Laman Webantu KM2A1: 3838 File Size: 35.8 Kb * |
Siri 6 MMM: Berunding Dengan Penyangak ? By Marhain Tua 22/2/2001 2:10 am Thu |
MMM6 [Memang teruk PAS dihenyak akhbar perdana walaupun sekadar
MENANGGUHkan pertemuan tetapi Hishamuddin yang MEMBATALkan terus
debat tidak pula ditegur sesiapa, malah dipuji melangit pula.
Soalnya tidak salah menangguh bicara kerana pedih asap masih
terasa. Sudah lumrah manusia perlu ada GENCATAN senjata sebelum
bersetuju untuk bersua, jika tidak PAS hanya sengaja mencari
padahnya. Sanggupkah PAS bertemu mata di saat pakcik dan makcik
(melayu) di desa meraung kepedihan mata dikepung dan dibakar
dengan asap berkepul-kepul banyaknya? Malah badan yang terhiris
berpuluh luka didera oleh polis kiriman pemimpin Umno itupun masih
lagi sengal-sengal bisa. Itupun Umno langsung tidak datang
menjenguk muka apatah lagi merawatnya!
Dimanakah ikhlas Umno jika rakyat masih hidup melata dan hak royalti
mereka dinafikan sedangkan majoriti mereka melayu dhaif belaka.
Syarat yang dipinta PAS itu adalah hak orang melayu yang sudah
ternoda oleh tangan pemimpin Umno. Sepatutnya Umno didenda dengan
lebih banyak syarat lagi kerana PAS dulunya berada di dalam BN
tetapi Mahathirlah penyangak yang menceraikannya. Malah dia
jugalah punca orang melayu turun berdemo ke jalanraya dan Umno
hilang semua naib presidennya dengan aib dahsyat akibat helahnya.
Berunding dengan penyangak tidak memberi makna kerana dia telah
menyerang rakyat di saat rundingan mahu bermula. Itulah yang tidak
ikhlas sebenarnya. Sikap media itulah buktinya kerana itu lidah
Mahathir belaka. Inilah yang merupakan perenggan pertama dalam Minda Pengarang Berita
harian bertarikh 19 Februari, 2001 yang memberi gambaran yang jelas
kenapa 'tertundanya' pertemuan yang dikatakan 'ternanti-nanti' itu. Tetapi,
dengan membaca perenggan pertama 'Minda Pengarang' tidak bererti
beliau bersikap 'neutral' ataupun berkecuali dalam situasi yang melibatkan
masyarakat Melayu. Tulisannya yang berikut memang menghentam PAS
habis-habisan: "....Pertanda positif untuk pertemuan terus terserlah selepas mesyuarat
teknikal yang diketuai kedua-dua setiausaha agung parti, Khalil Yaakob
dan Nasharuddin Mat Isa, 8 Februari lalu. Rupanya, semua itu hanyalah
gambaran sementara yang menerbitkan harapan palsu sedangkan adalah
jelas kini PAS memang dari awal banyak berhelah dan tidak ikhlas.
Barangkali kerana terlalu kerap menuduh pihak lain bermain wayang, Pas
kini terdorong untuk mementaskan sandiwara ciptaan sendiri. Kesimpulan
boleh dibuat bahawa parti itu tidak langsung menyangka tuntutannya untuk
membincangkan kepincangan sistem kehakiman, termasuk pendakwaan ke
atas Datuk Seri Anwar Ibrahim, pencabulan ke atas demokrasi;
kepincangan ekonomi; dan peminggiran kedudukan dan peranan Islam
akan diterima dengan tangan terbuka oleh Umno. Lebih daripada itu, Umno
menyatakan kesediaan bermuzakarah dan menerima semua isu yang
dibawa parti pembangkang itu tanpa sebarang syarat agar perbincangan
mengenai perpaduan dapat dilaksanakan dengan telus dan terbuka.
