Laman Webantu   KM2A1: 4106 File Size: 7.3 Kb *



Beserah: Umno Menebang Pokok Sendiri!
By Dahlia

1/4/2001 3:53 am Sun

[Pahang dilanda konflik lagi kerana banyak campur-tangan pihak yang berkepentingan diri. Dengan berundurnya Fauzi (jika direstui perdana menteri) hanya penyangak sahaja yang akan mewarisi kerusi MB. Balak akan ditebang rakus lagi jika rakyat berdiam diri.

Negeri yang begitu kaya dengan hasil mahsul balak dan judi ini telah melahirkan banyak anak bermisteri tanpa perlu berbini. Yang perlu cuma secebis warkah dari istana dan watikah restu perdana menteri. Tidak perlu kelayakkan lain lagi walaupun panjang berjela seperti yang dimilikki oleh Fauzi. -Editor]



KERUSI MB YANG ASYIK LARI

Takhta MB Pahang silih berganti tetapi ia kerap diisi oleh orang yang banyak menebang sana-sini. Kali ini nampaknya ia tertebang pokok yang jati berdiri.

Fauzi adalah tokoh muda Negeri Pahang yang begitu menyerlah satu ketika dulu. Malah pernah digembar-gemburkan bakal menjadi seorang MB. Tetapi kerusi yang mungkin diimpikan itu semakin jauh meninggalkan Fauzi. Ada jejari yang membawanya lari.

Apa yang ketara dan jelas, kerusi MB Pahang memang teramat panas. Ia bermula sejak sejarah hitam persengketaan antara Rahim Bakar (bekas MB Pahang) dengan Sultan Pahang lagi. Sehingga kini kerusi MB Pahang tetap menjadi fokus dalam dan luar negeri.

Ketika Khalil berpindah ke Pusat, Adnan mengambil-alih kerusi Khalil walaupun Dato Hasan Arifin selaku Timbalan Menteri Besar ketika itu dilihat sebagai calon yang paling berwibawa. Ketokohan dan kesederhanaan Dato Hasan Arifin dalam pelbagai aspek memang sukar dinafikan sesiapa.


TANGAN YANG MEMEGANG KERUSI

Tetapi apa nak dikata, sepatah kata rakan dari Pekan, Pahang memberitahu saya dalam perbualan telefon dengan saya malam tadi, Dato Adnan Yaakob adalah pilihan Istana walaupun Dato Hasan Arifin menjadi pilihan rakyat. Terpaksalah Dato Hasan Arifin menunggu lagi.

Masakan termampu melawan nafus serakah Sultan Pahang yang berbinikan Kalthom si anak Pakistan. Entahlah Pahang, "Negeri Pahang yang aman sentosa, Kaya dengan tubuh-tumbuhan", seperti kata seniman P. Ramlee dalam lagu Joget Pahang. Tetapi ternyata Negeri Pahang tidak pernah aman dan tidak pernah sentosa, selagi Istana terus campur tangan dalam urusan politik negeri. Kekayaan tumbuh-tumbuhan yang dibangga-banggakan selama ini hanyalah sekadar rotorik dan indah khabar dari rupa, yang tinggal kini cuma batang-batang balak kemetut dan tercedera kerana sebahagian besar kayu balak yang sihat dan walafiat itu sudahpun terjual kepada bapak-bapak balak yang bergelar Datuk dan Tengku Wong sejak bertahun lamanya dulu!

Ternyata kini, Fauzi mendapat tekanan di kiri dan kanan sejak isu perlucutan jawatan Sdr Anwar Ibrahim lagi. Macam-macam dilakukan terhadap ADUN Beserah ni. Beliau ditolak ke situ untuk memberi laluan kepada Khalil Yaakob yang dianggap MB yang sangat taat kepada Istana tanpa perlu bermurka. Banyak tanah negeri dijual atau dipajak kepada tokey Cina dengan bijaksana sehingga sukar ditelahi sesiapa. Demi menjaga hubungan baiknya dengan Istana dia akur apa saja titah yang menjelma dari istana.


