Laman Webantu   KM2A1: 3884 File Size: 12.9 Kb *



Soalan Parlimen Untuk Ahli-Ahli Parlimen BA
By CDB

2/3/2001 6:48 pm Fri

[Sebahagian kakitangan JPM (seperti EPU) sudah berpindah tetapi KDN masih berada di Jalan Dato Onn. Malah ada satu bangunan yang masih baru (bercermin biru) tersergam di situ serta satu 'flyover' khas yang mahal menjalar ke situ. Menurut kabar, kesemuanya akan dijual kepada pihak tertentu. Soalnya siapa yang mahu membeli kesemua bangunan di situ kerana ia sedikit jauh dari pusat bandar dan terlalu besar. Mungkin tiada pembeli maka KDN dikekalkan supaya tidak termalu... Ramai tidak tahu KDN menduduki hanya secebis sahaja bangunan-bangunan di situ. - Editor]


SOALAN PARLIMEN UNTUK AHLI-AHLI PARLIMEN BA

Saya bukanlah wakil rakyat tetapi saya telah merangka sebanyak 20 soalan di bawah untuk wakil-wakil rakyat Barisan Alternatif mengemukakannya di sidang Parlimen nanti. Soalan-soalan yang saya rangka ini adalah hasil daripada pemerhatian, analisis dan maklumat yang diperolehi dari sumber-sumber tertentu di dalam jabatan-jabatan Kerajaan. Tujuan saya merangka soalan-soalan untuk Sessi Dewan Rakyat ini adalah untuk memudahkan kerja wakil-wakil BA di Parlimen nanti. Saya tahu ada segelintir wakil-wakil kita yang malas membuat 'homework' untuk sidang Parlimen. Ini suatu kenyataan yang tidak boleh dinafikan dan tiada siapa pun yang harus melenting dengan kenyataan saya ini. Saya bukanlah marah kepada mereka sebab mungkin mereka ketiadaan idea dan 'point' untuk bercakap di Parlimen.

Jadi, saya serahkan 20 soalan yang sangat relevan ini kepada mana-mana 27 orang wakil BA di Parlimen untuk dikemukakan semasa sidang berlangsung. Kalau Ustaz Fadzil rasa nak ambil, ambillah. Kalau Mat Sabu rasa nak bercakap, bercakaplah. Kalau Mahfuz rasa menarik jugak soalan-soalan saya ni, persilakanlah. Perjuangan ini untuk rakyat, bukan untuk kepentingan peribadi. Kalau wakil-wakil BA kekurangan 'point' untuk bertanya di Parlimen, saya sedia membantu. Jadi, cubalah tengok-tengokkan soalan-soalan saya di bawah ini. Saya rasa masih belum pernah soalan-soalan ini dikemukakan dalam sidang-sidang Parlimen sebelum ini.



  1. Minta penjelasan Mahathir berapakah kos yang ditanggung oleh Kerajaan untuk perpindahan jabatan-jabatan kerajaan dari Kuala Lumpur ke Putrajaya dan berapa buahkah kementerian dan jabatan yang telah beroperasi di sana semenjak Putrajaya dijadikan Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan.

  2. Minta penjelasan Mahathir berapakah kos yang terpaksa ditanggung oleh Kerajaan untuk memberi subsidi pengangkutan kepada kakitangan kerajaan yang terpaksa berulang alik dari KL ke Putrajaya semenjak mula-mula berpindah ke sana sehingga subsidi tersebut diberhentikan.

  3. Minta penjelasan Mahathir berapakah kos yang terpaksa ditanggung oleh setiap kakitangan kerajaan yang berkerja di Putrajaya yang berulang alik dari KL, terutama sekali untuk perbelanjaan petrol, tol dan tambang bas. Adakah kerajaan bercadang untuk mengecualikan bayaran tol kepada kakitangannya yang berulang alik setiap hari ke Putrajaya demi meringankan beban kewangan mereka selama tempoh mereka berkhidmat di sana. Jika tiada cadangan sedemikian, apakah alternatif yang boleh difikirkan oleh Kerajaan untuk meringankan beban kewangan terutama bagi kakitangan yang berpendapatan rendah yang memilih untuk tidak menghuni di kuarters kerana telah memiliki rumah sendiri.

  4. Minta penjelasan Mahathir apakah kesan-kesan jangka pendek dan jangka panjang akibat perpindahan ke Putrajaya terhadap aspek sosio - ekonomi terutama kepada pemilik-pemilik bangunan swasta di Kuala Lumpur yang dahulunya disewa bangunan mereka oleh jabatan-jabatan kerajaan. Berapakah kadar pasaran semasa sekarang bagi sewa bangunan-bangunan swasta di KL kesan signifikan perpindahan ke Putrajaya itu. Ini kerana banyak bangunan swasta di KL kini kosong kerana ketiadaan penyewa berkapasiti besar sebagaimana pejabat-pejabat kerajaan yang sanggup menyewa bangunan-bangunan mereka.

