Laman Webantu   KM2A1: 4119 File Size: 7.3 Kb *



AM: Beserah: Fauzi Cukup Bukti dan Saksi
By Intan Rusli

2/4/2001 11:02 am Mon

Pilihan Raya Kecil Beserah

Oleh Intan Rusli

Sudah kosongkah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Beserah sebagaimana yang semua orang sangkakan?

Janganlah terlalu ghairah bahawa satu pilihan raya kecil akan menyusul tiba tidak lama lagi kerana episod pujuk memujuk dalam Umno dan rundingan pintu belakang masih belum selesai.

Memang benar, penyandangnya Datuk Fauzi Abdul Rahman telah menghantar surat peletakan jawatan kepada Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob Jumaat, 30 Mac tetapi Speker Dewan Undangan Negeri mahupun Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) negeri Pahang masih belum menerima surat rasmi bagi tindakan selanjutnya.

Adnan sendiri juga belum membuat sebarang keputusan mengenai surat peletakan jawatan tersebut. Malah Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad sendiri belum membuat sebarang keputusan muktamad berhubung surat peletakan jawatan Fauzi. Mungkin selepas mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno hari ini, beliau akan mengarahkan Adnan mencari formula bagi mengelakkan pilihan raya umum dari terjadi.

Sekarang bukanlah masa yang mudah bagi Umno untuk berhadapan dengan satu lagi pilihan raya kecil selepas demam kemenangan Lunas oleh Barisan Alternatif (BA) belum lagi reda.

Bagi Parti Keadilan Nasional (Keadilan) dan Pas, krisis di Beserah ini adalah saat yang dinanti-nantikan untuk membuat satu lagi pukulan maut ke atas Umno. Barang diingat Umno cuma menang tipis iaitu 985 undi sahaja pada pilihan raya umum 1999.

Dengan kemelut ini dan ditambah lagi perkembangan terbaru ekoran laporan polis yang dibuat oleh Fauzi sendiri ke atas Khalil, pembangkang akan mengeksploit isu rasuah dan penyelewengan habis-habisan untuk memastikan Beserah menerima nasib yang sama seperti Lunas.

Malah para pemimpin utama Keadilan dan Pas telah pun menempah tiket penerbangan paling awal untuk ke Kuantan malam ini dan hujung minggu untuk memulakan kempen awal pilihan raya kecil. Jentera bilik gerakan mereka sepertimana yang dikhabarkan oleh Ketua Penerangan Pemuda Keadilan, Zahid Md Arip kepada Agenda Malaysia (AM) sudah pun digerakkan sebaik sahaja khabar-khabar angin Fauzi akan meletak jawatan tersebar luas di Kuantan minggu lalu.

Tetapi cara Fauzi mengemukakan surat peletakan jawatannya (iaitu kepada Adnan dan bukannya Speaker dewan) telah menimbulkan sedikit teka-teki mengenai status kerusi DUN Beserah. Hanya Speaker DUN yang berhak mengisytiharkan kekosongan kerusi tersebut selepas menerima surat makluman peletakan jawatan ahli dewan walaupun tuan yang punya diri telah membuat satu pengumuman rasmi menerusi sidang akhbar dan melalui surat yang ditujukan kepada Adnan.

Jika diteliti, kenyataan Fauzi bahawa hanya siasatan khusus mengenai penyelewengan dan rasuah ke atas cara pencalonan di bahagiannya sahaja yang boleh menukar semula keputusannya untuk meletakkan jawatan seperti ingin memberi ruang kepada pucuk pimpinan menghantar wakil untuk berunding dengannya berhubung isu ini. Janganlah kita semua lupa bahawa Fauzi adalah ahli politik veteran dan bermain tarik tali dalam politik adalah satu seni yang menyeronokkan.

Fauzi mahu pekong di Kuantan didedahkan tetapi lain pula nampaknya reaksi spontan Dr Mahathir. Cara presiden Umno itu menjawab peletakan jawatan Fauzi adalah dalam bentuk yang menyindir bukannya reaksi direct berhubung isu yang dibangkitkan.

