Laman Webantu   KM2A1: 4084 File Size: 20.9 Kb *



Siri 10 MMM: B1 Kathelika Niramile
By Marhain Tua

29/3/2001 9:06 pm Thu

MMM 10 Bahagian 1/2

[Kg Medan adalah peristiwa biasa yang kemudiannya dikacau oleh 'pihak tertentu' yang berpengalaman melakukan begitu kerana kepupusan sokongan. Inilah kawasan setinggan yang masih terpinggir walaupun penghuninya sudah beranak dan bercucu dan sering memangkah BN sejak dulu. Janji pembangunan tidak ditepati sehingga kemiskinan dan jenayah menjadi-jadi. Akhirnya meledaklah kekecewaan menjadi pergaduhan ngeri kerana disimbah minyak dan api oleh pihak yang memang mahu ia terus kekal begini.

Inilah pihak yang menjadi kaya raya mengutip hasil di bumi setinggan selama ini... patutlah mereka mahir membina bom dan apa sahaja untuk membakar kerana bimbang berkurang undi jika penduduk dinyahkan pergi. Dan idea itu muncul dari mulut Mahathir sendiri. - Editor]


SIRI MMM

BAB 10 : KATHELIKA NIRAMILE


Bahagian 1


Kathelika Niramile

Sejak Episod Kg. Medan meletus, banyak emel telah dikirimkan ke kantong 'marhaintua' sehinggakan saya menerima amaran daripada tuanpunya URL agar saya bertindak secepat mungkin. Saya sebenarnya tidak terdaya menyekat ledakan emel itu kerana paling banyak yang termampu saya baca di bahagian awalannya untuk disimpan ke dalam disket ataupun diketepikan ialah hanya sekitar 55 kiriman sahaja, setiap hari. Kalau lebih dari itu yang diterima, tentu berlaku kesesakan yang sukar dielakkan.

Ramai pengirim yang mahukan pendapat saya, sambil ada juga yang memikirkan saya sudah-kecut perut untuk menulis mengenainya. Saya ingin mengambil kesempatan kali ini memberikan penjelasan mengenai isu Kg. Medan, yang saya anggap satu isu yang sengaja dibesar-besarkan kerana kepentingan politik 'orang tertentu' (pinjam istilah Mahathir kerana dia amat suka menggunakan frasa ini sekarang). Saya harapkan tulisan saya mengenai episod Kg. Medan (di sini bermaksud seluruh kawasan dan perkampungan persekitarannya) akan menghentikan lambakan kiriman emel kepada saya, selepas ini.


Yang Kecil Dibesar-besarkan


a) Pendapat Saya Mengenai Kg. Medan

Saya ulang untuk dirakamkan di sini, episod Kg. Medan adalah satu kisah pergaduhan kecil yang dapat dilihat di mana-mana terutama sekali di satu penempatan manusia yang padat. Sepatutnya ia sudah selesai dengan tindakan pantas pemimpin masyarakat setempat. Kalau episod bermula pada Mach 3, kenapakah ia meledak mulai Mach 6?

Semua agensi kerajaan berkata episod Kg. Medan bukannya pergaduhan perkauman. Tetapi, kenapakah mangsa daripada kaum India dihantar ke Hospital Universiti dan mangsa Melayu ke Hospital Besar?

Kalau kerajaan serius untuk mengawal keadaan kenapakah tidak diadakan sekatan terhad (restrictive curfew) di malam hari di kawasan yang hangat sebaik meledaknya isu itu? Kenapa pula akhbar perdana dibiarkan menulis mengenai berita pergaduhan di tempat lain dengan menggunakan perkataan 'pergaduhan kaum' sedangkan ternyata kebanyakan episod 'tambahan' itu adalah kes samseng dan kegiatan bajingan yang kerap berlaku di negara ini?

