sedangkan ia sepatutnya membeli dari Syaarikat Takaful kerana TH memilikki 30% saham dalam bank Islam. Malah TH melabur dengan Syarikat Times Off set Malaysia Bhd yang mencetak kitab injil dibawah nama Times Publicizing Publishing!!.

TH juga terlibat dalam projek ERL (RM2.4 bilion) dengan YTL tetapi risikonya terlalu tinggi seperti yang terjadi kepada Putra dan Star LRT. Pelaburan kelapa sawit di Indonesia juga bakal menjerut TH kerana harga minyak kelapa sawit sudah jatuh merudum seperti yang disebut dalam Siri 5 MMM oleh Pak -MT-.

Sebelum itu kita dikejutkan dengan pelaburan berkait membotol wiskey/brandy di India. (KTLBELB 11 oleh Pak -MT-)


Satu ketika dulu CAP telah mengadakan pungutan suara di kalangan seramai 1227 penyimpan kampung dan bandar mengenai Tabung Haji mendapati:

* 100% mereka tidak setuju wang mereka untuk menyelamatkan DRB-HICOM.

* 78.6% mengatakan tujuan mereka menyimpan dalam TH adalah untuk ke Mekah, * 13.1% untuk melabur dan 8.1 untuk tujuan lain.

* 34.4% merasakan wang mereka sudah tidak selamat lagi. * 55.7% tidak pasti dan hanya
* 9.8% yang merasai ianya selamat.

[Hj. Mahfuz Omar, PENGERUSI JUWARA] GERAK

Penulisan diinternet dan ahli Parlimen BA sudah lama mempersoalkan pelaburan TH, tetapi kerjaan Umno masih berdiam diri. Selagi struktur TH tidak diubah dari campurtangan politik selagi itulah TH hanya menjadi alat untuk menyelamatkan kroni. Sudah tiba masanya TH diperbaiki, jika tidak bersedialah untuk menghadapi kebangkitan rakyat yang sudah haji. Kebangkitan rakyat kaum petani di Kubang Pasu sudah pun terjadi dan kini kesedaran penabung Tabung Haji hanya akan menggegarkan lagi bumi yang sudah dijajah oleh perdanan menteri. Soalnya bila dia mahu lari?

-Kapal Berita-




Rencana Rujukkan:

http://www.emedia.com.my/z/Current_News/ BH/Saturday/National/20010217000231

Berita Harian : Pelaburan rugi patut dikaji semula

17 February 2001

KUALA LUMPUR, Jumaat - Pelbagai pihak hari ini meminta Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) mengkaji semula kedudukan pelaburannya terutama dalam sektor yang tidak menjamin pulangan menguntungkan.

Malah, jika perlu, anak syarikat Tabung Haji yang rugi ditutup bagi mengelakkan terus menanggung kerugian, sekali gus menjejaskan prestasi keseluruhan Tabung Haji.

Pengerusi Biro Ekonomi Pergerakan Pemuda Umno, Wan Muhammad Khair-il Anuar Wan Ahmad, berkata berdasarkan keadaan semasa, Tabung Haji perlu mengkaji semula bidang pelaburan yang diceburinya, terutama yang tidak menjamin pulangan yang menguntungkan kerana ia membabitkan wang pendeposit.

Katanya, selama ini pun Tabung Haji dilihat sebagai sebuah institusi yang sering membuat pelaburan dalam sektor perniagaan mega dan tidak menumpukan kepada sektor sederhana lebih stabil yang menjamin pulangan pelaburannya.

"Tabung Haji sepatutnya mencari peluang pelaburan selamat kerana pelaburnya membabitkan umat Islam yang ramai. Selain itu, Tabung Haji perlu mengelakkan institusi itu digunakan pihak tertentu demi memenuhi kepentingan mana-mana pihak," katanya.

Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr Maamor Othman, berkata sudah sampai masa Tabung Haji meneliti semua pelaburannya, terutama yang dijalankan anak syarikatnya bagi mengelakkan terus berlaku kerugian.

Katanya, penubuhan anak syarikat yang sebelum ini tidak mendatangkan keuntungan kepada Tabung Haji perlu ditutup.

