Laman Webantu   KM2A1: 3926 File Size: 41.1 Kb *



Siri 9 MMM: Melayu Sudah Menjadi Hamba Abdi UMNO
By Marhain Tua

8/3/2001 7:40 pm Thu

MMM9

[Dengan menangkap Ezam berdasarkan lapuran akhbar, polis sekali lagi bertindak kasar berdasarkan mainan kabar. Tetapi polis tidak pula berbuat apa-apa terhadap hasutan membakar dewan dan slogan mandi darah oleh pemuda Umno yang terlalu kurang ajar. Jelas Umno takut kepada Ezam yang menjadi simbol kebangkitan rakyat marhaen - khususnya golongan muda. (Usia beliau cuma 34 tahun)

Tentu kita masih belum lupa Kedah bergegar kerana sentuhan Ezam di sana. Polis kini cuba menonjolkan kebolehannya dan tentera pula diseru menjauhi rakyat pula. Tetapi diam rakyat dan tentera jangan disangka tiada apa-apa. Ia akan meledak bila disatukan bersama bila-bila masa bila cukup masaknya walaupun Ezam tiada kerana lebih ramai yang sudah mengganti dirinya. Bukankah Gelita 14 begitu dekat kemunculannya? - Editor]


SIRI MMM

BAB 9 : MELAYU SUDAH MENJADI HAMBA ABDI UMNO




Melayu Sudah Menjadi Hamba Abdi UMNO

Apabila sesuatu bangsa itu, tidak kiralah betapa gah dan besar sejarah keperwiraannya, diputarbelit mindanya secara bertubi-tubi; semangat keperwiraannnya itu akan lesap untuk menjadikan bangsa itu jatuh tersungkur - layak dijadikan kelas hamba abdi. Inilah yang terjadi kepada bangsaku BANGSA MELAYU hasil pemerintahan seorang warisan pendatang yang sanggup melakukan segala putarbelit yang hanya termampu dilakukan oleh penyangak yang pandai membelit. Itulah juga kejayaan seorang pemimpin Melayu yang bergelar Wira Dunia Ketiga hasil jolokan yang dicadangkan oleh seorang Melayu juga.

Melayu pada hari ini bukan lagi berada di pesimpangan kerana simpang yang mencelarukan minda itu hanya ada dikhayalan sahaja. Melayu hari ini adalah satu bangsa yang lama sudah mencelaru mindanya kerana putarbelit segelintir masyarakat bangsanya yang lahapkan kuasa. Inilah masyarakat Melayu yang berselindung di sebalik UMNO dengan segala kekuatan palsu yang berjaya menjadikan hanya seorang bajingan menjadi 'maharajah' di antara satu kumpulan raja rasmi yang mewarisi takhta secara tradisi. Raja yang disembah dan dihamba-patikkan itu pun turut terbungkus dalam kelas 'hamba bertaraf mulia dan berdaulat sahaja.'

Kenyataan fenomena ini menjadi terserlah dengan tindakan polis menangkap Ezam Mohd Nor pada malam umat Islam sepatutnya bertakbir memuji kebesaran Allah, penciptanya. Itulah malam yang memancarkan Lebaran Korban di mana setiap insan Islam harus berada dengan keluarga dan sahabat handainya. Itulah malam yang paling syahdu di antara malam yang perlu ditiduri oleh setiap insan bersama keluarga tersayangnya dan bukannya diserkap untuk tidur merengkok di sebuah lokap polis yang tidak membawa sebarang makna.


Tetapi itulah hakikatanya. Ezam bin Mohd Nor yang dijangka satu hari nanti mempunyai segala kebolehan menjadi seorang perdana menteri terpaksa meniti keperitan hidup hasil kerakusan beberapa bajingan yang layak dianggap laksana manusia berhati syaitan sahaja. Ezam ditangkap selepas waktu Isyak di hadapan rumah Datin Wan Azizah Ismail oleh sekumpulan polis yang mengekori pergerakannya. Dia ditahan dan kunci keretanya dicampakkan seolah-olah kunci kereta itu adalah satu senjata berbisa yang akan meletup laksana bom jangka. Dia ditangkap sepuluh jam sebelum dia mampu menjejakkan kaki bersama ahli keluarganya untuk bersolat Eid-ul-Adha. Dia ditangkap atas Akta Hasutan kerana Utusan Melayu dan akhbar utama UMNO menuduhnya mahu melancarkan pergerakan menjatuhkan kerajaan. Dia ditangkap kerana Pergerakan Pemuda UMNO membuat laporan polis kerana 'pemuda UMNO berhak dan berkepentingan untuk memastikan Malaysia terus terpelihara daripada sebarang ancaman yang akan memusnahkan kejayaan rakyat dan negara ini.' Inilah juga pergerakan di mana Timbalan ketuanya pernah berdiri di atas tembok Dewan Perhimpunan Cina dan mengugut mahu membakarnya. Kenapakah polis tidak menangkapnya kerana menghasut dan melancarkan huru-hara?


Politik Mahathir Acuan Kueh Semperit

Ezam ditangkap ketika orang Melayu bersiap menyambut hari lebaran. Di zaman dulu-dulu hari lebaran disambut dengan menghidangkan kuih semperit. Inilah kuih termoden yang mudah dibuat kerana bentuknya cantik dan belanjanya murah. Adun sahaja tepung bersama majarin ataupun mentega dan campurkan sedikit telur, gula serta pewarna. Masukkan adunan tepung itu ke dalam tabung untuk ditekan dan agar keluar mengikut bunga acuannya. Adunan yang sama boleh ditekan lagi dengan bunga acuan yang lain pula dan warna yang berbeza. Rupanya lain tetapi rasanya apabila dihidangkan tetap sama juga. Ezam kini adalah mangsa politik Melayu ala acuan kueh semperit. Dia ditangkap untuk menunjukkan kepada seluruh dunia bahawa itulah taktik UMNO yang diketuai oleh sorang diktator bajingan yang memegang kuasa secara tipu muslihat juga.

