Laman Webantu   KM2A1: 3952 File Size: 12.9 Kb *



TAG MT 56: Penswastaan Yang Menyimpang
By Radzuan Halim

12/3/2001 10:33 pm Mon

TAG056

[Memang pelik setengah projek yang diswastakan adalah projek yang selama ini menguntungkan kerajaan, khususnya yang melibatkan sektor utiliti dan perkhidmatan. Apabila diswastakan, para kroni lebih condong untuk mengaut keuntungan lebih dari menyediakan kemudahan. Akibatnya masalah seperti kesesakkan dan kecekapan masih berulang. Malah mereka semakin menimbulkan masalah yang bertambahan kepada pengguna yang berkaitan. Akhirnya mereka lingkup dan terpaksa diselamatkan dengan dana awam atau kenaikkan harga perkhidmatan. Malangnya kroni tersebut tidak pula dipersalahkan.

Bencana ini berlaku kerana tiada pengawasan pihak berkuasa sedangkan apa yang dilakukan melibatkan kepentingan orang awam. Tanpa pengawasan dan penilaian (kesan/teknikal) penswastaan tidak akan menjamin kesenangan. Kalau senangpun hanyalah kroni yang tersayang... - Editor ]


Penterjemah: -MT-



[Artikel asal pernah terbit di 'The Sun On Sunday', Februari 11, 2001.]


Penswastaan Yang Menyimpang

(Short-changed by privatisation)

Oleh: Radzuan Halim


Ada satu bidalan yang berbunyi; 'jalan menuju kancah kemusnahan selalu diwarnai cita-cita yang baik-baik'. Memang, di sebalik cita-cita program penswastaan itu berbentuk pelbagai rancangan yang tidak kelihatan cacat-celanya. Termasuklah keinginan menurunkan perbelanjaan kerajaan yang selalu meluncur kedepan dengan lajunya, dengan tujuan mengurangkan beban para pembayar cukai. Kemudian, ada pula satu tanggapan betapa unggulnya keupayaan mengurus di kalangan sektor persendirian berbanding dengan keculasan dan sikap birokrasi pengurusan awam.

Penswastaan menjanjikan penjimatan yang besar, kecekapan dan 'dinamisma'. Lagipun ia merupakan satu fesyen yang telah diperkenalkan oleh Wanita Besi Magaret Thatcher dan ketika itu dianggap amat seiras dengan kecenderungan dunia yang mengamalkan konsep membebaskan diri daripada banyak peraturan lama dan liberalisasi (kerana globalisasi hanya muncul kemudiannya).

Proses penswastaan selama satu dekad (1900-2000) kini sudah menunjukkan satu kad laporan yang memang tidak menyenangkan. Lapuran keseluruhannya memang amat menghampakan, walaupun ada juga markah yang baik di sana-sini.

Dalam banyak hal memang telah berlaku kemusnahan sehinggakan difikirkan betapa perlunya diperbetulkan ataupun dilakukan kembalikan proses penswastaan itu yang sudah semestinya membebankan para pembayar cukai. Mungkin ada yang berkata bahawa program penswastaan itu telah menjadi mangsa kepada krisis ekonomi Asia Timur yang turut melanda negara pada Julai 1987 hingga Disember 1998 (dan berterusan lagi, kini). Tetapi, kita juga boleh berkata bahawa penswastaan itu telah menyulitkan lagi kepedihan sistem ekonomi kita disebabkan hutang yang bertapuk tingginya dan pulangan modal yang amat rendah.

Di waktu yang sama, pelbagai usaha dilaksanakan untuk menjulang kejayaan rencana penswastaan itu, terutama sekali terhadap Telekom Malaysia dan Tenaga Nasional. Pada hal inilah institusi yang pada satu ketika dulu memang mempunyai rekod kejayaan yang sungguh lama sebelum diswastakan. Malahan, kedua-dua institusi ini terus dikuasai oleh sektor awam dalam hal perlantikan pegawai-pegawai tinggi dan dalam kegiatan membuat perolehan yang besar-besar (kontrak).

Kejayaan penswastaan diwar-warkan jua dari aspek penjimatan belanja kerajaan, penurunan angka kakitangan kerajaan dan sebagainya. Namun, tidak ada siasatan perakaunan yang menyeluruh yang telah dilaksanakan. Kita perlu mengetahui apa yang telah dilaksanakan dengan pembayaran cukai kita berkaitan dengan aset dan sumber pendapatan di masa hadapan. Apa jadinya dengan pemberian gran, pinjaman dan jaminan ke atas pinjaman yang telah dilambakkan kepada institusi yang dibiarkan untuk proses penswastaan itu.