"PPIM ada menerima maklumat mengenai kedudukan dan prestasi beberapa anak syarikat Tabung Haji yang didakwa kurang memuaskan. Ada anak syarikat dikatakan membayar gaji tinggi kepada pekerjanya," katanya.

Beliau berkata, Tabung Haji sebagai sebuah badan yang membawa imej keupayaan umat Islam menjana ekonomi akan terjejas sekiranya langkah pemulihan segera agensi itu tidak diambil.

"Umat Islam yang menyimpan dalam Tabung Haji pasti inginkan badan itu berurus niaga dengan cekap dan berhemat. Malah, pengguna juga mahukan wang itu dilaburkan di tempat yang bersih dan bebas daripada subahat," katanya.

Pakar ekonomi dari Universiti Islam Antarabangsa, Prof Madya Dr Mansor H Ibrahim, berkata Tabung Haji harus menilai semula operasi anak syarikatnya yang terdedah dengan risiko bagi mengelakkan ia terus mengalami kerugian.

"Dalam membuat sebarang keputusan pelaburan, jangkaan pulangan keuntungan yang tinggi tidak harus diberikan perhatian semata-mata, sebaliknya ia perlu juga melihat kepada risiko kerugiannya yang tinggi.

"Dalam hal ini, Tabung Haji perlu melihat jaminan pulangan yang sederhana, tetapi stabil dan berterusan," katanya.

Beliau juga berkata, pendeposit Tabung Haji tidak seharusnya mengharapkan pembayaran dividen yang tinggi setiap masa kerana agensi itu bukanlah tempat pelaburan paling sesuai untuk mencari keuntungan.

Sementara itu, bekas Setiausaha Tabung Haji yang pertama, Datuk Idris Ibrahim, berkata pengurusan Tabung Haji perlu bebas daripada campur tangan politik, terutama membabitkan pemilihan ahli lembaga pengarahnya bagi mengelak pertikaian mengenai sebarang keputusan membabitkan operasi pelaburan serta kewangan syarikat.

Katanya, kepentingan peribadi wajar diketepikan bagi membolehkan badan itu beroperasi dengan baik dan berkesan.

"Kerenah birokrasi dan politik yang berlaku dalam Tabung Haji kini secara tidak langsung menjejaskan tumpuan agensi itu untuk kemajuan pengurusan syarikat.

Sehubungan itu, beliau mengesyorkan Tabung Haji dijadikan sebagai badan bebas.

"Tabung Haji adalah lambang kekuatan umat Islam di negara ini. Ia perlu ditadbir oleh mereka yang benar-benar layak. Negara ini melahirkan ramai kalangan profesional dan intelektual dalam lapangan ekonomi. Kenapakah mereka tidak dipilih untuk mentadbir Tabung Haji?

"Sepatutnya kepakaran mereka seperti Prof Diraja Ungku Aziz hendaklah diberi ruang mentadbir Tabung Haji," katanya.

Sebagai bekas pentadbir Tabung Haji, beliau kesal dengan kelemahan pengurusan Tabung Haji kini yang dilihatnya tidak cekap menguruskan dana umat Islam.

Berhubung laporan ketiadaan pemantauan membabitkan kegiatan pelaburan badan itu, beliau berkata ia tidak sepatutnya berlaku, terutama ketika masyarakat sedang bercakap mengenai k-ekonomi.

Idris yang kini Timbalan Presiden Pemadam memegang jawatan setiausaha Tabung Haji bermula 1966 hingga 1968. Sebelum dilantik setiausaha, beliau bertugas sebagai pegawai penerangan di Tabung Haji.

"Kita tidak mahu keyakinan masyarakat terhadap Tabung Haji yang disemai sejak dulu luntur disebabkan mereka yang tidak menjalankan kerja yang diamanahkan dengan baik," katanya.




http://www.parti-pas.org/mppas/isusemasa/10mac2000_taibazam.htm

Sedutan Ucapan Perbahasan Belanjawan 2000 oleh YB. Ustaz Taib Azamudden Mohd Taib di Parlimen pada 6/3/2000

Tuan Yang di-Pertua, seterusnya, penglibatan Tabung Haji dalam kegiatan ekonomi negara. Umum mengetahui bahawa Tabung Haji berperanan sebagai tempat untuk umat Islam menyimpan dan menabung, seterusnya mendapatkan keuntungan daripada simpanan mereka, hasil dari usaha pelaburan yang dijalankan oleh Tabung Haji melalui anak-anak syarikatnya di pelbagai sektor. Untuk kejayaan seterusnya kepada pelaburan-pelaburan ini, Tabung Haji perlu mendapat keyakinan sepenuhnya terutama daripada pihak umat Islam yang menyimpan dan melabur melaluinya. Keyakinan ni terutamanya adalah berpunca dari usaha-usaha yang lebih bercorak Islam dan halal dari segi hukum Islam.

