Laman Webantu   KM2A1: 3880 File Size: 35.9 Kb *



Siri 8 MMM: Yang Naik Lemak Dan Yang Naik Minyak
By Marhain Tua

1/3/2001 7:47 pm Thu

MMM8

[Mahathir berlagak seolah-olah beliaulah hero Malaysia dan mahu semua memperakui kehebatannya. Padahal kita semakin berhutang dibuat oleh wawasan sewelnya tetapi dia dan raja bukan main lagi hidup bergaya di dalam istana.

Mahathir dan Umno semakin naik lemak kerana semua institusi dikawal oleh orang pilihan mereka. Ada yang naik minyak sehingga menoda gadis dan dana, membunuh ulamak dan mengaibkan orang tanpa merasa berdosa. Tetapi orang orang yang sesat dibiarkan pula. Diajak bertemu banyak kali didiamkan saja tetapi menangguh sedikit bising sedunia. Itu semua bukan budaya wira jagoan perpaduan melayu di nusantara.

Minyak dan lemak memang merbahaya apatah lagi jika ia sudah menyelimuti negara. Hanya sedikit panas sudah mampu membakar semua yang ada termasuk rakyat yang tidak berdosa. Ketika itu orang melayu akan hilang dunia mereka kerana semua kekayaan sudah hangus menjadi tiada.
- Editor
]


SIRI MMM

BAB 8 : YANG NAIK LEMAK DAN YANG NAIK MINYAK




Yang Naik Lemak Dan Yang Naik Minyak

Satu bulan yang lalu Mahathir Mohammad mengajar kerajaan Jepun bagaimana memperbaiki ekonomi mereka. Semalam, pada 27 Februari, 2001 dia berucap di Beijing mengajar dunia sejagat bagaimana kuasa-kuasa besar dunia harus dikenakan cukai khas untuk membantu negara-negara miskin menjadi kaya. Alangkah sewel punya kerja yang dilakukan oleh insan yang bergelar Wira Dunia Ketiga, hasil jolokan Dato' Wira Ibrahim Ali.

Tetapi itulah hakikatnya yang mesti diterima dengan hati yang terbuka oleh semua rakyat Malaysia, terutama sekali orang Melayu di dalam UMNO. Diktator Mahathir tidak akan berhenti di situ. Dia akan terus mengajar dunia laksana seorang professor yang berfikir hanya dia yang mampu menyelamatkan dunia ini. Dia fikir taktik ini adalah sebaik kaedah untuk menarik balik perhatian dunia untuk mendengar celotehnya. Tetapi itulah gelagatnya mahu berlakon lagi. Kalau dia serius dengan saranan itu kenapa tidak mengucapkannya di Davos yang baru sahaja selesai persidangannya? Bukankah di situ ramai pemimpin negara yang hadir, termasuk ketua korporat dunia seperti Bill Gates yang turut serta? Ataupun apakah benar pada kali ini Persidangan Davos tidak pun teringat dan teringin menjemput kehadirannya?

Kita sedar betapa Mahathir perlu berlakon dan seluruh negara akan terus berdiam diri. Seperti ketika mengisytiharkan Dasar Pandang ke Timur (Look East Policy), semua orang diam sahaja, sedangkan lokasi Jepun adalah di utara Malaysia (Semenanjung hingga ke Sabah dan Sarawak) dan bukannya ke Timur. Itu sebabnya apabila Mahathir berkata bahawa Malaysia maju dan kaya raya kerana pengurusan mengikut acuan sendiri, semua orang diam membisu sambil tergelak besar di dalam hati.

Apabila ekonomi negara merudum di rantau Asia, kita dapati pemimpin negara jiran melaksanakan pelbagai kaedah berjimat sambil memulakan program pembangunan ekonomi negara semula. Filipina dan Indonesia bergolak kerana rakyat terpaksa akur kepada perlembagaan negara yang mahukan berlakunya peralihan kuasa. Di Thailand, kerajaan bertukar dengan perlantikan perdana menteri baru dan kabinet yang baru. Raja Bhumipol dan seisi keluarganya terus berusaha membantu rakyat yang menderita. Malahan baginda mengambil sikap menetap di negaranya kerana mahu menjimatkan belanja negara.

Di Malaysia, apabila ekonomi negara menghimpit jiwa masih ramai raja-raja Melayu yang bersantai keluar negara. Sebaik sahaja YDP Agong bertukar kuasa, yang lama (kini YT Negri Sembilan) pergi bercuti ke Argentina, yang baru (Sultan Selangor) mampu pula bercuti melihat Sukan Olimpik di Australia. Sekembalinya, YDPA telah bersetuju untuk menjual tanah rakyat di Selangor kepada kerajaan Persekutuan untuk ditukar nama menjadi Putrajaya. Sultan Kelantan telah bersantai ke Dubai seolah ramai penduduk Kelantan bermastautin di sana. Sebelum itu, dia telah melaksanakan majlis 'buruk-siku-diraja' dengan menarik gelaran bintang yang pernah diberikan kepada rakyat jelata.

