Laman Webantu   KM2A1: 4129 File Size: 6.6 Kb *



Beserah: Dakwaan Fauzi Jejaskan Umno
By Rozaid Rahman et al

4/4/2001 12:07 am Wed

[Khalil Yaacob sudah tidak ceria dan Mahathir pula mengaku krisis yang dibawa oleh Fauzi boleh menjejaskan imej Umno. Mahathir juga menekankan Fauzi boleh didakwa jika terbukti palsu dakwaannya. Tetapi Fauzi begitu yaqin dengan semua bukti yang ada. Jika Fauzi bersalah dia mungkin akan mengosongkan DUN serta-merta dan ini cukup bahaya kerana tarikh perhimpunan agung Umno tidak jauh berada. Sebaliknya, jika Khalil terkena, banyak lagi mesyuarat bahagian bakal meletup dengan krisis yang serupa.

Walau apa-pun keputusannya - Umno terpaksa menebang sendiri semua pokok-pokoknya yang begitu mahal harganya kerana malu yang tidak terkira..... dimanakah nanti ia akan berteduh bila taufan nanti datang menjelma?
-Editor
]



http://www.agendamalaysia.com/detailinf.asp?gnum=12&num=751

Agenda Malaysia: Analisis Berita


Jawatankuasa Khas Siasat Dakwaan Fauzi Dibentuk

Oleh Rozaid Rahman dan Rosli Ismail

Kuala Lumpur, Sabtu 31 Mac - Umno telah menubuhkan sebuah jawatankuasa ad-hoc untuk menyiasat aduan yang dibuat oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Beserah, Datuk Fauzi Abdul Rahman berhubung isu rasuah dan penyelewengan dalam parti itu dan kerajaan negeri tetapi pada masa yang sama memutuskan bahawa Tan Sri Khalil Yaakob tidak akan dihalang daripada meneruskan tugasnya sebagai setiausaha agung parti.

Sementara siasatan dijalankan bagi mengenalpasti kebenaran dakwaan Fauzi itu, mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Kuantan yang dijadualkan bersidang bulan depan akan ditangguhkan.

Fauzi adalah ketua Umno bahagian tersebut tetapi hanya memperolehi sembilan pencalonan untuk jawatan ketua daripada cawangan-cawangan yang sedang bersidang sekarang. Ini menyebabkan beliau tidak cukup syarat untuk bertanding mempertahankan jawatannya. Beliau mendakwa terdapatnya unsur-unsur rasuah dan politik wang dalam proses pencalonan itu.

Presiden Umno, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad ketika mengumumkan keputusan untuk membentuk jawatankuasa ad-hoc itu selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) di Menara Dato' Onn di sini petang ini menegaskan, Khalil akan tetap dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah walaupun Fauzi telah membuat laporan polis berhubung dakwaan salahguna kuasa ketika beliau menjadi menteri besar.

'Jadi tidak ada halangan baginya untuk meneruskan tugas-tugas sebagai pegawai parti dan juga menteri walaupun MT telah memutuskan untuk menubuh sebuah jawatankuasa ad-hoc bagi meneliti dan menyiasat kes yang dibawa oleh Datuk Fauzi,' ujarnya ketika menjawab soalan pemberita berhubung status Khalil ekoran terbentuknya jawatankuasa ad-hoc tersebut.

Bagaimana pun, Dr Mahathir mengingatkan bahawa dalam kes ini, seandainya dakwaan-dakwaan tersebut didapati tidak benar dan tidak berasas, pihak yang membuat aduan akan dikenakan tindakan disiplin.

Turut hadir pada sidang akhbar itu ialah Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi; Naib-naib Presiden, Datuk Seri Najib Tun Razak, Tan Sri Muhammad Hj Muhd. Taib dan Tan Sri Muhyiddin Yassin serta Ketua Pergerakan Wanita, Datuk Seri Rafidah Aziz.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob yang sebelum ini tidak pernah menghadiri sidang akhbar MT kelihatan turut serta di celah-celah para wartawan yang memenuhi kerusi-kerusi di bilik mesyuarat berkenaan.

Sepanjang sidang akhbar yang kelihatan 'tegang' itu, Khalil duduk di sebelah Dr Mahathir sepertimana lazimnya tetapi dengan wajah yang tidak begitu ceria. Bagaimanapun untuk mengendurkan sedikit suasana itu, Dr Mahathir telah berhenti seketika untuk menunjukkan pita-pita rakaman yang dibuat oleh Pas untuk mempersendakan pertemuan antara jawatankuasa teknikal kedua-dua parti itu berhubung isu perpaduan Melayu

Dalam sidang akhbar itu juga, soal kedudukan Khalil serta dakwaan-dakwaan yang dikaitkan dengannya tidak dibangkitkan oleh Dr Mahathir sebaliknya fokus adalah lebih tertumpu kepada Fauzi dan juga tindakan yang diambil untuk menyiasat dakwaannya.

Ketika membuat aduan polis sehari sebelum menyatakan hasrat untuk meletakkan jawatan, Fauzi mendakwa, Khalil telah menyalahgunakan kuasanya sebagai menteri besar Pahang selama 13 tahun menerajui kerajaan negeri.

Antara salahguna kuasa yang didakwanya itu ialah penyelewengan harta kerajaan negeri sebanyak RM300 juta hingga RM900 juta dalam bentuk pemberian kawasan konsesi balak. Fauzi meminta Khalil menjelaskan kenapakah kawasan balak yang sepatutnya dibuka pada tahun 2000 hingga 2004 sudahpun diterokai.

Fauzi mendakwa beliau mempunyai bukti kukuh untuk membongkar maklumat dalaman ini setelah menjadi ahli dewan undangan negeri selama dua penggal. Sebelum ini katanya beliau hanya menjadi anggota Dewan Rakyat dan oleh itu tidak begitu memahami perjalanan pentadbiran kerajaan negeri.

Dalam pada itu, Dr Mahathir menjelaskan, jawatankuasa ad-hoc yang dibentuk ini akan bertugas di bawah bidang kuasa Jawatankuasa Disiplin parti yang dipengerusikan oleh Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen. Jawatankuasa ini juga katanya akan turut menyiasat aduan Fauzi berhubung penggunaan politik wang dalam pencalonan jawatan Bahagian Kuantan.

'Saya juga ingin tegaskan bahawa siasatan ini akan dijalankan secepat yang mungkin - oleh itu sesiapa yang memiliki bukti yang jelas hendaklah tampil ke hadapan supaya tindakan boleh diambil,' tegas Dr Mahathir.

Beliau turut memberi jaminan bahawa jawatankuasa ad-hoc ini akan menjalankan siasatan seadil yang mungkin, neutral serta akan melaporkan hasil siasatan mereka kepada Jawatankuasa Disiplin parti.

Tentang kedudukan Fauzi sementara menunggu jawatankuasa ini selesai menjalankan tugas mereka, Dr Mahathir berkata, setakat yang beliau faham Fauzi masih belum meletakkan jawatan.

'Dia belum lagi letak jawatan - ini akan ditentukan oleh dia sendiri,' ujar Dr Mahathir.

Ditanya, mengapakah kes ini diberi perhatian istimewa sedangkan terdapat juga aduan yang dibuat oleh ahli-ahli Umno di bahagian lain, Dr Mahathir menjawab, ini kerana dakwaan yang dibuat oleh Fauzi boleh menjejaskan imej Umno.


© 2001 AgendaMalaysia