  5. Minta penjelasan Mahathir berapakah kos yang terpaksa dikeluarkan oleh kerajaan untuk menanggung perbelanjaan pegawai-pegawai yang terpaksa menghadiri mesyuarat di jabatan-jabatan tertentu di Putrajaya sedangkan pejabat mereka masih berada di KL. Antara kos yang ketara ialah petrol, tol dan masa yang terpaksa dihabiskan untuk perjalanan sampai ke sana.

  6. Minta penjelasan Mahathir berapakah kos sampingan yang terpaksa ditanggung oleh setiap orang ketua keluarga penghuni kuarters Putrajaya untuk berulang alik ke bandar-bandar berdekatan seperti Kajang dan Puchong bagi membeli keperluan harian mereka seperti ikan, sayur dan sebagainya akibat ketiadaan kemudahan asas seperti pasar, gerai dan bengkel membaiki kenderaan di Putrajaya. Apakah langkah-langkah segera yang akan diambil oleh Kerajaan untuk mengatasi kesulitan penghuni-penghuni kuarters tersebut.

  7. Minta penjelasan Menteri Kesihatan, apakah langkah-langkah proaktif yang akan diambil oleh Kementerian Kesihatan untuk mengurangkan masa menunggu orangramai yang datang untuk menemui doktor di Jabatan Pesakit Luar HKL. Ini kerana pesakit-pesakit yang datang terpaksa melalui tiga tahap penungguan iaitu di kaunter daftar kad, di hadapan bilik pemeriksaan doktor dan di kaunter mengambil ubat. Mereka terpaksa menunggu sehingga 2 - 3 jam hanya untuk diperiksa selama tidak sampai 5 minit oleh doktor.

  8. Minta penjelasan Menteri Kesihatan, benarkah kerajaan bercadang untuk mengkorporatkan hospital-hospital milik kerajaan tidak berapa lama lagi dan mewujudkan Tabung Insuran Kesihatan Negara dimana setiap rakyat yang ingin ke hospital kerajaan dimestikan mencarum di Tabung tersebut untuk membolehkan mereka mendapatkan rawatan.

  9. Minta penjelasan Menteri Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, apakah langkah-langkah tegas yang sedang dan telah dirangka oleh kerajaan untuk membendung gejala sosial budaya gay dan l#####nisme yang melanda dan merebak begitu cepat terutama sekali di KL seperti di kawasan Bukit Bintang dan KLCC. Adakah kerajaan sedar bahawa budaya tersebut telah membiak begitu subur sekarang ini terutama di dua kawasan yang dinyatakan itu.

  10. Minta penjelasan Menteri Kewangan benarkah kabar angin yang mengatakan bahawa wang kertas satu ringgit telah dicetak tanpa sandaran rezab emas dan ini bererti wang tersebut tiada nilai seperti mana wang Jepun dahulu.

  11. Minta penjelasan Menteri Pendidikan, adakah pihak-pihak tertentu telah cuba mengeksploitasi dan mencari untung daripada kalangan ibubapa pelajar-pelajar yang sedang menunggu keputusan peperiksaan SPM dan STPM dengan menjual borang-borang permohonan ke universiti sebelum keputusan rasmi dikeluarkan oleh Lembaga Peperiksaan sedangkan ianya pasti mengecewakan ibubapa dan pelajar yang gagal memperolehi keputusan yang baik dan menjadi suatu pembaziran kepada mereka dan terpaksa menanggung kerugian begitu sahaja kerana tidak layak pun untuk memohon ke universiti. Adakah kerajaan bercadang untuk mengembalikan prosedur ini seperti mana dahulu dimana borang-borang permohonan ke universiti hanya akan diedarkan selepas keputusan rasmi peperiksaan dikeluarkan supaya tidak membebankan rakyat yang berpendapatan kecil.

  12. Minta penjelasan Menteri Pendidikan, adakah kerajaan bercadang untuk memperkenalkan semula skim pemberian biasiswa untuk pelajar-pelajar yang berjaya memasuki universiti tempatan sepertimana yang telah dibuat di zaman kerajaan 3 PM sebelum ini. Apakah rasional kerajaan memansuhkan skim pemberian biasiswa dan menggantikannya dengan skim pinjaman kepada pelajar-pelajar universiti walhal ketika negara masih berasaskan pertanian dahulu kerajaan mampu untuk memberikan biasiswa kepada para pelajar universiti tetapi di zaman negara kita yang sudah berasaskan perindustrian kini, skim biasiswa telah dihapuskan.

  13. Minta penjelasan Menteri Kerjaraya, adakah kerajaan sedar bahawa mutu dan tahap Lebuhraya KL-Seremban terutama di Sungai Besi masih terlalu jauh dari memuaskan dan amat tidak setimpal dengan bayaran tol yang dikenakan kerana pemandu kenderaan terpaksa menghadapi kesesakan yang amat teruk ekoran sempitnya lebuhraya tersebut. Apakah langkah-langkah drastik kerajaan untuk mengatasi perkara ini dan adakah kerajaan bercadang untuk mengurangkan kadar tol di laluan tersebut kesan masalah yang dialami oleh pengguna di lebuhraya itu.