Kerajaan pimpinan Mahathir mempunyai banyak pengalaman mengenai rusuhan kaum ataupun pergaduhan kaum. Bila ia tercetus (ataupun apakah benar ia sengaja dicetuskan?) di Kelantan, kesannya ialah penubuhan MAGERAN yang kini disedari oleh rakyat Kelantan, sebagai usaha menidakkan PAS untuk memerintah negeri itu. Selama 21 bulan MAGERAN berkuasa di negara ini dengan Hashim Aman dilantik khas untuk mentadbir Kelantan. Kerajaan BN yang hampir kecundang pada pemilu 1969 itu telah menggunakan kuasa putar-belit untuk mengisytiharkan dharurat ekoran apa yang dikatakan Peristiwa Berdarah 13 hb Mei 1969. Hanya pada hari Sabtu 20hb Februari 1971, berakhirnya tugas dan tanggung jawab MAGERAN. Pada hari itu 14 orang ahli Dewan Negara yang baru dan 143 orang anggota Dewan Rakyat telah mengangkat sumpah sebagai anggota Dewan masing-masing (sila rujuk ms 74-75 'Tun Dr. Ismail - Negarawan Berjasa' karangan Mohd. Tajuddin b. Hj. Abdul Rahman)

Rusuhan kaum pernah meledak di Pulau Pinang hingga membabitkan kerahan tentera untuk membantu polis menanganinya. 'Curfew' dilaksanakan untuk seketika dan sekatan berita buruk dikenakan terhadap akhbar perdana. Keadaan menjadi reda dengan cepat kerana pemimpin kaum ikut serta meredakan keadaan. Dalam kes Kg. Medan hingga ke hari ini ada saja berita susulan disiarkan mengenai pergaduhan kaum di tempat lain selain sekitar Kg. Medan. Kenapakah perkara ini dibiarkan?

Kerajaan Selangor pimpinan Khir Toyo bertindak cepat cuba menyelesaikan perkara ini dengan melaksanakan makan 'berdamai' di kediaman rasmi beliau. Apakah itu tindakan bijak? Bagi saya itu tindakan bahlol kerana ia serupa dengan mengubat di tempat yang tidak sakit.

Ketika episod 13 Mei dicetuskan oleh 'orang tertentu' jamuan makan damai diadakan di Jalan Chow Kit yang dihadiri oleh penduduk setempat dengan disertai pasukan Askar Melayu dan polis. Ketika itu orang melayu tidak lagi membeli-belah di pasar Chow Kit. Mereka sudah menempatkan satu pasar baru di Kg. Baru (bekas tapak pasar minggu yang kini dibina rumah pangsa). Di waktu itu beberapa kedai popular kepunyaan tauke cina sudah musnah dimakan api. Contohnya ialah kedai jahitan Wing Kwong (nama asalnya sebelum dibakar ialah Sing Kwong). Taukehnya tidak menyesal dengan kebakaran itu dan dia pernah berkata:

'Saya jadi kaya kerana 99% pelanggan adalah orang Melayu. Saya tetap buka lagi kedai saya.'

Diperbetulkannya kedai itu kerana dia tahu yang membakar kedainya bukannya orang Melayu Kg. Baru. Selepas itu dia bersama dengan beberapa orang taukeh Cina lain menubuhkan Mun Loong. Di Kg. Medan, ramai penghuni India yang berkata bahawa yang datang membuat kacau bukannya orang tempatan. Siapakah mereka? Inikah mereka yang termasuk dalam golongan 'orang tertentu'?



Rakyat Marhaen Yang Dimangsakan

Katakanlah apa yang berlaku di Kg. Medan itu sesuatu yang 'real' kenapakah kerajaan bertindak sehingga mahu menggunakan Akta ISA kepada sesiapa yang menabur cerita karut. Mampukah kerajaan terus bersikap mengugut rakyatnya setiap kali ada kesangsian rakyat marhaen terhadap sesuatu peristiwa?

