Laman Webantu   KM2A1: 4148 File Size: 27.6 Kb *



Siri 3 G14: Mencari Geliga Dalam Gelita
By Marhain Tua

5/4/2001 9:51 pm Thu

G14 B3/B7

[Mahathir telah lama menguasai institusi polis. Di sini tersimpan banyak rahsia kelemahan seseorang yang berguna untuknya. Dia sengaja membiarkan hidup seorang polis tidak setara dengan kerja melainkan ia membuat lain kerja kerana AIB adalah senjata UTAMA Mahathir untuk memusnahkan sesiapa sahaja termasuk polis juga jika tersasul jadinya. Cuba fikirkan kenapa banyak polis terbunuh di beberapa drama bikinannya?

Bila kisah Rahim Nor terbongkar Mahathir segera melepaskan jawatannya kepada Pak Lah kerana dia tahu aib itu akan menjalar kepadanya jika terus memegangnya. Tetapi Pak Lah tidak akan mampu berbuat apa-apa kerana tangan Pak Lah sendiri akan terbakar memegangnya.

Begitu jugalah dengan Detik Gelita 14 yang bakal tiba. Mahathir memang mencari AIB di mana-mana - maka jangan kita termasuk di dalam jeratnya walaupun perpaduan temanya. Beliau amat takut dengan keaiban dirinya sebab itulah dia menggelabah bila Fauzi melepaskan lapuran polis yang bakal mengoyakkan mukanya kerana tajam sindirannya.

Kebaikkan kita di dalam perhimpunan Gelita 14 akan mengaibkannya... sebab itulah dia mahu ia menjadi huru-hara supaya terbalik aibnya kepada kita juga. Kita boleh menang tanpa melakukan huru-hara - dan Mahathir sendiri sudah menyedarinya. Patutlah dia cuba mencemarkannya.... - dan melalui polis tentunya....
- Editor
]


SIRI GELITA 14

BAB 3 : MENCARI GELIGA DALAM GELITA




14 April Dalam Renungan

Betapa pantasnya masa berpergian. Satu tahun sudah berlalu, kita masih tidak merasainya, seperti itu. Ini baru kita duduk-duduk di pejabat, di rumah dan bersembang-sembang di kantin ataupun di ruang minuman di kantor-kantor. Bagi golongan yang sudah ganyut tentunya masa yang ada digunakan juga untuk beramal menebus dosa sambil bersembang-sembang di anjung masjid dan surau menunggukan peredaran masa jua. Apatah lagi agaknya kalau seseorang itu menginap di sebuah mahligai indah berharga 200 juta ringgit dan berpergian ke sana-sini dengan satu jet pribadi yang berharga 250 juta ringgit pula. Aduh..... "Demi masa...." tentu sekali para pembaca yang beragama Islam amat faham akan awalkata surah ke 103 dalam Alquran. Inilah surah Al-'Ashr (masa) yang terjemahannya:



  1. Demi masa

  2. Sesunguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian,

  3. Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal saleh dan nasihat menasihat kebenaran dan nasihat menasihati supaya mencapai kesabaran.


Jelas sekali surah ini menerangkan sifat-sifat orang yang rugi, apabila dia tidak mengisi waktunya dengan perbuatan baik.

Saya mengambil pedoman daripada surah ini sebagai ingatan daripada Allah. Memang sejak kebelakangan ini saya mengakui saya banyak membuat kerja-kerja itu kerana keinsafan jua. Semalam, dalam penulisan saya mungkin para pembaca dapat merasakan gambaran betapa 'tense' ataupun tegangnya perasaan saya ketika menulis. Memang, saya menulis dalam keadaan marah dan tertekan tetapi Allhamdulillah masih lagi mampu terus tenang untuk berfikir. Saya amat marah membaca beberapa berita dan emel yang dikirimkan bertali arus. Hampir semuanya mempunyai sangkut- paut dengan seorang pemimpin terulung UMNO yang sudah semakin ganyut tetapi tidak hiraukan masa keemasan yang masih ada di tangannya. Patutlah Anwar Ibrahim kata, "Dia mahu menongkat dunia..."