Beliau menyebut sesiapa yang gagal mendapat pencalonan untuk melayakkan mereka bertanding sebarang jawatan dalam parti jangan membuat kacau. Apakah ini bermakna Fauzi yang tidak mendapat pencalonan yang mencukupi untuk layak bertanding sedang membuat kacau dalam parti?

Beberapa pemimpin Umno Pahang yang ditemubual AM memberikan reaksi mereka sendiri. Seorang ketua cawangan yang enggan namanya disiarkan berkata, 'Kenyataan PM itu ada benarnya untuk mengelak calon-calon lain yang ternyata gagal mendapat pencalonan tanpa alasan kukuh mengambil langkah yang sama.'

'Itu tidak baik kepada parti tetapi masalah di Kuantan adalah satu kes yang berbeza. Kegagalan Datuk Fauzi bukanlah disebabkan oleh penolakkan rakyat Beserah tetapi adalah disebabkan faktor seperti yang diberikan oleh beliau,' sambung ketua cawangan itu lagi.

Fauzi dalam perjumpaan dengan penyokong-penyokong yang mengunjungi beliau di rumah malam tadi membuat penjelasan panjang lebar tentang isu ini.

'Beliau akan melepaskan jawatan DUN Beserah sekiranya isu politik wang yang berleluasa di dalam mesyuarat cawangan khasnya di Bahagian Kuantan dan isu salahguna kuasa bekas Menteri Besar, Tan Sri Khalil Yaakob tidak ditangani dengan sewajarnya oleh pihak parti dan polis,' kata seorang pesara guru yang juga perwakilan dari salah satu cawangan di Bahagian Kuantan .

Menurut ahli itu lagi, dalam perjumpaan yang berlangsung sehingga pukul 2.00 pagi itu, Fauzi turut memberitahu terdapat 14 lagi laporan akan dibuat kepada pihak polis terhadap salahguna kuasa di Pahang. AM difahamkan juga dalam perjumpaan tersebut, Fauzi telah memaklumkan beliau mempunyai bukti yang kukuh beserta saksi-saksinya sekali berhubung dakwaan penyelewengan yang dikatakannya itu.

Mengenai penggunaan wang atau hadiah yang begitu berleluasa sehingga beliau gagal dicalonkan untuk mengekalkan jawatan ketua bahagian Kuantan yang disandangnya sejak dua penggal lalu, menurut sumber itu lagi, Fauzi turut mempunyai bukti yang kukuh di atas laporan yang dibuat kepada pihak polis.

Antara bukti yang dinyatakan oleh bekas timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri itu ialah, pemberian wang tunai RM500 beserta sampul surat kepada para perwakilan cawangan, hadiah daging lembu dan hadiah 'hamper'.

Menurut sumber terdekat Datuk Fauzi, ADUN itu juga telah dipanggil mengadap Ke bawah Duli Sultan Pahang untuk memaklumkan kepada baginda tentang isu yang menjadi perhatian seluruh negara ini.

Seperti yang dinyatakan oleh Adnan, Fauzi telah melaksanakan tanggungjawab nya sebagai wakil rakyat dengan cemerlang dan membuka pusat perkhidmatan setiap hari dari pagi hingga ke malam.

'Bukan untuk memujuk atau merayu, kita tidak boleh menghalang mana-mana wakil rakyat untuk meletak jawatan, itu hak masing-masing. Cuma alasan dan sebab di sebalik isu perletakkan jawatan itu perlu diambil perkiraan dan dipertimbangkan sewajarnya,' ujar beliau dalam sidang akhbarnya.

Adnan mengambil sikap berhati-hati dalam krisis ini tetapi nampaknya cara dan bagaimana beliau akan menyelesaikan kemelut tersebut adalah jauh lebih berat dan mencabar daripada apa yang telah beliau lalui di Sanggang.

(31 Mac 2001)


© 2001 AgendaMalaysia

Link Reference : Agenda Malaysia