Kampung Medan dan persekitarannya yang dikatakan bergelora itu adalah satu penempatan yang terawal selepas kemerdekaan dicapai. Kepadatannya pada tahap awal tidak sepadat Kg. Kerinci tetapi ia merupakan satu penempatan untuk manusia yang terpinggir. Kg. Medan dan persekitarannya adalah lambang kepincangan BN yang paling besar dalam menangani kehidupan satu kumpulan pengundi yang taat setia selama lebih 40 tahun.

Saya mempunyai ramai saudara dan kenalan di Kg. Medan. Saya pernah menulis secara kiasan bagaimanakah wakil rakyat UMNO sanggup berkhidmat di kawasan seperti itu sedangkan kebanyakan rumah yang dihuni amat menyedihkan. Sebagai perbandingan banyak reban ayam wakil rakyat di luar bandar yang berkeadaan lebih selesa daripada rumah yang dihuni oleh setinggan Kg. Medan. Banyak sangkar kucing peliharaan (dan anjing di mana ada kaitannya) wakil rakyat dan pemimpin UMNO di seluruh negara ini yang lebih mahal daripada beberapa rumah penduduk setinggan di Kg. Medan. Banyak jalan dan lorong ke dusun buah-buahan pemimpin UMNO yang jauh lebih baik daripada jalan dan lorong ke rumah penduduk setinggan di Kg. Medan dan persekitarannya.

Kalau kita ambil setiap satu set perabut impot yang terdapat di ruang tamu setiap pemimpin UMNO dan BN di seluruh negara ini, kita akan dapati kos setiap set perabut itu adalah lebih mahal harganya daripada kebanyakan rumah yang dibina di Kg. Medan.

Apabila cerita ledakan Kg. Medan meletup, tidak ada pemimpin BN yang berani masuk melihat keadaan sebenar. Apakah mereka takutkan keselamatan mereka terancam? Ataupun mereka sudah diberitahu keadaan yang sungguh menjijikkan di situ memang tidak sesuai untuk pandangan wakil rakyat? Cuba bayangkan setiap longkang monsun di perkampungan setinggan di situ yang diletakkan jambatan titi untuk diseberangi setiap hari. Di situlah segalanya kejijikan kehidupan manusia yang merempat. Itulah gambaran betapa dahsyatnya keadaan hidup manusia kelas pekerja yang taat setia selama ini kepada kerajaan yang memerintah. Di situlah terletaknya satu kumpulan masyarakat yang kais pagi makan pagi dan kais petang makan hati. Ada yang terpaksa menetap di situ sejak 25 tahun dulu kerana telah dijanjikan rumah murah kerajaan. Ketika janji awal diberikan tiga puluh tahun dulu harga kos bikinan rumah murah hanya Tujuh Ribu Ringgit sahaja dan dijual kepada golongan marhaen dengan harga dua puluh lima ribu.

Tikus yang berkeliaran di Kg. Medan adalah sama besarnya dengan tikus di beberapa tempat di petaling Jaya seperti di Damansara Utama, Damansara Jaya, SS2, Kampung Melayu di Petaling Jaya , malahan juga di Putra Jaya. Ada saiz tikus yang lebih besar daripada saiz kucing Parsi peliharaan pemimpin UMNO. Kalau keadaan Kg. Medan tidak diperbaiki kita akan berkemungkinan diserang wabak hawar-tikus 'plague' yang disebabkan oleh tikus-tikus ini. Kalau khinzir dan babi yang dipelihara dan diberikan suntikan pelbagai hormon boleh dijangkiti oleh wabak JE apakah tikus liar tidak boleh membawa virus yang membunuh manusia?


Kalau kita lihat keadaan penghuni rumah panjang di situ sebahagian besar penghuninya sudah menetap lama sehinggakan ada yang mempunyai anak-anak yang sudah berkahwin dan menghuni di tempat lain. Pada satu ketika dulu mereka ini adalah penyokong setia BN. Kini, sebilangan besar sudah tidak berparti lagiwalaupun ramai yang menjadi penyokong parti Barisan Alternatif. Satu ketika dulu mereka yakin menetap di rumah panjang dan pondok buruk kerana telah dijanjikan rumah murah.