Hanya beberapa minggu yang lalu ada satu majlis khas di PWTC di mana Ibrahim Ali bersama selebriti UMNO melancarkan kempen 'Takkan Melayu Hilang di Dunia'. Mereka mahu menjelajah serata negara untuk memberi penerangan kepada rakyat jelata akan keadaan negara yang mesti diperbetulkan oleh diktator jahanam dan juga timbalannya. Apakah itu bukan berbentuk hasutan? Apakah yang mereka cakapkan itu tidak dirakamkan oleh dunia sejagat? Adakah sesiapa di kalangan mereka yang ditangkap untuk disoal, walaupun tidak dikenakan Akta Hasutan? Perkara semacam ini memang telah kita ramalkan dengan jelas. Ibrahim Ali, Shahrir Samad dan siapa sahaja dalam UMNO boleh mengutuk UMNO dan Mahathir dan mereka akan terlepas begitu sahaja walaupun kutukan itu dibuat secara terbuka. Orang lain seperti Ezam tidak boleh melakukannya. Tindakan laporan itu dikira salah dan boleh dikenakan Akta Hasutan.


Ezam tidak pernah mengatakan dia mahu menjatuhkan kerajaan dan dia tidak pernah mengatakan mahu melancarkan demonstrasi jalanan seluruh negara setiap hari. Yang berkata begitu ialah Utusan Melayu. Kalau Ezam boleh ditangkap untuk disoal siasat kenapakah ketua pengarang Utusan Melayu tidak ditangkap sama untuk disoal siasat? Semasa Ezam sibuk melancarkan kempen mengutuk pemerintahan Mahathir ramai pemimpin muda parti pembangkang yang menyertainya. Masih ramai lagi para pemidato yang berkeliaran seluruh negara mengutuk Mahathir dan pemerintahannya. Kenapakah Ezam sahaja yang ditangkap dengan tuduhan Akta Hasutan? Kenapakah Mahfuz Omar tidak ditangkap kerana dia pun giat berkempen mengutuk kerajaan? Kenapa Mat Sabu tidak tertangkap? Bagaimana pula dengan Tian Chua, Ismail Kamus, Saifuddin Nasution, Gobalakrishnan dan banyak lagi nama-nama penjuang muda yang sama hebat dan sama bersemangat seperti Ezam?

Tetapi itulah hakikatnya. Ezam akan menjadi satu lagi katalis di kalangan rakyat marhaen yang cintakan keharmonian negaranya dan keunggulan martabat bangsanya. Ezam mengikuti jejak langkah ketuanya Anwar Ibrahim yang kini menjadi satu ikon dan katalis bangsanya. Ironinya, penangkapan Ezam dilakukan selepas beberapa pegawai pergerakan pemuda UMNO membuat laporan polis terhadap bekas rakan perjuangan mereka.


Sejak Anwar ditangkap, diseksa, dibicarakan dan dihukum untuk terus mengaibkan ahli keluarganya, Ezam telah berjaya menarik sokongan ratusan ribu anak muda tidak kira apa kaumnya, pegangan agamanya dan falsafah hidupnya. Mereka menganggap Ezam sebagai ikon terbaru yang mampu menyambung semangat yang ditunjukkan oleh Anwar Ibrahim. Menepati nasihat Anwar Ibrahim dan harapan bangsanya Ezam telah meneruskan perjuangan rakyat marhaen mahukan Mahathir undur dan mahukan beberapa bajingan politik dalam UMNO disiasat kerana kelakuan mereka yang amat gemar kepada rasuah dan kepada konsep kollusi, kronisme dan nepotisme. Tidak ada seorang pun di antara bajingan ini yang pernah dipanggil untuk disoal siasat. Hanya Ezam yang terpaksa keluar masuk balai polis 'untuk memberikan butir lanjut mengenai laporannya.' Sebaliknya, apabila empat exco pemuda UMNO membuat laporan terhadap Ezam, pihak polis bertindak menangkapnya. Kenapakah polis tidak melaksanakan program menyiasat dengan memanggil setiap exco pemuda UMNO itu, agar mereka berulang-alik dulu sebelum membuat keputusan untuk mengenakan tuduhan ke atas Ezam?

Apakah laporan polis yang dibuat oleh Ezam itu terdapat banyak cacat celanya sehinggakan tidak ada pun seorang bajingan unggulan yang dituduhnya pernah dipanggil oleh polis? Apakah lapuran pergerakan pemuda UMNO itu begitu lengkap sehinggakan pihak polis tidak ada lagi sebarang syak wasangka dan curiga untuk melambatkan penangkapan mereka terhadap Ezam?

Semalam, Utusan Melayu menyiarkan penafian Ezam mengenai kempen jalanan hariannya. Tetapi, pada keesokan harinya (Hari Raya Aidiladha Selasa Mac 6, 2001) Utusan mencatatkan kata pojok yang berbunyi 'Polis Tahan Ezam' - untuk siasatan setelah mengaku merancang demonstrasi jalanan). Bukan pelik perkara ini, polis bertindak berdasarkan laporan akhbar sahaja?


- Pergerakan Pemuda UMNO Yang Menipu Perjuangannya

Di mukasurat 4 akhbar yag sama ada dirakamkan 'Hishammuddin Bidas Penafian Ezam'. Beliau berkata:

"Keadilan sememangnya sejak diwujudkan tidak pernah senang melihat negara ini aman, harmoni dan damai. Parti Keadilan sanggup mengheret dan meracuni pemikiran rakyat ke kancah politik sempit mereka hanya untuk menggugat kestabilan dan keamanan yang telah lama kita bina." Utusan melaporkan kenyataan Hishammudin betapa demonstrasi jalanan yang dianjurkan oleh keadilan sering bercampur baur dengan emosi, rasa marah dan benci sehingga menjurus kepada keganasan dan rusuhan. "Keadaan seperti itulah yang ingin mereka lihat wujud di negara ini," ujarnya.

