Laman Webantu   KM2A1: 4181 File Size: 11.8 Kb *



AM: Dr M, Gua Musang & Ku Li
By Rozaid Rahman

10/4/2001 5:42 pm Tue

[Satu analisis menarik kenapa Mahathir menghadirkan diri di Gua Musang sebagai persiapan awal untuk menawan pewakilan menjelang perhimpunan agung nanti. Bagi pemerhati politik Mahathir memang kejam (ruthless) dalam tindak-tanduknya terhadap sesiapa yang mungkin dapat menyainginya. Kebanyakkannya tersingkir melalui rencana pengaiban akibat fakta (Musa) atau gambar (Ku Li) atau khabar yang tersiar (Anwar). Tetapi semuanya dilakukan penuh dengan muslihat dan disaat Mahathir 'kurang' sihat. Hanya Anwar sahaja yang masih hidup walaupun telah dibunuh acap kali. Yang lain sudah tawar hati dan 'menyokong' sahaja selagi Mahathir masih bernyawa lagi.

Kini terdapat desas-sesus hubungan Mahathir-Daim semakin longgar. Daim tidak muncul semasa sesi OPP3. Mungkin sebab itu jugalah pasaran saham amat ngeri mutakhir ini. Sila imbau kembali kabinet tambahan Mahathir tempoh hari untuk membenteng dirinya. Kesemuanya adalah kaki putar alam belaka....
- Editor
]


http://www.agendamalaysia.com/detailinf.asp?gnum=12&num=784


ANALISIS BERITA :


Dr M, Gua Musang & Ku Li

Oleh Rozaid Rahman

Tiada siapa dapat menafikan, permainan politik Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad bukan sahaja penuh dengan elemen-elemen mengejutkan tetapi pada kebanyakan masa tidak boleh dibaca oleh lawannya atau pun para pemerhati politik tanah air.

Pada era kegemilangan Anwar Ibrahim sebagai seorang ikon kepada generasi muda, Dr Mahathir berjaya melakukan satu coup d'etat dengan mencurinya dari tangan Pas dan membawanya ke dalam Umno. Walaupun para pengkritik melihat langkah itu kemudiannya satu malapetaka buat Umno (lihat apa yang terpaksa dilalui oleh parti itu ekoran krisis pemecatan Anwar) tetapi satu pandangan lagi berpendapat, sama ada ia merupakan langkah yang salah atau benar, Anwar akhirnya dapat dijinakkan oleh Dr Mahathir dan kemudian memusnahkannya sama sekali.

Sepanjang proses tersebut, Anwar kelihatan seperti akan menjadi penganti mutlak kepada Dr Mahathir. Namun begitu, Dr Mahathir sebagai seorang ahli politik yang pintar bermain teka-teki sentiasa mengelak daripada menjawab secara tepat apakah Anwar akan mengantikannya. Cuma beberapa tahun kemudian iaitu sebelum Anwar dipecat, barulah beliau menyatakan pendiriannya dalam soal tersebut. Namun begitu barang diingat bahawa sepanjang pendakian Anwar ke mercu kejayaan 'sementara' politik negara, Dr Mahathir tidak pernah meminggirkan nemesis Anwar, iaitu Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Beliau seolah-olah memberi peringatan kepada Anwar, bahawa sebarang kesilapan langkah hanya akan membuka laluan kepada Pak Lah. Atau dengan lebih tepat, jika Anwar menunjukkan tanda-tanda akan melawan tauke, beliau sentiasa ada Pak Lah sebagai penggantinya. Jelas sungguh, selepas ketiadaan Anwar, Pak Lah menjadi pilihan Dr Mahathir sebagai timbalannya.

Sekali lagi Dr Mahathir bermain dengan teka teki apabila beliau 'menolak' calon yang lebih kanan (dari sudut undi dan hirarki) iaitu Datuk Seri Najib Tun Razak ketika mengumumkan penganti Anwar.

Ramai yang tertanya-tanya kenapakah Najib yang menduduki kerusi naib presiden paling kanan tidak menjadi pilihan sedangkan Abdullah yang menduduki kerusi nombor dua dalam ranking naib presiden menjadi pilihannya.

Sebenarnya Dr Mahathir sentiasa bermain modus operandi yang hampir serupa apabila mencorakkan barisan kabinetnya dan juga mencaturkan langkah politik seterusnya.

Masih ingat lagikah ketika Tengku Razaleigh Hamzah pertama kali tewas di tangan Musa Hitam pada pemilihan jawatan timbalan presiden Umno selepas Dr Mahathir mengambil alih teraju negara dari tangan Tun Hussein Onn?