"Nama anda sudah ada dalam bancian UMNO ataupun MIC - sabar sedikit masa lagi.!!!"

Itulah janji sejak zaman Datuk Harun yang diulang-ulang ketika zaman Hormat Rafai, Ahmad Razali Ali, Mohammad Tyson dan kini Khir Toyo. Semua orang yang mendahului Khir Toyo pernah menjanjikan rumah murah kepada setinggan di Kg. Medan. Mereka masih hidup lagi.

Tanyalah mereka kenapa rumah yang dijanjikan itu masih belum diberikan lagi. Kalau kita menyorot ke belakang hanya dua puluh tahun, ramai anak setinggan Kg. Medan sudah pun bekerja dan mereka kenal hanya seorang perdana menteri sahaja. Di kalangan mereka yang cerdik pandai mungkin sudah kenal 18 nama perdana menteri Jepun, dan sedar betapa yang memegang jawatan sekarang akan meletakkan jewatannya minggu depan. Kalau ada di kalangan anak Kg. Medan yang berbakat seperti Yusuf Chong mengejek suara orang, tentu ramai yang pandai meniru cakap dan suara Mahathir. Tentu ramai yang boleh menyebut: "Kalau anda sayangkan negara ini, anda mesti sanggup berkorban untuk bekerja kuat. Malaysia Boleh..!!!" Tentu ramai di kalangan mereka yang mampu berfikir dan menyoal: "Bekerja kuat untuk Mahathir? Malaysia Boleh untuk siapa?"


Mungkin jua ada anak-anak muda berbakat di Kg.Medan yang dapat mengejek suara Mahathir ketika dia bercakap di sidang akhbar pada awal April tahun lalu. Ketika itu dia berucap sebelum pergi terbang ke Cuba. Apakah yang dikatakannya: "Pihak pembangkang dan orang tertentu mahu merusuh - mahu baling bom Molotov untuk buat huru hara!!!" Utusan Melayu telah membesarkan cakap Mahathri itu dengan menggunakan tajuk utamadi mukadepan akhbar yang berbunyi "RANCANG RUSUHAN GANAS". Saya ada rakamkan segala peristiwa sebelum tercetusnya episod 'Gelita 14' dalam siri 'Mencari Geliga Dalam Gelita'. Di bawah tajuk itu Utusan Melayu ada menulis:

"Dr. Mahathir Mohammad melahirkan kebimbangannya terhadap trend terbaru parti pembangkang yang kian ghairah mahu mencetuskan huru-hara termasuk ingin melihat berlakunya pertumpahan darah dalam negara. Beliau mempunyai maklumat bahawa penyokong-penyokong Parti Keadilan (Keadilan) merancang untuk melakukan rusuhan ganas di ibu negara, 15 April ini"

Orang Utusan yang membuat laporan itu menulis lagi: "Difahamkan pihak tertentu mahu melakukan tindakan agresif itu bertujuan mendapatkan semula perhatian rakyat setelah merasakan pergerakan mereka semakin tidak mendapat sokongan."

Kalau boleh saya minta jasabaik RTM Malaysia dan juga TV3 menyiarkan klip rakaman sidang akhbar Mahathir di mana dia ada berkata:

"Saya dengar Keadilan hendak ada demonstrasi pada 15 April ini dengan tujuan nak memperingati tentang sesuatu dan mereka sedia nak pukul polis, nak bawa senjata kayu dan 'Molotov-c##katil' (bom botol). Oleh itu kalau nak buat apa-apapun kenalah buat sekarang, sebelum melarat.



Kemudian di New York dia bercakap di PBB di mana dia memperlekehkan orang Melayu beragama Islam kerana terlalu taksub kepada agama sehingga sanggup membuang TV dan radio ke sungai. Tetapi, berapa ramaikah pendengar di New York yang sedar bahawa inilah penyangak yang serupa yang menuduh Tunku Abdul Rahman Putra pad Mei 1969 dulu, kerana keadaan daif orang Melayu disebabkan memberi kepentingan kepada peniaga Cina? Apakah dasarnya mengenai keadan Melayu daif kalau bukan merujuk kepada keadaan hidup orang Melayu di Kg. Medan?