Hanya lebih satu bulan yang lalu menteri besar terbaru di negara ini telah menyebutkan ikrar sanggup bermandi darah mempertahankan kedaulatan negara. Rakyat marhaen mentertawakannya dan begitulah juga sambutan rakyat marhaen terhadap kata-kata Hishammuddin Husin kali ini.

Oleh kerana Ezam ditangkap sebaik sahaja Pergerakan Pemuda UMNO membuat laporan polis, kebangkitan kemarahan rakyat akan terfokus terus kepada pergerakan pemuda UMNO. Cuma, seluruh negara masih belum sedar siapakah sebenarnya yang membuat laporan polis itu. Kali ini ia tidak dilakukan oleh Hishammuddin ataupun timbalannya Aziz Sikh Fadzir yang lebih selesa berdiri berkokok di atas tembok pagar. Yang membuat laporan polis kali ini ialah Zulkifli Alwi (Setiausaha pergerakan Pemuda UMNO), Mohammad Norza Zakaria, Affendi Zahari dan Zein Isma. Mereka ditemani oleh Haidar Sikh Fadzir (Ketua Pemuda Kepong) dan Mustapha Kamal Mohd. Yusuf (Ketua Pemuda Seputeh). Yang tidak turut serta dalam episod ini ialah Bendahari Pemuda UMNO yang kini bergelar 'datuk' dan merupakan salah satu klon seorang diktator jahanam.

Kita harus merakamakan di sini satu fenomena terbaru dalam taktik acuan politik kueh semperit UMNO ini. Sebelum Pergerakan Pemuda UMNO membuat laporan terhadap Ezam ada satu lagi laporan yang dibuat sehari sebelumnya. Pada kali itu laporan tersebut dibuat oleh Ketua Siasatan Jenayah Ibupejabat Daerah (IPD) Dang Wangi, Deputi Supritendan Yusuf Shafie di IPD Dang Wangi.


Kenapa Ezam Diaibkan?

Oleh kerana kesuntukan ruang, kita akan bincangkan terus kenapa Ezam ditangkap sedangkan semua orang bercuti untuk hari lebaran dan beliau sepatutnya dibiarkan merayakan hari lebaran bersama keluaraga dan teman-temannya. Pada hari Raya dulu Ezam ditangkap di lapangan terbang KLIA sekembalinya daripada lawatan umrah dan pulang untuk merayakan lebaran Hari Raya Puasa. Apakah pihak polis tidak sedar, tindakan menangkapnya itu memperlekehkan martabat Pasukan Polis Malaysia bukan sahaja di mata rakyat marhaen tetapi di seluruh dunia?

Rakyat marhaen tentu tidak lupa bagaimana ada menteri UMNO yang dibiarkan bebas berminggu lamanya walaupun polis sudah mengetahui dia telah menembak mati seorang speaker Dewan Undangan Negeri Sembilan. Rakyat marhaen masih ingat bagaimana Abdullah Ang yang ditangkap dan dihukum penjara boleh diberikan kebebasan untuk keluar malam menikmati 'bakut teh' di malam hari. Begitu juga dengan layanan Mahathir terhadap seorang ketua pemuda UMNO yang dituduh melakukan hubungan zina dengan gadis sunti sehingga menghasilkan zuriat. Dia tidak terpenjara tetapi seorang ahli parlimen Cina yang dipenjarakan pula. Apakah salahnya kalau Ezam diberitahu secara lisan agar melapurkan dirinya di balai polis sehari selepas menyambut hari raya untuk siasatan dan kemudian menahannya ketika itu?



  1. Saya baru sahaja menterjemahkan satu artikel tulisan MGG Pillai mengenai puak Taliban. Dia menulis betapa 'lumrahnya untuk pemimpin revolusi rakyat yang ditelan oleh semangat revolusi itu.' Penangkapan terhadap Ezam amat bertepatan sekali dengan pendapat MGG Pillai itu.

    Saya berpendapat, Ezam sebagi ikon yang disenangi rakyat marhaen sengaja diaibkan sepertimana Mahathir Mohammad mengaibkan Anwar Ibrahim. Tugas mengaibkan Ezam diserahkan kini kepada pergerakan Pemuda UMNO. Untuk memperkuatkan muslihat UMNO itu, pihak polis sudah dipakati untuk membuat laporan polis juga. Alangkah lucunya perkara ini.

    Sememangnya, setiap perjalanan revolusi rakyat itu memang banyak bahan lucunya. Lelucon adalah anak-anak tangga yang membawa rakyat marhen ke kancah keganasan kerana kelucuan adalah bertentangan (opposite to) sesuatu yang serius dan mungkin memuncak ke tahap kelamkabut yang berbahaya.

    Episod yang lucu adalah laksana lakonan kelakar yang dilakukan oleh badut sarkas. Tetapi tidak ramai yang sedar hanya pemain dan pelakon yang benar-benar pakar yang boleh memainkan peranan yang melucukan itu. Tetapi dalam politik, aksi dan tindakan yang melucukan terjadi secara sepontan dan kerap berlaku kerana tidak disedari. Apabila aksi lucu itu hasil daripada satu perancangan yang jahat, ia akan berakhir dengan episod serius yang akan mencetuskan airmata; samada oleh kerana kehibaan ataupun kemarahan yang amat memuncak suhunya.