Gelagat raja-raja bersantai ke luar negara dengan iringan beberapa pegawai istana adalah satu perbelanjaan besar yang sepatutnya tidak diamalkan lagi ketika negara sedang dilanda krisis ekonomi. Sekaligus, apabila raja-raja berucap kepada rakyat dan bertitah agar rakyat berjimat, titahnya itu hanya layak dibakul-sampahkan sahaja. Begitu juga halnya apabila raja melakukan budaya buruk-siku, apakah dia fikir boleh terus berperangai biadap semudah itu? Inilah yang mesti difahami oleh rakyat kerana sudah sampai masanya warga istana itu disedarkan bahawa mereka tidak boleh bersikap seperti raja-raja Melayu kuno lagi kerana kini adalah zaman IT dan bukan zaman raja mesti disembah sehinggalah rakyat sanggup berjuang sampai mati. Warga istana berbelanja besar sehingga sukar difahami oleh rakyat. Begitu juga dengan sikap raja-raja masih menggaji pawang di istana. Untuk apa semua itu sedangkan amalan pawang dan jembalang itu bukannya mainan orang beragama Islam?

Kemudahan raja-raja bersantai ke luar negara sedangkan ada rakyat yang kelaparan dan anak-anak sekolah yang tidak mempunyai upaya membayar yuran peperiksaan mereka, adalah satu gambaran betapa pincangnya ekonomi negara yang diurus oleh seorang diktator tua. [Nasib malang peneroka Felda berikutan kejatuhan harga minyak kelapa sawit- Editor]

Kita masih ingat lagi apa yang dilakukan oleh si diktator tua ini sebaik sahaja kes Anwar Ibrahim mula didengar di mahkamah. Dia berlagak sakan mengelilingi dunia dengan laungan betapa dia mampu memulihkan ekonomi negara. Beberapa persidangan besar ditaja di luar negara untuk dia menjadi tukang ucap utama. Malaysia juga menghantar puluhan pegawai tinggi kerajaan untuk menyertai ratusan tauke-tauke korporat negara menghadiri persidangan besar-besar itu, sedangkan perbelanjaan mereka semua sudah mampu membayar segala kos peperiksaan anak-anak keluarga miskin untuk mengambil peperiksaan mereka. Tetapi, kehadiran pegawai tinggi kerajaan itu dianggap sebagai penting untuk memberi 'credibility' ataupun kesahihan kepada ketokohan seorang diktator tua yang memberikan ucapan utamanya. Malahan, ada maklumat yang dikirimkan kepada kita mengatakan salah satu sebab penerbangan MAS lingkup ialah kerana terpaksa menaja penerbangan pemimpin dan rombongan daripada Afrika untuk menghadiri persidangan di Langkawi dan juga persidangan lain di mana si diktator tua memberikan ucapaan utamanya.

Apakah tajuk ucapannya itu kalau bukan cara Malaysia bangkit semula dan 'Bagaimana mahu memulihkan ekonomi yang diganyang oleh penyangak matawang asing'. Kini, semua kata-kata bongkak yang diucapkan mengenai pemulihan ekonomi itu ternyata tidak ada satu pun yang melegakan rakyat marhaen di negara ini. Namun, si diktator tua yang angkuh itu masih lagi cuba menonjolkan dirinya di pentas dunia. Inilah yang dikatakan oleh orang dulu-dulu; 'kokok berdarai-darai ekor begelumang tahi juo !!!'

Menyedari betapa ekonomi negara merudum seiring jalan dengan merudumnya nama besar UMNO dan nama gah Mahathir Mohamad, kita dapati usaha gigih oleh satu 'badan ghaib' yang mahukan UMNO dan PAS duduk semeja berbincang mengenai perpaduan orang Melayu. Kita tidak boleh katakan bahawa persidangan itu adalah berasaskan keinginan keseluruhan ahli UMNO, kerana dalam UMNO sendiri sudah wujud Badan Bertindak Melayu yang telah mengutuk dan mencemoh Mahathir secara terang-terangan.

Tujuan sebenar BBM secara lahiriahnya ialah mahukan Mahathir undur agar UMNO dapat bernafas semula seperti yang mereka impikan. Saya pernah menulis bahawa itu semua adalah lakonan semata-mata kerana adanya pembabitan Ibrahim Ali. Sejarah sudah menunjukkan kalau Ibrahim Ali terbabit dalam sesuatu majlis di negara ini; tidak kiralah kalau majlis itu mengganyang orang luar ataupun orang dalam, ia hanya merupakan satu lakonan sahaja. Ibrahim Ali sanggup menggunakan sesiapa sahaja untuk melakonkan skrip olahannya. Rakyat marhaen masih ingat lagi betapa Ibrahim mengupah budak-budak sekolah untuk berdemo di tepi jalan memperlekehkan Amerika. Dia lupa yang diperlekehkannya ketika itu adalah anak-anak sekolah yang tidak pun mengerti apa-apa. Rakyat Marhaen hanya perlu membaca 'Dua Wajah' tulisan Syed Hussein Ali (Presiden PRM) untuk menyedari betapa pengecutnya Ibrahim Ali itu sebenarnya. Ibrahim Ali hanya berani bersuara lantang di hadapan khalayak ramai dan di depan corong mikrofon sahaja.