- Antara Polis dan Keamanan

Apabila saya mula menulis untuk Gelita 14 ini saya kerap teringatkan arwah ayahanda saya, seorang anggota polis lepasan perang dunia kedua. Ketika perang dia bertugas di hospital Jepun dan di sana dia mampu belajar Bahasa Jepun dan beberapa dialek kaum Cina. Apabila perang tamat, orang putih ambil dia menganggotai pasukan polis bahagian khas memerangi propaganda komunis. Dari beliau saya belajar semangat cintakan negara. Dari beliau juga saya belajar apa ertinya pengorbanan. Dalam hidup saya sebelum beliau meninggal dunia lebih empat puluh tahun yang lalu saya mungkin merasakan bahang badannya tidak lebih daripada lima tahun. Dia meninggal ketika saya masih mencecah dua puluh satu tahun. Salah satu ajarannya yang masih saya ingat ialah "Jangan ambil harta orang, kerana itu adalah haram...!". Itu merupakan satu pesanan kepada kami turun temurun dari satu generasi kepada satu generasi yang lain. Kerana itu ajaran yang paling diutamakan ialah bertaqwa kepada Tuhan.

Disebabkan didikan diterima daripada seorang bapa yang ketika itu kerap dipanggil sebagai 'Bakul' oleh orang kampung, setiap kali saya bersua dengan anggota polis, kenangan saya kerap membawa saya kepada kemesraan seorang ayah yang amat tegas dalam urusan hariannya. Tetapi kini apabila saya dapat cerita akan kerakusan polis, amat sukar saya mahu mempercayainya kerana ingatkan pesanan ayah saya itu.

Hari ini saya menjadi kaget apabila membaca satu berita di akhbar The Star yang bertajuk: "221 Sacked from Police Force". Eloklah saya terjemahkan laporan itu secara spontan:

... "Kuala Lumpur: Sejumlah 221 anggota polis telah dibuang-kerja daripada pasukan polis dalam tahun 1998. Setengah dari mereka ini adalah berpangkat lans koporal. Kesalahan yang dilakukan termasuklah 'insubordinasi' mencemar martabat pasukan. Korupsi dan absen di tempat kerja. Demikian catatan Laporan Suruhanjaya Polis, tahun 1998.

" Lapuran yang dibentangkan di parlimen semalam, telah mencatatkan juga beberapa kes pembunuhan, peras-ugut dan pecah-rumah. Antara mereka yang berpangkat tingi yang telah dibuang-kerja termaksukalah 3 orang berpangkat ASP, 6 berpangkat Ketua inspektor, dan 9 inspektor.

" Ketiga-tiga pegawai berpangkat ASP itu telah ditamatkan perkhidmatannya kerana korupsi, pecah amanah dan kecuaian menjalankan tugas.

" Terdapat 1957 kes tindakan disiplin ke atas anggota polis pada tahun yang terbabit. Ini adalh bersamaan 2.46% daripada tenaga anggota polis. Kadar ini adalah 1% lebih rendah berbanding angka tahun 1977...."



Walaupun banyak kes yang memalukan yang saya terima mengenai pasukan polis, saya masih percaya pasukan polis adalah satu pasukan yang penting dan telah banyak berjasa kepada bangsanya. Kerana itu saya amat bangga dilahirkan sebagai seorang anak polis. Lagipun memang amat ramai ahli keluarga saya yang menjadi anggota polis sejak pasukan itu ditubuhkan dulu. Pada satu ketika ada lebih dari 30 anggota keluarga kami yang seperingkat dan seusia dengan bapa saya yang menganggotai pasukan polis dan tentera. Hampir semuanya sudah pun lama pergi. Kerana itu hampir seluruh keluarga kami telah terkenal sebagai satu keluarga yang kuat bekerja tanpa banyak karenah. Hingga kini ramai golongan tua yang lebih rela menjadi ahli jawatankuasa masjid dan surau daripada berpolitik.

