Laman Webantu   KM2A1: 4085 File Size: 19.2 Kb *



Siri 10 MMM: B2 Kathelika Niramile
By Marhain Tua

29/3/2001 8:17 pm Thu

MMM 10 Bahagian 2/2

[Karyawan negara tidak berminat untuk mencatat sesuatu untuk memartabatkan bangsa melayu walaupun ia begitu gemilang satu waktu dulu. Sebaliknya cerita dongeng dan palsu (seperti sekarang) menjadi pelaris saban waktu.

PM sendiri pula menulis bukan untuk menyedarkan orang melayu - tetapi untuk menggambarkan betapa teruknya orang melayu agar mudah di kenali pembaca sasarannya yang mahir bahasa inggeris dulu. Maknanya dia menulis buku itu bukan untuk orang melayu.

Apabila menjadi PM, Mahathir melakukan tindakkan drastik untuk meyakinkan semua bahawa dia memang boleh dipercayai dan ikhlas membantu dan menyatukan melayu. Itulah punca dia menipu Anwar untuk menyertai Umno dulu. Kali ini dia menaja isu bertemu tetapi belum apa-apa keikhlasan parti PAS dan keADILan diragui (walaupun di situ lebih ramai orang melayu beranak dan beribu). Malah dia mempertikaikan keislaman PAS pula di saat ingin bertemu.

Pendeknya Mahathir tidak punya masa untuk berkasih dan bersayang melainkan untuk sang kroni sehingga dia sanggup terbang malam dan siang. Tetapi dia menghilang bila tercetus pergaduhan dan tidak memijakkan kaki pun ke Kg hina Kg Medan. Sebaliknya dia ke Kg mulia Sg Mulia Gombak pula untuk menonjol kesian. Inilah penghormatan sebenar Mahathir buat penduduk setinggan Kg Medan! - Editor]



SIRI MMM

BAB 10 : KATHELIKA NIRAMILE


Bahagian 2



Catatan Sejarah Melayu Yang Pincang

Kegelisahan rakyat Malaysia masakini berpunca daripada ketegangan hidup yang berlaku sejak empat tahun yang lalu. Mahathir dan semua pemimpin Barisan Nasional sebenarnya sedang menghadapi segala kesan-kesan penyalahgunaan kuasa yang mereka laksanakan sebagai pemimpin negara dan juga pemimpin parti-parti komponen Barisna Nasional. Kesan penyalahgunaan kuasa mereka ini boleh dilihat di mana-mana kerana semuanya sudah menjadi catatan sejarah yang tidak boleh mereka ubah. Adalah satu kesalahan yang besar kalau Mahathir mahu terus berbohong menyalahkan orang lain kalau ekonomi negara merudum dengan teruknya kali ini kerana walaupun ekonomi negara memang sedang turun, banyak negara lain di negara ini sedang hidup tenteram sambil mempunyai kemampuan menangani cabaran pergolakan ekonomi dunia. Malaysia sebagai sebuah negara yang kaya raya dengan hasil buminya dan sepatutnya mempunyai banyak wang simpanan hasil daripada keluaran minyak yang bermutu tinggi dan gas asli yang melambak banyaknya sepatutnya tidak menerima tekanan daripanda pergolakan yang terbaru ini.


Sejarah telah menunjukkan betapa rakyat Malaysia adalah satu bangsa (bangsa Malaysia) yang pandai hidup tenteram dan kerana itu Malaysia sejak mencapai kemerdekaannya dianggap oleh orang barat sebagai 'the God sent country' (negara yang direstui Allah). Tanggapan begini berdasarkan sikap dan kelakuan orang Melayu itu pada dulu-dulu lagi sebelum Melaka di jajah oleh pedagang daripada barat sehinggalah Jepun menaklukinya dan China hampir berjaya menguasainya secara proksi melalui pergerakan 'Bintang Tiga' dan parti Komunis Malaya pimpinan Chin Peng.