Lagipun, unsur-unsur jaminan-yang-dimungkinkan masih wujud lagi. Dalam hal ini para peminjam (bank) mempunyai anggapan bahawa mereka boleh merujukkan kepada kerajaan seandainya berlaku masalah melunaskan hutang yang mereka berikan. Dalam kes projek pengangkutan aliran ringan di Lembah Kelang, pihak bank telah diberikan bantuan penyelamatan yang walaupun tidak wujud sebarang surat jaminan yang pernah dikeluarkan oleh kerajaan.

Izinkan saya mencatatkan pengamatan saya mengenai beberapa program penswastaan, dengan diikuti oleh beberapa iktibar dan apa yang boleh kita pelajarai darinya.

Program penswastaan telah memberikan ruang yang luas kepada peniaga baru mengambil peranan penting, malahan memikul tugas berat dalam projek mega infrastruktur dan juga projek awam yang besar-besar. Peniaga-peniaga ini tidak pernah diawasi ketokohan mereka melalui pengalaman dengan sektor awam sedangkan prestasi dan keputusan ekskutif mereka akan mencorakkan cara hidup rakyat negara ini.

Banyak projek penswastaan yang terbengkalai di tahap awalannya lagi kerana konsep kewujudannya tidak didahului kejiwaan yang menyeluruh. Satu contoh ialah penswastaan air-najis. Kerja-kerja mengutip dan memproses najis manusia tidak dibuat secara menyeluruh sebagi satu projek nasional. Kerja-kerja itu dibiarkan menjadi urusan majlis tempatan dan bandaraya, tanpa koordinasi pusat dan penyeliaan oleh JKR atau pun badan khas terhadapnya. Cukai urusan najis tidak dimasukkan dalam perkiraan cukai pintu. Oleh itu kuasa untuk menguatkuasakan pembayaran (dengan cara mensita harta yang engkar) tidak dapat dikuatkuasakan.

Penswastaan sesungguhnya telah menyebabkan ramai peniaga yang mempunyai hutang yang bertapuk tingginya. Hutang yang banyak seudah tentu mencetuskan risiko yang besar dan ini sudah tentu dialihkan kepda pembayar cukai untuk mengelakkan bank peminjam menjadi muflis disebabkan pinajaman yang tidak berbayar (Non Performing Loans- NPLs). Banyak juga yang meminjam daripada peminjam asing dalam bentuk matawang asing. Semua pinjaman ini ada hubungkait yang negatif dengan matawang negara. Setiap kali pinjaman luar ini tidak terlunas ia menjejaskan martabat negara dalam bidang kewangan antarabangsa.

Penswastaan mengendurkan kuasa dan hak Perbendaharaan Persekutuan dan jabatan teknikal seperti JKR tidak lagi memeriksa dan memberikan pengesahan kepada pemberian kontrak dan tender. Perkara ini menyentuh suasana awalan lagi yang membabitkan projek infrastruktur di mana gran dan pinjaman kerajaan diberikan kepada badan yang diswastakan itu. Dengan hal demikian, wang rakyat dibelanjakan tanpa penelitian pembayar cukai dan kerajaan.

Inilah yang selalu menyebabkan perbelanjaan yang berlebihan kerana sistem tender yang sudah pun dihapuskan. Perbelanjaan yang berlebihan ini akhirnya menjadi bebanan para pembayar cukai yang terpaksa membebaninya lagi apabila projek tersebut kantul dan gagal.

Penswastaan membabitkan kerja-kerja pemusatan dan longgokan semua projek-projek kecil, kerja-kerja kontrak dan perolehan. Kalau dulu, lubang penyelian jalan, pembaikan jalan, dan pencucian cada dan kain-kain hospital dilaksanakan oleh ratusan peniaga kecilan di seluruh negara, penswastaan semua kerja-kerja ini telah menjadikan kerja-kerja ini diberikan hanya kepada segelintir kontraktor besar sahaja. Sudah tentau kaedah ini menghenyak masyarakat hingga mencetuskan implikasi sosial dan politik.

Salah satu punca kegusaran rakyat ialah cara tol jalanraya dilaksanakan. Inilah yang telah mencetuskan sindrom 'Tembok Berlin' dan dalam banyak hal telah menjadikan aliran lalulintas semakin buruk lagi. Cara cukai tol dilaksanakan secara rambang memang boleh mencetuskan implikasi yang pelik-pelik.

Penduduk Shah Alam dikenakan tol, tetapi penduduk Subang Jaya dikecualikan. Orang di Ceras dikenakan membayarnya tetapi tidak pula penghuni di Damansara Heights. Saya pernah memberikan beberapa cadangan mengenai hal ini di tulisan yang lain.

Apakah iktibar dan rumusan yang dapat kita jadikan pelajaran dalam hal penswastaan ini?