Difahamkan bahawa ada anak-anak syarikat Tabung Haji di sektor-sektor perladangan tidak mengggunakan insurans-insurans yang diambil dari syarikat-syarikat insurans Islam atau Takaful Islam sepenuhnya, Syarikat Insurans Takaful misalnya adalah anak syarikat bBank Islam. Dan Tabung Haji mempunyai kurang lebih 30% saham dalam Bank Islam , tetapi kenapa kalau dakwaann ini benar, syarikat-syarikat tersebut tidak menggunakan insurans Takaful atau insurans Islam sepenuhnya.

Pihak Perbadanan Perusahaan dan Pengangkutan Tabung Haji (PPPTH), yang diberi tanggungjawab untuk menyediakan insurans-insurans untuk Tabung Haji tidak memberi sepenuhnya kepada insurans Islam, sama ada syarikat Takaful atau MNI untuk syarikat-syarikat di bawah Tabung Haji . Pihak PPPTH, menggunakan syarikat Royal Insurans dan pihak PPPTH ini mendapat imbuhan daripada Syarikat Royal Insurans yang bukan beroperasi secara Islam. Oleh itu kalau dakwaan ini benar maka saya melalui Dewan yang mulia ini menggesa supaya pihak Tabung Haji dapat menyemak semula dan biarlah wang hasil tabungan orang-orang Islam yang sebahagian besarnya untuk ke tanah suci ini dilaburkan dengan cara yang lebih meyakinkan umat Islam.

Seperkara lagi, saya difahamkan bahawa pihak syarikat Tabung Haji juga dibawah anak syarikatnya telah beroperasi dengan perkongsian dengan Syarikat Times Off set Malaysia Bhd. Time Off set Malaysia Bhd adalah sebuah syarikat percetakan yang beroperasi di bawah payung Times Publicizing Publishing di bBatu 3, Shah Alam, Selangor,. iIa adalah syarikat joint-venture, dengan izin, dengan Lembaga Tabung Haji. Syarikat ini difahamkan bahawa antara lain adalah mencetak bahan-bahan yang menjadi rutin cetakan harian ialah bahan-bahan biblical, sama ada bible atau cerita-cerita berkaitan dengan agama Kristian,. iIa dicetak dalam pelbagai bahasa dunia dan untuk edaran seluruh dunia.

Jadi, dengan sebab itu yang kita pentingkan di sini, yang ditimbulkan di sini ialah bukan persoalan agama tetapi persoalan wang umat Islam yang ditabungkan untuk tujuan menunaikan fardhu haji telah disalah gunakan untuk sesuatu usaha yang bercanggah daripada niat dan hasrat umat Islam itu sendiri. Dan kalau dakwaan ini juga adalah benar, maka di Dewan yang mulia ini saya menggesa supaya pihak Tabung Haji agak lebih cermat dan lebih perihatin di dalam menggunakan wang-wang tabungan umat Islam itu untuk pelaburan-pelaburan dalam kegiatan-kegiatan ekonomi di negara ini.




http://members.spree.com/abman/tabunghaji.htm

Awas Penyimpan Tabung Haji!

Apa Dia?

Mengikut laporan akhbar Business Times 22 Julai 2000, ERL Sdn Bhd sedang menyempurnakan projek express link (ERL) yang bernilai RM2.4 bilion.

Latar Belakang Projek ERL

Dua pemegang saham ERL Sdn Bhd adalah TH Technologies Sdn Bhd dan YTL. TH Technologies Sdn Bhd menguasai 60% pemilikan dalam ERL Sdn Bhd, manakala YTL, 40%. Oleh kerana TH Technologies dikuasai oleh Tabung Haji, ini bermakna pelaburan yang dibuat oleh TH Technologies samalah pelaburan yang dibuat oleh Tabung Haji sendiri.