Sikap Ibrahim Ali berani bercakap lantang itulah yang ditiru oleh Mahathir Mohammad (Ibrahim tidak meniru Mahathir dalam hal ini). Memang, Mahathir berani bercakap apa saja mengenai ekonomi negara dan mengenai sesiapa yang tidak disukainya. Ketika Anwar Ibrahim dibicarakan dulu, hakim (Augustine Paul dan Ariffin Jaka) telah mengeluarkan arahan agar kes itu tidak dibincangkan di luar mahkamah. Tetapi, Mahathir tidak ambil pusing langsung. Dia membincangkannya di luar mahakamah bukan sahaja di negara ini malahan di negara asing. Bukan sahaja di hadapan rakyat Malaysia tetapi juga di hadapan orang asing. Tetapi apabila dia disapina dua kali untuk menghadirkan dirinya di mahkamah, Mahathir telah mengelat kerana dia takut untuk disoalsiasat.

Kita dapat rasakan Mahathir kini sudah menjadi seorang yang 'gila isim', kerana terlalu ghairah untuk berucap di hadapan orang ramai. Tidak kiralah kalau majlis itu satu persidangan UMNO ataupun satu majlis kecil penyerahan sijil kepada murid sekolah ataupun sesiapa sahaja, asalkan majlis itu dilangsungkan di satu suasana yang dikira selamat bagi dirinya. Mahathir lebih selesa dengan majlis semacam itu daripada melihat keadaan hidup orang Melayu di kampung-kampung yang semakin tergugat oleh dasar pemerintah yang tidak pernah ambil pusing terhadap rakyat marhaen yang susah.


UMNO Yang Jauh Menyimpang

Gelagat Mahathir yang sudah lupa daratan adalah hasil kaedah UMNO ditadbirkan sejak dua puluh tahun yang lalu. Mahathir hanya akan sedar (atau pura-pura sedar) penderitaan rakyat setiap kali diadakan majlis tepuk amai-amai di PWTC di mana para perwakilan mendengar ucapan berdegar-degar para perwakilan parti. Ketika itu akan disentuh segala penderitaan rakyat secara gambaran sahaja, sedangkan gambaran itu hanya merupakan selingan kepada segala ucapan puja-memuja dan puji-memuji pucuk pimpinan parti yang diketuai oleh 'presiden seumur hidup yang paling dikasehi'. Apakah hasil segala ucapan itu akan memperbarui cara hidup rakyat marhaen yang miskin? Tidak! Perhimpunan semacam itu digunakan untuk melaksanakan program menindas rakyat lagi. Apabila UMNO bertindak menyuruh Petronas mengubah warna hijau daripada logonya, pembaziran wang rakyat marhaen berlaku kerana Petronas adalah hak rakyat. Apabila UMNO membincangkan kes pengharaman HARAKAH, yang rugi adalah rakyat kerana mereka dinafikan hak membaca maklumat yang tidak diputar-belitkan untuk memihak kepada UMNO.


Dasar memuji-muji perjuangan UMNO yang dulu, kini dan selamanya menipu rakyat marhaen itu menyebabkan ekonomi negara kini berada di satu tahap yang akan membebankan rakyat marhaen untuk satu waktu yang panjang. Tetapi, kalau perwakilan dibenarkan untuk bersuara dengan bebas di persidangan tahunan itu para perwakilan UMNO tentu akan sedar betapa kehancuran negara adalah disebabkan Mahathir bin Mohamad dengan dasar kronisme, kollusi, korupsi dan nepotisme. Di sebalik segala pujian yang dihamburkan kepada Mahathir oleh wakil persidangan itu selama ini, negara sedang menggelonsor ke kancah kemuflisan gara-gara seorang pemimpin Melayu yang bertaraf bedebah dan menjahanamkan martabat bangsanya. Kalaulah UMNO dan pucuk kepimpinannya benar-benar ikhlas dengan penerajuan negara kenapakah setiap kali mahu diadakan persidangan tahunan ada pula satu majlis taklimat khas sehari-dua sebelum berlangsungnya persidangan itu?

Apakah perlunya satu 'rehearsal' (raptai) untuk persidangan tahunan itu kalau tujuan sebenarnya ialah untuk melakukan satu latihan bagaimana segelintir pemimpin UMNO mahu terus memutar minda golongan yang lebih besar lagi? Dengan lain perkataan, setiap kali persidangan tahunan UMNO itu dilangsungkan, segala agenda yang diatur itu sudah dirancang awal-awal lagi untuk menyejukkan suasana agar hujah para perwakilan sudah hilang sengat dan bisanya. Jadilah persidangan itu satu majlis 'tepuk-amai-amai' sahaja, akhirnya.