Sejarah juga menunjukkan kemerdekaan Malaya dan kemudiannya Malaysia adalah berputik daripada perjuangan orang Melayu dalam mengharungi segala peristiwa getir mempertahankan negara ini dengan darah dan jiwa mereka. Walaupun kini orang-oang UMNO dan juga pemimpin politik BN kerap mendabik dada mengungkit perjuangan UMNO dalam merundingkan kemerdekaan, British telah bersetuju memberikan kemerdekaan itu berdasarkan perjuangan askar Melayu dalam Perang Dunia Kedua dan cara askar dan anggota polis Melayu yang bertugas di Singapura yang melanggar arahan pegawai British ketika tercetusnya 'episod Natrah' (sila baca The Nadra Tragedy - The Maria Hertogh Controversy oleh Haja Maideen). Dua peristiwa besar ini mengajar British betapa orang Melayu adalah satu bangsa yang lemah lembut, penyabar dan taat setia HANYA selagi maruah mereka tidak tercabar.

Terdapat banyak nilai-nilai murni dalam tamaddun orang Melayu itu yang ditulis dan digambarkan oleh banyak pencatat sejarah bangsa asing. Cuma, sejak kita mencapai kemerdekaan sehingga kini, belum ada lagi catatan cendikiawan bangsa Melayu yang mahu menyingkap tulisan sejarah ini untuk menyedarkan bangsanya. Sehingga hari ini orang Melayu pada keseluruhannya mengetahui sejarah bangsanya dan kegemilangan nenek moyangnya melalui tulisan yang lebih banyak dihasilkan oleh orang bukan Melayu daripada oleh bangsanya sendiri.


Selepas kemerdekaan, sejarah pembangunan Semenanjung Tanah Melayu sejak zaman kesultanan Melayu lagi, banyak dikaji dan ditulis semula oleh orang bukan Melayu. Cerdik pandai Melayu yang mampu menulis sejarah itu lebih memberi penekanan kepada Cerita Hang Tuah dan empat sahabatnya ataupun kisah pantun dan bidalan Melayu. Tidak banyak tulisan yang menyingkap kegemilagan Melayu dalam bidang keushawanan sejak kerajaan Melayu Melaka dulu dan kisah pelayaran anak melayu mengelilingi dunia. Malahan, tidak banyak kajian untuk menjejak dan penganalisa pelayaran Munshi Abdullah yang menulis buku catatannya. Trend ini berterusan sehingga kini di mana ramai golongan arif Melayu lebih selesa menulis untuk menjilat tapak tangan tuan-tuan politik mereka. Kalaulah mereka luangkan sedikit masa dan analisa keperitan hidup dan kejijikan layanan yang diberikan kepada penghuni Kg. Medan saya percaya masalah setinggan sudah lama lenyap dibumi Malaysia.


Antara penulisan buku Melayu oleh seorang anak Melayu (tidak kiralah yang mempunyai darah campuran dengan sesudu dua sahaja darah Melayunya) yang laris dan masyhur (bukan laris disebab buku itu digunakan sebagai bahan bacaan wajib di sekolah-sekolah) ialah buku 'Dilema Melayu' tulisan perdana menteri Malaysia sekarang. Cuba perhatikan isi kandungannya, apakah ada sebarang pengajaran menaikkan semangat bangsa untuk maju bersaing dengan kaum lain? Apakah ada cadangan positif untuk menyedarkan bangsa Melayu bahawa untuk menjadi satu bangsa yang besar itu bukannya dengan menilai kandungan darah kromosom dalam badan, tetapi melalui usaha dan kongsisama secara jujur dan ikhlas untuk bersaing dengan kaum lain dan negara lain di dunia ini, sambil memantapkan pendirian agar tetap beraqwa kepada Allah.

Oleh kerana orang Melayu tidak ada satu pemimpin yang berkelas negarawan yang berkuasa dan menjadi pemimpin unggul UMNO sejak kematian Tun Abdul Razak dan Tun Ismail, makanya bangsa melayu itu kini berada dalam satu keadaan terumbang-ambing kerana mindanya yang telah terpusing. Keadaan ini menjadi semakin ketara sejak lima belas tahun yang lalu, kerana ketika itulah Mahahtir sudah berani merancang untuk berbelanja besar menggunakan segala khazanah negara untuk memenuhi nafsu kerakusannya.