Tetapi, apabila saya diberitahu akan kelakuan sebilangan anggota polis yang muda-muda sekarang ini saya kerap terpegun kerana cuba membezakan perangai polis sebelum merdeka dengan polis selepas merdeka. Apa sudah jadi, tanya saya. Malahan apabila saya membaca kes mahkamah yang menceritakan kisah Dr. Munawar Anees, saya dihinggapi demam panas untuk beberapa hari. Begitu juga ketika saya melihat gambar-gambar yang menunjukkan muka Anwar dalam Laporan Suruhanjaya Siasatan DiRaja Mengenai Kecederaan DSAI yang dipengerusikan oleh Tan Sri Abu Talib, bekas Peguam Negara. Kini, kisah Azmin di mahkamah mengulang cerita serupa itu kembali. Kisah bagaimana beliau disuruh telanjang bulat dan kemaluannya diambil gambar oleh pihak polis. Aduh.......teruknya polis zaman Mahathir ini....demikian keluarnya perkataan daripada mulut saya sehinggakan cucu saya pun terkejut mendengarnya.

"Kenapa Wan...?" tanya cucu saya kepada neneknya apabila mendengar suara saya seperti itu. Isteri saya hanya mampu meletakkan jari telunjuk ke bibirnya sahaja.

Pada satu ketika dulu memang tidak boleh dibayangkan betapa mulianya jawatan seorang anggota polis. Ayah saya amat dihormati, walaupun gajinya tidak seberapa. Kalau dia balik ke kampung berjalan kaki dan ada orang kampung yang berbasikal, waima seorang guru sekolah pun, orang kampung itu akan turun daripada basikalnya untuk menemani ayah ke rumah. Ayah akan memimpin tetamunya naik ke berandah sambil menyuruh ibu membuat secangkir teh kosong. Demikianlah berhemahnya orang Melayu dan hormatnya bangsaku terhadap angota polis dan juga askar pada satu ketika dulu.

Ayah saya tidak pernah berkereta ketika hayatnya. Memadai dengan satu basikal besar cap 'Raleigh' yang ditinggalkannya sebagai harta pusaka. Dia sudah lama pergi tanpa meninggalkan harta pusaka yang banyak. Yang paling penting dan paling berharga peninggalannya ialah sikap amanah di tubuh anak-anaknya. Dia pergi selepas menanggung sakit demam panas yang begitu lama kerana terlalu lama berada di hutan Pahang. Kerana tugasnya melawan komunis dia berjaya menanam semangat juang pada anak-anaknya dengan pesanan bahawa "Inilah negara kita. Kalau kita tidak sanggup berjuang mempertahankannya, siapa yang boleh kita harapkan?" Itulah pesanannya kepada saya setiap kali kami berkesempatan bermesra. Ini juga pesanannya kepada hampir semua kawan-kawan saya yang datang ke rumah ketika beliau ada.

Kalau beliau ternampak kawan-kawan bermain di laman dia akan mengajak mereka naik ke rumah untuk dijamu air kosong dan sekeping dua roti kering benggali. "Belajarlah baik-baik...." pesannya selalu. "Kalau kita mahu menjadi satu bangsa yang besar kita mesti berilmu dulu... Kita mesti tidak lupakan Allah ! Itu sebabnya kita sebut Hai Ya Alassolah..... dan selepas itu baru kita sebut Hai..ya alal falah......"

Inilah pesanannya selalu kepada anak-anaknya dan kepada rakan-rakan anaknya. Memang beginilah pesanan orang tua-tua dulu kala di kampung-kampung. Mereka menentukan setiap anak kampung itu bertaqwa dulu kerana itulah kuncinya kejayaan sesuatu bangsa Melayu itu. Kemudian mereka beri penekanan kepada usaha mencari ilmu pengetahuan kerana itulah kunci mencari kekayaan.

