Laman Webantu   KM2A1: 3969 File Size: 4.9 Kb *



Roboh Kuil Buddha: Tindakkan Taleban Bercanggah Dengan Piawai Islam
By Mahfuz

14/3/2001 8:26 am Wed

[Sebenarnya banyak perkara yang masih samar dalam lapuran pemusnahan patung Buddha. Taleban mungkin berhak melakukan sesuatu yang terbaik buat semua rakyatnya - termasuk memusnahkan patung jika itu kehendak semua (termasuk penganut Buddha di situ) - seandainya mereka ada dan jika itu dituntut sendiri oleh ugama asal (original) Buddha. Di sinilah pakar Buddha perlu bersuara - malangnya dimanakah mereka? Orang lain nampaknya lebih kuat bersuara - sepatutnya dunia bertanya kenapa? - Editor (sekadar mengusik minda)]


KENYATAAN MEDIA (2 MAC 2001)

ROBOH KUIL BUDDHA : TINDAKAN TALEBAN BERCANGGAH DENGAN PIAWAI ISLAM

Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP Pusat) membantah tindakan Kerajaan Taleban Afghanistan yang telah bertindak meruntuhkan berhala-berhala milik penganut agama Buddha di Afghanistan sekiranya benar seperti yang dilaporkan oleh media massa. Bagi DPP Pusat, tindakan mencerobohi dan memusnahkan rumah ibadat orang bukan Islam adalah bercanggah dengan prinsip Islam yang membenarkan kebebasan beragama bahkan Islam menghormati hak orang bukan Islam untuk memilih jalan hidupnya sendiri.

DPP Pusat secara terbuka mempertegaskan jika benar seperti yang dilaporkan oleh media tentang tindakan Taleban itu, maka itu bukanlah gambaran sebenar sebuah kerajaan Islam yang sedang dicanangkan oleh gerakan Islam seluruh dunia. Tetapi apa yang berlaku itu adalah dasar Taleban sendiri yang dibuat tidak berdasarkan prinsip asas Islam. DPP Pusat juga mempertegaskan bahawa sekiranya PAS memerintah negara ini, semua kepentingkan orang bukan Islam tidak akan dicabuli bahkan akan terus dipertahankan mengikut hak yang sewajarnya diperolehi oleh mereka. Seperti yang berlaku di Kelantan dan Terengganu, PAS tidak mencabuli hak orang bukan Islam bahkan dipertahankan.

DPP Pusat sebenarnya masih sangsi terhadap laporan akhbar yang melaporkan tentang tindakan Taleban di Afghanistan kerana kesahihan beritanya tidak dapat dipastikan. DPP Pusat mempertikaikan sumber sebenar berita tersebut yang mungkin mempunyai niat tidak baik terhadap Taleban ataupun bertujuan untuk menjejaskan nama baik gerakan Islam di negara ini yang mula mendapat kepercayaan rakyat. Sekiranya berita tersebut dipetik daripada agensi berita Barat terutama Amerika Syarikat (AS), ia boleh dipertikaikan kerana AS sentiasa mencari jalan memburukkan Taleban terutama selepas Taleban melindungi Osama Ben Ladin.

PAS sendiri di negara ini mempunyai pengalaman yang sangat pahit dengan manipulasi dan putar belit media massa. Segala tohmah yang buat berkenaan dengan dasar kerajaan PAS di Kelantan dan Terengganu sudah cukup menjadi bukti. Isu hukum hudud, wanita bekerja, harga air, istana dan sebagainya yang sentiasa diputarbelitkan oleh media yang tidak beriman sangat jelas bertujuan untuk memburukkan gerakan Islam. DPP Pusat tidak menolak kemungkinan Taleban juga menerima nasib yang sama kerana Taleban adalah musuh utama AS dan PAS pula merupakan musuh utama BN yang menggunakan syarikat perunding iklan Yahudi, Sachi & Sachi dari AS sebagai penasihat medianya.

DPP Pusat walau bagaimanapun mengajak rakyat negara ini menilai terlebih dahulu tindakan kerajaan Taleban terhadap penduduk bukan Islam di negara tersebut. Adakah masih terdapat penganut agama Buddha di Afghanistan dan adakah kuil yang diruntuhkan itu masih berfungsi untuk tujuan agama penganut Buddha. Jika tidak ada penganut Buddha dan kuil tersebut pula tidak digunakan, adalah wajar ia tidak dipertahankan di sebuah negara Islam. Tetapi sekiranya masih terdapat penganut Buddha di sana dan kuil tersebut masih digunakan oleh mereka, maka tindakan merobohkan kuil ini sangat tercela sekali. DPP Pusat sendiri tidak teragak-agak untuk mengutuk Taleban jika itulah keadaan yang berlaku.

Walau apapun yang berlaku dan walau apapun yang dilaporkan oleh media, namun DPP Pusat masih lagi menuntut penjelasan sebenar daripada Kedutaan Afghanistan di Kuala Lumpur tentang apa yang dilaporkan ini. Penjelasan ini sangat penting untuk menentukan kesahihannya sekaligus membersihkan nama baik kerajaan Afghanistan sekiranya apa yang dilaporkan itu tidak benar. Bagi DPP Pusat, mempercayai secara bulat-bulat apa yang dilaporkan oleh media Barat dan tempatan yang hipokrit adalah tidak wajar. Nanum kenyataan ini bukan bermaksud untuk mempertahankan tindakan Taleban, tetapi kebenaran dan keadilan mesti didahulukan.


HAJI MAHFUZ HAJI OMAR