Kelentongan Mahathir Terhadap Bangsa Melayu

Salah satu usaha mengabui minda orang Melayu sekarang ini ialah tulisan-tulisan dan rencana TV dan radio mengenai kejayaan Mahathir dalam membangunkan negara. Tetapi, kebanyakan artikel dan rencana itu seolah-olah lupa akan catatan sejarah. Sebagai perbandingan saya turunkan satu catatan diari seorang wartawn mengenai penglibatan Mahathir (dan tibalannya Musa Hitam) sebaik sahaja mereka menubuhkan kabinet baru:


Julai 16: Mahathir menjadi Perdana Menteri (1981)

Julai 18: Satu kabinet baru ditubuhkan di mana Musa menjadi TPM.

Julai 23 : Majlis Tindakan Negara dihidupkan kembali untuk memantau kerja-kerja kementerian dan agensi kerajaan;

Julai 30: Musa mengumumkan pembebasan 21 tahanan ISA;

Ogos 1: Datuk Harun Idris, (bekas menteri besar Selangor) dibebaskan selepas dipenjara selama 13 bulan (hukuman asal 6 tahun).

Ogos 3: Amaran kepada pegawai kerajaan agar berubah sikap untuk bekerja kuat oleh Mahathir. Beliau perkenalkan sietem 'punch-card' di semua pejabat kerajan.

Ogos 8: Musa mengarahkan dua anak syarikat Lembaga Pembangunan Johor ditutup dan memberi amaran kepada 2 Agensi lain untuk memperbetulkan keadaan atupun ditutup dalam enam bulan.

Sep. 2: Mahathir mengumumkan pembentangan undang-undang Yang menyekat manipulasi di pasaran saham. Mengumumkan dia tidak akan menghadiri Persidangan Ketua Negara Komanwel di Melbourne kerana kesibukan kerja.

Sept. 7: Permodalan Nasional Berhad mengambilalih Guthrie.

Okt. 10: Dasar 'Buy British Last' mengenepikan barang buatan British.

Okt. 26: Mahathir mengumumkan penubuhan satu jabatan khas untuk memerangi rasuah.

Nov. 12: Kerajaan menggubal 'Universities and Universities College Act' AUKU.

Dis. 4: Penyaragaman waktu antara Semenanjung dan Sabah dan Sarawak.

Dis. 15: Mahathir mengumumkan 'Look East Policy' yakni dasar Pandang ke Timur (Jepun dan Korea ). Sila baca 'The Musa Dilemma' ms. 44-47 tulisan K. Das.







Mahathir Dulu Dan Mahathir Sekarang

Catatan K. Das itu menunjukkan betapa dalam masa empat bulan selepas memegang kuasa banyak perkara yang tegas dirancang oleh Mahathir untuk meyakinkan rakyat marhaen betapa dia boleh dipercayai untuk membawa Malaysia menjadi satu negara yang kaya raya. Orang Melayu pun ketika itu menjadi bersemangat untuk memberikan kesetiaan kepadanya tanpa berbelah bagi. Sayang, Mahathir mudah lupakan sejarah. Dalam masa empat bulan dia merancang dan melaksanakan pelbagai usaha untuk menunjukkan ketokohannya seolah-olah dialah orangnya yang akan memperkayakan Malaysia. Semua itu berkecai akhirnya.

Sejarah menunjukkan kini, Mahathir telah meludah ke langit dan sedang menampung mukanya untuk menadah segala ludah yang dilontarkannya dulu. Dia ternyata telah mungkir janji dan hanya mementingkan dirinya dan tembolok anak-anaknya. Segala kerja-kerja molek-molek yang dirancangnya jatuh terperusuk kerana kegagalan.

Dia cuba menakutkan rakyat Malaysia kerana mahu terus berkuasa seolah-olah hanya dia yang boleh menyatu-padukan rakyat Malaysia. Tetapi, kalau di ladang-ladang dulu di mana orang India lebih ramai daripada orang Melayu, bagaimanakah mereka boleh hidup aman damai. Sebaliknya, bagaimanakah di perkampungan setinggan orang India boleh mencetuskan huru hara? Sejak bilakah rakyat Malaysia menggunakan bom molotov menghancurkan harta benda?

Mahathir cuba meraih sokongan orang Melayu dengan memburukkan PAS dan kini melancarkan kempen 'Amanat Hadi' sebagai satu alat tipu muslihatnya. Tetapi, apakah orang Melayu menganggap 'Amanat Hadi' itu sebagai menyelewengkan aqidah mereka? Jawapannya tidak, dan kini masyarakat Melayu berbangga kerana Pas menangguhkan persidangan perpaduan Melayu itu. Sepatutnya PAS membatalkannya sahaja kerana kalau UMNO terus mempertikaikan PAS dan keislamannya, eloklah PAS menjauhkan diri daripada UMNO. Biarlah orang Melayu itu menjadi hakim yang sebenar untuk menilai siapakah yang lebih layak memimpin orang Melayu: UMNO ataupun PAS.





