Laman Webantu   KM2A1: 4131 File Size: 25.3 Kb *



SKhinge: Konspirasi Syaitan
By Steffan Khinge & Associates

4/4/2001 1:22 am Wed

[Rencana ini diterbitkan semula untuk mengingati seorang penulis hebat reformasi yang menggunakan nama samaran Steffan Khinge & Associates. Perhatikan bagaimana Mahathir menukar-nukar alasan, menyiasat dan menghukum sendiri tanpa melakukan pemeriksaan, dan mementaskan beberapa lakunan untuk mengaibkan Anwar. - Editor]



KONSPIRASI SYAITAN

Oleh: Steffan Khinge & Associates


Mahathir berdolak-dalik

Pemecatan Anwar Ibrahim dari jawatan-jawatan Timbalan Perdana Menteri, Menteri Kewangan, Timbalan Presiden UMNO dan sebagainya ternyata perkembangan politik tanahair yang amat menakjubkan bagi pelbagai pihak. Masyarakat Malaysia dan dunia tidak menyangka sama sekali bahwa penyingkiran Anwar dengan mendadak termasuk di dalam rancangan drastik Mahathir. Dalam sekelip mata pemimpin yang bakal menjadi Perdana Menteri Malaysia yang ke 5 telah diisytiharkan sebagai Musuh No. 1 Negara (Public Enemy No. 1). Lantaran dari pengishtiharan perang ke atas Anwar maka jentera konspirasi Maha Jahat memulakan rancangan mengaibkan Anwar dengan sepenuh komitmen. Bagaikan meniru plot cerita Hollywood, "Enemy of the State" program yang disusun telah dibuat sedemikian rupa supaya rakyat diperdayakan dengan fitnah dan akhirnya mempercayai bahwa Anwar adalah ancaman kepada negara. Hakikatnya Anwar bukanlah musuh rakyat tetapi merupakan ancaman yang Maha Bahaya bagi cucu Iskandar Kutty dan kroni-kroninya.

Pertama kali ditanya oleh wartawan mengenai alasan pemecatan Anwar, Mahathir sekadar menjawab bahwa Anwar "tidak sesuai". "Ketidaksesuaian" Anwar kemudiannya dikaitkan dengan isu bermoral rendah hanya beberapa hari kemudian. Agaknya selepas 16 tahun bersama-sama Anwar barulah Mahathir mengetahui sifat keji Pak Syeikh yang disanjungi para intelek dunia Islam. Namun begitu apabila ditanya lagi dalam pertemuan berlainan, Mahathir mendedahkan bahwa dia mempunyai bukti yang Anwar sedang berusaha menjatuhkannya. Kononnya Mahathir hanya membongkar niat jahat "Brutus" ini setelah salah laku moral Anwar diumumkan ke seluruh dunia.

Mahathir mendakwa bahwa dia amat yakin tentang kepincangan moral "anak didik" bernama Anwar Ibrahim setelah menemuramah Azizan Abu Bakar dan Umi Hafilda. Mahathir merasakan tidak perlu menunggu siasatan polis selesai sebelum membuat sebarang keputusan. Bukti-bukti siasatan dan perubatan tidak perlu diketengahkan. Mahathir yang pernah mengamalkan kerjaya kedoktoran merasakan adalah memadai mendengar pandangan orang lain sebelum melakukan pembedahan kritikal terhadap pesakitnya. Penjelasan dan latarbelakang perubatan orang yang hendak dibedah tidak diambilkira dan pemeriksaan teliti terhadap punca penyakit tidak perlu dilakukan. Bagi Mahathir yang Maha Pintar cukuplah pengakuan seorang bekas pemandu dan kesangsian seorang anak ustaz terhadap kakak iparnya dan anak saudaranya. Jika mereka bersumpah bahwa Anwar adalah seburuk-buruknya manusia maka Mahathir tidak akan mempertikaikan walau sedikitpun pernyataan kedua-dua insan ini.