Apabila kita baca cerita pasukan polis yang begitu kerap dibabitkan dengan korupsi dan kerja-kerja jijik mengambil gambar kemaluan orang apakah fikiran orang kampung di mana pegawai polis itu dilahirkan? Apabila kita dengar beberapa pegawai polis yang memaksa Azmin mengaku dil*w*t oleh Anwar Ibrahim dan membuat fitnah bahawa Dato Harun Din gilakan betina, apakah pendapat orang kampung di mana pegawai yang mengugut itu fikirkan? Apa pula keaiban yang ditanggung oleh anak dan bini para pegawai yang melakukan ugutan seperti itu? Apa pula bentuk keaiban ahli keluarganya?

Sejak Anwar dipenjarakan ada juga sekali-sekala kaum keluarga saya berkumpul. Inilah keluarga yang seangkatan dengan saya yang berpangkat dua-pupu atapun tiga-pupu, kerana kamilah merupakan zuriat keluarga polis pada zaman British dulu. Majoriti kami naik berpelajaran tinggi kerana usaha gigih sendiri dan bukannya dengan subsidi kerajaan. Kini ada yang mempunyai firma guaman sendiri, klinik perubatan, firma perundingan sebagai lambang hidup bersusah-payah mencari rezeki yang halal. Ramai di antara kami yang bekerja dulu sambil belajar sekolah malam ataupun secara pos ketika itu. Maklumlah untuk masuk universiti belajar undang-undang dan perubatan, peluangnya amat terhad. Pada zaman British anak kampung yang tidak berpengaruh walaupun mendapat Gred Satu akan dihantar masuk tentera dan polis. Kalau mahu di hantar ke Britain tentunya ke Brinsford dan Kirby untuk menjadi tenaga pengajar. Sekembali daripada Kirby ataupun Brinsford, ramai antara kami yang belajar melalui pos untuk menjadi peguam, akauntan dan apa juga bidang professional yang boleh memajukan diri sendiri. Pengalaman kami itu menjadi satu sumber semangat pula kepada keturunan kami dengan ingatan ajaran golongan tua "Jangan ambil harta orang...Itu haram..." Inilah pedoman hidup kami turun temurun. Ia menjadi satu amalan. Kami lebih bersedia mengadu kepada Allah daripada mengadu kepada sesama insan akan penderitaan yang datang menimpa. Kerana itu sudah menjadi pedoman hidup yang diajar kepada kami sejak kecil lagi.


Bila Yang Haram Menjadi Halal

Ajaran yang saya pusakai dan turunkan kepada zuriat saya seterusnya adalah lambang ajaran orang Melayu marhain di kampung-kampung dan di bandar-bandar. Saya amat percaya selagi ada azan berkumandang di corong masjid dan surau di negara ini, orang marhain Islam akan menurunkan wasiat warisan bangsa ini kepada generasi yang mendatang. Inilah ajaran yang sudah menjadi satu budaya yang mulia di kalangan orang Melayu.

Akan tetapi, sejak dua puluh tahun yang lalu, wasiat bangsa yang diamanahkan kepada generasi hari ini sudah semakin pudar ditelan oleh keadaan. Ia seolah-olah sudah menjadi satu budaya yang semakin layak dirakamkan untuk disimpan di muzium tamaddun Melayu. Semakin ketara kini, kehidupan orang Melayu itu lebih cenderung menghalalkan beberapa aspek kehidupan yang sepatutnya menjadi haram.