Pertama, Kita tidak boleh bergantung harap kepada orang bisnes untuk menyelesaikan masalah infrastruktur dan perkhidmatan awam. Orang bisnes mempunyai prioriti mereka tersendiri.Selalunya, pengalaman dan latihan (kelulusan akademik?) mereka jauh lebih rendah daripada yang disediakan dalam perkhidmatan awam. Kita tidak boleh berpeluk tubuh menunggukan orang bisnes memberikan idea bagaimana menyelesaikan masalah awam. Pegawai kerajaan mesti membuat kajian dan mengemukakan jawapannya. Projek pengangkutan aliran ringan Lembah Kelang memang satu contoh yang jelas dalam perkara ini (yang difaradikan kepada penjual insuran dan pengekspot batang penyapu oleh wira dunia ketiga jolokan pemimpin haprak juga - penterjemah). Para peniaga telah mengemukakan cadangan mengenainya, melaksanakannya dan setelah gagal dengan projek itu ia terpaksa diselamatkan dengan wang rakyat marhaen juga.

Kedua, setiap projek yang membabitkan wang rakyat ataupun membabitkan rakyat akhirnya, mestilah direka dan uruskan secara tender dan tidak boleh diserahkan bulat-bulat kepada orang bisnes. Pengawalan kerajaan yang terperinci dan penguasaannya memang diperlukan untuk menentukan wang rakyat dibelanjakan dengan betul dan segala lakaran dan konsep dilaksanakan menepati kehendak rakyat. Kalau perbelanjaan itu tidak dikawal dengan betul, ia membawa erti wujudnya "pencukaian tanpa penelitian' satu amalan songsang di dalam sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi.

Ketiga, Penswastaan tidak bererti kita tidak perlu membuat keputusan yang besar-besar. Contohnya ialah keperluan menyelesaikan masalah pengangkutan Lembah Kelang yang berserabut dengan pencemaran udaranya. Masalah ini bukan memadai diselesaikan dengan pembikinan jalan yang lebih baik tetapi dengan pengangkutan awam yang lebih lagi dan pengurangan kereta persendirian di jalnraya.

Malahan, ada pihak yang beranggapan kita tidak seharusnya memperbanyakkan jalanraya kerana ini akan membuat lebih banyak kereta sewa. Namun, keghairahan kita terhadap penswastaan, menyebabkan kita tertumpu kepada pembinaan jalan bertol, dan mengenepikan cukai masuk kepada kenderaan yang mahu ke gerbang kota, kenaikan cukai minyak dan penguatkuasaan yang lebih berkesan terhadap pencemaran eksos kenderaan.

Keempat, sesuatu pengurusan yang baik tetap berupa itu juga tidak kira sama ada di sektor kerajaan ataupun swasta. Sektor persendirian bukannya bererti pengurusan yang baik-baik belaka dan tidak juga setiap sektor awam itu dimendungi oleh perkhidmatan yang leceh dan culas. Ramai pengurus kita yang baik-baik terdapat di dalam perkhidmatan kerajaan (tadbiran awam negara).

Beberapa institusi Singapura - Singapore Airlines, Development Bank of Singapore, Jurong Town Board, pelabuhannya - semuanya diterajui oleh pegawai perkhidmatan awam. Kita mesti memancing calon yang baik-baik untuk pekhidmatan awam yang unggul dan melatih mereka dengan jujur. Kalau kita mahu dapatkan khidmat orang bisnes, adalah sukar untuk menyelidik kepintaran mereka dalam mengurus dan menerajui prasarana awam dan perkhidmatannya.

Sebagai rumusan, kita perlu merencana dengan bijak apabila mahu membuat keputusan terhadap setiap projek penswastaan. Niat yang baik sahaja memang belum mencukupi. Khidmat dan projek itu mesti bersesuaian untuk penswastaan. Semua implikasi penting seperti jumlah hutang yang mungkin berbangkit dan keupayaan pengurusan pengusaha projek itu perlu dipertimbangkan dengan teliti. Apabila wang rakyat dibabitkan, mesti ada peraturan penguasannya yang mantap. Kerajaan sendiri mesti bertindak terhadap keperluan rakyat dan menentukan apakah jenis projek yang perlu dilaksanakan. Tugas terpenting ini tidak seharusnya dibiarkan kepada orang bisnes sahaja.

-Radzuan Halim-
11hb Februari, 2001.




Catatan Penterjemah:

Sdr. Radzuan Halim merupakan seorang insan yang banyak jasanya kepada negara ini baik dalam bidang pemikiran, pembangunan dan juga pendidikan. Dalam menterjemah tulisannya ini saya terimbau zaman silam dan merasa sedih kerana tidak mendapatkan keizinan rasmi darinya sebelum menterjemahkan tulisan yang sungguh baik ini. -MT-

>>>>>>>>>>>>>MT 11 Mach, 2001<<<<<<<<<<<<