" Daripada mengalu-alukannya, kita melihat PAS tersepit oleh helah
ciptaannya. Keikhlasan dan ketelusan Umno benar-benar memerangkap
mereka. Lantaran itu, Pas mengadakan pula tiga syarat tambahan sehari
menjelang pertemuan sepatutnya diadakan. Ia dibuat mereka dengan
kesedaran bahawa tuntutan mengembalikan royalti minyak kepada
Terenggganu, membenarkan penerbitan Harakah dua kali seminggu dan
Umno menggugurkan cadangan melarang penggunaan perkataan Islam
pada parti politik, sebagai sesuatu yang tidak akan dipenuhi. Kita melihat
pada ketika Umno bersungguh-sungguh mahu pertemuan itu diadakan
tanpa mengenakan sebarang syarat atau sekatan, Pas pula nampak
bermati-matian supaya ia tidak berlangsung. PAS pun sedar bahawa ia
boleh membangkitkan tuntutan terbarunya itu ketika perbincangan
diadakan tetapi mereka memilih untuk tidak berbuat demikian. Inilah belang
sebenar PAS - tanpa ada apa-apa lagi keraguan."
Demikianlah pendapat minda pengarang Berita Harian itu keseluruhannya.
Cuma dia terlupa mencatitkan bahawa tiga syarat tambahan yang
dikemukakan oleh PAS itu adalah sebagai 'denda' kerana Mahathir telah
membocorkan rahsia perbincangan awal kepada orang ramai. Sedangkan
dalam perbincangan awal itu kedua-dua pihak bersetuju merahsiakan
rumusan perbincangan mereka. Tetapi, itulah cara orang Umno dan akhbar
propaganda mereka bermuslihat. Mereka mudah mencemuh parti
pembangkang dan menyorokkan kebenaran dalam usaha menonjolkan apa
yang mereka mahu orang lain anggap sebagai kebenaran.
Apakah penangguhan perundingan itu sesuatu yang mengejutkan? Saya
ingin petik pula tulisan Awang Sulung dalam "Bisik-bisik mingguan" yang
tersiar di Mingguan Malaysia Ahad 18 Februari, 2001 (yakni satu hari
sebelum majlis perundingan itu sepatutnya dilaksanakan): "Harapan
Melayu" Sukar untuk di mengerti, kenapa setelah tinggal sehari sahaja lagi
pertemuan bersejarah penyatuan Melayu UMNO-PAS, tiba-tiba
kemungkinan ditangguh atau dibatal pula menjadi sebutan. Adalah terlalu
kecil kiranya PAS menjadikan pertemuan jawatankuasa teknikal kali kedua
belum diadakan tetapi tarikh 19 Februari di umumkan sebagai alasan.
"Ini bererti PAS lebih utamakan keegoan parti daripada perpaduan
Melayu, satu agenda bangsa yang amat besar ertinya. Datuk Seri Dr.
Mahathir sendiri tidak berani membuat sebarang ulasan kerana bimbang
akan ada yang tidak puas hati. Tetapi Setiausaha Agung PAS dengan
mudah mengumpamakan UMNO yang meminang dan Pas berhak
meletakkan syarat walaupun sedar kenyataannya boleh mengugut
penyatuan. Ini bererti UMNO terlalu berhati-hati untuk tidak merosakkan
peluang pertemuan demi bangsa tetapi Pas di lihat mementingkan 'political
mileage'. "Jangan kecewakan harapan orang Melayu untuk melihat
rekahan bangsa bertaut semula. Mereka tidak harapkan PAS menyertai
BN, jauh sekali membubarkan parti itu. Apa yang ingin dilihat pergeseran
politik seagama menjadi reda. Berpolitik tidak salah tetapi jangan sampai
hilang sopan santun bangsa. Tetapi sejak akhir-akhir ini, budaya bangsa
terhakis kerana politik malah telah melampaui tuntutan agama.
"PAS jangan kecewakan harapan bangsa Melayu. UMNO telah
'meminang' sebagai bukti kesungguhan. Kalau PAS membatalkannya,
yang terus berpecah adalah Melayu, yang rugi adalah bangsa sendiri dan
puncanya adalah PAS." Tulisan Awang Sulung itu muncul satu hari sebelum perundingan berjadual
itu sepatutnya dilangsungkan. Bagaimanakah Awang Sulung tahu
perundingan itu akan dibatalkan? Apakah benar cerita orang PAS selama
ini betapa segala perbualan para pemimpin PAS memang dipantau dan
dirakamkan oleh pihak risikan polis untuk pengetahuan pucuk pimpinan
UMNO? Dan kalau sumber tulisan ini adalah berdasarkan debat dalaman
orang PAS bagaimanakah Mingguan Malaysia boleh mengesannya?