Mungkin juga ramai yang bertanya kenapakah Mahathir tidak berani melawat Kg. Medan? Betulkah Mahathir sudah melawat mangsa pergaduhan Kg. Medan? Mana gambarnya beliau melawat orang Melayu di Hospital Besar? Siapakah yang dilawatinya di Hospital Universiti?


Kalau kita naik LRT dan berhenti di stesen Datuk Haron kita akan lihat banyak rumah setinggan yang satu ketika dulu tapaknya dijual dengan harga antara RM1000 hingga RM1500. Kepada siapakah harga tapak itu dibayar kalau bukan kepada ketua kampong. Siapakah ketua kampung perkampungan setinggan di situ kalau bukan pemimpin UMNO?

Begitulah caranya perkampungan setinggan itu membiak. Baik di Kg. Medan dan persekitarannya, Kg. Kayu Ara, Kampung Air Panas di Setapak, Kg. Setinggan di Jalan Tun Sambanthan berdekatan Bangunan MAB dan banyak lagi kampung setinggan di sekitar Lembah Kelang. Hampir semua perkampungan ini adalah bekas lombong yang dipetak-petakkan oleh 'orang tertentu' dan dijual oleh ketua kampung kerana Ketua kampung itu adalah proksi dan 'pemegang amanah' di kalangan 'orang tertentu'.

Orang-orang Datuk Keramat tentu masih ingat kisah perkampungan setinggan yang terbakar di kawasan yang kini menjadi tapak LRT Stesen Datuk Keramat. Apakah secara kebetulan perkampungan itu terbakar hangus sebaik sahaja stesen LRT mahu dibangunkan? Begitu juga perkampungan setinggan yang paling tua di Kuala Lumpur satu ketika dulu. Saya pernah menulisnya dalam Siri Suasana Lebaran Pencetus Minda. Itulah perkampungan 'Belakang Mati' di Chow Kit yang tidak pun terjejas ketika tercetusnya Mei 13, tetapi musnah kerana kebakaran ketika era MAGERAN.



Projek Sang Kancil

Ketika jawatan Datuk Bandar Kuala Lumpur dipegang oleh Tan Sri Elias Omar (ketika itu dia lebih dikenali sebagai Dr. Eliyas Omar sahaja), ada satu rancangan yang disebut Program Sang Kancil khas untuk penempatan setinggan. Program ini menyediakan paip-air, bekalan api letrik dan tandas serta sedikit perparitan dan jalan bertar. Sejak itulah perkampungan setinggan membesar kerana ia diusahakan oleh 'orang tertentu' seperti bersindiket. Di siang hari kita lihat kawasan perumahan dipancang. Keesokan harinya, rumah papan sudah terbina siap dengan program pasang siap yang canggih.

Program pasang siap inilah yang menjadi tempat tinggal warga kotaraya di Kuala Lumpur yang bekerja sebagai anggota polis, tentera, pasukan keselamatan, kerani, pekerja kilang, pegawai kastam, pegawai imigresen, peniaga pasar malam, pasar borong, pengurus gerai makan dan kedai-kedai barangan, pengawal keselamatan pemimpin BN, sekuriti bank dan pejabat dan banyak lagi termasuk peguam muda, doktor muda , dan apa juga bidang professional yang ada melainkan menjadi pemimpin UMNO dan BN yang berpangkat besar. Keadaan persekitaran yang menjijikkan di Kg. Medan itu adalah pandangan yang sudah lama terpahat di lubuk hati setiap para pemimpin dan professional yang mempunyai hubungan sejarah dengan Kg. Medan kerana ramai mahasiswa dan mahasiswi Melayu dan India yang pernah menghuni di perkampungan itu sejak empat puluh tahun dulu lagi.