Itu sebabnya masalah kehidupan orang Melayu masih lagi ditakuk lama kerana UMNO sebagai tunggakan ketuanan Melayu itu sudah jauh menyimpang daripada perjuangan asalnya. Kerana itu, UMNO kini sudah tidak seperti dulu dan selamanya akan hilang kepercayaan orang Melayu.

Strategi ini memang menjadi satu amalan yang direstui oleh hampir semua pemimpin dalam parti kerana mereka amat takut kalau-kalau ada perwakilan yang akan mendedahkan 'telur tembelang' yang mereka simpan selama ini. Saya pernah berbincang dengan beberapa veteran UMNO Negri Sembilan mengenai hal ini dan ingin merakamkan beberapa maklumat yang mereka minta saya tulis untuk pengetahun orang Melayu yang akan memilih ahli jawtankuasa baru di peringkat bahagian tidak lama lagi.


- Pemimpin Yang menyimpang

Kebanyakan cawangan UMNO sudah tidak wujud lagi. Bagaimana bahagian dapat terus bertahan dan memilih perwakilan akhirnya ke PWTC merupakan satu muslihat politik yang diatur oleh wang ringgit juga. Itu sebabnya setiap projek kerajaan yang melibatkan kerja-kerja kontrak mesti dianugerahkan kepada orang UMNO sahaja. Tidak kiralah kalau orang yang 'memenangi' kontrak itu seorang bekas guru besar sekolah ataupun seorang bekas peon pejabat kerajaan. Yang menjadi paspot untuk orang Melayu mendapat tender kerajaan ialah dia mesti menjadi ahli UMNO dulu. Kesannya, apabila kontrakator Melayu itu mendapat kontrak membina bangunan (katakanlah sekolah baru) ia akan menyerahkan semua kerja kontrak itu kepada orang Cina sambil memakan keuntungan komisen sekitar sepuluh peratus. Kerana itu kos kontrak pembinaan sekolah yang sekitar 1.4 juta (contohnya) akan dilaksanakan dengan belanja sekitar RM900,000 sahaja, kerana kontrak berkenaan terpaksa memperuntukkan segala sogokan kepada orang-orang tertentu.

Contoh kerja-kerja kontrak yang 'hancai-bancai' boleh dilihat tersergam megah di Bukit Jalil dan juga di Stadium Malawati di Shah Alam. Cuba perhatikan stadium itu dan lihatlah bagaimana rupa cat yang telah digunakan pada bangunan itu. Belum pun lima tahun bangunan itu, rupanya buruk seolah-olah dibina selepas Perang Dunia Kedua dulu lagi.

Beberapa contoh perlu ditonjolkan untuk kita merakamkan kenapa perkara begini boleh terus berpanjangan dan jarang sangat diberi perhatian di persidangan UMNO di PWTC. Di daerah Rembau terdapat sekitar 78 lesen kontrak yang dipegang oleh Bumiputra (Kelas A - Kelas F). Ironisnya, 'tidak seorang pun pemborong bumiputra itu yang mempunyai alat kelengkapan pemborong seperti jentolak, berpadan dengan lesen pemborong yang dipegangnya'. Itu sebabnya mereka akan melepaskan setiap kontrak yang mereka menang itu dan berpuashati dengan komisen sahaja. Mereka lebih selesa dengan panggilan kontraktor yang 'mundar-mandir dengan kereta mercedez berlampu mata belalang sahaja.'

Itulah tahap pemborong (kontraktor pembohong) bumiputra tajaan UMNO. Itulah juga muka-muka yang akan mewakili bahagian UMNO di tempat mereka ketika berhimpun di PWTC nanti. Inilah juga penyangak-penyangak yang akan cuba mempertahankan ketuanan Melayu mengikut acuan UMNO yang dilakar oleh sekumpulan Malbari disekeliling seorang diktator tua. Inilah penyangak yang tidak sedar apakah sebenarnya erti perjuangan untuk menaikkan martabat bangsa. Apa yang mereka faham ialah bertepuk ramai-ramai apabila ada perwakilan yang akan melaungkan seruan perjuangan dan bercakap lantang mengenai ketuanan Melayu. Berapa ramaikah di antara mereka itu yang sanggup menggunakan kereta buatan negara sendiri? Berapa ramaikah di antara mereka yang mempunyai anak-anak yang sedang menuntut di negara asing baik dari kelas rendah sehingga menengah dan apabila pulang semasa bercuti akan lebih rela bertapa di pab dan kelab malam, walaupun umur masih belum dewasa lagi?

UMNO di zaman kepimpinan Mahathir sudah membudayakan ketuanan Melayu secara konsep samseng dan bajingan seperti yang berlaku di negara Afrika dan juga Jepun. Di Jepun, tidak ada pemimpin politik yang dapat naik dan bertahan lama tanpa ada sokongan kumpulan 'Yakuza dan Abon'. Di Afrika, tidak ada pemimpin yang dapat bertahan lama tanpa sokongan para Rahib dan ketua padri institusi kristian ataupun NGO di tempat mereka.