Kalau kumpulan Utusan sudah tahu lebih awal lagi kemungkinan
perundingan itu dibatalkan apakah orang UMNO tidak juga tahu akan
perkara itu? Takkanlah Pak Subky Latiff, orang kuat PAS yang
membocorkan dulu 'rahsia dalaman' PAS kepada bekas anak-anak
buahnya di Utusan? Kita mahu rakamkan juga Lidah Pengarang Utusan
Melayu pada 19 Februari itu. "PAS Kecewakan Umat Melayu"
"Keputusan di saat-saat akhir PAS menangguhkan pertemuan dengan
UMNO yang sepatutnya berlangsung hari ini menimbulkan kekecewaan
khususnya kepada masyarakat Melayu yang menaruh harapan besar agar
perbincangan kedua-dua parti itu dimulakan segera. PAS tidak sepatutnya
meminta pertemuan itu ditangguhkan kerana ia sama sekali tidak memenuhi
semangat dan doa masyarakat Melayu yang mengharapkan
setidak-tidaknya pertemuan itu berlangsung terlebih dahulu.
"Setelah perkembangan sebelum ini menampakkan keyakinan kepada
pertemuan yang dilihat hampir pasti menjadi kenyataan. PAS tiba-tiba
berundur ke belakang sambil meletakkan begitu banyak syarat selain
memberikan pelbagai alasan untuk kepentingan politik sempit parti itu.
"Sedangkan para pemimpin UMNO termasuk Perdana menteri, Datuk Seri
Dr. Mahathir Mohamad sejak dari awal menunjukkan komitmen termasuk
dalam kenyataan-kenyataannya, semata-mata untuk menjayakan
pertemuan itu demi tuntutan penyatuan Melayu. Setelah UMNO memulakan
inisiatif mempelawa PAS menyertai perbincangan itu dan di ikuti
keterbukaan UMNO tidak mengenakan sebarang syarat, penangguhan
yang diminta oleh PAS hanya memperlihatkan ketidakmatangan parti itu.
"Sebarang tekanan menerusi syarat-syarat keterlaluan yang dikenakan
serta taktik menangguhkan pertemuan tersebut boleh dirumuskan betapa
PAS terlau mencari keuntungan politik. PAS sengaja ingin menonjolkan ia
sebuah parti yang baik dengan membawa syarat yang boleh memberi
keuntungan kepadanya seperti isu sistem kehakiman, kepincangan
ekonomi, mengembalikan semula royalti minyak Terengganu dan
cadangan pengguguran nama Islam pada nama pertubuhan.
"Sebaliknya jika permintaan ini tidak dilayani dan dipenuhi, dengan mudah
UMNO hendak dicop parti yang tidak baik. Pas sendiri sedar beberapa
perkara ini bukan di bawah bidang kuasa UMNO. Taktik Pas ini hanya
akan menjejaskan imej parti itu di kalangan orang Melayu dan umat Islam.
PAS sebelum ini boleh mengadakan rundingan dan bekerjasama tanpa
syarat dengan DAP, tetapi tidak mempunyai semangat yang sama untuk
berunding biarpun dengan parti orang Melayu dengan seislam yang lain.
Mesejnya PAS lebih rakus untuk mendapatkan kuasa dan mahu
menjadikan pelawaaan UMNO ini sebagai permainan politik parti itu dan
jika strategi yang mereka ambil ini dianggap satu kemenangan, mereka
sebenarnya silap percaturan. "Masyarakat Islam dan orang Melayu rata-ratanya akan menilai PAS
sebagai parti yang menampilkan kesombongan politik dan langsung tidak
menunjukkan keikhlasan kepada penyatuan ummah. Yang pasti, PAS telah
melepaskan kesempatan terbaik untuk mencernakan imejnya sebagai parti
yang luhur dan proaktif kepada perundingan di samping gagal membawa
simbol penyatuan ummah. "Maka dengan perkembangan terbaru ini, UMNO harus memikirkan semula
perlawaannya terhadap Pas kerana UMNO bukanlah parti yang lemah,
sebaliknya masih berada di tampuk kuasa politik nasional. UMNO sudah
mengambil segala langkah untuk penyatuan umat Islam tetapi untuk apa
lagi berurusan dengan pihak yang sememangnya menunjukkan
keangkuhan, tidak ikhlas dan tidak berorientasikan penyatuan sebenar.