Sejarah akan memperakukan betapa Projek Sang Kancil telah membuatkan ramai pemimpin UMNO dan MIC serta MCA menjadi kayaraya. Kebanyakan tanah tapak rumah yang dibeli ataupun disewa bulanan oleh penghuni setinggan adalah kepunyaan parti BN, terutama sekali UMNO. Pergilah kesemua perkampungan setinggan, anda akan diberitahu rumah pemimpin tempatan UMNO dan juga MIC yang mengutip sewa bulanan tapak rumah yang melambak-lambak itu sehinggakan ada orang tertentu yang mengutip pendapatan sekitar RM30,000 setiap bulan. Kalau seorang pengarah bandaraya Kuala Lumpur boleh memegang lesen haram gerai sebanyak 85 unit dan memajaknya kepada kaum mendatang, bagaimana pula agaknya rumah setinggan yang dipajakkan kepada orang luar yang amat memerlukannya?

Setiap kali seorang tuanpunya rumah setinggan membawa masuk peralatan untuk membetulkan rumahnya dia akan didatangi beberapa pegawai penguatkusa bandaraya yang lengkap dengan kamera dan lori pengangkut untuk mengangkut papan, simen, pasir dan zinc yang baru dibelinya. Alasannya penguatkuasa KL (termasuk Shah Alam, PJ, Ampang, Hulu Langat Kelang dsbg) berhak menahan kerja-kerja pembaikan terhadap rumah setinggan. Tetapi pengecualian boleh diberikan dengan menyogok setiap penguatkuasa yang datang. Cukai yang tidak berjadual ini adalah amalan biasa kerana itu kita lihat penguatkuasa yang berpakaian segak berkeliaran merata tempat dengan mata terbeliak melihatkan setiap projek rakyat marhaen untuk dicukai. Tetapi di waktu yang sama, orang-orang ini juga mempunyai banyak rumah sewa ataupun tapak perumahan untuk dijual. Di waktu yang sama juga kebanyakan mereka ini adalah anggota pasukan gerak gempur pemuda UMNO dan MIC.

Dari sini kita tentu faham bahawa banyak pihak yang tidak mahu menyelesaikan masalah setinggan di Kuala Lumpur dan bandar-bandar besar kerana perkampungan setinggan itu adalah perniagaan yang besar kepada banyak pihak, terutama sekali para pemimpin UMNO. Malahan ada cerita yang mengatakan bagaimana penghuni setinggan telah menjadi tenaga pengundi hantu yang bergerak daripada satu kawasan mengundi ke satu kawasan yang lain ketika pemilu 1999 dulu, di Teluk Kemang dan juga di Sanggang. Cuma mereka tidak berjaya melaksanakan taktik yang serupa ketika berlakunya pilihanraya kecil di Lunas.

Masalah Kampung Medan bukanlah masalah tidak ada rumah. Ia adalah masalah perumahan kepada yang memerlukannya. Di samping itu disebabkan keadaan pekerjaan yang memberikan pendapatan yang rendah berbanding dengan harga barangan asas yang semakin meninggi, ia mencetuskan satu suasana kekecewaan dalam kehidupan seharian penghuni setiap perkampungan setinggan. Suasana yang serba kekurangan inilah yang membuatkan ramai penghuni kampung setinggan yang terjebak dengan dadah, arak dan segala bentuk maksiat yang menjerumuskan kehidupan sesaorang insan yang melarat itu. Apabila perut sentiasa lapar, tidak ada apa nasihat dan ajaran sosial yang boleh diendahkan. Inilah yang membuat sesuatu masyarakat itu memberontak terhadap pihak atasan kerana mereka terlalu lama menanggung kekecewaan. Apakah unsur-unsur ini tidak difahami oleh Mahathir Mohammad, Samy Vellu, Ling Liong Sik dan semua pemimpin Barisan Nasional?


...bersambung...