  2. Sebagai ikon kepada perjuangan rakyat marhaen, Ezam Mohd Nor dilihat sebagai proksi kepada semangat perjuangan Anwar Ibrahim. April 14 adalah satu tarikh yang amat bermakna kepada rakyat marhaen. Penangkapan Ezam adalah satu cara menumpulkan sengat perayaan April itu nanti. Dari tarikh sekarang sehingga April 14 itu, mungkin akan diisi padat dengan pelbagai peristiwa. Salah satunya ialah kesan pembedahan yang akan dilaksanakan oleh doktor Jarman ke atas Anwar. Kini, ramai rakyat marhaen yang mengkaji benda yang buruk-buruk kemungkinan pembedahan itu menghadapi kesulitan yang sengaja diada-adakan. Tetapi tempoh yang hanya sekitar satu bulan sahaja itu adalah satu tempoh yang banyak lagi peristiwanya. Bagaimana kalau perundingan perpaduan Melayu di antara PAS-UMNO itu tidak menjadi? Apa pula halnya dengan pergolakan di akar umbi yang perlu membuat keputusan memilih jawatankuasa baru di pihak cawangan dan bahagian? Bagaimna pula dengan segala lapuran negaitf terhadap pemimpin UMNO dan kerajaan negeri-negeri UMNO? Bagaimana pula kisahnya dengan skandal yang membabitkan beberapa warga istana?


Semua ini adalah peristiwa yang menghantui Mahathir kerana dia tahu Ezam dan pemimpin muda parti pembangkang sedang mempelopori kebangkitan rakyat marhain untuk menjaga wang rakyat agar tidak terus dibazirkan oleh Mahathir dan para sahabat bajingannya. Sebenarnya, di sinilah terserlahnya kelemahan hampir semua akhbar dan risalah parti pembangkang dan juga NGO yang mahukan rakyat marhaen menyokong mereka. Rakyat marhaen terlalu galak disogokkan dengan cerita ekonomi yang merudum. Apakah Mahathir menunjukkan sebarang 'keinsafan' terhadap tuduhan Ezam dan pemimpin pembangkang? Masih banyak lagi pembaziran dan projek mega yang dilaksanakan tanpa rakyat memahaminya kerana tidak ada pendedahan mengenainya.

Pada dasarnya rakyat marhaen sudah menjadi konfius dan mencelaru kerana mereka sendiri tidak tahu betapa negara beransur muflis kerana projek mega yang membazirkan khazanah rakyat. Kebanyakan projek mega ini dilaksanakan di Bandar Airmata Rakyat (Putrajaya) dan Selangor Darul Ihsan. Kelmarin Menteri Besar Selangor mengisytiharkan projek pelihara buaya di Banting. Berapa juta agaknya? Adakah dia sedar betapa projek pemeliharaan buaya di Thailand yang merupakan antara projek terbesar di dunia sedang mengerang kerana kekurangan perniagaan? Berapakah kos tenaga pekerja di Thailand kalau dibandingkan dengan kos tenaga kerja di Malaysia? Pernahkah dia buat kajian akan projek pengekspotan daging buaya di Australia dan Afrika yang diusahakan oleh usahawan Barat? Adakah dia kaji projek yang sama yang dilaksanakan di beberapa negara membangun seperti di Kambodia, China, Filipina dan New Caledonia?

Kini, Mohamad Khir Toyo mahu membelanjakan sekitar 20 juta membina bangunan yang boleh digunakan untuk memasarkan hasil kerja orang kampung seluruh Selangor. Inilah yang saya katakan benda-benda yang melucukan. Mohd. Khir sudah menjadi terlebih 'bijak' seolah-olah menyambung 'kerja-kerja Mat Jenin' seorang menteri besar yang menanam padi di atas bumbung. Tetapi kalau dua puluh juta itu ditaruhnya dalam satu tabung khas di mana setiap daerah dalam negeri Selangor diperuntukkan satu juta untuk mengeluarkan makanan untuk diekspot, dia akan mampu menjadikan peruntukan dua puluh juta itu menjadi berlipat ganda dalam masa dua tahun. Selangor mempunyai kawasan bekas lombong bijih yang banyak. Dia hanya perlu menggalakkan ternakan ikan yang sesuai untuk dijadikan 'fish fillet' dan kontrakkan penjualannya untuk pasaran dunia. Inilah yang dilakukan oleh kerajaan Israel di Afrika. Inilah juga sebabnya PBB mempunyai satu jabatan khas yang disebut UNEP (United Nation Environmental Programme) di Nairobi, Kenya, Tujuan sebenar penubuhan jabatan PBB ini ialah untuk memberikan perlindungan diplomatik kepada pegawai Israel dan pro Israel yang mengendalikan perniagaan ternakan 'Talapia Nilotica' di beberapa tasik di Afrika. Ikan Talapia Nilotica ini sungguh besar dan amat sesuai dipelihara di lombong bijih lama ataupun tempat seperti Tasik Cini, Temenggor, Banding dan sebagainya. Ikan yang besar adalah sebesar meja guru sekolah, kulitnya boleh dijadikan kulit perhiasan wanita yang lebih tinggi nilainya daripada kulit buaya (kerana kos mewarnakannya yang lebih rendah). Israel memelihara ikan jenis ini di Afrika dan menjadikannya bahan 'fish and chips' di kedai-kedai makan di Amerika dan Eropah.

Sekarang ini kita tidak pernah mendengar sebarang berita berkaitan dengan kerajaan negeri yang mengeluarkan bahan makanan untuk digunakan oleh Tabung Haji di Arab Saudi. Yang kita dengar ialah pelaburan Tabung Haji dalam industri membotolkan whiskey dan brandi di India dan menjual tanah ladang kepunyaan sukusakat Suharto-Mahathir di Indonesia.