Dalam mana-mana sistem keadilan seantero dunia seseorang itu dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya. Di negara Malaysia yang serba boleh ini tidak lagi perlu bagi orang yang membuat tuduhan untuk mengemukakan bukti. Malaysia era Mahathir menuntut orang yang dituduh "membersihkan" dirinya dari tuduhan yang dilemparkan. Mengikut kaedah jenayah Mahathir ini adalah wajar benar bagi Abdul Rahim a/l Thamby Kechik tampil ke hadapan umum membuktikan bahwa dia tidak pernah mengadakan hubungan seks dengan cucu Puan Pendek dan anak yang dilahirkan bukanlah hasil perkongsian haram mereka berdua. Sekiranya anak Thamby Kutty sanggup melakukan ujian DNA oleh badan yang berkecuali dan nyata bahwa anak kecil itu bukan zuriatnya barulah masyarakat Malaysia akan memohon kemaafannya dan akan bersihlah namanya buat selama-lamanya. Begitu juga halnya dengan Leftenan setia Mahathir, Megat Junid. MJ si Mata Keranjang juga perlu membersihkan namanya dan membawa bukti-bukti nyata yang melepaskannya dari terus dituduh terbabit dengan pembunuhan seorang wanita bernama Mustakizah.


Watak-watak Konspirasi

Azizan Abu Bakar amat beruntung dapat berkawan dengan Monica Lewinsky Malaysia yang muncul dalam hidupnya bagaikan rahmat dari langit. Kalau Azizan membuat tuduhan terhadap Anwar secara bersendirian tiada siapa akan mempercayai bekas drebar yang paling berkarisma di dunia. Maka bersyukurlah Azizan ke hadrat Ilahi bahwa ada insan bernama Umi Hafilda yang sudi membantunya. Umi Hafilda mengenali Anwar melalui penglibatan abangnya Azmin. Umi juga mengetahui bahwa Azmin sekeluarga sangat akrab dengan Anwar. Cuma Umi sangsi terhadap kakak iparnya, Shamsidar dan anak saudaranya, Affifa. Puas Umi berfikir mengapa Affifa memanggil Anwar "Uncle Papa" tetapi tidak terlintas pula di kepala Umi apa sebabnya anak kecil ini menggelarkan Dr Wan Azizah "Auntie Mummy". Akhirnya Umi "Lewinsky" mendapat ilham sensasi sewaktu menatapi gambar "Uncle Papa" bahwa ada kemungkinan anak saudaranya hasil perkongsian haram Anwar dan Shamsidar! Lagipun Umi merasa irihati terhadap hubungan mesra kedua-dua keluarga Anwar dan Azmin. Umi tidak dapat tidur lena mengenangkan perasaannya terhadap "Uncle Papa". Oleh kerana "Uncle Papa" tidak membalas perasaan cintanya yang sejati maka Umi bertekad untuk memastikan supaya tiada wanita lain boleh memiliki Anwar.

Menyedari tanggungjawabnya terhadap "agama, bangsa dan negara" maka Umi berjaya menyakinkan Azizan bahwa sudah tiba masanya untuk didedahkan kepada umum sifat keji dan munafik "anjing" bernama Anwar. Yang peliknya bagaimana kedua-dua pendokong "Negara Kita, Tanggungjawab Kita" ini dapat diketemukan. Azizan telah berhenti menjadi drebar Dr Azizah hampir 10 tahun lamanya kerana menceburkan dirinya yang keparat dalam alam korporat. Pertemuan mereka ini berlaku pada tahun 1997. Barangkali "takdir penentu segalanya" ataupun disebabkan Umi kenal rapat Datin Norziela Jalil. Mungkin juga suatu kebetulan (coincidence) Datin "Tarzan Rimba" ini merupakan isteri kedua Dato' Megat Junid "Yob Gigolo". Dato' Megat J. dan kembar tidak seirasnya, Dato' Seri Sanusi J. memang sudah lama menjadi hulubalang "kamikaze" Mahathir. Agaknya Azizan merasa amat bertuah kerana dapat mengenali si Umi Hafilda tokoh Karisma Advertising yang ada laluan terus (direct access) kepada orang bawah dagu Mahathir. Umi terhutang budi kepada Dato' Megat J. kerana semasa MJ menerajui Pemadam dapatlah Umi kontrak yang tidak kurang lumayan dari badan berkenaan. Lagipun Karisma Advertising memerlukan "suntikan modal" buat melangsaikan hutang tidak berbayar (NPL). Maka sedikit "duit poket" dari mana-mana pihak sangat dihargai oleh Umi si "Walking Wardrobe". Umi juga bertuah kerana mendapat sokongan Mastermind Agung Maha Kroni, Abdul Daim Zainuddin yang siang-malam membuat duit.

