Laman Webantu   KM2A1: 4157 File Size: 17.6 Kb *



Siri 4 G14: Mencari Geliga Dalam Gelita
By Marhain Tua

7/4/2001 12:36 am Sat

G14 B4/B7

[Siri ini diterbitkan kembali sempena detik bersejarah 14 April yang bakal tiba nanti. Sila maklum tulisan ini ditulis setahun lepas.

Tidak ada sebab untuk rakyat merancang huru-hara kerana rakyat boleh menang juga akhirnya tanpa mencetuskannya. Tetapi Mahathir amat memerlukan huru-hara untuk mengaibkan rakyat, dan seterusnya menakutkan pengundi Cina.

Banyak negara luar mampu maju dan membangun dengan membiarkan rakyat bebas berkumpul dan menyatakan perasaan mengikut saluran yang ada. Mengapakah Mahathir yang bergelar 'Wira Dunia Ketiga' begitu takut menghadapinya sedangkan polis dikatakan cekap menjaga keselamatan negara? - Editor]


SIRI GELITA 14

BAB 4 : MENCARI GELIGA DALAM GELITA




14 April 2000

Hari ini, akan bermula satu jalur baru dalam sejarah bangsa Malaysia. Di waktu yang sama sejarah tamaddun Bangsa Melayu pun akan terukir jua. Kali ini, ukiran sejarah bangsa dan negara itu akan diukir secara berkumpulan oleh manusia daripada berbilang bangsa, agama, fahaman politiknya. Jalur sejarah bangsa Malaysia dan jalur tamaddun bangsa Melayu itu akan dianyam secara bertimbal mengikut rentak juang dan getaran semangat manusia yang keluar bersatu. Akan berpadulah nanti pengamal asas budaya yang pada asalnya berbeza-besa tetapi kini semakin ketara akan sebatiannya. Ya.....hari ini yang disebut sebagai 'The Black 14' akan mengukir sejarah. Pengendali Laman Web 'Fitnah e-Umno telah melakarkan hari bersejarah ini dengan menamakannya 'Gelita 14', secara tidak banyak disedari umum GELITA dirujukkannya kepada akronim Gerakan Liberalisasi Tanah Air. Satu cantuman kata-kata yang amat bermakna, seperti amat bermaknanya gabungan semangat semua rakyat marhain yang cintakan negaranya.

Apa juga yang akan berlaku esok, samada hari itu akan bergegar ataupun bergetar, samada gegaran itu datang dari langit ataupun dari dada insan-insan yang cintakan kebenaran, esok akan membawa seribu makna. Akan terbukalah nanti satu kotak pandora yang sekian lama merupakan satu kotak keramat dalam kepimpinan seorang insan bernama Mahathir bin Mohamad. Biarlah kita rakamkan peristiwa hari ini dengan membawa seribu kenangan kepada masa silam yang menyebabkan kenapa hari ini dianggap sebagai hari rakyat mengingati kezaliman pemerintahan beliau.


April 14 Dalam KENANGAN

Hanya satu tahun yang lalu Anwar Ibrahim telah dimasukkan secara rasminya sebagai banduan di atas tuduhan pelbagai yang buktinya masih lagi samar dan masih dipertikaikan. Malahan kalau mengikut hukum Islam yang merupakan agama rasmi negara ini, Anwar Ibrahim tidak ada sebab mesti berada di penjara itu. Malangnya beliau menerima 'hukuman' itu disebabkan sistem kehakiman negara yang telah diperkosa oleh seorang pemimpin unggul satu parti politik Melayu dari mana Anwar Ibrahim pernah menjadi pemimpin nombor dua.

Ketika Anwar dijatuhkan hukuman, seluruh dunia merasa terkejut secara tafsiran akal biasa. Tetapi, kepada sesiapa yang sudah mengikuti perjalanan pemerintahan negara Malaysia sejak dua puluh tahun yang lalu, hukuman yang dikenakan ke atas Anwar (yang lebih terkenal dengan panggilan DSAI - satu singaktaan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim) adalah satu keputusan yang hanya menaikkan bulu kening untuk seketika sahaja. Demikianlah perjalanan pemerintahan Malaysia masakini yang banyak berpaksikan tindak-tanduk seorang diktator tua yang sudah lali dengan suara gelombang manusia bawahan yang mahukannya mengundurkan diri dan bersara.