TANGAN PINTAR YANG BERMAIN SELAMA INI

Ramai yang bertepuk tangan apabila Fauzi Rahman letak jawatan. Paling seronok ialah Dato JJ (Jamaludin Jarjis). Beliau adalah seteru utama Fauzi Rahman, kerana sudah terlalu lama mengidam untuk balik ke negeri Pahang menduduki kerusi empuk MB juga. Malah Dato JJ sering menggunakan pelbagai cara halus dan memutar isu untuk mengaibkan beberapa tokoh umno Pahang, termasuk Dato Hasan Arifin. Dia mahu memastikan Dato Hasan Arifin terus tersingkir dari sebarang jawatan di negeri maupun pusat. Malah di Pahang sendiri sudah tiada terselindung lagi cerita bagaimana Dato JJ berperanan memfitnah hubungan Dato Adnan Yaakob dengan Dato Hasan Arifin. Dia pintar melakukan pelbagai cara agar kedua pemimpin tersebut terus bermusuhan bagi memudahkan laluan untuk beliau menjadi amat berkuasa.


DATO NAKAL SEJAK DULU LAGI

Dato JJ adalah antara pemimpin umno yang paling rakus dalam sejarah kempimpinan umno Pahang, kata teman saya, seorang yang berasal dari Pekan. Orang Pahang memang bencikan Dato JJ - khususnya orang Pekan.

Menurut teman saya, Dato JJ memang berperangai nakal sejak di bangku sekolah (di Kuantan) lagi. Malah sikap memberi rasuah sudah dipraktikkan ketika beliau bertanding merebut jawatan pemimpin pelajar semasa di Univerisiti lagi.

Jadi tidak hairanlah jika JJ terus merasuah dan bersikap jahat dan rakus sehingga kini, termasuk di kawasan beliau sendiri di P85 (Parlimen Rompin, Pahang).


TAN SRI KOMISYEN 'IN ACTION'

Nama Tan Sri Khalil Yaakob sudah hampir hilang dalam ingatan orang Pahang, walaupun beliau dianggap baik. Tetapi beliau terlalu banyak menyuap Istana dengan peruntukan balak dan projek mega kepada Tokey besar Cina, termasuk Cina Singapura dan Taiwan, ia merupakan satu malapetaka bagi Negeri Pahang. Sehingga kini, ribuan tanah yang berharga, terutama di pinggir-pinggir pantai dan lereng bukit sudah diberikan kepada tokey-tokey Cina untuk diusahakan dengan beliau dan Istana mendapat comission dan pampasan dari penjualan harta rakyat.


DATO SAMSENG PENUH FESYEN

Bila Dato Nan mengggantikan Tan Sri Khalil, Pahang sekali lagi bercelaru! Khalil telah meninggalkan terlalu banyak najis dan masalah besar kepada Dato Nan sebenarnya. Tambah lagi dengan perangai Dato Nan yang seperti orang tidak siuman, rakyat Pahang terus keliru dan sudah menunjukkan tanda-tanda kebencian yang begitu ketara kepada semua pemimpin umno negeri Pahang.

Dato Nan menjadi satu ingatan berpanjangan semua rakyat negeri Pahang kerana menggayakan isyarat tangan yang sungguh memalukan. Dato JJ pastinya akan menggunakan kelemahan Dato Nan untuk mencari peluang - termasuk dengan menyengajakan kekalahan jika Dun Beserah dipertandingkan. Ini serba mungkin kerana Dato JJ bukan orang sebarangan.



PILIHANRAYA KECIL DUN BESERAH? UMNO MENEBANG POKOK SENDIRI!

Rakyat Pahang mungkin akan menyaksikan sekali lagi saru pilihanraya kecil di DUN Beserah jika Fauzi bertekad meletakkan semua jawatannya. Persoalannya, mengapa Fauzi baru mahu meletak jawatan sekarang?

Sebenarnya tekanan dari Tan Sri Khalil merupakan faktor utama Fauzi meletakan jawatan. Beliau telah memberi sokongan terbuka kepada sebarang calon untuk menentang Fauzi bagi jawatan Ketua Bahagian. Pelbagai cara digunakan, termasuk dengan cara ugutan.

Kita lihat dan tunggu sahaja dulu apa yang bakal terjadi.

Kepada rakan-rakan di Pahang, bersedia untuk menghadapi satu lagi piliharanya kecil di Beserah. InsyaAllah, kita akan jumpa di sana nanti. Banyak isu menarik yang bakal membuat bukan sahaja pihak umno Pahang pucat lesi malah presiden umno dan istana Pahang sendiri. Kekalahan yang teruk mungkin menyebabkan akar umbi mengamuk di perhimpunan agung umno nanti. Jika ada yang mencampakkan kerusi tamatlah riwayat presiden umno kali ini.