Saya pernah menulis dulu kepada beberapa pemimpin UMNO secara emel peribadi bahawa UMNO yang ada kini adalah UMNO yang membesar mengikut acuan yang dibentuk oleh Mahathir bin Mohamad dengan sokongan padu segelintir manusia yang menopangnya. (Saya ulang perkataan 'MENOPANG' supaya tidak disalahertikan dengan perkataan 'MENUMPANG'). UMNO kini adalah hasil satu sistem raksasa yang dilakar oleh Mahathir pada asalnya kerana dia rakuskan kuasa dan ditopang ataupun disangga oleh segelintir insan yang mahukan dia terus berkuasa kerana melaluinya mereka turut mendapat kuasa. Contoh yang terbaik ialah melihat bagaimana pekebun meletakkan sebatang kayu (sangga) untuk menyangga sebatang pisang yang sedang berbuah. Kalau pisang itu tidak disangga, batangnya akan tumbang dan buahnya akan terbantut. Tetapi, di waktu yang sama di keliling pokok itu terdapat banyak anak-anak pokok pisang yang semakin berserabut tumbuh di pangkalnya. Mahathir adalah laksana pisang yang sedang berbuah itu. Dia akan terus disangga selagi buahnya belum matang dan kayu sangga itu akan terus berada di situ sebelum beralih ke pohon pisang yang lain, yang lebat daunnya dan besar jantungnya menandakan buah-buah yang besar dan lazat rasanya.

Untuk menjamin ketuanan Melayu dalam UMNO itu budaya menopang dan menyangga pemimpin terpaksa terus diamalkan. Di sinilah munculnya satu sistem bajingan dalam UMNO kerana setiap ketua UMNO perlu memelihara satu kumpulan bajingan yang berlagak laksana samseng agar ketokohan 'ketua penyangak' itu dihormati dan kata-katanya dipatuhi. Melalui sistem semacam inilah makanya kita lihat seorang kerani 'tally- clerk' perkapalan boleh menjadi exco, seorang juru-engsot get keretapi boleh menjadi wakil rakyat, dan seorang mandor parit dan tali air boleh menjadi menteri besar. Semua ini berlaku kerana sejarah kepimpinann UMNO di perkampungan dan pekan-pekan dulu, diasaskan oleh para guru lepasan SITC. Inilah anak-anak Melayu yang lulus sekolah darjah lima dan dikumpulkan oleh British di sebuah maktab di Tanjung Malim untuk dididik menjadi guru terlatih. Selepas negara mencapai kemerdekaan, ramai calon SITC itu merupakan anak-anak Melayu yang mendapat pangkat 'C' dalam peperiksaan LCE (PMR sekarang ini). Ramai yang tidak dapat masuk maktab harian (Day Training Centre) dibenarkan pula mengajar dengan mengambil kursus perguruan di hujung minggu. Itulah zamannya di mana sebahagian besar perkampungan Melayu yang tidak mempunyai bekalan letrik dan lampu. Yang menerangi rumah-rumah adalah lampu minyak yang dipanggil lampu 'stom' ataupun lampu 'sentel' sahaja.

Inilah bukti betapa orang Melayu di kampung-kampung hidup menderita ketika itu sedangkan itulah juga sumber tenaga yang berkhidmat di pasukan tentera, polis, bomba dan segala perkhidmatan yang tidak diingini oleh kaum asing di negara ini. Tanpa lampu yang terang benderang di kampung bagaimanakah anak-anak mampu membuka buku pengajian di malam hari. Lagipun, anak-anak yang bersekolah jauh di bandar pulang keletihan di waktu maghrib dan perlu tidur awal untuk menunggu bas sebelum subuh keesokan harinya. Memang amat berbeza nasib mereka kalau dibandingkan dengan kaum India yang dibekalkan letrik di malam hari dan kaum Cina di perkampungan terkumpul (Chinese New Villages) yang mempunyai segala kemudahan mewah untuk hidup dengan selesa.


Sedikit demi sedikit taraf akademik calon SITC berubah hinggalah kini ia menjadi sebuah universiti pendidikan. Malangnya konsep kenaikan martabat SITC itu tidak pula diseragamkan oleh UMNO dalam pemilihan ketua cawangan dan bahagiannya. Budaya itu tidak mudah bertukar kerana kemewahan menjadi ketua bahagian dan cawangan adalah sesuatu nikmat yang tidak mudah diperolehi oleh insan yang tidak berpelajaran tinggi, di institusi lain. Kerana itu, kalau boleh jawatan dalam parti mahu difaraidkan menjadi satu jawatan yang berbentuk dinasti. Itu sebabnya Mahathir dengan sokongan Paklah sanggup melakukan putaran minda agar jawatan mereka tidak dipertandingkan. Kalau Mahathir mampu melakukan semua putaran minda itu di pucuk kepimpinan parti apakah pemimpin bawahan di peringkat kampung tidak mempunyai nafsu yang sama? Disinilah letaknya muslihat memberi sabsidi kepada setiap ketua bahagian agar terus taksub kepada pucuk kepimpinan.