Satu tahun yang lalu majalah DETIK keluaran 1 April 1999, boleh dijadikan sebagai bahan rujukan untuk merasakan getaran jiwa rakyat marhain akan keadaan orang Melayu ketika itu dalam menghadapi dilemma Anwar Ibrahim. Esok, rakyat marhain akan bergerak daripada ceruk rantau negara untuk menuju ibukota Kuala Lumpur. Mungkin mereka boleh diingatkan sedikit ungkapan kata-kata Anwar yang pernah dirakamkan di majallah DETIK di muka surat 62:

..... "Pengalaman saya ketika berada di kem tahanan pada tahun 1974 telah mengajar saya bahawa adalah tidak dapat diterima sama sekali untuk terus hidup sebagai seorang pengikut yang tunduk dan pada masa yang sama terpaksa pula memerangi rasuah dan penindasan. Alternatifnya, untuk meneruskan agenda reformasi sebagai seorang pengkritik yang berwibawa sudah tentulah cukup mencabar dan dipenuhi dengan pelbagai onak dan ranjau berduri.

"Namun demikian, di luar ramalan saya yang paling buruk, saya tidaklah menyangkakan Dr. Mahathir sanggup bertindak dengan cara yang sebegitu terdesak untuk mendakwa saya sebagai pengkhianat, agen negara asing, terlibat dalam salahlaku seks, rasuah dan malah sedang mempertimbangkan bahawa saya turut terlibat dalam kes yang melibatkan pembunuhan. Fitnah dan ujian itu berterusan tanpa hentinya, dan dengan pelbagai penghinaan melalui akhbar-akhbar yang dikuasai kerajaan."


Demikianlah gambaran paling ringkas pembabitan Anwar Ibrahim dalam sinario sosio-politik negara. Itulah petikan daripada satu warkah yang ditulis di penjara Sungai Buluh pada Januari 11, 1999 dan ditujukan kepada Dr. Abdul Hamid Abu Sulaiman Rektor UIA yang telah meninggalkan universiti tersebut ekoran pemecatan Anwar.

Alangkah cepatnya masa berlalu. Namun, impak tulisan itu masih dikenang lagi. Kes mahkamah yang membicarakan Anwar masih berjalan lagi, walaupun bukti-bukti sahih yang akan menghimpitnya ke kancah penderitaan masih lagi dalam keadaan dicari-cari dan kalau boleh masih lagi di-ada-adakan.


14 April Yang Membingungkan

Kalau April 14 itu masih segar dalam kenangan kita tentunya keputusan yang diambil untuk menghukum Anwar pada tarikh itu merupakan satu peristiwa yang membingungkan. Bagaimanakah Anwar boleh terjebak dengan hukuman itu sedangakan bukti tuduhan masih boleh lagi dipertikaikan. Malahan, kita telah digegarkan dengan berita bagaimana tertekannya segelintir manusia yang terbabit dengan mencari dan mereka-reka akan beberapa bukti yang di 'gunakan' di mahkamah itu.

Saya teringat akan satu emel yang telah dipanjangkan kepada saya satu ketika dulu. Emel itu ditulis oleh seorang insan yang menulisnya dengan nama samaran 'Aku Peguam'. Kandungan surat itu menyerlahkan betapa tertekannya beliau untuk menyediakan barang-barang bukti mengikut rentak dan cara Anwar mesti dikenakan tuduhannya. Penulis itu telah merasa begitu tertekan untuk meneruskan hidupnya. Dia amat merasa terhina untuk meneruskan kerja-kerjanya itu kerana dia percaya Anwar adalah mangsa satu konspirasi yang amat jahat sekali. Saya telah menghubungi penulis surat itu di alam siber dan menyatakan kepadanya betapa seorang Pengendali Web sudah bersedia membuka satu kolum khas menangani masalah yang dihadapi oleh peguam itu. Malangnya surat itu tidak dijawabnya kerana kita yakin ada orang lain yang sudah menyambar peguam itu untuk menjalani proses doktrinasi sekali lagi. Namun, saya masih yakin 'Akupeguam' akan menghubungi kita sekali lagi kerana getaran jiwanya dan keimanan dalam dadanya akan mengatasi segala bentuk doktrinasi yang akan diasak bertubi-tubi dalam jiwanya.