Selepas kekalahan Ku Li, Dr Mahathir tidak menyingkirkan bekas menteri kewangan itu dari persada politik tanah air. Sebaliknya, walaubagaimana sekali pun sokongan yang ditunjukkannya kepada Musa, Dr Mahathir tetap 'menyimpan' Ku Li di dalam barisan kabinetnya. Malah Ku Li masih diberi jawatan bendahari agung Umno dan menteri pusat.

Ini kerana beliau sentiasa hendak Musa sedar bahawa sekiranya dia menjadi ancaman kepada kedudukannya sebagai perdana menteri, pada bila-bila masa sahaja Ku Li boleh diambil sebagai rakan sekutu yang baru.

Ada satu lagi teori yang mengatakan bahawa Dr Mahathir tidak pernah bimbang akan percaturan politik Ku Li ataupun Pak Lah. Mereka pada pandangan Dr Mahathir adalah ahli politik yang 'lurus' dan tidak banyak akal sepertimana Musa dan Anwar. Tetapi dari segi pengalaman dan personaliti, Ku Li hampir-hampir sama dengan Musa.

Kedua-dua Musa dan Anwar mahu dilihat sebagai seorang negarawan. Kedua-duanya juga adalah pemimpin semulajadi - tergolong dalam kategori dilahirkan untuk menjadi pemimpin sama seperti Dr Mahathir. Malah karisma dan aura kepimpinan kedua-duanya melampaui batasan kenegaraan. Mereka telah mencapai status antarabangsa. Sepertimana Musa, Anwar dilihat di Indonesia sebagai pemimpin ASEAN, bukan pemimpin Malaysia semata-mata, misalnya.

Musa pula dikenali dan dihormati di Eropah dan dunia barat kerana karismanya dan juga pemikirannya. Baru-baru ini, satu forum yang dihadiri oleh Musa di Eropah telah mendapat sambutan yang agak luar biasa bagi seorang yang bertaraf bekas timbalan perdana menteri Malaysia. Anwar pula ketika masih menyandang jawatan timbalan perdana menteri, sentiasa mendapat perhatian dunia dan juga ASEAN lebih-lebih lagi apabila beliau muncul dengan konsep masyarakat madaninya.

Hubungan Anwar dengan dunia dan generasi muda Malaysia yang nampaknya masih belum padam walaupun sudah hampir tiga tahun tersingkir dari politik arus perdana sudah sewajarnyalah membimbangkan Dr Mahathir.

Tetapi bagaimana pula dengan Musa' Apakah pengaruh Musa sebagai seorang negarawan serta kata-katanya yang sering ditafsirkan sebagai berbaur politik dan nasihat buat ahli-ahli Umno merupakan satu ancaman juga kepada kepimpinan Dr Mahathir' Beberapa bekas penyokong kuat Musa pernah berkata, Dr Mahathir sentiasa melihat, kata-kata Musa mengenai politik sebagai satu percubaan untuk kembali ke politik arus perdana - satu percubaan menguji permukaan air.

Dan apakah imej Musa sebagai libertarian Melayu dan egalitarian Malaysia yang kini lebih tertonjol melalui tugasnya sebagai pengerusi Suhakam menjadi satu igauan buat Dr Mahathir?

Oleh itu sekali lagi percaturan harus dilakukan. Maka kunjungan Dr Mahathir secara tiba-tiba ke Gua Musang hujung minggu lalu sudah tentulah menjemput seribu satu pertanyaan dan persoalan, apakah pula game plan Dr Mahathir selepas ini. Ramai yang pada mulanya melihat langkah itu sebagai satu usaha untuk berjinak-jinak semula dengan Ku Li ekoran desas-desus hubungan dinginnya dengan Tun Daim sekarang.

Teori ini boleh diterima jika melihat kepada paten percaturan politiknya sepertimana yang dinyatakan di atas. Ini dikuatkan lagi dengan hakikat bahawa pada hari pembentangan rancangan 10 tahun negara di Dewan Rakyat minggu lalu, Dr Mahathir membaca teks pembentangan rancangan tersebut tanpa Daim di sisinya.

Tetapi sekali lagi, kunjungan ke Gua Musang itu berjaya mengelabui mata orang dan menjadi decoy kepada matlamat sebenar Dr Mahathir, kata seorang pemerhati politik tanah air. Jika seandainya Ku Li dibawa masuk ke arus perdana politik negara, ia bukanlah untuk mengimbangi pengaruh Daim atau kerana hubungan Dr Mahathir dengan menteri kewangan itu yang dikatakan dingin tetapi hasrat yang tersirat ialah semata-mata untuk mengimbangi populariti dan penonjolan Musa dalam agenda nasional dan internasional.