- Forum Khas di TV1 Pada sebelah malam Isnin (19/2/2001) selepas Berita Perdana, ada pula
satu forum khas yang dipengerusikan oleh Dato' Jaafar Kamin yang
bersikap 'berkecuali' membincangkan perkara yang sama. Ahli panel ialah
seorang professor daripada UNITAR dan seorang lagi daripada UUM.
Ketika mendengar hujah-hujaah yang mereka sebutkan, saya teringat
kata-kata Wak Amin Sapiro yang menggelarkan setengah professor
Melayu sebagai "Professor Kangkong". Di sepanjang forum itu saya mula
menyoal diri apakah benar Wak Amin menggunakan perkataan 'kangkong'
ataupun perkataan sebenarnya ialah 'kongkang' ? Tanpa menyebut
universiti di mana salah seorang professor itu bertugas, saya berpendapat
memang beliau cuba menonjolkan dirinya tanpa pengetahuan mendalam
mengenai isu sebenar yang dibincangkannya itu. Kalau pendapat kita itu
semata-mata menjadi pita rakaman Utusan ataupun BH, eloklah duduk
sahaja di rumah daripada diketawakan orang. Sepatutnya apabila seorang
bergelar professor keluar di kaca TV dia seharusnya mampu mengutarakan
hujah-hujah secara ilmiah kerana itulah yang diharapkan oleh penonton,
mencari jawapan melalui ilmiah untuk diseragamkan dengan fikiran orang
biasa di jalanraya. Inilah hujah yang amat diharapkan oleh rakyat marhaen
supaya mereka terdidik untuk menganalisa secara ilmiah juga akhirnya.
Tetapi, kalau kita mahu tampil di cermin TV ataupun corong radio, kita
berlagak serupa dengan kongkang di hutan yang saling sahut-menyahut
dan melaungkan bunyi dan nada yang sama, eloklah kaji semula kaedah
dan pendekatan kita. Sekaligus, ibu-bapa kepada anak-anak yang
belajar di universiti tempat bertugasnya si professor kongkang itu tadi,
dapat menyoal apakah sebenarnya yang dikaji oleh anak mereka kalau
para pendidik universiti itu mempunyai perwatakan yang serupa dengan
professor yang mereka lihat dan ketawakan itu. Apakah kemungkinannya
professsor itu sengaja diambil secara bidan terjun untuk mencukupkan
korum sahaja dalam proses kerajaan memutar minda orang Melayu?
Ataupun sebagai membalas jasanya menulis mengampu UMNO di Utusan?
Kini, bermacam andaian dan cemohan telah dilemparkan kepada PAS
kerana membatalkan pertemuan itu. Professor Agama Kumpulan Utusan,
seorang kelahiran Thailand, yang jauh lebih muda daripada pucuk
pimpinan PAS menganggap tindakan itu tidak baik. Begitu juga beberapa
pendapat yang ditonjolkan oleh TV kepunyaan UMNO yang mengatakan
kemungkinan Dato Fadhil Nor terancam oleh kumpulan 'ekstrim' yang
dikatakan akan mencabar kepimpinannya seandainya pertemuan itu tidak
dibatalkan. Kalau Langkah Sentiasa Sumbang
Dalam penulisan saya yang lalu, ada saya sebut secara pendek sahaja:
tidak salah PAS dan UMNO bermuzakarah, kerana itu adalah tuntutan
ajaran Islam. Tetapi, Islam juga menuntut agar setiap usaha untuk
bermuzakarah itu mestilah didorongi oleh satu nawaitu yang telus dan tidak
berbelah bagi. Cadangan agar PAS dan UMNO bertemu itu, dikatakan
sebagai hasil cadangan yang dikemukakan oleh Prof Dr. Datuk Ahmad
Fawzi Mohd. Basri. Tetapi, kenapakah tidak disebut betapa Tuan Guru Nik
Aziz telah berkali-kali sebelum itu mencadangkan agar diadakan
pertemuan mengenai isu yang sama, dulu-dulu lagi? Malahan,
perbincangan di antara Tuanguru Nik Aziz dengan Dr. Mahathir telah pun