Tuduhan-tuduhan melulu kedua-dua pelakon utama dibukukan oleh seorang lagi mamak tongkang bernama Khalid Jafri Bakar Shah. Buku kumpulan surat-surat layang ini diberi tajuk "50 Dalil Mengapa Anwar Tidak Boleh Menjadi PM". Khalid Jafri adalah seorang bekas wartawan yang hampir muflis. Kalaulah Salman Rushdie laknatullah tergamak menulis buku "Surah-surah Syaitan" (The Satanic Verses) maka buku Khalid "Rushdie" ini sepatutnya dinamakan "Pembohongan Syaitan" (The Satanic Lies). Kandungan kitab fitnah tulisan Khalid sebenarnya hanya layak sebagai bahan bacaan kelakar kerana "dalil-dalil"nya ternyata berdasarkan tuduhan yang tidak berasas dan sengaja direka-reka. Sebagai contoh, antara satu "dalil" yang dikemukakan oleh Khalid Al-Terpalit ialah nama Anwar yang didakwa membawa erti seorang yang suka berperang : An-War!

Sayugia diingatkan bahwa Mahathir adalah seorang yang pragmatik samalah seperti binatang "chameleon", seekor cengkarung yang boleh mengubah warna kulitnya mengikut keadaan sekeliling. Bukanlah sesuatu yang aneh bagi Mahathir untuk melakonkan sandiwara semata-mata untuk mengaburi mata dunia. Lihatlah bagaimana pada mulanya Mahathir menolak dakwaan salah laku Anwar yang dikarang bersama oleh Umi Hafilda Si Kaki Hutang dengan bantuan "mangsa l*wat" bernama Azizan. Begitu juga dengan Bekas Ketua Lanun Negara, Rahim Noor yang mengatakan semuanya adalah karut belaka. Samalah halnya dengan Bekas Pengarah Cawangan Khas (SB - Syaitan Bisu), Said Awang yang menyifatkan dakwaan berkenaan sebagai "too good to be true" dan sengaja direka-reka.

Mengapakah Azizan, Umi Hafilda dan Khalid Mamak Tongkang sanggup melakukan pendustaan terhadap Anwar? Apakah mereka ini tiada lagi maruah? Tergamakkah Trio Fitnah ini menjual maruah demi wang? Sebenarnya pengabdian diri segelintir manusia terhadap wang mampu melampaui batasan moral, maruah dan agama. Kalau ada penjahat yang bersetuju membunuh hanya dengan upah RM 50,000 maka tidak sedikit pun menghairankan ada yang sanggup memfitnah jika bayaran yang ditawarkan tersangat lumayan. Apatah lagi dengan mendapat jaminan perlindungan dari orang-orang yang sangat berkuasa di dalam negara. Berapa lamakah seseorang itu perlu bekerja untuk memperolehi wang sebanyak RM 1 juta? Katakanlah seorang drebar macam Azizan menerima gaji RM 1,500 sebulan. Untuk mengumpul RM 1,000,000 maka dia terpaksa bekerja selama hampir 60 tahun! Tidak mungkin si drebar pelupa ini akan dapat mengecapi nikmat dunia ini sepanjang hayatnya.


Media Melakukan Pendustaan

Akhbar tempatan memuatkan affadavit sensasi terhadap Dato' Nallakaruppan di muka hadapan masing-masing. Antara kandungan affadavit berkenaan ialah mengenai dakwaan salah laku seks Anwar Ibrahim. Buat pertama kali dalam sejarah negara sesuatu dokumen mahkamah telah mendapat liputan tanpa batas. Yang lebih menakjubkan ialah affadavit ini telah disiarkan dengan begitu pantas sekali SEBELUM mahkamah membuat keputusan membenarkan dokumen itu ditontonkan kepada umum. Perincian butiran tuduhan-tuduhan bertaraf XXX ini menggemparkan masyarakat Malaysia. Media tempatan yang selama ini alim-alim kuching dengan tanpa silu menghidangkan kisah-kisah liwat dan seks bebas. Semuanya ini dibiarkan sahaja oleh pihak pemerintah dengan harapan rakyat akan mempercayai kepincangan akhlak Anwar.