Sejarah telah memperlihatkan, sepanjang era kepimpinan Dr Mahathir, beliau telah berkelahi dan berpisah dengan ramai tokoh politik tetapi pada masa yang sama tidak mempunyai masalah untuk menerima mereka semula. Para pengkritik dan penganalisa politik pula sering berkata, bagi Dr Mahathir siapa sahaja boleh sentiasa kembali dalam arena politik negara kecuali dua orang tokoh. Seorang bernama Musa Hitam dan seorang lagi Anwar Ibrahim.

(Isnin, 9 April 2001)


© 2001 AgendaMalaysia





http://www.emedia.com.my/z/Current_News/BH/ Thursday/National/20010117224930/pp_index_html

Latar belakang anggota Kabinet baru


DATUK SHAHRIZAT ABDUL JALIL, 48.

Anak kelahiran Pulau Pinang dan menyertai Umno pada 1981 menerusi Umno Bahagian Kepong di Kuala Lumpur. Menjadi Ahli Parlimen Lembah Pantai sejak 1995.

Berkelulusan undang-undang dari Universiti Malaya pada 1977 dan 18 tahun kemudian menjadi Setiausaha Parlimen Kementerian Belia dan Sukan.

Beliau mula dipilih sebagai ahli Exco Wanita Umno pada November 1993 dan pada 1996, dipilih menganggotai Majlis Tertinggi Umno. Pada Mei tahun lalu, memenangi jawatan Naib Ketua Wanita Umno.

Pada 1995, beliau dilantik sebagai Setiausaha Parlimen Kementerian Belia dan Sukan dan dalam rombakan Kabinet Disember 1999, dinaikkan ke jawatan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

BRIG JEN (B) DATUK ABDUL HAMID ZAINAL ABIDIN, 57.

Dilahirkan di Bagan Datoh, Perak dan menjadi Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sejak Julai 1995. Beliau berkelulusan Diploma Pendidikan Kolej Islam Malaya dan Ijazah Sarjana Perundangan Islam dalam siasah syariah dari Universiti Al-Azhar, Mesir.

Beliau pernah menjadi Pengarah Kor Agama Angkatan Tentera (Kagat) pada 1986 sebelum mengetuai Jakim yang pada asalnya dikenali sebagai Jabatan Hal Ehwal Islam.

Beliau juga pernah menjadi pemegang amanah Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YPEIM).


SENATOR DATUK tengku ADNAN TENGKU MANSOR, 51.

Tengku Adnan, pemegang ijazah Pentadbiran Perniagaan, mula mencipta nama dalam politik pada 1984 setelah dilantik Ketua Penerangan Umno cawangan Kampung Bakti di Bahagian Seputeh, Kuala Lumpur sebelum menjadi timbalan ketua bahagian itu pada 1985.

Setahun kemudian beliau dilantik naib pengerusi Biro Antarabangsan Pemuda Umno dan Ketua Biro Kewangan Pemuda Umno. Beliau dilantik sebagai Setiausaha Kerja Umno pada 1999 dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan tahun lalu. Beliau menjadi Ketua Umno Bahagian Seputeh sejak 1996.

SENATOR DATUK M KAYVEAS, 47.

Kayveas, yang dilahirkan di Benta, Pahang adalah Presiden Parti Progresif Rakyat (PPP) sejak 1993 dan berkelulusan undang-undang dari Universiti Buckingham serta ijazah sarjana pentadbiran perniagaan dari Universiti Hull, London.

Pada 1999, beliau dilantik anggota Majlis Perundingan Ekonomi Negara II dan menganggotai jawatankuasa kemiskinan majlis itu.

Beliau mengangkat sumpah sebagai Senator pada 4 Disember lalu. Kayveas mempunyai firma perundangan sendiri, Blanche and Kayveas.

SENATOR DATUK ZAINUDDIN MAIDIN, 61.

Zainuddin adalah tokoh wartawan yang tidak asing lagi dan pernah menjadi Ketua Pengarang Kumpulan Utusan pada 1982-1992. Lebih dikenali sebagai Zam, beliau berundur daripada jawatan itu pada 1992 dan dilantik sebagai Penasihat Jabatan Pengarang selama dua tahun.

Pada masa yang sama, beliau tinggal di London dan menulis buku Mahathir Di Sebalik Tabir.

Beliau dilantik sebagai anggota Dewan Negara pada 1998 dan Timbalan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan pada Ogos tahun yang sama.