Kalau memfitnah itu dianggap satu dosa besar, kenapakah amat kerap sangat kita lihat seorang pemimpin teragung UMNO berbuat demikian hampir setiap kali dia mengeluarkan kata-kata daripada mulutnya? Disebabkan dia mahu orang yang mendengar fitnahnya itu mempercayai akan segala faktor fitnah yang dituturkannya, dia terpaksa berbohong, dan terus berbohong. Apabila dia mula berbohong, dia tidak akan berjaya menyelamatkan jiwanya yang dicemari oleh sikap berbohong itu. Akhirnya dia menjadi seorang manusia yang tidak lebih tinggi maratabatnya daripada seekor syaitan.

Kalau kerja-kerja memfitnah dan berbohong itu dilakukan seorang diri tanpa membabitkan orang lain, tentulah dosa besar yang ditanggungnya itu menjadi tanggungjawabnya sendiri. Tetapi, apabila orang lain yang dikerahnya terbabit sama untuk memperkuatkan kerja jijiknya itu, bukankah dia mempalitkan dosa besar kepada orang itu yang akhirnya menjerumuskan seluruh ahli keluarga orang yang terbabit? Terlalu ramai pegawai kerajaan melakukan dosa besar kerana terbabit dengan kerja jijik yang ditaja oleh Mahathir. Inilah kerja jijik yang digalakkannya untuk menentukan dia terus berkuasa.


Seekor Kerbau Membawa Lumpur....

Kerja-kerja jijik menabur fitnah dan kerja-kerja kotor mendera orang untuk memperkuatkan fitnah sudah menjadi satu kerja nasional kepada majoriti orang kerajaan di negara ini. Tidak kira orang itu menjadi anggota polis, tentera, kastam, immigresen, tukang masak, tukang ambil gambar, warder, guru, ustaz, wakil rakyat dan malahan siapa saja yang dapat dicekau oleh sistem pemerintahan rejim seorang diktator tua yang sungguh hipokrit dalam sejarah Melayu moden.

Oleh kerana orang Melayu itu pada dasarnya adalah satu bangsa yang amat patuh kepada golongan tua, setiap arahan yang diterima dari atas dianggap satu perintah walaupun arahan itu boleh dianggap bercanggah dengan ajaran agama Islam. Di sinilah letaknya perbezaan pegawai Melayu didikan Melayu di zaman British dengan pegawai Melayu didikan barat di zaman Mahathir. Melayu generasi dulu sanggup melanggar perintah orang putih dan raja-raja kalau perintah itu adalah bertentangan dengan ajaran Allah.

Tetapi majoriti Melayu di zaman pemerintahan UMNO kendalian Mahathir akan menganggap perintah kerajaan Mahathir setaraf dengan ajaran Allah. Kerana itu ada pegawai polis yang sanggup menggambarkan kemaluan seseorang dengan niat orang itu terhina sehingga sanggup memperakui segala fitnah yang direncana. Inilah jawapan kepada kenyataan yang dibuat oleh penulis muda daripada Kota Sarang Semut Kedah yang bernama Ab. Jalil Aboo Backer....

"Apapun satu tindakan pembetulan hendaklah dilakukan untuk mengembalikan cerita sebenar jasa Dr. Mahathir dan UMNO kepada generasi muda. Dr. Mahathir mungkin merasakan ia tidak penting. Tapi ia amat penting kepada akidah orang Islam dan survival UMNO."

Berdasarkan secebis potong ayat seperti di atas kita boleh buat kajian betapa orang UMNO itu sudah dipukau sehalus-halusnya sehinggakan kepimpinan Mahathir itu dianggap penting kepada akidah orang Islan dan penyumbang besar kepada keutuhan UMNO?

Disebabkan proses doktrinasi sedemikian kita lihat Mahathir menjadi angkuh dan semakin garang. Dia sudah melupakan bahawa usianya sudah tidak dapat menjaminkan survival kuasanya dalam UMNO, seperti yang dijangka oleh majoriti veteran UMNO. Seperti kata Tun Ghafar Baba, janganlah ada sesiapa yang cuba perasan akan peranannya dalam UMNO sedangkan beliau dan beberapa veteran UMNO yang lain sebenarnya memainkan peranan yang lebih besar daripada Mahathir.

