Laman Webantu   KM2A1: 3876 File Size: 6.0 Kb *



Banduan atau Bantuan??
By MSuri

28/2/2001 8:42 pm Wed

[Kisah ini membayangkan betapa institusi kehakiman dan polis begitu tercemar sekali. Mereka bukan memberi bantuan tetapi mahu diri mereka sendiri senang lenang tanpa perlu bertugas panjang. Pihak polis selalunya tidak ingin anda melapurkan kehilangan sesuatu bersabit orang lain kerana itu memerlukan mereka berkerja lebih (mencari dan menyiasat pencurinya) sedangkan gaji mereka sendiri tidak memadai. Maka mulalah mereka mencari wang lebih atau cuba membereskan kerja secepat mungkin - mendera atau menjual makanan dalam lokap dan penjara. Malah ramai yang ditangkap tanpa direkod apa-apa kerana mereka menunggu sesuatu sebelum menulisnya.... - Editor]


Daripada: Rahsia

Banduan atau Bantuan??

Pernah anda di penjarakan?

Pasti tak ramai yang sanggup mengaku dan tak ramai juga yang merasa makan nasi kukus berlauk ala kadar di tembuk batu berpagar besi itu. Saya tak salah kan anda, ini kerana anda dilahirkan kemungkinan memang bukan untuk terpenjara tetapi sebaliknya minda anda yang sering dipenjarakan disebabkan ia hanya sebesar otak siput.

Kenapa saya berkata demikian? Sebabnya secara jujur saya mengaku yang saya pernah merangkok hampir 6 kali di penjara Pudu, Kajang, Penor dan Kem Kemunting hanya kerana saya terlalu 'nakal' dalam usaha mengisi perut. maklumlah, sekolah sampai darjah empat, mana ada kelayakan untuk bersaing dengan anda semua yang bijak-bijak belaka.

Kes pertama, ialah kes naiya! Disebabkan ikut rakan yang mengajak pergi makan angin di Pantai Morib, saya terjebak dek polis apabila mereka menuduh saya mencuri lori kecil yang dipandu oleh rakan saya itu. Hakikatnya, saya baru berusia 15 tahun... dan saya tak tahu langsung nak pandu lori. Malah, saya tak tahupun yang lori itu lori curi.

Nak tahu apa berlaku pada saya? Polis yang ditugaskan menjaga keamanan rupa- rupanya hanya pandai 'mendera' dan 'menyeksa' untuk mendapat pengakuan. Mereka melakukan pelbagai cara termasuk memukul kaki saya dengan getah paip hitam, menyepit jari menggunakan pen, memukul, menampar, dan menarik rambut sampai tercabut.

Bila saya tabah melalui semua penyeksaan itu, mereka tambah 117 sebelum menghadapkan saya kemuka hakim. Disebabkan saya Juvana, masa tu saya tidak dapat dihantar ke penjara (remand) bila tiada penjamin. Saya hanya diletakkan di dalam lokap dan ia berlarutan hingga enam bulan lebih.

Hakim yang mengadili saya masa tu ialah Hakim Wan Adnan... dan saya masih ingat wajahnya yang tenang dan pandai memujuk. Dia telah memujuk saya agar mengaku bersalah dan menawarkan pembebasan saya dengan jaminan berkelakuan baik selama dua tahun.

Saya yang bodoh, menerima sahaja tawaran Hakim tersebut walaupun saya tidak bersalah. Selepas menandatangani surat dibilik bawah mahkamah, saya dilepaskan dan berakhirlah tugas seorang penegak undang-undang.

Yang memandam rasa ialah saya kerana selepas 15 tahun pengakuan bersalah saya itu, barulah saya sedar bahawa rekod jenayah tetap tercatit meskipun ia nampak mudah, ibarat Cinderalela mendapat impiannya.

Dalam hal ini, siapakah yang harus dipersalahkan? SAYA, POLIS, HAKIM ATAU RAKAN SAYA MENCURI LORI ITU TANPA PENGETAHUAN SAYA???? Saya tahu, pastinya ada antara anda yang tidak percaya perkara sebegini boleh berlaku. TERPULANG!!

Kalau nak tahu, kesan mendiami lokap selama 6 bulan itu telah mempengaruhi kehidupan saya apabila saya bercampur dengan penghuni lain di situ. Akibatnya, saya kemudiannya memasuki lokap dan kemudian penjara lagi. Kali ini, secara sah kerana saya melakukan jenayah hasil pengalaman yang dipelajari di bilik kurungan itu.

Dan saya hanya menyesal apabila hidayah muncul dari Allah, tetapi sayangnya sudah terlambat kerana sudah bergelar 'BEKAS BANDUAN'. Satu sebutan yang lantang disebut oleh segelintir pihak yang bangga pada diri mereka kerana bersih, suci dari dosa kerana tidak bergelar 'BANDUAN'.

Sememangnya, saya tabik pada anda yang tidak bergelar 'BANDUAN'. Tapi, saya tetap bangga pada diri sendiri kerana berpengalaman dan tahu sedikit sebanyak tentang perjalanan penjara, tugas pegawai penjara, karenah banduan lain, cara makanan di situ, kehidupan sosialnya dan macam-macam lagi yang tidak dapat anda bukan BANDUAN perolehi walau memiliki wang berjuta.

Lebih penting lagi, saya tahu perjalanan penyiasatan polis, keadilan hakim dan kebangsatan pendakwaraya dalam menyelesaikan satu-satu kes secara 'fast'.

Kesimpulannya, jangan menghina bekas BANDUAN kerana mereka bukan BINATANG atau HAIWAN yang minta dilayan begitu. Mereka juga manusia biasa yang kadangkala jadi mangsa ketidakadilan dalam masyarakat yang kelam-kabut mencari dosa.

Ikhlasnya, saya simpati pada Anwar. Dakwaan layanan khas oleh segelintir pihak yang tidak merasa keperitan penjara amat mendukacitakan. Jika begitu andaian anda, mulai hari ini, anda bolehlah meminta pihak penjara memberi makan nasi + sambal belacan pada banduan asing seperti mat saleh.

Bukan apa, walaupun mereka banduan yang sama seperti saya, tetapi mereka tetap makan roti, keju, epal berbanding banduan tempatan. Malah banduan benggali turut merasa makan capati... bukankah itu keistimewaan juga namanya??

Bagi anda yang hanya pandai menghina bekas banduan, silalah masuk dan menjadi seperti kami untuk merasa sendiri peritnya hidup dipenjara. Jangan bongkak, penjara bukan susah untuk dimasuki kerana banyak kes yang boleh menjadikan anda seorang banduan tanpa anda duga.

Ia mungkin hanya menanti masa dan ketikanya sahaja!

bersabarlah...

INSAN DUKA.