Satu contoh budaya sabsidi dalam UMNO boleh dilihat di Negeri Sembilan. Kalau kita pergi ke merata kampung kita akan terdengar perkataan 'Isa-P'. Pada mulanya saya kurang arif dengan perkataan itu memikirkan kalau itu nama manusia tentulah abjad solo itu diletakkan di hadapan nama seperti yang berlaku kepada 'P.Ramlee'. Di Negri Sembilan 'Isa-P' adalah nama jolokan kepada menteri besar yang ada. Saya masih mencari makna 'P' itu, tentu sekali bukan bererti 'putih' menunjukkan ketelusan kepimpinan beliau.


Kalau kita pergi ke Port d##kson kita akan ditunjukkan rumah kediaman ketua UMNO setempat (keseluruhan daerah Teluk Kemang) dan sambil ditunjukkan rumah kediaman mereka itu kita akan diberitahu apa pula pekerjaan sebenar tuan rumah itu. Ternyata kita akan hairan bagaimana mereka mampu mempunyai rumah kediaman sehebat itu. Rupanya Isa-P mempunyai satu projek khas untuk mereka. Setiap seorang ketua UMNO itu diberikan projek kerajaan sebagai pemborong. Semua kerja-kerja kontrak itu akan diambil-alih oleh kontraktor Cina, ada yang datang daripada Singapura. Dengan lain perkataan, semua pemborong Melayu dalam UMNO itu akan hidup makan komisen sahaja. Inilah ketuanan Melayu ala UMNO dan inilah ketuanan UMNO dalam masyarakat Melayu mengikut acuan yang dilakar oleh seorang Malbari tua.

Kemewahan yang diraih menjadi pemimpin UMNO tidak kiralah di mana pemimpin itu berada menyebabkan berlakunya satu pertembungan dalam UMNO kini hinggakan berlakunya perpecahan dalam parti. Tetapi, perpecahan dalam UMNO itulah yang dikatakan perpecahan Melayu yang disebabkan oleh hasutan parti pembangkang. Kerana itu, makanya Mahathir dan pucuk kepimpinan UMNO pusat terlalu ghairah mahukan satu perundingan dilaksanakan di antara PAS dengan UMNO.

Apabila adanya suasana cemoh-mencemoh disebabkan pergolakan dalaman UMNO itu sendiri, Mahathir dan para penasihatnya cuba menuduh pihak lain. Suasana sebenar adalah disebabkan pergolakan mahukan kuasa yang akan mendatangkan kemewahan tanpa perlu bekerja dan mengeluarkan modal untuk berniaga. Itu sebabnya budaya tuduh-menuduh, hasut-menghasut, berbomoh-bomoh dan surat layang sehingglah bunuh membunuh memang sudah menjadi budaya sebati dalam UMNO. Kerana itu juga sikap bohong-membohong adalah satu amalan lumrah dalam UMNO.

Ketika PAS dan UMNO mula berunding di peringkat teknikal dulu, PAS telah mengemukakan syarat di tahap awalan lagi bahawa mereka hanya akan berunding terus kalau beberapa syarat awalan dipersetujui. Antara pra-syarat itu ialah kerajaan harus memulangkan royalti minyak kepada kerajaan Terengganu (kerana itu hak rakyat Terengganu). HARAKAH harus diberi semula hak penerbitannya seperti dulu. Yang ketiga, kerajaan hendaklah menentukan agar polis menghentikan tindakan ganas di majlis ceramah parti pembangkang. Inilah sahaja tiga syarat yang amat mudah untuk diperkenankan oleh Maharajah Mahathir.

Di pihak UMNO pula, mereka meminta PAS bersetuju agar tidak mendedahkan apa juga butir perbincangan jawatankuasa teknikal itu kepada umum. Tetapi apakah yang dilakukan oleh UMNO seterusnya? Mereka berkata bahawa PAS telah sengaja mengagalkan perundingan dengan menimbulkan syarat pula. Semua orang percaya dan semua pemimpin UMNO naik melalot mengutuk PAS dengan bermacam-macam lagi tuduhan yang terkeluar daripada pra-syarat yang dikemukakan oleh PAS itu. Inilah contoh budaya berbohong yang menjadi amalan UMNO selama ini. Seperti juga sikap Mahathir yang mengatakan dia mempunyai bukti yang kukuh mengenai kelakuan Anwar Ibrahim satu ketika dulu. Buktinya ialah adanya Tivoli Apartment sebelum tarikh pembangunannya dan sebelum tilam bertompok tiga belas dibikin lagi. Namun, dengan segala pembohongan itu mahkamah masih mampu bersidang dan Anwar Ibrahim boleh dihukum selama lima belas tahun. Bayangkanlah betapa besarnya dosa setiap insan yang bersekongkol dengan Mahathir dalam kes Anwar itu. Hampir semua mereka itu sanggup bersekongkol dengan Mahathir kerana takut kehilangan kemewahan dunia. Masa juga akan menentukan kuasa Allah yang akan menghukum mereka selagi mereka bernyawa. Sedikit demi sedikit kita nampak dengan jelasnya bagaimana mereka semakin menghampiri gerbang hidup yang sengsara walaupun pada nama mereka itu berbaris bintang gelaran yang telah dianugerahkan oleh warga istana.