Kalau orang seperti Ghafar Baba dan seangkatan dengannya tidak memandang jasa Mahathir sebagai penting bagi akidah orang Isalam dan survival UMNO siapakah Ab. Jalil A. Backer yang sanggup menghina minda orang UMNO seluruhnya? Nampak sangat selagi Mahathir dibenarkan berkuasa dalam UMNO dia akan merupakan seekor kerbau yang membawa lumpur ke sana-sini dan mempalitkannya kepada badan sesiapa yang datang bersalam tangannya.


Perjuangan UMNO yang Semakin Menyimpang

Dalam survival UMNO masakini kita nampak bagaimana orang muda yang mempunyai didikan yang boleh dikatakan baik-baik digunakan untuk memutar-belitkan otak dan minda orang Melayu. Orang seperti Astora Jabat yang sebenarnya tidak mempunyai hak dan lesen untuk mencetuskan minda orang Melayu berpolitik, sudah diberikan pentas untuk melakukannya kerana dia difikirkan sesuai untuk menerjah minda orang yang menentang UMNO sekarang. Penulis seperti Abd. Jalil Aboo Backer nampaknya sudah diberikan mandat mengambil alih tugas yang pernah dilakukan oleh Bekas Professor dan bukan Dr. Universiti Malaya yang kini sudah bergelar YB UMNO. Mereka ini diberikan ruang yang luas di Utusan dan juga saluran media yang lain. Kedua-dua manusia ini kelihatan menjalankan peranan pelapis kepada tugas yang dijalankan oleh dua tiong peliharaan Jabatan Perdana Menteri - Rais Yatim dan Hamid Othman.

Di samping itu, untuk memperkuatkan peranan menggenyeh minda orang Melayu satu proses menguatkuasakan dasar UMNO dalam kehidupan orang Melayu digunakan pula beberapa kumpulan pegawai polis untuk mengganyang pihak pembangkang. Kalau kita teliti dengan rapi taktik ini kita akan sedar betapa hampir semua pemimpin muda Barisan Alternatif mempunyai kes polis yang sengaja diada-adakan. Azmin, Ezam, Roslan, Zainur Zakaria semua mempunyai masa depan yang perlu dihabiskan di balai polis kalau tidak di mahkamah. Begitu juga Karpal Singh, Chin Tuan, Zunar dan sebut sahaja beberapa nama lagi.

Kita tahu semua kerja-kerja jijik yang mengaibkan para pemimpin muda BA adalah didalangi oleh UMNO terutama sekali oleh pergerakan pemuda UMNO. Yang paling menjijikkan ialah setiap kali para pemimpin BA ini dihadapkan ke mahkamah gambar mereka diletakkan di muka hadapan akhbar perdana, seolah-olah mereka ini semua adalah komunis yang berkurap ataupun penyibar virus terbaru. Soalnya sekarang siapakah yang sebenarnya patut malu dengan segala berita seperti itu kalau bukan orang Melayu? Di sinilah timbul satu persoalan lagi, bagaimanakah semua pegawai polis yang terbabit itu sanggup melakukan kerja-keraja yang membuang masa semata-mata untuk memuaskan tuan-tuan politik yang lupa daratan itu?

Kalau orang yang menjadi mangsa penderaan pihak polis itu kena ugut, pihak polis yang menjalankan ugutan itu juga sedang diugut. Mereka terpaksa menjalankan peranan ugutan itu kerana masa depan mereka sudah diugut. Dengan lain perkataan, ugut mengugut sudah menjadi satu budaya baru kepada orang Melayu di zaman Mahathir. Impak budaya baru ini membuatkan orang Melayu dalam UMNO dan juga dalam perkhidmatan kerajaan menjadi satu kumpulan insan beragama Islam yang hidupnya ketakutan. Mereka menjadi takut kepada bayang-bayang Mahathir. Mereka terpaksa menjadi tukang turut yang setia "agar akidah mereka tidak tersimpang....." Hai, ya Allah... apa sebenarnya yang sedang berlaku kepada bangsaku....?

