Laman Webantu   KM2A1: 4141 File Size: 5.3 Kb *



AM: Anwar Di perkuburan
By AM

5/4/2001 1:35 am Thu

[Suasana pilu dan muram di perkuburan seorang ibu yang begitu berjasa kepada negara tetapi tidak dicatatpun oleh media perdana dengan adilnya. Bagaimana pula dengan sumbangan kita kepada negara?

Yang peliknya mengapa begitu ramai polis dan pegawai penjara mengawal Anwar sedangkan beliau tidak mampu bergerak bebas akibat kesakitan?
- Editor
]


http://www.agendamalaysia.com/detailinf.asp?gnum=12&num=761


Anwar Dibenarkan Ziarah Jenazah Bondanya

Oleh Wartawan AM

KUALA LUMPUR, Rabu 4 April - Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akhirnya diberi kebenaran oleh pihak berkuasa penjara untuk menziarahi jenazah bondanya buat kali terakhir hari ini tetapi beliau tidak dibenarkan berada di kawasan masjid Bukit Damansara di mana upacara sembahyang jenazah dilangsungkan.

Tiba dengan sebuah ambulans yang dikawal ketat oleh pihak penjara, Anwar yang berkerusi roda dan berbalut di paras pinggang duduk di sebelah pusara bondanya yang tercinta, mengenggam segumpal tanah dan kemudian dengan perlahan memasukkannya ke liang lahat. Beliau diapit oleh pegawai-pegawai penjara tetapi beribu lagi tangan yang mengaminkan doa untuk ibunya itu mengemakan suasana hening di tanah perkuburan Kiara dekat Damansara.

Bergerak dengan perlahan sambil dipimpin oleh isterinya, Wan Azizah Wan Ismail, Anwar yang pertama kali menjejakkan kaki ke dalam rumahnya yang sederhana di atas Bukit Damansara, telah memperolehi kebenaran khas untuk melihat wajah Allahyarham Che Yan Hamid buat kali terakhir setelah peguamnya, Sankara Nair, menghantar sepucuk surat kepada Jabatan Penjara pagi ini memohon kebenaran tersebut.

Pihak penjara menjawab surat itu menjelang tengah hari ini dengan menyatakan kebenaran untuk Anwar berbuat demikian.

Bagaimanapun kebenaran itu adalah bersyarat iaitu Anwar hanya dibenarkan berada di kediamannya dan kemudian diiringi oleh kenderaan penjara ke tanah perkuburan Bukit Kiara dekat sini untuk upacara pengkebumian.

Che Yan, 74, atau lebih mesra dengan panggilan Mak Yan telah menghembuskan nafasnya yang terakhir semalam di sisi Anwar ketika dirawat di Hospital Universiti Petaling Jaya kerana serangan sakit jantung. Mak Yan telah dimasukkan ke wad rawatan rapi setelah pertama kali diserang sakit jantung Ahad lalu.

Kediaman Anwar di Bukit Damansara sejak awal lagi dipenuhi dengan ribuan orang termasuk sanak saudara dan sahabat handai serta para pemimpin dari Barisan Alternatif sehingga menjelang jenazah dibawa ke masjid untuk dimandi dan dikapankan sebelum disembahyangkan. Jenazah Mak Yan kemudiannya telah dibawa ke tanah perkuburan Bukit Kiara.

Di sana, dua buah bas yang dipenuhi dengan para pegawai penjara telah siap menanti kedatangan Anwar yang dibawa dalam satu kenderaan yang berasingan.

Suasana pilu menyelubungi tanah pusara yang menyaksikan buat kedua kalinya keluarga Anwar menziarahinya dalam tempoh hampir dua tahun setelah abang sulungnya, Rani meninggal dunia pada tahun 1999.

Selepas bondanya selamat disemadikan, Anwar sekali lagi disorong di atas kerusi roda terus ke arah ambulans yang sedia menanti. Dengan bantuan beberapa orang pegawai hospital dan penjara, beliau diangkat naik ke atas ambulans kemudian mengangkat tangannya ke arah orang ramai dan juga mereka yang menghadiri upacara di situ.

Polis dan pegawai-pegawai penjara duduk dan berdiri bersama-sama orang-ramai yang telah pun memenuhi ruang sekitar kubur bondanya - sekaligus memperlihatkan suasana yang amat kontras di antara uniform biru mereka dengan hadirin yang berkopiah, berbaju melayu dan berkain sarung.

Di saat-saat hening ini, tiada siapa yang tahu apa yang terpahat di hati Anwar tetapi satu perkara yang pasti ialah, kehadirannya telah mengubat kerinduan mereka yang menantikan kebebasannya.


© 2001 AgendaMalaysia




http://www.agendamalaysia.com/detailinf.asp?gnum=12&num=758


Sedutan Bimbingan dan Peranan Che Yan

Che Yan adalah merupakan sumber inspirasi kepada Anwar sejak kecil dan dikenali sebagai orang yang bertanggungjawab membawa Anwar ke gelanggang politik. Anwar dikatakan mewarisi karisma dan bakat kepimpinan menerusi ibunya yang pernah menjadi ketua kaum ibu Umno sewaktu zaman-zaman awal parti itu ditubuhkan.

Malah beliau sering mengikuti ibunya ke ceramah-ceramah politik semasa kecil. Sokongan Che Yan ke atas perjuangan politik anaknya tidak pernah padam dan luntur baik sama ada ketika Anwar merengkok di dalam tahanan ISA mahupun selepas beliau dipecat dari Umno dan kerajaan.

Ketika isteri Anwar, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bertanding pada pilihan raya umum 1999, di kerusi asal Anwar di Permatang Pauh, Che Yan adalah merupakan salah seorang penceramah yang turun berkempen walaupun kesihatannya tidak mengizinkan beliau berbuat demikian.