Laman Webantu   KM2A1: 4007 File Size: 5.8 Kb *



Nasib Anak Desa Bila Penghujungnya?
By Dahlia

19/3/2001 9:00 am Mon

[Keadaan hidup anak desa memang amat menyedihkan walaupun kita telah bertahun merdeka. Padahal ibu dan bapa mereka sering memberi undi kepada Umno menjelang setiap pilihanraya. Apakah kerajaan mahu mereka memberontak dulu sebelum mengirim kemajuan ke sana?

Negeri Pahang nampaknya seperti selamat buat Umno. Tetapi tidak juga. Cuba bilang ladang kelapa sawitnya dan peserta Feldanya. Itu sudah cukup untuk menguburkan Umno buat selama-lamanya...... kerana anak - ayah dan ibu sudah tidak sanggup lagi menahan air-mata. Tetapi pihak BA harus ke sana mendampingi mereka, jika tidak tengkorak Mahathir akan terus mencari mangsanya. - Editor]


ANAK BANGSAWAN DIMANJA-MANJAKAN

Bukan sekadar Hisham atau Najib, ramai lagi anak-anak bangsawan atau aristokrat yang menjadi pemimpin sekarang. Anak Mahathir seperti Mokhzani sendiri ditonjolkan untuk menjadi pelapis dalam pemuda termasuk anak Mohamad Rahmat, keluarga Kadir Sheikh Fadhir dan sebagainya.

Soal mereka nak jadi pemimpin, itu soal nombor dua. Kalau mereka layak, bertanding dan jadilah pemimpin. Soal selebihnya, mampukah mereka memperjuangkan nasib rakyat. Terutama nasib rakyat golongan miskin? Rakyat di luar bandar?

Golongan aristokrat ini tidak pernah mengenal erti kemiskinan, jauh sekali dari merasai penderitaan atau kesusahan untuk hidup. Tidak pernah merasai makan nasi berlaukkan garam atau nasi kosong saja. Atau tidak pernah merasai kesusahan berjalan kaki berbatu jauhnya untuk ke sekolah. Tidak pernah lekang dari mendapat layanan istimewa dari orang tua mereka, maupun pengasuh.

ANAK DESA DITINGGAL-TINGGALKAN

Bagaimana keadaan anak-anak kampung di luar-luar bandar yang masih hidup melarat dan terpinggir? Pernahkah mereka merasai kesusahan itu? Ratusan kampung di luar bandar terus terpinggir. Tidak ada bekalan air paip, jauh sekali bekalan letrik. Harus berjalan kaki meredah semak samun atau sungai, atau hutan untuk ke sekolah.

Inilah sebahagian pengalaman saya ketika meredah kampung pendalaman di Negeri Pahang tahun lalu. Di kawasan hutan, mereka terpaksa dirikan pondok untuk dijadikan sekolah. Bangku dan meja yang buruk, tidak ada bekalan eletrik. Anak-anak ke sekolah terpaksa mengharung sungai atau menaiki sampan. Jika berlaku hujan lebat, mereka terpaksa berenang dan kebasahan untuk belajar. Makanan yang ada cuma biskut kering atau biskut mayat dan air kosong.

Ke mana perginya wakil rakyat BN? Setahu saya, ketika itu, wakil rakyat bersama anak isterinya berada di luar negara kerana bercuti. Apa mereka peduli? Soal rakyat dan kemiskinan tidak ada dalam kamus hidup mereka, bukan agenda mereka. Yang penting, mereka menang dan berkuasa. Adakan projek, dapat komisyen di sana sini. Guna proksi dan rakan taulan untuk menambahkan kekayaan. Siapa kisah? Kerana pucuk pimpinan BN sudah ajar kepada mereka cara rasuah terpimpin. Rasuah halal ala ala Mahdey.

Hah! Kalau nak cakap soal kemiskinan ni, ribuan anak-anak yang miskin di luar bandar masih tidak mendapat hak mereka setelah lebih 40 tahun merdeka! Keadaan sekolah yang daif, tidak ada bekalan air paip, tiada tandas, tidak ada kantin, tidak ada padang atau bilik yang kondusif atau yang sepatutnya untuk para pelajar ini menjalani aktiviti sukan ataupun ko-kurikulum.


KELAS TAMBAHAN BERSINAR KELAM

Berbalik kepada cerita sekolah berkenaan, pada malam hari, mereka terpaksa menggunakan pelita minyak untuk kelas tambahan bagi anak-anak yang mengambil peperiksaan UPSR. Bayangkanlah kesusahan yang harus mereka lalui setelah mengecapi sekian lama kemerdekaan dan kemajuan negara. Apa kata Mahdey? Kita maju, kita boleh, semua kita boleh buat. Kita ada bangunan tertinggi di dunia, kita ada Jambatan ke-3 terpanjang di Asia, kita ada Litar F1 Sepang terhebat di di dunia, kita ada pasarana yang terbaik di dunia, kita ada blah blah blah blah di dunia. Di dunia ini, yang terbaik adalah kita. Kita adalah yang terbaik. The best among the best!

Nun jauh di kampung dan di luar bandar, anak-anak menangis kelaparan, anak-anak belajar dalam keadaan kedaifan. Susahnya mereka, tak siapa ingin ambil peduli. Bila sampai masa kempen pilihanraya, bertimbun dan bertalu-talu lawatan dibuat. Baja dan benih pokok datang mencurah-curah. Batang-batang paip dan tiang-tiang elektrik dipacak. Selepas piliharanraya, batang paip dan tiang elektrik tetap di situ. Terpacak bodoh, macam kera sumbing. Rakyat melihat dengan hati yang sungguh sayu. Dibodohkan saban waktu. Siapa ambil tahu?


BAGAI KATAK DI BAWAH TENGKORAK

Rakyat luar bandar terus tertinggal dalam kemelut kemiskinan dan kedaifan kesan dari kepimpinan ala ala Mahdey yang tidak menjadikan program membasmi kemiskinan rakyat luar bandar ini sebagai satu agenda utamanya. Mahdey lebih pentingkan materialistik dari rakyat jelata. Lebih baik membina bangunan tinggi berjuta berbilion ringgit dari menyediakan sebuah sekolah yang sempurna kepada pelajar yang memerlukan pendidikan. Lebih baik membeli Jet Peribadi ratusan juta ringgit dari menyediakan bekalan elektrik atau air ke kampung-kampung luar bandar, atau menambahkan projek PPRT atau Felcra dan sebagainya.

Huh! Entahlah Malaysia. Selagi rakyat tidak sedar, selagi itu rakyat Malaysia akan terus hidup bagai katak di bawah kepala tengkorak Mahdey!

Salam.
Dahlia/KL