Dengan nisbah ekuti 60:40, dapatlah kita menjangkakan kira RM1.4 bilion akan dilaburkan oleh Tabung Haji dalam projek ini melalui anaknya itu.

Dilaporkan kira-kira 35% daripada projek telah disiapkan. Projek ini adalah baik kerana ia menyediakan kemudahan perjalanan cepat di antara Kuala Lumpur, khususnya daripada KL Sentral dengan lapangan terbang KLIA. Tahniah kepada Kerajaan kerana melaksanakan tindakan bijak dalam menyediakan pilihan kemudahan perjalanan yang efisyen negara.

Projek ERL seperti juga projek LRT dan Putra adalah projek infrastruktur, atau projek kemudahan asas. Projek infrastruktur adalah penting dalam menggerakkan ekonomi negara, dan selalunya ia menjadi tanggungjawab Kerajaan menyediakannya. Ini kerana projek infrastruktur melibatkan kos yang tinggi, dan demi kepentingan negara dan rakyat, asas untung rugi tidaklah penting sangat. Lagi pun, ia dibiayai oleh pendapatan negara, terutamanya cukai pendapatan. Kalau tak cukup pendapatan, pinjaman boleh dibuat. Sebab itu jarang sangat sektor swasta melibatkan diri dalam pembinaan projek infrastruktur.

Analisis dan Isu

Projek ERL yang disertai oleh Tabung Haji bukanlah projek komersil. Dengan lain perkataan, ia tidak akan memberi keuntungan kewangan dalam jangkamasa terdekat ini. Kalau ia benar-benar menguntungkan tentulah Tabung Haji tidak berpeluang menjadi pemegang saham terbesar ERL Sdn Bhd.

Difahamkan projek LRT dan Putra yang sedang beroperasi di Lembah Kelang mendatangkan kerugian kepada syarikat yang mengusahakannya. Antara sebabnya ialah bilangan pelanggan yang menaiki LRT dan Putra tidaklah sehebat yang diramalkan oleh mereka. Kesan kerugian dan beban hutang pengusaha LRT dan Putra ura-ura Kerajaan akan mengambil alih projek LRT dan Putra. Orang Kedah kata 'pi mai pi mai tang tu juga'. Ini membuktikan Kerajaan sahaja yang layak membina projek infrastruktur. Contoh yang lain adalah kes Indah Water di mana syarikat swasta tak boleh buat dan akhirnya Kerajaan ambil balik peranan Indah Water dalam hal pengurusan pembentungan.

Giliran Tabung Haji

Penglibatan Tabung Haji dalam projek ERL adalah dipersoalkan dari segi kerasionalan untung-ruginya.

Dengan berpandukan kepada contoh LRT dan Putra, saya berpendapat sekurang-kurangnya 5 tahun lagi, tak mungkin Tabung Haji akan menerima sebarang dividen daripada pelaburan anak syarikatnya itu.

Kalau Tabung Haji membuat pelaburan mudharabah dengan Bank Islam atau simpanan tetap dengan bank lain pun dah tentu untung. Dengan kadar keuntungan semasa lebih kurang 4% setahun, pulangan RM1.4 bilion dalam setahun adalah RM56 juta. Jika 5 tahun dah jadi RM280 juta.

Jadi Apa Yang Patut Dibuat??

Penyimpan Tabung Haji dan pemegang saham Tabung Haji sahaja yang berhak menyuarakan risauan ini kepada Lembaga Pengarah Tabung Haji yang bertanggungjawap membuat keputusan dalam melabur projek infrastruktur di atas.

Kerajaan Pusat tidak harus dipersalahkan apabila Tabung Haji terlibat dalam projek ini. Ini kerana bukannya Kerajaan yang menguasai Tabung Haji. Kalau marahkan Kerajaan pun, Kerajaan pun ketawa? kerana penyimpan (melalui pengarah Tabung Haji dalam TH Technologies) yang pandai-pandai pilih projek ini.
[Sebenarnya politik mencampuri urusan TH - Editor]

Kesimpulan

Pelaburan Tabung Haji dalam projek ERL umpama penyimpan Tabung Haji menyaksikan anak syarikatnya sedang menyertai permainan Roda Impian. Mungkin Kerajaan sebagai "Halim".