Ketaksuban membuta-tuli, ketakutan dalam tugas sehinggakan sanggup melanggar perintah Allah sudah menjadi satu budaya kerja dan kehidupan orang Melayu. Kerana itu kita lihat ada segelintir penyokong kuat Anwar dulu sudah sanggup melepaskan pegangan perjuangan dan sumpah setia perjuangan Islam semata-mata mahu menyelamatkan harta benda yang ditimbun dan dipulun ketika Anwar berkuasa. Nasib baik, segelintir sahaja gamaknya. Tetapi jumlah yang sebenar masih tidak kita tahu. Kini, saya percaya majoriti orang Melayu yang menyokong semangat reformasi tidak pun kenal Anwar dari dekat. Malahan ramai para penulis prolifik di Laman pro-reformasi tidak pernah bersalam tangan dengannya apatah lagi menerima secangkir kopi daripadanya.

Alangkah terbalik court perkara ini? Ya.....inilah kebenaran, inilah kenyataan, inilah gerak keadilan yang datang dari langit....Inilah perjuangan yang berasaskan nawaitu yang suci murni. Kerana majoriti yang menyokong Anwar kini, tidak pernah mengharapkan apa-apa daripada perjuangan itu. Mereka hanya mahu negara ini bebas daripada segala gejala kerakusan dan kekotoran yang dibawa masuk oleh seorang diktator tua yang memikirkan dia lebih berkuasa daripada Tuhan.


Bila Bala Mula Menjelma

Setiap insan yang beragama tidak kira apa anutan agamanya, amat faham apa ertinya balasan Tuhan. 'Bala' kepada orang beragama Islam adalah jelas tercatat di bawah bab 'Kadaq dan Qadar'. Pernah beberapa kali dulu saya mencuit minda akan bala yang mungkin datang silih berganti sebagai amaran daripada Allah. Saya ingin membawa perhatian pembaca artikel ini kepada tulisan seorang penulis terkenal bernama M.G. Pillai yang tuisannya akan saya cuba terjemahkan secara bebas. Saya petik tulisan bertajuk ; Is A Coxsackie Epidemic About to Hit Kuala Lumpur, yang dipaparkan oleh Laman Reformasi.


Mungkinkah Virus Epidemic Coxsackie Menyerang Kuala Lumpur?

"Sebuah sekolah primari telah memberitahu para ibu bapa betapa seorang anak berumur enam tahun telah disahkan dijangkiti virus Coxasackie 'A' dan telah dimasukkan ke wad hospital. Guru besar sekolah itu telah menyarankan agar ibu bapa tidak menghantar anak-anak merka bersekolah untuk sementara. Beberapa anak-anak murid di sekolah rendah yang lain pun telah dijangkiti virus ini. Oleh kerana murid-murid ini datangnya daripada Kelas menengah dan atasan, kemungkiann merebaknya virus Coxsackie A menyerang Kuala Lumpur tidak boleh dipandang sepi. Kalau Kuala Lumpur boleh diserang wabak ini besar kemungkinan ia akan merebak di kaasan bandar yang lain......."



Inilah fenomena yang amat saya geruni dan pernah saya sindir para pembaca berdasarkan segala bentuk maksiat yang berleluasa sejak Mahathir menjadi semakin gila dengan kuasanya. Pelbagai jenis virus dan wabak penyakit dan pelbagai bentuk bencana alam sudah menyerang negara ini secara silih berganti. Ia bermula dengan keadaan jerebu satu ketika dulu, diikuti oleh banjir dan keadaan kering kontang. Kemudian penyakit kuku dan mulut dan JE. Kini Coxsackie A menjelma lagi.

