Laman Webantu   KM2A1: 4147 File Size: 4.3 Kb *



SOH31 - TERLAJAK PERAHU TERLANJUR KATA
By La Domeng3

5/4/2001 8:10 pm Thu

SOH31 - TERLAJAK PERAHU TERLANJUR KATA

Terlajak perahu boleh undur, terlanjur kata buruk padahnya. Sebab pulut santan binasa, sebab mulut badan merana. Akibat kata-kata nistanya memfitnah dan mengaibkan Dato' Seri Anwar Ibrahim (DSAI), Mahathir kini berada dalam keadaan keluh kesah yang amat ketara. Tidurnya tidak lena.Wajahnya sudah lama tidak ceria. Percakapannya sudah lama tidak tentu hujung pangkalnya. Merapu ikut suka hatinya sahaja. Cadangan dan pandangan orang lain tidak pernah mahu didengarnya. Maklumlah dia kini sedang berkuasa. Sampai bilakah kita harus membiarkan dia terus menabur najis di Putra Jaya?

Kalau dulu orang luar UMNO sahaja yang berani menyanggah. Kini orang dalam UMNO sendiri sudah berani mencelah. Kesana kemari dia jadi gelabah. Harapkan Khalil Yaakub untuk menyambung perpaduan punya agenda sudah punah. Nasibnya malanglah sudah. Kali ini dia terkena lagi parah. Baru padan muka dia, kerana selama ini dia tidak tahu menutup mulutnya yang selalu ternganga mencaci Islam dan pemimpinnya tak sudah-sudah. Malangnya orang seperti dia ini bukan senang mahu mengalah dan bermuhasabah. Lepas ini entah apalah akan direncanakannya lagi untuk membelasah. Dalam hal ini kita umat Islam perlu bersabar menghadapi tekanan ini. Renungilah kembali perjuangan para mujahid di zaman Nabi buat meningkat semangat untuk tambah berani. Sambil itu tanyalah diri sendiri, jika Mahathir mahu melihat Islam mati di negara ini, memadaikah kita hanya berpeluk tubuh dan melihat saja sambil menggigit jari?

Keperibadiannya yang sebenar telah terserlah kini. Kengganannya menghadiri upacara pengkebumian AlMarhumah Ibu Yan mencerminkan sifatnya yang angkuh dan hidung tinggi. Jelas kepada kita dia tidak tahu membezakan politik dan peribadi. Inilah akibatnya bila kefahaman Yahudi telah sebati dalam diri. Islam dan umatnya terus-menerus dimusuhi. Langsung tidak punya maruah dan hati. Apakah dia terlupa bahawa dia juga lahir dari rahim ibu dan dia juga akan mati satu hari nanti?

Hancur luluh harapan rakyat. Di tangan Mahathir, Malaysia dilanda ekonomi teramatlah gawat. Semuanya ini berpunca kerana hasil dan kekayaan negara telah dibahagi-bahagikan sesama suku-sakat. Royalti petroleum dinafikan dan wang ehsan pula dijadikan syarat. Melelehlah air liur rakyat melihat 'bail-out' terus dibuat kepada syarikat-syarikat kepunyaan kroni dan sahabat rapat. Peneroka FELDA menangis mengenangkan beban bertambah berat. Sawit jatuh harga, kilang elektronik buang ramai pekerja sebab sudah tidak larat. Pemimpin kerajaan tidak langsung ambil berat, tetapi kalau Sukan SEA tak jadi itulah yang mereka risaukan sangat. Apalah hendak jadi kepada negara ini jika mereka terus berkuasa sebagai pengkhianat, apakah kita masih mahu terus membiarkan mereka melahap harta negara dan rakyat sampai penat?

Kemelut dalam UMNO semakin parah. Mahathir melihat sendiri dengan hati gundah. Kepada dirinya sudah ramai penyokong UMNO yang naik darah. Celupar mulutnya antara sebab di Lunas BN kalah. Kini akan datang satu lagi peluang kepada BA di DUN Beserah. Dato' Fauzi pula sudah buat laporan polis mengenai rasuah Khalil Yaakub yang sudah membarah. Khabarnya banyak lagi yang akan diserah. Adalah lagi yang terkincit dan hendak berjalan jauhpun susah. Khalil Yaakub ceritanya bermuram durja akibat Mahathir punya karenah. Kalaulah DUN Beserah dikosongkan sudah. Bertandinglah BA bagi mencipta satu lagi sejarah. Bagaimana dengan BA, bersediakah sudah?

Hati-hati meniti hari. BA jangan lupa diri. Kemenangan di Lunas bukan jaminan pasti untuk kita menang di Beserah nanti. UMNO/BN takkan berdiam diri. Berbagai helah dan tipu daya akan mereka cari. Pemimpin BA memang diyakini berpotensi tinggi, harapan rakyat tidak akan mereka khianati tetapi awas syaitan sentiasa mengintai untuk menyesatkan diri mereka bila terlalai biarpun satu kali. Jaga-jagalah jangan sampai kecundang pula nanti. Tanyalah kepada mereka yang mengetahui dan mengerti sungguh permainan politik UMNO/BN ini, apakah bekalan yang perlu dibawa nanti?

LA DOMENG - Berharap sungguh untuk bertandang ke Beserah. 5 April 2001