Industri pemakanan terutama sekali bekalan ikan segar di Tanah Arab adalah dimonopoli oleh rakyat Pakistan. Inilah sindiket yang sama mengendalikan industri ikan di Pakistan sehingga Afghanistan dan Utara Iran. Malahan FAO (badan PBB dalam bidang makanan) menganjurkan Persidangan tahunan perikanan melalui 'Infosamak' di Bahrain setiap tahun. FAO ada wakilnya di Malaysia yang bergelar Infofish yang boleh membantu Malaysia dalam hal ini. >Kenapakah kita tidak pernah mendengar usaha kerajaan negeri dalam industri pembekalan ikan di peringkat global? Bukankah ini industri yang paling mudah dan murah untuk setiap perkampungan orang Melayu? Kini, teknologi ternakan ikan tidak perlu kolam dan tasik lagi. Sudah ada teknologi ternakan dalam tangki simen dan gentian sahaja. Kenapakah ini tidak dilakukan, sedangkan Ibrahim Ali penah menjadi Pengerusi FAMA satu ketika dulu?

Projek ternakan ikan untuk ekspot apabila dijadikan projek taraf desa dan kampung tidak memerlukan belanja beratus ribu ringgit. Ia adalah satu projek murahan sahaja yang tidak mendatangkan komisen kepada sesiapa yang menajanya. Ia bukannya projek mega yang boleh dimegahkan, walaupun hasilnya akan menghakiskan setiap rakyat marhaen yang berada di tahap kemiskinan mengikut taksiran dunia (world poverty level). Ia tidak akan dilaksanakan oleh kerajaan mahathir kerana tidak ada sukusakat yang boleh menjadi jutawan baru segera melalui projek itu. Tidak pedulilah kalau orang Melayu akan menjadi terus tertekan hidupnya.

Kalau projek ternakan ikan untuk ekspot dibuat di setiap desa di seluruh negara ia mampu menghakiskan kumpulan termiskin di negara ini. Modal tidak menjadi soal lagi kerana daripada zakat tabung haji sahaja sudah cukup dijadikan modal awal dan modal pusingan. Projek ikan ini boleh dilaksanakan dalam empat bahagian: a) ikan segar dihantar terus setiap hari, (b) ikan masin yang amat tinggi nilainya di tanah Arab dan negara yang jauh daripada laut di Afrika (c) 'fillet fish' ataupun jejari ikan yang diperlukan oleh pasaran makanan segera, (d) ikan setengah masak (precooked fish) untuk restoren dan hotel di luar negara. Semua teknik ini bukannya benda yang baru. Teknik 'vacuum packing' yang dipelopori di Utara Pranchis (Nantes) membolehkan bekalan masakan disediakan dua tiga bulan terlebih awal untuk dibekalkan di semua hotel besar di Eropah. Itu sebabnya hidangan makanan disediakan dalam masa lima minit selepas membuat pesanan. Inilah teknik yang digunakan untuk menyediakan makanan syarikat penerbangan. Kenapakah teknik ini tidak dilaksanakan di seluruh desa melalui KEMAS dan FAMA selama ini? Jawapannya terletak kepada ketiadaan komisen yang besar untuk melancarkan projek yang tidak MEGA ini. Lagipun, kalau bekalan ikan terhad; ia memudahkan masyarakat orang tengah di Kuala Lumpur berniaga bebas sambil menikmati untung yang besar. Mereka lebih selesa mengawal pasaran ikan dengan mengimpotnya daripada negara luar (Vietnam, Kambodia, India, Pakistan dan Eropah). Kuasa monopoli inilah yang membuatkan masyarakat nelayan Melayu masih merempat di kampung halaman sendiri. Ini juga sebabnya Mahathir tidak mewujudkan Kementerian Perikanan, sedangkan kita mempunyai pesisiran pantai yang lebih panjang daripada Thailand dan Taiwan.


Kelemahan Tabung Haji dan Semua Institusi Kerajaan.

Rakyat marhaen sudah semakin sedar betapa Mahathir dan orang-orang kesayangannya menyalahgunakan wang rakyat di Tabung Haji, KWSP dan pelbagai dana Amanah Saham. Bila Ezam menonjolkan agenda 'mengawasi wang rakyat' dia sebenarnya menjolok sarang tabuan di mana segala bajingan Mahathir sedang bersarang. Bayangkan apa yang berlaku di Tabung Haji.

Kerajaan India sanggup mengeluarkan sabsidi kepada sekitar 75000 (tujuh puluh lima ribu) jemaah haji di kalangan rakyatnya yang beragama Islam. Tetapi, kerajaan India adalah kerajaan Hindu. Di Singapura, pelbagai potongan (rebat) sedang diberikan kepada rakyatnya. Tetapi, apabila orang Islam Malaysia pergi mengerjakan haji dan umrah setiap tahun kosnya dinaikkan lagi. Soalnya sekarang bagaimanakah MAS setiap tahun kalah tender untuk mengangkut jemaah haji ke tanah suci. Bagaimanakah syarikat perkhidmatan udara yang dikuasai oleh seorang lagi klon diktator tua boleh memenangi tender itu? Apakah rakyat marhaen tidak boleh berfikir bahawa MAS kalah tender kerana disuruh menaikkan sebut-harga tendernya ? Bukankah 'Air-Asia' pada asalnya satu syarikat perkhidmatan udara yang diasaskan oleh Tan Sri Ting? Satu ketika dulu saya pernah mengungkit kenapa Tabung Haji tidak mampu membeli pesawat sendiri untuk mengangkut jemaah haji. Kalau klon Mahathir boleh menyewa pesawat untuk mengangkut jemaah haji kenapakah Tabung Haji tidak mampu melakukannya? Kenapakah perkara itu sukar untuk difikirkan oleh pentadbir Tabung haji dan Lembaga Pengarahnya? Sehingga sekarang, Tabung Haji tidak pun mampu membuka satu laman web YANG BERKESAN untuk kemudahan umat Islam. Alangkah lucu perkara ini? Tetapi inilah lelucon yang membuatkan kita marah kerana pengurusan Tabung Haji seolah-olah mempersendakan para penjimat Islam. Kalau Tabung Haji ada mempunyai laman web sendiri YANG BERKESAN, bukankah mudah untuk keluaraga para jemaah mengikut pergerakan saudara mara mereka di tanah suci itu?