Yang Dikenang dan Direnung

Esok adalah hari memperingati kezaliman pemerintahan Mahathir. Demikian salah satu sebab utama kenapa rakyat berkumpul. Di waktu yang sama, pada hari ini, adalah ulangtahun Anwar dipenjarakan sebagai seorang banduan yang dijatuhkan hukuman. Anwar Ibrahim telah dikenakan hukuman berdasarkan bukti yang sengaja diada-adakan. Segala bukti yang diusung ke mahkamah sebenarnya telah ditentang oleh pihak pembela sehinggakan semua bukti itu telah dipertikaikan. Inilah yang menarik minat seluruh dunia mengikuti prosiding mahkamah itu. Tetapi, yang palin menarik sekali ialah apa yang telah berlaku di luar mahkamah ketika prosiding itu masih lagi berjalan.

Ketika Anwar diadili, seorang pemimpin terulung UMNO telah berlegar di luar negara mencanang simpati bagi dirinya seolah dia juga turut dibicarakan. Dia kerap mengadakan pertemuan dengan rakyat Malaysia di luar negara menceritakan kenapa dia menyingkirkan Anwar daripada kabinetnya. Jawapannya adalah lebih kurang sama di setiap sessi pertemuan yang memang didokumentari dan dilapurkan di media massa seluruh dunia. "Saya mempunyai cukup bukti kenapa Anwar harus digugurkan daripada kabinet saya. Dia memang sudah melakukan semua kerja-kerja aib yang dituduh oleh mahkamah. Saya telah berjumpa dengan beberapa saksi penting yang menyakinkan saya memang Anwar membuat semua kerja-kerja jijik itu"

Inilah puncanya Anwar dihukum dan terhukum. Inilah kata-kata 'bukti sahih' yang mendorong para hakim menghukum Anwar. Tetapi, apabila si Raja Kelentong ini disapina oleh mahkamah untuk membenarkan peguambela Anwar menyoalnya akan segala bukti itu apakah yang dikatakannya kini? Dia enggan menghadirkan dirinya kerana dia tidak terbabit dengan bukti-bukti yang digunakan oleh mahkamah untuk menghukum Anwar, dulu.

Demikianlah dayusnya seroang pemimpin politik Melayu yang terunggul di negara ini. Inilah kedayusan yang ditunjukkan oleh seorang Adijagat Melayu seperti yang dicanangkan oleh pengampu tgerulungnya satu keika dulu, sebelum beliau sendiri tersungkur menyembah bumi. Demikianlah petikan kata-kata raja pembohong Melayu yang satu ketika dulu bersuara lantang bagaimana beliau sudah bersedia untuk menyerahkan kuasa kepada Anwar dan bersara daripada bidang politik. Tetapi, disebabkan keadaan ekonomi negara meleset dia terpaksa meneruskan tugasnya untuk memulihkan keadaan. Walaupun keadaan ekonomi pada Januari 1999 sudah menampakkan unsur-unsur pemuliahan, dia masih tidak berupaya melepaskan jawatannya kerana tingkahlaku Anwar yang terpaksa disingkirkan.


AKAN HURU-HARAKAH NEGARA INI?

Ketika menyiapkan artikel ini beberapa saluran TV menunjukkan rakaman perbualan orang TV dengan para penghuni ibukota. Soalanya dalah sama. Semuanya meminta pendapat orang ramai akan GELLITA 14. Semuanya disaol pendapat mengenai 'Huru-hara' Malahan di TV 1 Rencana Malaysia Gemilang telah menunjukkan forum yang dianggotai Rais yatim dan Shahidan Kassim. Alangkah malangnya negara ini apabila rakyat disogokkan dengan program seperti itu?