Soalnya sekarang, kenapakah perkara ini dipengapkan seolah-olah ia tidak berlaku lagi? Bukankah ini juga caranya kerajaan Mahathir memerap kisah jangkitan JE di Bukit Pelandok dulu. Bukankah virus sebenarnya dipanggil virus Nipah akhirnya? Kenapakah kita harus terus ditipu?


Kesimpulan Awal

Memang amat berat kali ini saya menulis kerana saya mendedahkan rintihan hati saya dan membabitkan segolongan orang Melayu yang memegang tugas yang amat mulia di hati saya. Inilah tugas seorang Polis yang memang tidak dibenarkan oleh ayah saya untuk menjawatnya. "Cukuplah tugas itu dipikul oleh keluarga yang seangkatan denganku" katanya satu masa yang lama dulu. Tetapi, apabila kita baca akan gelagat para polis yang dikenakan tindakan disiplin saya mula menyoal profession ini. Sakali gus hati kecil saya tergerak menuding jari ke arah Mahathir. Dia sudah melacurkan profession ini tanpa disedari oleh para pemegang amanah rakyat ini. Di dalam ilmu pengurusan ada satu teori yang menyebut "There is no such thing as bad labour, but there's bad management." Ini bererti pasukan polis itu sudah menjadi demikian disebabkan kepimpinannya yang lemah. Apakah kerana menyedari hakikat teori ini makanya Mahahtir melepaskan jawatan Menteri Dalam Negeri kepada Paklah?

Kepada saya, kalau ada pegawai polis yang menggentel kemaluan Dr. Anees ataupun Anwar ataupun Azmin, mereka telah lakukan semua itu kerana diugut untuk tidak dinaikkan pangkat ataupun akan ditukarkan ke tempat lain. Mereka tidak lakukan itu disebabkan taksub terhadap menjalankan tugas. Saya lebih rela berpendirian mereka lakukan itu kerana diugut untuk memperbaiki masadepan mereka dalam angkatan polis.

Tetapi dengan kesedaran ini dan dengan tertulisnya artikel ini saya mahu menjemput para pegawai polis tidak kira dalam bidang apa mereka bertugas. Saya ingin mengingatkan mereka dengan kata-kata ini:

Dengan nama Allah SWT dan demi masa; saya mengajak seluruh anggota polis tidak kira apa pangkatnya dan apa warna kulitnya dan tidak juga kira apa anutan agamanya, marilah kita tegakkan keadilan dan kembalikan kebenaran dalam budaya hidup kita. Marilah kita tentang cengkaman permerintah diktator. Marilah kita sama-sama tebus maruah bangsa kita yang tercemar disebabkan kerakusan seorang diktator tua yang sudah hilang arah. Tebuslah keaiban tindakan polis di Memali. Tebuslah keaiban tindakan polis terhadap Dr. Anees dan terbuslah keaiban tindakan polis terhadap Anwar Ibrahim. Tebuslah keaiban yang ditanggungi oleh orang kita Melayu di Masjid Negara April 99 yang lalu. Yang lebihnya kita berserah saja kepada Allah. Lupakanlah arahan Mahathir di April 14 dan 15 ini. Marilah kita sama-sama mencari kegemilangan geliga di celah-celah kegelitaan itu.

Ingatlah kalau anda diperintahkan menghayunkan cota ke badan insan yang datang berkumpul secara aman, anda sebenarnya melanggar hukum hak asasi kemanusian. Anda sebenarnya yang memperkecilkan hak manusia berdemonstrasi seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Negara. Ingatlah, berjuang ke arah kebenaran dan berjuang menjatuhkan pemerintahan regim seorang diktator adalah satu kemestian dalam hidup setiap insan yang beragama Islam. Dan ingatlah, pada jata PDRM yang dijunjung oleh setiap anggota polis adalah dua perkataan - 'ALLAH' dan 'MUHAMMAD'. Janganlah anda membelakangkan kedua-duanya demi seorang manusia bernama Mahathir bin Mohamad.

-Marhaintua-
11 April.2000