[Tabung Haji memiliki beberapa buah syarikat IT yang bersifat 'System Integrator'. Mereka sepatutnya mampu membina laman yang lebih BERKESAN adanya - Editor]


Kita juga ghairah mahu mengetahui bagaimana Tabung Haji tidak mampu memberikan dividen yang lebih tinggi daripada yang baru diistiharkannya. Jawapannya seperti yang saya nyatakan dulu ialah dengan mengetahui apakah jenis saham yang dipegang oleh Tabung Haji secara terkini. Hasil tulisan saya dulu, saya telah menerima maklumat pegangan saham yang dibeli oleh beberapa Dana Amanah bank di negara ini. MasyaAllah, terkejut saya kerana kebanyakan pegangan tabung dana ini adalah saham-saham kepunyaan para kroni sahaja. Inilah sebabnya Ezam disokong oleh rakyat marhaen kerana pihak yang arif mengenai pasaran saham sudah lama tahu bahawa salah satu sebab kenapa pasaran BSKL menjadi lemah ialah kerana terlalu banyak saham para kroni yang dibeli oleh Dana Amanah ini, sedangkan hampir semua Tabung Dana Amanah ini menjual sahamnya kepada orang Melayu kelas pekerja. Hampir semuanya pembeli saham amanah meminjam daripada bank. Cuba bayangkan nasib rakyat marhaen yang meminjam duit bank mmebeli saham ASJ dengan harga par RM1.00 (satu ringgit) sedangkan harganya sekarang sekitar dua puluh sen (purata) sahaja. Bayangkan azab dan sengsara rakyat marhaen yang mengikut nasihat para penyangak dalam UMNO untuk meminjam duit bank untuk melabor dalam dana amanah ini. Bagaimana pula keadaan mereka yang kini sudah pun diberhentikan kerana proses pembuangan pekerja kerana kilang ditutup ataupun perniagaan yang lingkup?


Ezam Yang Mesti Diaibkan

Ezam akan menjadi 'kambing hitam' bikinan sekumpulan penyangak dalam UMNO yang diketuai oleh seorang presiden yang naik melalui putarbelit juga. Cuba perhatikan pergerakan pemuda UMNO itu. Lihat keadaan semua exco UMNO dari segi kehidupan mereka dan bandingkan dengan kepandaian dan kelulusan mereka. Tanpa pembabitan dengan UMNO, mereka tidak mungkin menjadi pemimpin dan hidup senang-lenang.

Beberapa minggu yang lalu Ali Rustam ketua menteri Melaka ada menyebut betapa perlunya mendapatkan khidmat seorang bekas penglima tentera untuk menjadi ketua penguatkuasa mesin judi haram. Saya ingin menasihatkan Ali Rustam agar beristigfar panjang-panjang. Anggapannya itu bukan sahaja menghina golongan tentera malahan ia memperlekehkan kelas ketua menteri dan menteri besar di negara ini. Ali Rustam tidak tahu ataupun tidak mahu tahu apakah kualiti menjadi seorang panglima tentera. Saya fikir kalau Ali Rustam masuk angkatan tentera beliau hanya layak menjadi 'quartermaster' menjaga bekalan makanan sahaja ataupun lebih rendah daripada itu. Ali Rustam dan juga pergerakan pemuda UMNO tidak sedar kualiti seorang panglima tentera kerana tidak ada panglima tentera setakat ini yang rakuskan kuasa. Kalau panglima tentera di Malaysia ini setaraf dengan panglima tentera yang mungkin dikenali oleh Ali Rustam di Afrika, Malaysia sudah lama mengalami rampasan kuasa di mana pemimpin UMNO sudah lama terpenjara kerana kebajingan mereka. Bukankah ini yang telah berlaku di Myanmar, Thailand, Indonesia dan Filipina?

Kalau kita lihat rampasan kuasa yang pernah berlaku di Afrika, kebanyakan rampasan kuasa itu dilakukan oleh pegawai NCO (Non-Commisoned Officers - pegawai tidak bertauliah). Contoh yang terbaik ialah di Liberia yang menonjolkan Sarjan Samuel Doe yang mati dibunuh akhirnya oleh seorang sarjan yang kini menjadi presiden pula. Samuel Doe dan pegawai tentera lain merampas kuasa kerana mengambil iktibar daripada Napoleon Bonaparte dan juga Hitler. Mereka berdua adalah berpangkat koperal sahaja pada asalnya. Salah satu sebab kenapa Ezam mesti diaibkan ialah untuk menonjolkan kekuatan polis sehingga menakutkan angkatan tentera Malaysia. Kalau inilah yang difikirkan oleh Mahathir dan pemikir bajingannya, biarlah saya katakan bahawa Mahathir sedang menjolok sarang tebuan juga. Mahathir mungkin merasa selesa dengan sikap dingin panglima tentera Melayu hasil pengaruh yang mungkin ada di tangan Hashim Ali adik iparnya. Tetapi, Mahathir dan semua pemimpin UMNO mesti sedar bahawa 'askar tentera dan rakyat jelata berpisah tiada....!!!!' (Kita akan tulis mengenai rampasan kuasa tentera dalam MMM 10 Insya Allah.)

Ezam terpaksa diaibkan untuk memesongkan kisah seorang sultan yang mempunyai banyak skandal membabitkan kisah anak perempuannya yang sudah berumur 19 tahun. Sebenarnya kisah yang didedahkan oleh Malaysiakini adalah cerita basi. Hampir semua pengendali web Melayu dan penulis laman internet sudah lama tahu hal ini. Cuma kami tidak mendedahkannya dulu, cukup setakat menyindirnya sahaja. Warga istana tahu kalau kisah Sultan ini membesar dan menular ia akan menampar imej UMNO dan Mahathir kerana ia berlaku sejak Mahathir bergelar 'Maharajah'.