Siapa Perancang Huru-hara ?

Huruhara adalah perilaku manusia yang tidak dirancang. Yang dirancang bukannya huru-hara. Ia dinamakan rusuhan. Kalau lebih berat lagi keadaannya ia disebut REVOLUSI. Saya pernah menulis lima siri di bawah tajuk Akan Bermulakah Revolusi Rakyat pada 31.12.1999. Saya menulis itu di atas kesedaran betapa negara ini akan hancur lebur disebabkan gelagatt seorang diktator yang gilakan kuasa dan segelintir pemimpin UMNO yang rakus, haloba dan tamakkan kuasa, di satu pihak. Sedangkan di satu pihak pula terdapat satu kumpulan majoriti pemimpin Melayu dalam UMNO yang menjadi kebingungan. Saya tidak mahu menulis panjang kali ini di atas tajuk huruhara kerana saya sudah tulis lama akan hal ini di alaf yang lalu. Itu sebagai ingatan sahaja.

Cuma kini saya mahu beri ingatan lagi. Kalau huru-hara timbul yang patut ditangkap ialah Mahathir bin Mohammad. Beliaulah pencetus huru-hara. Dialah yang mula menyebut molotov bom, parang panjang, kayu belantan dan sebagainya. Sejarah demonstrasi rakyat tidak pernah diperalatkan dengan bom molotov, parang panjang dan belantan. Itu adalah hasutan Mahathir bin Mohammad yang sepatutnya di tahan di bawah ISA atas dasar menghasut. Dia bukan lagi dikenal sebagai Raja Kelentong malahan dikenal sebagai Raja Penghasut.

Sekarang kita disogokkan dengan ketakutan kerana demonstrasi rakyat tidak diberikan lesen. Siapa mahu beri lesen sedangkan program bersukan oleh parti Keadilan menyambut ulangtahun pun disuruh berpindah randah? Sekarang saya minta para pemimpin pemuda UMNO bersama bijakpandai UMNO menjawab soalan ini:



  1. Ketika penganut Hindu merayakan Thaipusam dan mengusung Dewa Muruga daripada Jalan Bandar ke Batu Caves pergi dan balik, adakah mereka diberikan lesen?

  2. Ketika penduduk Kuala Lumpur merayakan Tarian Naga dan Singa daripada satu pintu kedai ke pintu kedai adakah mereka memerlukan lesen?

  3. Kalau ada upacara dung-dung-cheng mengusung si mati, adakah lesen dikeluarkan?

  4. Ketika anak-anak sekolah disuruh beratur di panas matahari mengibarkan bendera di tepi jalan menunggu ketibaan tetamu negara adakah mereka diberikan lesen?

  5. Ketika jemaah Islam berkumpul di Masjid Shah Alam bersembahyang hajat satu ketika dulu, adakah mereka diberikan lesen Adakah perhimpunan lebih 20,000 manusia itu mencetuskan huru-hara?

  6. Ketika jemaah menteri mengadakan majlis hari terbuka di hari lebaran adakah mereka diberikan lesen?

  7. Perhimpunan dan mesyuarat tahunan parti komponen BN yang diadakan setiap tahun di ibukota, adakah diperlukan lesen?



AMBILLAH IKTIBAR SEBELUM TERLAMBAT

A) Sepatutnya Mahathir Mohammad membatalkan perjalananya ke Cuba kalau dia pandang GELITA 14 satu fenomena yang serius. Dia harus memandang serius akan apa yang berlaku kepada General Musharraf di Pakistan. Ketika Musharraf pulang daripada Colombo pesawat udara kommersial yang ditumpangi General itu telah tidak dibenarkan mendarat di Karachi sehinggakan dia hampir mati kerana kekurangan minyak. Allah menyebelahinya.

Bayangkan kalau perkara yang sama berlaku kepada Mahathir, siapakah yang boleh dipersalahkan. Bukankah Mahathir terbang dengan Global Express yang dianggap sebagai harta pusakanya?