Apabila pemimpin UMNO bercakaran sesama sendiri untuk menjadi ketua bahagian, sekaligus budaya wang dan sogokan janji-janji pun berkembang biak. Sekaligus juga sistem samseng tempatan itu akan berkembang biak juga. Itu sebabnya ramai pemuda kampung yang mampu berfikiran waras sudah semakin rela meninggalkan UMNO untuk menyokong parti pembangkang. Mereka semakin sedar bahawa budaya wang UMNO itu hanya untuk mengekalkan ketuanan UMNO dalam masyarakat kampung sahaja. Saya pernah menulis betapa tidak ada bezanya di antara pemimpin UMNO di sesuatu bahagian dengan 'Ali Baba' dalam cerita dongeng 'Ali Baba dan penyamunnya'. Ali Baba tidak boleh menjadi ketua penyamun tanpa adanya para penyamun yang setia dengannya. Kalau ada pengikut yang tidak setia tentulah Ali Baba sudah ditumpaskan dan mereka pula memilih seorang ketua penyamun yang baru. Begitu juga dengan Mahathir, dia masih dapat bertahan kerana ramai lagi pengikut yang setia yang sanggup 'menupang' kuasanya.

Kerana itu Mahathir terpaksa memperibadikan setiap institusi kerajaan agar mereka menjadi jentera yang mengekalkan kuasanya. Di peringkat negeri pemerintahan BN, semua ketua menteri dan menteri besar kerajaan UMNO (seperti Isa-P) terpaksa pula memperibadikan institusi kerajaan mengikut gelagat maharajah mereka. Itulah sahaja jaminannya untuk mereka terus mengekalkan kuasa. Mengikut sistem Ali Baba Ketua Penyamun, semua menteri besar dan ketua pemimpin UMNO terpaksa mengambil sikap seorang yang mempunyai otak penyamun juga. Apabila segala bidang penguatkuasaan itu sudah berada di tangan mereka, rakyat marhaen tidak mempunyai peluang untuk hidup senang-lenang melainkan mengikut gelagat yang dilakar oleh Mahathir dan para pemimpin UMNO peringkat negeri, daerah dan pekan. Terpulanglah kepada pemimpin Umno itu kalau mahu merelakan parti pembangkang berceramah secara bebas ataupun berkumpul tanpa diganggu-gugat oleh pihak polis. Bayangkan sendiri bagaimana semua penyangak ini sanggup menipu rakyat yang mengundi mereka dan menggelarkan mereka 'Yang Berhormat.'

Inilah demokrasi yang ditonjolkan oleh Mahathir di seluruh dunia. Dia boleh malalak keseluruh dunia cuba membetulkan negara asing; cara mereka harus memerintah. Demokrasi katanya mesti memberi kemudahan kepada negara miskin membangun untuk naik setara dengan negara kaya. Tetapi, di negaranya sendiri ramai bangsanya yang kais pagi makan pagi dan kais petang makan hati. Demokrasi dalam Darulboleh adalah cara hidup mengikut hukum-hukum yang ditentukan oleh pemimpin UMNO.


Putarbelit Untuk Terus Berkuasa

Oleh kerana berbohong sudah menjadi darah daging kebanyakan pemimpin UMNO, mereka sangup merelakan sesuatu pembohongan itu semata-mata untuk mengekalkan kuasa. Astora Jabat menulis 'mengenai Mahathir sebagai Firaun yang baik.' Tidak ada seorang pun pemimpin UMNO; baik yang masih berkuasa ataupun yang veteran yang gilakan kuasa, yang sanggup menyanggah pendapat Astora bedebah itu. Di manakah Hamid Othman penasihat agama Mahathir? Di manakah Abdul Hamid menteri agama UMNO yang tidak suka lif yang dinaikkinya dikongsi oleh orang lain? Di manakah pula menteri Hal Ehwal Dalam Negeri yang sepatutnya bertindak terhadap orang-orang yang memutarkan minda orang Melayu? Cuba bandingkan saranan Astora Jabat selama ini dengan apa yang dikatakan putarbelit Al Arqam satu hari dulu, mana satu yang lebih berbahaya?


