Laman Webantu   KM2A1: 4108 File Size: 4.6 Kb *



AM: Beserah: ADUN Letak Jawatan
By Intan Rusli

31/3/2001 11:23 pm Sat

http://www.agendamalaysia.com/detailinf.asp?gnum=12&num=746

Agenda Malaysia

ADUN Beserah Letak Jawatan

(29/3/2001)

Oleh Intan Rusli

KUALA LUMPUR, Khamis 29 Mac - UMNO Negeri Pahang kini berhadapan dengan satu lagi pergolakan besar dan kontroversi baru apabila ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Beserah, Datuk Fauzi Abdul Rahman menyerahkan surat keluar parti kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad pada jam 4.15 petang ini.

AgendaMalaysia (AM) difahamkan, dalam surat itu, beliau juga turut menyatakan keputusannya untuk meletakan jawatan sebagai ADUN Beserah. Fauzi adalah penyandang jawatan Ketua Umno Bahagian Kuantan.

Peletakan jawatannya itu dan keputusan untuk keluar dari Umno dibuat sehari selepas beliau membuat laporan polis berhubung apa yang didakwanya sebagai penyalahgunaan kuasa bekas Menteri Besar Pahang, Tan Sri Khalil Yaakob sehingga menjejaskan aliran tunai Kerajaan Negeri hari ini.

Beliau juga disebut-sebut kecewa dengan proses pemilihan pimpinan bahagian itu yang akan menyaksikan perebutan hangat jawatan yang disandangnya kini menjelang pemilihan parti bulan depan.

Fauzi setakat ini gagal memperolehi "lesen" untuk mempertahankan jawatannya kerana tidak memperolehi jumlah pencalonan yang mencukupi berbanding dengan dua calon lain yang menentangnya. Jumlah pencalonan yang diperlukan bagi melayakan diri bertanding jawatan Ketua Bahagian itu ialah 13 iaitu 20 peratus dari bilangan 65 cawangan yang ada dalam bahagian Kuantan.

Sehingga berita ini ditulis, beliau hanya menerima 9 pencalonan manakala Naib Ketua Bahagian, Datuk Faizal Abdullah memperolehi 28 pencalonan dan Timbalan Ketua Bahagian, Datuk Wan Adnan Wan Mohd mendapat 22 pencalonan.

Faizal memang diketahui umum sebagai penyokong kuat Khalil manakala Wan Adnan pula ialah Setiausaha Politik beliau di Kementerian Penerangan.

AM juga difahamkan enam lagi cawangan yang belum mengadakan mesyuarat setakat ini sudah hampir pasti tidak akan memberi pencalonan kepada Fauzi.

Fauzi yang dihubungi oleh AM petang ini enggan mengesah atau menafikan mengenai berita peletakan jawatannya. Katanya, "You tanyalah dengan orang yang beri maklumat itu. Soal kedudukan saya itu hak antara saya dengan Perdana Menteri."

Bagaimanapun berita tersebut telah tersebar luas dan menjadi buah mulut di Kuantan hari ini. Beberapa pemimpin Umno Kuantan ketika dihubungi berkata, sekiranya benar Fauzi turut melepaskan kerusinya di Beserah, Umno akan berhadapan dengan satu lagi ujian getir kerana pada pilihan raya 1999, beliau hanya menang dengan majoriti yang tipis iaitu 991 undi sahaja. Fauzi memperolehi 8,242 undi manakala lawannya dari Pas, Mohd. Yusof Ibrahim memperolehi 7,257 undi. Beserah mempunyai 21,887 pengundi di mana 69 peratus daripadanya adalah pengundi Melayu.

Sementara itu, AM juga difahamkan bahawa Fauzi telah mengadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebelum mengadakan pertemuan dengan Dr Mahathir yang juga Presiden Umno. Sejurus selepas pertemuan itu, AM difahamkan Abdullah telah memanggil mesyuarat tergempar dengan beberapa pegawai kanannya.

Fauzi adalah di antara pemimpin Umno yang pernah menimbulkan kontroversi apabila beliau secara terbuka telah mengunjungi bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Sri Anwar Ibrahim selepas pemecatannya dari Umno dan kerajaan pada 3 September 1998. Beliau kemudiannya sekali lagi menimbulkan kontroversi apabila menyampaikan ucapan yang berbaur simpati ke atas rakan persekolahannya itu ketika berucap pada satu majlis anjuran Umno Pasir Puteh tidak lama kemudian.

Sebelum bertanding DUN Beserah, beliau adalah bekas Ahli Parlimen Kuantan dan bekas timbalan menteri pusat. Spekulasi bahawa beliau akan meninggalkan Umno dan menyertai sebuah parti pembangkang memang menjadi perbualan politik tanahair.

Sementara itu, Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda Parti Keadilan Nasional, Zahid Md. Arip memberitahu, jentera parti itu dan Barisan Alternatif kini sudah bersiap sedia untuk berhadapan dengan Umno sekiranya benar Fauzi melepaskan kerusi dewan undangan itu.