Serangan bertalu-talu media tempatan tidak sahaja terhad kepada Anwar. Malahan sesiapa saja yang bersimpati dengan bekas TPM dijadikan sasaran. Kumpulan wanita kelas menengah yang berkumpul di hadapan pintu Istana Negara dilabel sebagai "pelacur". Meskipun Ketua Polis Kuala Lumpur menafikan pembabitan golongan perempuan sundal, Utusan Malaysia, suratkhabar penyebar fitnah tidak langsung menyiarkan penafian ini mahupun meminta maaf. Akhbar ini bertindak sebagai alat propaganda Mahathir yang sengaja memutarbelitkan berita. Zainudin Maidin, khadam setia Mahathir telah menghancurkan kewibawaan akhbar Melayu ini. New Straits Times juga memainkan peranan yang penting dalam mencemarkan nama baik Anwar di kalangan pembaca akhbar Inggeris. Seorang lagi hantu raya Maha Kroni, Kadir Jasin cukup bertenaga membuat pembohongan demi mempertahankan tuannya. TV3 milik Kumpulan NSTP bertukar wajah dengan menyiarkan "Pembohongan Sensasi, Fitnah Terkini" dari hari ke hari. Akhbar-akhbar lain seperti Berita Harian, The Star dan The SUN (milik Vincent Tan) tidak kurang hebat menabur fitnah.

Rakyat yang sudah bosan dengan sandiwara pembohongan harian media bertindak memboikot Utusan dan akhbar-akhbar lain. Akibatnya penjualan akhbar-akhbar ini terjejas teruk. Sebagai alternatif orangramai beraleh selera dengan merujuk kepada Harakah, media asing seperti AFP, CNN dan BBC, dan laman-laman web pro-reformasi untuk mendapatkan liputan berita kes Anwar dan gerakan reformasi. Sumber berita alternatif ini berjaya menyemarakkan api reformasi ke seluruh negara sehingga kini. Barangkali tidak lama lagi Maha Fitnah akan mengarahkan sebuah Dana untuk menyelamatkan syarikat-syarikat media tempatan yang kian lemas dalam gelora fitnah ciptaan sendiri.


Malaysia Menjadi Negara Polis

Sejarah Kesultanan Melaka silam yang menjadi kebanggaan rumpun Melayu sehingga kini telah melahirkan tokoh-tokoh unggul seperti Bendahara Tun Perak dan Hang Tuah. Melaka hancur kerana fitnah dan pengkhianatan rakyatnya yang bersekongkol dengan penjajah. Sejarah malang kesultanan Melaka bagaikan berulang kembali apabila anak kelahiran Serkam, Melaka bernama Abdul Rahim Noor telah bersubahat dengan Mahathir untuk memfitnah dan menzalimi Anwar.

Rahim Noor telah mengarahkan polis menangkap orang-orang yang dianggap pro-Anwar samada untuk disiasat, diugut atau diseksa. Penahanan tanpa bicara di bawah Akta Syaitan ISA dibuat dengan sewenang-wenangnya. Ada tahanan yang dipukul, didera secara mental dan ditelanjangkan semasa tahanan. Sebagai menjunjung titah perintah Sultan Maha Zalim, Ketua Lanun Negara @ PIG telah melepaskan "anjing-anjing" FRU dan PGA untuk menyerang dan membelasah tanpa belas kasihan rakyat yang menunjuk perasaan secara aman. Apa yang Maha Zalim takutkan sangat dengan perkataan "Reformasi"? Keganasan polis pada 21 September, 26 September, 17 Oktober dan 24 Oktober yang berdarah sudah menjadi sebahagian dari sejarah malang negara. Pihak Special Branch yang cukup terlatih dan disegani berubah wajah menjadi kumpulan samseng. Benarlah kata Anwar bahawa PDRM bertindak seperti Gestapo dan Mossad!