Usaha Terakhir Mahathir Untuk Terus berkuasa

Mahathir sudah tersepit. Kini, dia menambahkan belanjawan negara kerana mahu menyuntik aktibiti rakyat berbelanja sebagai satu pakej rangsang ekonomi. Inilah 'langkah mengekang kesan kelembapan ekonomi AS'. Bukankah pelik dan bodohnya kelentongan itu. Hanya beberapa bulan yang lalu Mahathir dan Daim mengatakan ekonomi negara sudah pulih. Sejak itu, Rafidah Aziz telah mengelilingi dunia untuk mengajak pelabur luar datang melabur. Di waktu yang sama kita sudah melihat pengisytiharaan Putrajaya dan
e-Village. Kenapa pula kini kita gelabah dengan kelembapan ekonomi AS? Apakah yang sebenarnya menyebabkan ekonomi negara lembap? Bukankah kerana para pelabur asing sudah mula cabut lari? Kalau ekonomi lembap kenapakah dilancarkan program agar rakyat berbelanja? Bukankah langkah bijak ialah untuk berjimat? Kenapakah Mahathir mengeluarkan peraturan memberi tambahan elaun kepada wakil rakyat sebanyak RM500 setiap bulan untuk digunakan di majlis jamuan? Apakah sebenarnya tujuan berbuat demikian?

Ekonomi negara ini lembap kerana salah urusan. Mahathir dan Daim adalah bertanggung jawab dengan masalah ini. Terlalu banyak kelentongan dan terlalu kerap menipu dan menyamun harta rakyat marhaen yan g menyebabkan ekonomi merudum. Adakah rakyat marhaen melihatkan sebarang rancangan Mahathir membela nasib dan kehidupan golongan yang menderita? Mahathir, Daim dan Rafidah harus baca segala maklumat mengenai Grameen Bank yang ditubuhkan di Bangladesh pada tahun 1976 dan mampu menaikkan taraf hidup rakyat miskin. Inilah sebuah bank yang memberikan pinjaman kepada rakyat marhaen tanpa cagaran dan sehingga kini tidak ada seorang pun peminjam yang engkar membayar hutang mereka. Insya Allah kita akan terjemahkan semua artikel mengenai Grameen bank ini.

[Sila Rujuk Rencana KM2: Perihal Grameen Bank - Editor ]


Saya sengaja menggunakan 'Kathalike Niramilei' sebagai tajuk tulisan ini sebagai satu penghormatan kepada golongan pekerja tidak kira apa jenis kaumnya di negara ini. Inilah masyarakat yang masih merempat sebagai kesan salah urus negara.

Tajuk ini datangnya daripada tiga perkataan Tamil: Kathalike (Kasih-saying), Niram (masa) dan illei (tiada) bererti 'Tidak ada masa untuk berkasih sayang.' Inilah episod sebenar sepanjang pemerintahan Mahathir yang dibantu oeh Daim dan Rafidah Aziz dan disokong oleh hampir semua pemimpin UMNO dan BN. Mereka lupa akan keperluan rakyat marhaen sehinggakan terwujudnya beberapa perkampungan seinggan di dalam kawasan bandaraya Kuala Lumpur. Contoh yang terbaik ialah satu perkampungan setinggan yang berada di Jalan Tun Sambanthan 4.

Apa yang berlaku di Kampung Medan adalah satu catatan sejarah betapa negara ini sudah diputarkan mindanya oleh system raksasa yang rakus yang kini sudah turut menghantui Mahathir dan para pemimpin UMNO dan BN. Mereka sudah terjebak dalam perangkap yang dipasang oleh keadaan yang mereka rencana sendiri.

Kampung Medan dan keadaannya ada di mana-mana. Luas kawasan Kampung Medan hanya sekitar 2,500 Hektar sahaja. Tetapi sebagai perbandingannya, Selangor telah membina e-Village untuk kemudahan Bollywood seluas 4,800 hektar. Mahathir telah membelanjakan lebih RM 2 bilion di situ. Siapakah yang menikmati projek itu?