dirakamkan beberapa kali sebelum ini. Mungkin mereka membincangkan
masalah pentadbiran Kelantan dengan Kerajaan Pusat, tetapi mereka
pernah bertemu secara empat mata dan membincangkan masaalah orang
Melayu juga. Penonjolan nama orang UMNO sebagai pencadang pertemuan
UMNO-PAS ini sudah menunjukkan betapa muslihat putaran minda sudah
pun bermula. Sebelum isu pertemuan Mahathir dengan Fadhil Nor
dirancang, perdebatan di antara Ketua Pemuda UMNO dan PAS baru
sahaja dibatalkan. Inilah perdebatan yang digembar-gemburkan oleh
ketua pemuda UMNO sehingga menarik minat media massa sejagat. Majlis
yang sepatutnya dipengerusikan oleh professor Diraja Ungku Aziz telah
dibatalkan oleh Pemuda UMNO "setelah memikirkan kesan perdebatan itu
yang akan memecah-belahkan lagi perpaduan orang Melayu." Itulah
salah satu alasan yang telah diberikan. Belum pun sampai satu bulan
pembatalan itu dilakukan, muncul pula kisah perundingan awal di pihak
jawatankuasa teknikal PAS-UMNO. Namun, bukan sedikit rakyat marhaen
yang sudah mnejangkakan perundingan itu sebagai satu sandiwara UMNO
sahaja. Kini, PAS dicemuh sebagai pihak yang mungkir janji dan sengaja tidak berniat baik pada tahap awalannya. Tetapi cuba kita fikirkan dulu masak-masak segala peristiwa yang membuatkan PAS membatalkan perundingan itu. Alasan PAS amat jelas: "suasana yang tidak tenteram untuk meneruskan perundingan adalah menjadi salah satu penyebabnya."
Beberapa isu besar negara akan membuatkan Mahathir separuh gila.
Semua hasil Petronas dibalun untuk menolong para kroni yang muflis.
MAS diselamatkan untuk membolehkan Tajuddin terlepas daripada
bebanan hutang. Begitu juga denagn kompeni LRT. Kini, Tajuddin
dikatakan sedang berusaha membeli perkhidmatan udara di negara orang.
Orang kampung terus sesak jua hidupnya dan orang Melayu akan terus
tertanya-tanya apakah akan jadi akhirnya?
Semua ini adalah isu yang menghantui Mahathir dan para juak yang
sedang memegang kuasa secara menipu. Hampir semua mereka sedar
betapa mereka menang undi dulu dengan menipu juga laksana yang
terdedah di Lunas baru-baru ini. Inilah semuanya pemimpin UMNO yang
sedang bergaya menjadi wakil rakyat sedangkan mereka sedar kuasa itu
adalah bukan dengan mandat rakyat yang sah. Mereka merampas kuasa
secara lembut dan berhemah. Sedangkan mereka merupakan kumpulan
penyangak yang menyusahkan rakyat jelata.
Orang Melayu secara keseluruhannya harus besyukur kepada Allah swt.
kerana perundingan antara Mahathir dengan PAS itu terbantut juga.
Manusia merancang Allah menentukannya. Inilah sebaik mungkin iktibar
yang ada masa kini kerana yang mahu diajak berunding itu bukannya
kepalang besar penyangaknya. Mahathir adalah sebesar-besar raja
penyangak dalam tamadun Melayu setakat ini. Mahathir dan UMNO
sengaja tidak mahu perundingan itu dilangsungkan. Kerana itu UMNO
sengaja menyakitkan hati orang Melayu apabila mengagihkan peket wang
ihsan di Terengganu kepada kaum Cina, sedangkan di perladangan orang
Melayu hidup kelaparan. Usah ditangisi dan disesali kalau perundingan
PAS-UMNO itu tidak akan menjadi. Kalau PAS betul-betul mewakili
segolongan besar orang Melayu, prasyarat perundingan harus diluaskan
lagi. Mahathir mesti merombak kabinetnya dulu dan mengeluarkan semua
'senator' yang dilantik sebagai menteri kabinetnya itu.
-Marhaintua- |