Martabat polis terus tercemar apabila segelintir pegawainya terlibat dengan pemalsuan bahan bukti, peras ugut dan pembohongan. Minda rakyat Malaysia diperlecehkan apabila pihak polis mengemukakan pengakuan palsu liwat dan tilam sebagai "bukti" salah laku seks Anwar. Kalaulah benar Anwar melakukan semua tuduhan salah laku seks mengapakah sehingga kini tiada bukti video menunjukkannya memasuki "sarang seks" bersama-sama wanita-wanita berkenaan dan melakukan kerja yang terkutuk itu? Kepercayaan dan rasa hormat kepada pasukan polis hancur lebur dengan sekelip mata. Polis yang berbangga dengan slogan "Cepat dan Betul" dilihat sebagai musuh yang telah mengishtiharkan perang ke atas rakyat. Barangkali slogan polis perlu ditukar menjadi "Sebat dan Pukul". Perletakan jawatan Rahim Noor hanyalah sandiwara untuk memperdayakan rakyat. Tidak menghairankan sedikitpun sekiranya SuruhanJaya "Bebas" ke atas kecederaan Anwar akan mendapati bekas PIG bersalah membelasah Anwar! Kemungkinan ini tidak ditolak jika Mahathir ingin melepaskan dirinya dari dibakar oleh api kemarahan rakyat. Seandainya ini berlaku maka barangkali ianya balasan setimpal kepada manusia yang sanggup menggadaikan rohnya kepada Syaitan.


Mahkamah Kangaroo Kebanggaan Mahathir

Penganiayaan terhadap Anwar Ibrahim telah membuktikan kepada masyarakat dunia betapa pincangnya sistem kehakiman di bawah telunjuk Mahathir berdarah Malbari. Malahan perbicaraan Anwar yang "diadili" oleh Hakim Augustine Paul @ Hakim Tidak Relevan mencatat sejarah sebagai sitcom komedi terbaik pernah dihasilkan. Kehebatan lakonan saksi-saksi pendakwaan, kepakaran bidan terjun DNA bernama Lim Kong Boon, ketelitian pihak polis terutamanya anak seorang ustaz bernama Musa, kehandalan pasukan pendakwaan pimpinan Gani Patail yang menerima bantuan dari abangnya, Wahab dan kemunculan "saksi bisu" Orthoflex yang diusung keluar masuk berhari-hari lamanya memastikan produksi tempatan ini menjadi bahan ketawa seluruh dunia. Di samping itu rakyat Malaysia menerima kursus pendidikan seks percuma menerusi media tempatan yang melaporkan setiap isu dengan penuh berahi. Liputan meluas ini mendapat restu Menteri Penerangan yang Maha Bulat Ketaatannya kepada Mahathir.

Sesungguhnya penulis-penulis skrip saga Anwar ini patut menerima pingat atau anugerah terhormat di atas kreativiti mereka. Inspirasi mereka sudah tentunya datang dari negara yang berbangga dengan industri hiburan di Hollywood. Mereka menciplak ide daripada kes skandal seks Presiden Bill Clinton. Kalau Monica Lewinsky menyimpan baju biru yang terdapat kesan kelelakian Clinton maka konspirator serba boleh kita mengilhamkan tilam yang dirampas dari kondominium eksklusif. Akan tetapi penulis skrip tidak menyangka akan timbul pita rakaman Dato Sng dengan Umi "Lewinsky". Barangkali panel skrip terlupa akan episod pita-pita rakaman Linda Tripp, sahabat Monica dalam kes skandal Clinton. Walaupun begitu sandiwara arahan Mahathir diteruskan juga dengan bantuan padu Hakim Tidak Relevan yang dengan sewenang-wenangnya menolak pita-pita berkenaan sebagai bahan bukti. Augustine a/l Sinappan kerap menangguhkan keputusan mengenai beberapa hal kes untuk merujuk kepada tuan-tuan beliau. Apabila tamatnya episod Anwar ini S. Augustine Paul akan menjadi tidak relevan dalam sejarah negara sepertimana Hakim Ajaib Singh hilang keajaibannya selepas memainkan peranannya dalam pemecatan Tun Salleh Abbas.