Keadaan hidup yang menekan rakyat marhaen kini sudah menunjukkan keburukannya di mana rakyat negara ini sudah tidak merasa selamat berjalan sendirian di malam hari. Banyak laporan polis menceritakan rompakan dan kecurian serta kes mendera seksual yang berlaku. Apakah semua ini difikirkan oleh Mahathir? Dalam projek merangsang ekonomi negara siapakah nanti yang menjadi sasarannya untuk terus membalun khazanah negara dan kaya raya? Jelas Mahathir dan Daim sedang gila menipu rakyat marhaen seolah-olah rakyat marhaen tidak lagi mampu berfikir. Mereka mampu melakukan apa sahaja untuk membalun wang rakyat marhaen dalam kes Perwaja, kes Ampangan Bakun, pemulihan National Steel di Filipina, Renong, MAS, projek aliran ringan, time Dotcom, F-1, KLIA dan banyak lagi. Semua penipuan yang berlaku ini adalah rencah persiapan yang akan membuatkan rakyat bangkit menentang mereka. Apakah serba mungkin terwujudnya satu pasukan Gerila Bandar (urban gurillae) disebabkan segala penyelewengan yang mendera rakyat marhaen itu?


Muslihat Sebenar Episod Kg. Medan

Oleh kerana akhbar perdana disekat untuk menulis kenyataan yang benar mengenai episod Kg. Medan, rakyat menjadi keliru dan berfikiran mencelaru. Setiap hari ada berita pergaduhan, tetapi apbila ditanya pembawa berita apakah dia melihat pergaduhan itu dengan matanya sendiri, jawapannya TIDAK. Di Kg. Medan pada malam hari masih terdengar siren (semboyan) polis kerana ambulan hospital tidak berani masuk ke tempat itu. Tetapi, semboyan seperti itu boleh dijadualkan.

Oleh sebab segala sekatan inilah makanya kini timbul pelbagai teori mengenai Episod Kampung Medan. Memang tidak dinafikan bahawa sudah berlaku pergaduhan di Kampung Medan disebabkan orang mabuk yang berani kerana botol yang ditogok. Tetapi, itu adalah keadaan normal yang boleh berlaku di mana-mana. Ada satu teori mengatakan bahawa episod Kampung Medan adalah satu perangkap yang dipasang untuk Paklah. Musa Hitam disingkirkan kerana tidak bijak menangani kes Ibrahim Libya di Memali. Apakah besar kemungkinan Kg. Medan dijadikan satu bahan untuk memerangkap Paklah kerana 'tidak cekap' mengani masalah melibatkan ketenteraman awam?

Ketika ekonomi negara merudum dulu, semua negara jiran dalam Asean turut merudum sama, malahan lebih teruk lagi. Kini, Filipina sedang naik rancak dan Thailand sudah semakin terkenal sebagai negara yang mampu bangkit daripada ekonomi yang paling teruk di Asian. Seluruh dunia sudah mengiktiraf Thailand kini sebagai sebuah negara yang memberikan khidmat perubatan yang paling termurah di dunia. Kos rawatan di Thailand kini hanya merupakan 50 persen lebih murah daripada kos di Singapura dan hanya 10 persen daripada kos di Amerika Syarikat. Jumlah pencong di Thailand berlipat kali ganda tanpa perlu memperomosikan 'The Whole of Thailand Is For Sale' ataupun mewujudkan satu litar F-1 ataupun satu lapangan terbang yang tercanggih di dunia. Malahan, perdana menteri Thailand dan isteri mereka (sudah banyak kali bertukar sejak 20 tahun dulu lagi) bukan pun berkelulusan kedoktoran dan perubatan.


Kalau Thailand yang lebih teruk daripada Malaysia kerana diserang 'oleh penyangak matawang dunia' boleh bangkit kini tidak tidak gentar dengan kejatuhan ekonomi Amerika, kenapakah Malaysia yang dipelopori oleh 'Wira Dunia Ketiga' menggelabah sakan?

Mana satu yang betul dan sampai bila orang Malaysia mesti diugut dan bersabar kerana kerakusan segelintir Melayu yang tidak sedarkan diri?


-marhaintua-
29.3.2001,

...tamat...

>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>MT<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<