  14. Minta penjelasan Menteri Kerjaraya, adakah kerajaan bercadang untuk mewujudkan lembaga bekalan air sendiri bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya untuk mengelakkan kesan kenaikan drastik yang dibuat oleh kerajaan Selangor bagi tariff air seperti baru-baru ini supaya penduduk di kedua buah Wilayah Persekutuan tersebut tidak terlibat dengan keputusan yang dibuat oleh Kerajaan Negeri Selangor ?

  15. Minta penjelasan Menteri Dalam Negeri, adakah kerajaan bercadang untuk memperkenalkan Kor Agama di dalam pasukan polis sepertimana Kor Agama di dalam angkatan tentera demi memastikan tanggungjawab anggota polis yang beragama Islam melaksanakan tugas mereka dengan penuh kesedaran dan keinsafan. Ini kerana ramai anggota polis yang cuai dalam menunaikan perkara asas dalam Islam seperti sembahyang 5 waktu dan solat Jumaat berbanding dengan anggota tentera, mungkin kerana kurangnya kesedaran agama dan kesibukan tugas mereka.

  16. Minta penjelasan Menteri Telekomunikasi dan Multimedia, adakah kerajaan tidak bercadang untuk meminta pihak Telekom Malaysia menurunkan kadar tariff bayaran laluan penggunaan internet sebanyak 1.5 sen seminit yang dikenakan (jika dicampur caj penggunaan internet 1.0 sen menjadi 2.5 sen seminit) demi menggalakkan lebih ramai lagi rakyat menggunakan kemudahan internet dan meluaskan tahap pengetahuan IT mereka ? Ini kerana jika dibandingkan dengan negara-negara maju, kadar yang dikenakan oleh Telekom tersebut masih tinggi dan membebankan bagi golongan tertentu seperti pelajar.

  17. Minta penjelasan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, adakah kerajaan sedar bahawa dasar pengambilan Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) ke dalam perkhidmatan awam yang dilaksanakan sekarang, iaitu dengan memberi keutamaan 100 % kepada calon-calon lepasan bidang sains dan IT telah menjejaskan dengan teruknya (menutup rapat) peluang calon-calon dari bidang yang lain untuk memasuki skim perkhidmatan tersebut. Apakah skima yang digunapakai oleh JPA dalam mendiskriminasikan perkara ini dan berapa peratuskah keperluan kerajaan di bidang sains dan IT dari segi jumlah tenaga PTD yang diperlukan itu. Berapa peratuskah pelatih PTD yang berhenti semasa sedang berkursus selama 9 bulan di INTAN semenjak 10 tahun yang lalu dan apakah langkah-langkah yang telah diambil untuk membendungnya?

  18. Minta penjelasan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, adakah kerajaan telah membuat suatu kajian terperinci mengenai kesan-kesan positif dan negatif daripada pengenalan sistem waktu kerja secara berperingkat yang telah diperkenalkan 3 tahun lepas di jabatan-jabatan kerajaan di Kuala Lumpur. Adakah kerajaan sedar bahawa pengenalan sistem tersebut telah menjejaskan keberkesanan sistem kerja di jabatan kerajaan kerana ada Ketua Jabatan yang terpaksa menunggu pegawai atau pembantunya tiba ke pejabat terlebih dahulu sebelum dapat mengadakan mesyuarat ataupun menulis surat dan terpaksa 'kehilangan' mereka selepas jam 4.00 petang kerana waktu masuk yang berbeza.

  19. Minta penjelasan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, adakah kerajaan bercadang untuk memperkenalkan waktu kerja 5 hari seminggu dalam masa yang terdekat ini kerana kajian pihak tertentu mendapati cuti Sabtu Pertama dan Ketiga yang diperkenalkan oleh kerajaan telah membantu meningkatkan ekonomi dan perlancongan domestik dengan ketara. Minta jumlah dan peratusan peningkatan hasil pelancongan domestik selepas pengenalan cuti Sabtu pertama dan ketiga tersebut.

  20. Minta penjelasan Menteri Perusahaan Utama/Menteri Pertanian, adakah kerajaan mempunyai perancangan untuk memperkenalkan program penanaman alternatif yang mendatangkan pulangan lumayan yang cepat kepada para peneroka getah dan kelapa sawit, seperti tanaman pokok stan agar dapat membantu para peneroka ketika musim kejatuhan harga komoditi tersebut. Jika ada, setakat manakah kemajuan yang telah dicapai dan jika tiada, apakah langkah alternatif yang telah diambil untuk membantu para peneroka dalam jangka panjang.


SELAMAT BERJUANG UNTUK RAKYAT !

Cucu Datuk Bahaman
2 Mac 2001