Di sinilah letaknya standard ataupun piawaian sosio-ekonomi ala UMNO dalam usahanya mengekalkan ketuanan UMNO-Mahathir di kalangan masyarakat Melayu di negara ini. Setiap sesuatu yang mahu diucapkan ataupun mahu dilaksanakan yang membabitkan orang Melayu mesti mengikut piawaian yang ditentukan oleh UMNO. Tidak kiralah kalau perkara itu menyangkuti dan menyanggah ajaran Islam yang benar. Orang Melayu dalam UMNO termasuk Mahathir lebih rela mencemuh Tuanguru Nik Aziz dan Tuanguru Abdul Hadi dan juga Professor Datok Harun Din daripada menyanggah penulis kelas bedebah seperti Astora Jabat dan Zainuddin Maidin. Para pemimpin Melayu UMNO lebih rela mendengar dan mempercayai tulisan Zam, Kassim Ahmad dan Dolah Komunis daripada tulisan dan pandangan Prof Syed Husin PRM dan Rustam Sani. Masih ramai pemimpin UMNO yang sanggup menidakkan suara-suara kebenaran yang keluar daripada mulut insan-insan yang berjihad ini kerana mereka sayangkan kemewahan yang mereka nikmati hasil bersekongkol dengan Mahathir Mohamad. Sekaligus mereka menidakkan hak rakyat marhaen untuk hidup dengan lebih selesa daripada yang mereka tanggungi sekarang ini. Mereka lebih rela bersekongkol dengan manusia yang sudah lama berhati syaitan, tanpa menyedari bahawa mereka juga hidup bergelumang dengan segala dosa dan terpakasa terus berbohong untuk memperakukan segala pembohongan yang diucapkan oleh si diktator tua.

Setiap pemimpin politik harus sedar bahawa seorang ahli politik yang sedang berjaya sebenarnya memainkan peranan laksana seorang imam naik mimbar. Setiap imam yang naik mimbar akan naik ke tempat paling teratas untuk berkhutbah. Selepas berkhutbah dia akan turun mengikut anak tangga yang sama ketika naik. Tidak ada jalan lain untuk keluar daripada mimbar itu. Begitulah juga yang perlu dihadapi oleh Mahathir dan semua pemimpin UMNO. Apabila mereka naik ke atas, mereka akan turun mengikut jalan yang sama. Itu sebabnya dalam politik kita jangan mudah leka kalau naik secara mendadak. Kalau kita naik melompat, kita turun akan terjun pula. Dalam politik segalanya boleh terjadi, apatah lagi dalam politik Melayu mengikut acuan Mahathir. Orang Melayu semakin kebingungan kerana budaya rasuah dan politik wang tidak dapat dihakiskan lagi. Mahathir akan melalak selagi dia mampu bersuara, tidak kiralah kalau dia masih menjadi pemimpin UMNO atau tidak pun lagi.


Hakikatnya budaya Melayu itu secara keseluruhannya telah terungkai oleh budaya wang dan budaya membohong yang dibiarkan subur dalam UMNO. Kerana itu ramai pemipin UMNO yang naik laksana semut boleh jatuh dan turun seperti ribut. Kalau kita lihat pergolakan negara sejak kemenangan UMNO di pemilu ke-10 dulu, apakah UMNO sudah mengorak langkah untuk memenuhi janji-janji seperti yang tertulis dalam manifesto politiknya dulu? Di manakah janji-janji ala 'sama rata-sama rasa' yang dilaungkan oleh semua pemimpin UMNO ketika berkempen itu?

Semua janji-janji itu lenyap kerana digantikan dengan pelbagai sandiwara untuk memutarkan minda. Tidak ada satu pun projek kerajaan ke arah pembangunan insan yang berjaya dilaksanakan. Tetapi, pelbagai lakonan yang merupakan 'perasa-minggu-ini' untuk rakyat terutama sekali orang Melayu beromong kosong di warung-warung (di coffee house sudah berkurangan sekarang ini) dan di berandah masjid dan surau membincangkan kisah yang sengaja di kemukakan untuk membuang masa. Di waktu yang sama, harga barang makan dan segala kos perkhidmatan dinaikkan melambung tingginya tanpa memikirkan penderitaan rakyat jelata.

Sayang, sambil Mahathir dan Rafidah dan juga Paklah kerap mundar-mandir mengelilingi dunia, ekonomi negara semakin merudum dan menjadi teruk. Orang-orang Cina dan golongan kaya raya sudah lama mengalihkan simpanan mereka ke luar negara menunggukan masa dan ketika untuk lari terus dari negara ini. Mereka sudah lama merancangnya sejak lebih sepuluh tahun lagi. Kalau ditakdirkan Mahahtir masuk hospital kerana sakit esok hari kita boleh menjangkakan semua tempahan tiket kapal terbang di semua lapangan terbang Malaysia dan juga Singapura, Bangkok dan Hongkong akan penuh kerana ramai ahli KEJAM yang mahu melarikan diri. Tinggallah rakyat marhaen menunggu negara ini sambil terus bekerja dan terus membayar segala hutang piutang yang disebabkan segala projek mega yang dibina untuk memuaskan ego seorang diktator yang sudah lama naik lemak dan kumpulan bajingannya yang sudah lama naik minyak.

Sesungguhnya, Mahathir dan kumpulan penyangak yang bepaut kepadanya masih lagi tidak sedar betapa mereka telah memusnahkan keceriaan di kalangan masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa. Sesungguhnya para pemimpin Melayu yang naik kaya raya dalam UMNO sudah hilang pedoman selagi mereka sanggup bersekongkol dengan si Raja Penyangak ini tanpa memikirkan untuk bersatu menuntut dia undur daripada arena poltik Melayu.

-marhaintua-
28.2.2001.