Laman Webantu   KM2A1: 4201 File Size: 4.3 Kb *



AM: KPN Dakwa Perancang Cuba Guna Cara Militan
By AM

12/4/2001 7:14 pm Thu

[Aktivis reformasi tidak perlu bom atau pelancar roket untuk menumbangkan kerajaan kerana suara sahaja sudah cukup berkesan. Mengaibkan perjuangan reformasi dengan keganasan hanya akan mengaibkan institusi polis sendiri kerana selama ini pesilat seperti Pak Din pun tidak melawan apa-apa bila dibelasah dengan teruknya.

Menangkap melalui akta ISA adalah langkah terdesak seseorang yang sudah mati aqal untuk berhujah. Sejarah membuktikan kelembutan akhirnya akan menjatuhkan kekerasan kerana disitulah mata akan memandang - bukannya bom ataupun senapang. Itulah yang berlaku di Serbia kerana tiada sesiapa yang memanggil rakyat untuk turun padang melainkan sesuatu yang hidup sendiri di dalam insan. Ia tidak akan musnah atau tercedera walaupun tubuh berlumuran darah dibelasah dengan belantan. - Editor]


http://www.agendamalaysia.com/detailinf.asp?gnum=12&num=796

Agenda Malaysia


KPN Dakwa Perancang Cuba Guna Cara Militan

KUALA LUMPUR, Rabu 11 April - Polis DiRaja Malaysia hari ini mendakwa, tujuh pemimpin gerakan reformasi termasuk pemimpin utama Parti Keadilan Nasional (Keadilan) ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana mereka didapati cuba menggunakan cara militan dan di luar batasan undang-undang untuk melakukan huru-hara.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Norian Mai dalam sidang akhbar khas untuk menjelaskan penangkapan tujuh pemimpin berkenaan berkata, antara bukti-bukti yang menunjukkan bahawa kumpulan reformasi cuba untuk menjatuhkan kerajaan melalui cara-cara militan ialah rancangan untuk mendapatkan bom dan pelancar roket selain menggunakan bom api, bebola penabur (ball bearing) dan senjata-senjata berbahaya sewaktu demontrasi.

Polis juga mendakwa, bahawa ketujuh-tujuh mereka merancang untuk mengadakan demontrasi secara besar-besaran dalam usaha untuk mengugat kerajaan.

Tujuh yang ditahan itu ialah;



  1. Naib Presiden Keadilan, Tian Chua
  2. Ketua Pergerakan Pemuda Keadilan, Ezam M.Nor
  3. Naib Ketua Pemuda Keadilan, N.Gobalakrishnan
  4. Exco Pemuda Keadilan, Ghani Haron
  5. Pengarah Kempen Bebaskan Anwar (FAC), Raja Petra Kamarudin
  6. Aktivis Reformasi, Hishamuddin Rais
  7. Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Perhimpunan 14 April, Saari Sungib


Norian berkata, usaha kumpulan itu telah diperhatikan sejak September 1998 dan peralatan-peralatan berbahaya yang disebut itu adalah bertujuan untuk digunakan menyerang anggota keselamatan serta menimbulkan huru-hara ketika demontrasi jalanan sepertimana yang berlaku di ibu kota sebelum ini.

Menurut lagi, adalah amat jelas sekali, aktiviti para pengerak reformasi sanggup melakukan perkara-perkara di luar perlembagaan negara dan undang-undang negara demi mencapai maksud mereka.

Kata Norian, mereka kini ditahan di bawah Seksyen 8, akta berkenaan.

Dalam pada itu, polis juga mendakwa, kumpulan reformasi beberapa tahun kebelakangan ini cuba mendapatkan bantuan dan sokongan guru-guru silat serta cuba mempengaruhi beberapa bekas anggota keselamatan supaya menganggotai gerakan mereka.

Malah para aktivis reformasi ini juga didakwa telah menyebarkan berita-berita palsu yang mengemparkan seperti percubaan untuk mengkristiankan orang Melayu sewaktu kempen pilihan raya kecil Lunas baru-baru ini.

Pihak polis mendedahkan, seramai 20 anggota kumpulan reformasi telah bertemu sebanyak 12 kali di sekitar ibu kota antara 6 Januari hingga 4 April tahun ini bagi menjayakan perhimpunan bagi memperingati hari penghukuman ke atas Anwar Ibrahim yang jatuh pada 14 April setiap tahun.

Menurut kenyataan rasmi polis, kumpulan ini merancang untuk mengumpul kira-kira 50,000 orang di hadapan pejabat Suhakam Sabtu ini dan menyifatkan perhimpunan serta perarakan itu berpotensi bertukar menjadi satu rusuhan.

Serentak dengan itu, Norian menyeru orang-ramai supaya tidak menyertai perhimpunan itu kerana ia adalah satu perhimpunan haram.


© 2001 AgendaMalaysia