Ezam mesti diaibkan sebagai amaran jelas kepada PAS. Mahathir tidak berminat menangkap Mahfuz Omar Mat Sabu ataupun Ismail Kamus. Dari segi kelantangan bercakap Mahfuz Omar memang lebih celupar daripada Ezam. Tetapi, Mahfuz tidak boleh ditangkap kerana Mahathir amat ghairah mahukan PAS terus berunding dengan UMNO. Tujuan sebenar perundingan hanya untuk melecehkan proses keaiban kejatuhan Mahathir dan kumpulan bajingannya.


Mahathir Mengajar Melayu Berjihad.

Penangkapan Ezam di bawah Akta Hasutan akan meledak menjadi satu kebangkitan rakyat yang tidak dapat dibendung oleh UMNO, Polis dan juga Mahathir. Orang Melayu bencikan Mahathir kerana dia mengaibkan Anwar Ibrahim dengan pelbagai tuduhan yang sehingga kini tidak pun dapat dibuktikan di mahkamah. Mahathir sendiri takut menghadirkan dirinya ke mahkamah sebanyak dua kali setelah arahan dikeluarkan kepadanya. Di waktu yang sama, dia terus menjelajah dunia menghabiskan wang rakyat memberikan syarahan kenapa dia memecat Anwar.

Kini, Ezam ditangkap untuk dihadapkan ke mahkamah atas Akta Hasutan. Apakah akan jadi kalau peguam Ezam mendapatkan mahkamah mengeluarkan sapina kepada Mahathir? Bukankah tuduhan bahawa Ezam cuba menjatuhkan kerajaan mula-mula sekali dituturkan oleh Mahathir sebelum Utusan Melayu terus mengapi-apikan isu itu? Kalau kes Ezam dihadapkan ke mahkamah kali ini kita menjangkakan beberapa peguamnya akan meminta semua exco pemuda UMNO turut disapina termasuk pegawai polis yang membuat laporan polis. Kes Ezam di mahkamah mungkin memakan masa yang panjang. Apakah akan jadi kalau Ezam tidak diberikan ikat jamin? Perlembagaan Malaysia tidak melarang sesiapa berdemo secara aman, dan inilah yang ditekankan oleh Ezam tetapi diputarbelit oleh Mahathir, UMNO dan Utusan Melayu.

Penangkapan Ezam atas tuduhan ini boleh dilihat sebagai ekoran akhir setelah pihak musuhnya gagal dengan tohmahan betapa dia pernah memanjat tembok rumah Anwar Ibrahim untuk bertemu dengan anak wira rakyat marhaen itu. Orang yang membuat tuduhan ini dulunya adalah seorang pemandu kereta Ezam yang diperkenalkannya sebagai seorang 'sahabat'. Tetapi begitulah ragamnya politik Melayu. Sahabat dan kawan boleh bertukar menjadi lawan. Ini semua jarang berlaku dalam politik kaum lain. Itu sebabnya UMNO bikinan Mahahtir merupakan sebuah parti Melayu di mana segala kelakuan negatif Melayu itu hidup subur.


Oleh sebab Mahathir menggalakkan pemimpin UMNO hidup bergelumang dengan segala penipuan, perangai ini menular dengan bebas di kalangan pemimpin Pemuda UMNO. Saya pernah menulis dalam siri 'Suasana Lebaran Pencetus Minda' mengenai pergerakan pemuda UMNO ini. Sudah dua tahun agaknya tulisan itu dibuat. Nampak sangat banyak kebenaran dalam ramalan saya itu. Malahan, apa yang berlaku sekarang menunjukkan perkara yang lebih serius akan berlaku di luar jangkaan para veteran UMNO.

Secara tidak disedari Mahathir dengan sokongan Pemuda UMNO yang nyata tidak matang lagi berpolitik telah mencetuskan satu semangat kebangkitan rakyat. Orang Melayu kelas marhaen akan bangkit disebabkan Ezam bin Mohd. Nor. adalah satu ikon yang akan menjadi satu katalis yang akan membuatkan orang melayu bersatu padu menentukan Mahathir undur daripada arena politik.

Sama ada Mahathir dan para penasihatnya akan percaya ataupun tidak, rakyat marhaen sedar bahawa Ezam dan sahabatnya selama ini mahukan Mahathir undur dan bukannya mahu jatuhkan kerajaan. Majoriti rakyat marhaen sedar kerajaan pimpinan UMNO boleh dijatuhkan melalui pilihanraya umum 2004. Yang mereka mahu berlaku sekarang ialah pengunduran Mahathir dan para jongosnya. Itu sahaja............dulu!!!!


Mahathir dan para juaknya terutama sekali kumpulan KEJAM mahu terus bertahan sambil mereka terus merencana melarikan simpanan harta yang ada. Rakyat Marhaen sedar apa juga yang Mahathir lakukan sekarang adalah proses membalun wang ringgit yang masih ada lagi di dalam institusi kerajaan. Cuma, setiap dilakukan rancangan itu ada sahaja halangan yang ditentukan oleh Allah. Contohnya ialah pembinaan Ampangan Bakun dulu yang terpaksa dihentikan apabila Ting (tauke batang penyapu) diserang angin ahmar. Begitu juga dengan beberapa projek Vincent Tan yang terganggu apabila tersiar beberapa gambar yang menunjukkan dia bersantai dengan Ketua Kakim Negara dan Ketua Peguam Negara. Episod itu semakin menekan apabila akhbar Australia mendedahkan Vincent Tan mempunyai perniagaan cuci kereta dan menyewa vedio di sana. Alangkah aibnya cerita itu apabila dibandingkan dengan segala projek mega yang diberikan kepada bekas penjual insuran itu. Tetapi, itulah caranya Mahathir diaibkan di seluruh dunia oleh Allah apabila terdedah segala kejijikan orang-orang pilihannya di luar negara.