Pindaan minit terakhir pihak pendakwaan kepada keempat-empat pertuduhan terhadap Anwar sememangnya berniat jahat. Ramai yang melihat tindakan ini sebagai cubaan terdesak menyelamat kes pendakwaan yang hampir punah. Namun begitu percayalah bahwa pendedahan tuduhan salah laku seks Anwar sememangnya telah dirancang dari mula lagi. Tujuannya untuk memalukan Anwar dan menghilangkan kepercayaan rakyat terhadapnya. Usaha ini samalah seperti penyiaran affadavit dakwaan terhadap Dato' Nalla menerusi media dan pengakuan palsu Sukma dan Dr Munawar. Bagi Mahathir dan syaitan-syaitan ikutannya jika tipu helah sebegini berjaya memalingkan rakyat dari Anwar maka rancangan jahatnya sudah mencapai kejayaan. Pemulauan Anwar oleh rakyat sudah pasti akan membunuh karier politiknya buat selama-lamanya.

Yang pasti kepercayaan rakyat terhadap institusi kehakiman berada di tahap yang paling rendah di dalam sejarah negara semenjak mencapai kemerdekaan. Sistem kehakiman yang diterajui oleh Ketua Hakim Negara, Eusoff Chin bagaikan sisa pintu gerbang Kota A Fomasa di Melaka yang hanya tinggal serpihan kegemilangannya. Gambar-gambar seorang anak Melaka yang menjawat jawatan Peguam Negara, Mohtar Abdullah melancong ke Eropah bersama-sama seorang kroni Mahathir bernama Vincent Tan menimbulkan tanda tanya mengenai dasar berkecuali sistem yang pernah disanjungi di seluruh Komanwel.


Iktibar Pemecatan Anwar

Sekali pandang kontroversi yang dicetuskan oleh Mahathir seolah-olah tertumpu terhadap masalahnya dengan Anwar. Walaubagaimanapun jika dihalusi keseluruhan episod ini nyatalah ianya melibatkan monopoli kekuasaan yang bertunjangkan mempertahankan kepentingan segelintir individu. Golongan tamak ini tidak mahu melepaskan cengkaman ke atas pembolotan kekayaan negara untuk kesejahteraan mereka. Ini menyebabkan penyamun-penyamun ini tergamak untuk menipu rakyat jelata secara terang-terangan berselindungkan pemerintahan kuku besi elit pemerintah. Dominasi kerajaan Barisan Nasional sekian lama menyebabkan rasuah, penganiayaan dan penipuan sudah bermaharajalela tanpa kawalan di segenap lapisan hiraki kepimpinan BN. Menyedari betapa perlunya "status quo" ini dikekalkan maka barisan pemimpin yang diberikan mandat untuk mentadbir negara oleh lebih separuh pengundi bersedia melakukan apa saja tindakan.

Penganiayaan terhadap Anwar Ibrahim bukannya setakat menjatuhkan maruah dirinya dan ahli keluarganya. Ianya bukan juga sekadar percubaan membunuh karier politik Anwar. Isu terpenting ialah mengenai keadilan untuk sekalian rakyat. Jenayah elitist ini menunjukkan betapa keseluruhan institusi-institusi negara yang berperanan untuk melindungi rakyat telah disalahgunakan pada tahap tertinggi untuk memfitnah, mengaibkan, mengancam keselamatan dan menghukum orang no. 2 dalam negara semata-mata mengikut telunjuk seorang pemimpin otokrat. Andaikata rancangan jahat ini dapat dijayakan dengan sewenang-wenangnya maka amat malang nasib rakyat biasa. Sekarang pun kita sudah berada dalam suasana Negara Polis (Polis State) apabila terlalu banyak sangat undang-undang yang diwujudkan untuk menyekat kebebasan bersuara. Adalah dikhuatiri negara kita akan menuju zaman pemerintahan kuku besi yang mutlak di mana segala kebebasan dan hak asasi manusia terjagat akan dihapuskan. Era pemerintahan Hitler dan Marcos adalah bukti nyata bagaimana sesebuah demokrasi berparlimen akhirnya bertukar menjadi sistem diktator.

Kontroversi pemecatan Anwar juga mendedahkan kepalsuan dan sifat-sifat kepura-puraan Mahathir dan kaum politiknya. Islamisasi yang dicanangkannya hanyalah sekadar memelihara kesinambungan politik sekular yang tergugat oleh arus kesedaran semula umat Islam. Ancaman politik yang datang dari PAS menjelma sebagai hantu raya yang menakutkan Mahathir. PAS era pimpinan ulamak telah menjalani reformasi menyeluruh dan menampilkan wajah Islam yang lebih menyakinkan. Kecenderungan pergerakan belia Islam yang dikepalai oleh ABIM pimpinan Anwar terhadap perjuangan PAS menggugat kedudukan Mahathir, UMNO dan Barisan Nasional. Kemasukan Anwar ke dalam UMNO merupakan adalah pra-syarat bagi Mahathir menepis ancaman pergerakan Islam.