B) Mahathir berlagak seolah-olah suaranya adalah suara keramat. Tidak lagi. Rakyat sudah celek seceliknya. Berkumpul di ibukota daripada pelusuk negara tanpa permit bukannya satu 'big deal'. Inilah manifestasi perasaan rakyat. Inilah gambaran luahan hati rakyat yang rimas, jelak dan jijik kepada pemerintahan yang zalim dan tidak berhati perut.

C) Semua orang tahu, Mahathir memperkudakan sistem perundangan dan dia mengharapkan Ariffin Jaka menghenyak Anwar sekali lagi. Dia lupa Allah sentiasa mengawasi keadaan. Lambat laun dia akan berada di kandang orang salah dan Anwar akan menjadi saksinya. Kalau undang-undang negara tidak melakukannya, rakyat marhain secara kollektif akan melakukannya.

D) Dia fikir pihak polis adalah anjing suruhannya. Dia belum tahu lagi apa akan jadi. Lupakah dia apa jadi kepada Rajiv Ghandi ketika berjalan menerima tabik hormat perbarisan askar Sri Lanka satu ketika dulu. Sejak semalam lori kecil FRU sudah mula bergerak dengan beberapa anggota di dalamnya untuk tayang muka. Ini dianggap sebagai proses mengertak. Siapakah yang digertak? Apakah semua anggota FRU itu tidak mempunyai suadara yang akan terlibat dalam demonstrasi rakyat nanti?

E) Siapakah sebenarnya Pemerintah 'Teragung' PDRM kalau bukan raja-raja. Apakah Mahathir lupa perkara ini. Apakah Mahathir mahu pembabitan askar Melayu dan semua anggota tentera menyebelahi rakyat? Apakah Mahathir mahukan semua rakyat marhain terutama sekali mahasiswa universiti dan pekrja kilang bersatu semata-mata untuk memaksanya undur?


Kesimpulan Awal

GELITA 14 adalah manifestasi rakyat yang cintakan keharmonian. Gerakan liberasi rakyat kali ini adalah untuk memperingatkan Mahathir bahawa masanya sudah tiba. Tempoh luput kepimpinannya sudah lama berlalu. Eloklah dia bersiap sedia menghadapi rakyat dengan segala rendah diri. Rakyat adalah tuannya. Rakyat akan menentukan tempoh luputnya. Mahathir harus sedar akan hakikat ini. Rakyat yang akan berkumpul nanti bukannya wakil Barisan Alternatif ataupun Barisan Nasional. Setiap insan yang akan berkumpul nanti adalah rakyat Malaysia yang cintakan negaranya.

Huru-hara tidak timbul kerana itu bukan agenda rakyat. Agenda rakyat adalah memperingati kezaliman pemerintahan Mahathir. Inilah agenda yang akan dikongsi bersama oleh sebilangan besar ahli UMNO di seluruh negara. Inilah perhimpunan yang akan dianggotai oleh para askar, polis, bomba, immigresen, doktor, jururawat, para pesara dan sesiapa sahaja dengan pakaian yang berwarna warni tanpa sebarang lencana kepartian mereka. Mereka akan berdiri megah menunjukkan semangat juang kepada dunia dan berkata: 'Hai Mahathir eloklah buat keputusan secepat mungkin kerana tempoh luput kamu sudah lama berakhir....!

Kepada pemimpin UMNO yang lain adalah lebih baik kalau anda menasihatikan presiden anda itu agar bertaubat sebelum terlambat. Ingat-mengingati adalah ajaran Allah kepada kita sesama seagama. Lakukanlah semasa masih ada masanya. Laksanakan tugas ini kalau anda sayangkan kuasa yang masih ada itu. GELITA 14 adalah Gerak Liberalisasi Tanah Air yang digerakkan oleh rakyat yang cintakan negaranya. Kami akan teruskan perjuangan kami dan anda lakukanlah peranan anda untuk menentukan manifestasi rakyat ini tidak dihuru-harakan oleh seorang diktator tua yang sudah kehilangan pegangan hidupnya.



-Marhaintua-
4 April 2000