Mahthir semakin menyedarkan orang Melayu apa ertinya berjihad ke jalan Allah. Dia terpaksa menjadikan Ezam sebagai mangsa untuk menutup malu terhadap apa yang sedang berlaku di Kubang Pasu. Majlis yang ditaja oleh PAS selama satu minggu dan membabitkan orang Melayu adalah satu pengaiban kepada Mahathir dalam sejarah politiknya. Dulu dia kerap menuduh Soros sebagai penyangak matawang yang menjahanamkan ekonomi negara. Tetapi apabila rakyat marhaen membuka Laman Web George Soros rakyat faham betapa Soros banyak membantu negara miskin. Pembabitannya di Malaysia tidak mungkin terjalin tanpa pemimpin UMNO juga ataupun para pemimpin korporat yang rapat dengan UMNO.

Apabila Mahathir ketandusan idea untuk mencari orang asing dijadikan kambing hitam program bajingannya, Ezam menjadi mangsa sekali lagi. Mahathir mahu rakyat marhaen percaya bahawa Ezam adalah musuh rakyat. dan penyebab kenapa pelabur melarikan diri. Dakyah ini disokong oleh Baharum Razak, presiden penjaja Melayu wilayah persekutuan. Cuma Baharum Razak tidak terfikir bahawa keselamatan negara sudah lama tergugat kerana terdapat lebih lima puluh peratus orang asing yang menjaja dengan menggunakan lesen orang Melayu. Cuba lihat di kedai R&R 'Plus' dan 'Elit' siapakah yang berniaga dan bekerja sekarang kalau bukan orang asing sedangkan lesen adalah atas nama orang UMNO. Begitu juga di kebanyakan gerai di Chow Kit dan bandar besar seperti Johor Bahru, Ipoh, Penang, Alor Star dan sebagainya. Apakah yang Bahrum Razak sudah lakukan apabila tercetus kisah pengarah bandaraya yang mempunyai dan mengendalikan 80 (lapan puluh) lesen gerai makan di Kuala Lumpur?

Tetapi itulah juga taktik Mahathir. Dia terus menipu dan berbohong kerana mahu terus berkuasa. Rakyat marhaen terutama sekali veteran UMNO masih ingat apa yang pernah Mahathir ucapkan di parlimen pada 11 Ogos 1965. Kita petik rakaman Hansard parlimen akan kata-katanya itu;

    ".....Saya bangun hendak cakap untuk menentang usul dibawa oleh Encik Abdul Samad Gul, iaitu bahawa Majlis ini mengambil keputusan meminda Perlembagaan Malaysia dengan maksud supaya terjamin hak-hak bumiputra di dalam lapangan politik, ekonomi, pelajaran dan kebudayaan. Sebabnya saya menentang usul ini ialah:

    "Saya tidak percaya, saya sebutkan lagi - TIDAK PERCAYA - dengan diadakan, dengan dicatitkan di dalam perlembagaan hak-hak bumiputra maka ni akan membawa kepada kesenagan bagi orang-orang Melayu. Dan pada satu masa, kita AKAN BUANG SAMA SEKALI hak-hak istimewa orang-orang Melayu......" (Saya minta jasabaik Webmasters menyedut perenggan ini daripada Hansard Parlimen). Sepatutnya Hansard Parlimen boleh dirujuk daripada laman web.



Rakyat marhen sudah lama memendam kata-kata, seperti mana mereka masih ingat bagaimana Putrajaya diserahkan oleh Kerajaan Selangor tanpa mengambil kira bangkangan rakyat. Seperti juga cadangan Mahathir di BAOA Beijing yang mahukan kuasa besar dicukai untuk membantu negara membangun naik. Tetapi, apakah rakyat marhaen akan lupa bagaimana wang rakyat digunakan untuk memulihkan segala kerugian yang dialami oleh klon-klonya dan para kroninya? Mahathir fikir semua penipuan ini dapat ditutup dengan menangkap Ezam dan menderanya. Kalau Ezam tidak dibebaskan dan segala tuduhan ditarik balik ia akan bererti bahawa kejatuhan Mahathir hanya menunggu saat terakhirnya.

Inilah saatnya Mahathir mungkin menghadapi segala kutukan dan proses diganyang oleh pelbagai kelompok dalaman yang masih berada dalam UMNO. Inilah bermulanya saat genting bagi Mahathir. Sekaligus, Pemuda UMNO pun akan diperlekehkan oleh orang Melayu. Laksana 'hyena' yang kelaparan, golongan dalaman ini dijangka bangkit mengganyang Mahathir secara terang-terangan.

Kebenaran akan tetap menjadi kebenaran. Apakah dosa sebenar Ezam yang dia dituduh di bawah Akta Hasutan? Mahathir tidak punyai pilihan lagi selain mengundurkan dirinya dan lari ke negara yang tidak ada perjanjian ekstradisi dengan Malaysia. Saya ingin beri pesanan kepada Mahathir, eloklah undur dengan segera sebelum terlambat dan sebelum semangat jihad orang Melayu membara seluruh negara. Bukalah lembaran sejarah dan lihat apa yang akan jadi kalau orang Melayu mengamuk, dan sebelum lagu "Selamat Tinggal Romeo" menjadi popular semula. Memang buruk padahnya. Mahathir melalui pergerakan Pemuda UMNO sudah membuatkan orang Melayu merasakan diri mereka terhina. UMNO tajaan Mahathir sudah menunjukkan betapa orang Melayu sudah menjadi hamba abdi kepada kerakusan mereka. Apabila polis turut dengan telatah ini, ia sudah membuatkan orang Melayu itu menjadi satu bangsa yang sungguh terhina.

-marhaintua-
7.3.2001.