Setelah hampir dua dekad berlalu maka berakhirlah sebuah impian dengan sungguh mengaibkan. Sayugia diingatkan bahwa usaha mengislamkan UMNO dari dalam tidak mencapai matlamatnya. Mustahil bagi suatu sistem yang tidak bercirikan perjuangan Islam untuk berubah haluan kepada menegakkan syari'at Islam tanpa membuangkan segala pegangan sekularnya. Tiada faedahnya eksperimen yang gagal ini diteruskan lagi kerana hasilnya adalah sama. Masanya sudah tiba untuk pembaharuan total dilakukan demi mengembalikan keadilan sejagat kepada sesama insan.



Tuntutan Reformasi

Reformasi yang diperjuangkan oleh rakyat dari segenap lapisan masyarakat, fahaman politik dan ugama bukanlah setakat memastikan Anwar Ibrahim mendapat pembelaan yang adil. Akan tetapi reformasi rakyat ini menuntut agar keadilan dikembalikan sepenuhnya kepada rakyat. Negara mestilah menghormati dan mempertahankan keseluruhan prinsip-prinsip hak asasi manusia sejagat. Kerajaan yang memerintah berkewajipan memastikan setiap warganegara menikmati layanan yang saksama, tidak diganggu gugat oleh mana-mana pihak yang berniat jahat dan dapat hidup dengan aman dan bebas menurut lunas undang-undang yang adil.

Reformasi menyeluruh menuntut, antara lain:



  1. Mahathir berundur segera sebagai Perdana Menteri, Menteri kabinet dan ahli Parlimen.

  2. Menghadkan tempoh seseorang menjadi Perdana Menteri.

  3. Penubuhan Suruhanjaya Kebenaran (Truth Commission) yang diberi mandat mendakwa Mahathir dan kuncu-kuncunya, Rahim Noor dan pegawai-pegawai polis berkaitan, pegawai-pegawai kehakiman seperti Hakim Negara, Eusoff Chin, Peguam Negara, Mohtar Abdullah dan hakim-hakim yang terbabit di atas jenayah kepada rakyat Malaysia.

  4. Dimansuhkan semua jenis undang-undang yang membenarkan penahanan tanpa bicara, menyekat kebebasan bersuara dan menghalalkan penindasan terhadap rakyat.

  5. Ketelusan sepenuhnya dari kerajaan yang dilantik terutamanya dalam hal-hal membabitkan penggunaan khazanah negara, pengagihan kekayaan dan kepentingan umum.

  6. Menggantikan wakil-wakil rakyat yang menyalahgunakan amanat yang diberikan rakyat.

  7. Merombak keseluruhan organisasi dan fungsi Polis Diraja Malaysia terutamanya Cawangan Khas, CID, FRU dan PGA bagi membanteras penyalahgunaan kuasa dan amalan rasuah.

  8. Menjadikan sistem kehakiman dan Badan Pencegah Rasuah benar-benar bebas dari campurtangan ahli-ahli politik.

  9. Sistem pilihanraya dikaji semula perlaksanaannya dari segi pembahagian kerusi, penentuan sempadan kawasan pilihanraya, undi pos, nilai setiap undi dan kerahsiaan undi.


Walauapapun kesudahan peristiwa pemfitnahan Anwar Ibrahim, reformasi menyeluruh yang disarankan wajib diteruskan. Sebarang kompromi politik mestilah ditolak kerana isu utama ialah mengembalikan keadilan kepada rakyat. Barisan Nepotisme yang didalangi oleh UMNO sudah tidak lagi relevan kepada negara. Keseluruhan warganegara Malaysia mestilah berani mengikut jejak rakyat Filipina yang menyingkirkan diktator bernama Marcos dan rakyat Jepun yang mengucapkan Selamat Tinggal kepada parti LDP yang menerajui Negara Matahari Terbit selepas Perang Dunia Kedua.

Mulakanlah lembaran baru bagi Malaysia yang Merdeka!

-Steffan Khinge & Associates-
11/2/1999