Laman Webantu   KM2A1: 4251 File Size: 13.0 Kb *



AM: Memperkasakan Kuasa
By Rozaid Rahman

19/4/2001 4:58 am Thu

[Satu analisis menarik dari AM. Daim mungkin disisihkan dan Ku Li mungkin ditabal menjadi Menteri Kewangan yang baru. Lawatan Mahathir ke Gua Musang baru-baru ini mungkin satu isyarat Ku Li diambil kembali. Daim dikatakan akan mengambil cuti 3 bulan sebelum bersara dari kerajaan. Tetapi terdapat spekulasi Daim sudah tidak ngam dengan Mahathir kerana sudah tidak muncul lagi dalam mesyuarat MKT, pembetangan OPP3 serta perlantikkan Ali Abul Hassan sebagai penasihat ekonomi. Zeti juga dijangka akan digugurkan untuk digantikan dengan Nor Mohamed.

Ezam sepatutnya telah lama ditangkap di bawah ISA, tetapi baru sekarang beliau diberkas. AM berpendapat Mahathir tidak mahu Dollah terjatuh titi jika dijerkah Ezam acap kali. Sila maklum ini cuma pendapat dan analisis sahaja... mungkin ada benar atau silapnya dimana-mana. Walaupun begitu ia tetap menarik kerana Umno akan carik juga walaupun ia ditampal secara tiba-tiba. Ribut sedang melanda tetapi tiada seorang pun di dalam Umno mengetahuinya dan bersiap bersedia kecuali Daim sahaja...... - Editor]


http://www.agendamalaysia.com/detailinf.asp?gnum=12&num=850

ANALISIS BERITA : MEMPERKASAKAN KUASA

Oleh Rozaid Rahman

Pelantikan bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Ali Abul Hassan Sulaiman sebagai penasihat ekonomi kepada Perdana Menteri sebenarnya memberi indikasi kepada halatuju politik dan pasaran dalam tempoh yang terdekat ini.

Petunjuk yang paling jelas ialah Dr Mahathir Mohamad sedang dalam proses memperkukuhkan kedudukan pasukan pengurusan krisisnya (crisis management team members) ke arah mempersiapkan diri untuk melakukan sesuatu yang drastik dan mengejutkan dalam kerajaan yang sudah tentu pula mempengaruhi sentimen pasaran.

Tingkah laku seperti ini bukanlah amalan baru dalam tata kerja Dr Mahathir. Sebelum memecat Datuk Sri Anwar Ibrahim pada 2 September 1998, beliau juga telah memberi petunjuk yang sama. Perkara pertama yang dilakukannya ialah dengan membuat satu pengumuman kepada seluruh rakyat Malaysia supaya bersiap sedia untuk menerima beberapa berita yang mengejutkan.

Pada mulanya, orang-ramai menyangkakan bahawa beliau akan mengumumkan beberapa polisi baru tetapi apa yang berlaku adalah jauh lebih drastik dari itu.

Yang pertama, Gabenor Bank Negara, Ahmad Mohamed Don meletakkan jawatan dan tempatnya digantikan oleh (mungkin juga secara kebetulan!!!) Ali Abul Hassan sendiri. Tidak lama selepas itu, beliau mengumumkan langkah-langkah baru kerajaan dalam mengawal pasaran mata wang ringgit, kawalan terhadap tukaran asing dan kemudiannya kemuncak dari semua itu ialah mengumumkan pemecatan Anwar Ibrahim daripada semua jawatan kerajaannya.

Apa yang lebih menarik tentang paten berfikir Dr Mahathir ini ialah hampir setiap penafiannya membawa kepada perkara sebenar. Sebagai contoh, baru-baru ini ketika beliau ditanya apakah dalam rombakan kecil kabinet yang akan dilakukannya akan wujud sebuah kementerian baru, Dr Mahathir dengan selamba menafikannya. Tetapi keesokan harinya, beliau mengumumkan pembentukan sebuah kementerian baru untuk wanita dengan Datuk Shahrizat Jalil sebagai menterinya.

Perkara yang sama berlaku sehari sebelum pemecatan ke atas Anwar dibuat. Dr Mahathir telah ditemuramah dalam program Wawancara RTM1 oleh Ketua Pengarang Kumpulan The NSTP, Datuk A. Kadir Jasin. Dalam program itu, Dr Mahathir telah ditanya apakah benar khabar angin yang bertiup kencang bahawa Anwar akan meletakkan jawatan. Jawapan yang diberi oleh Dr Mahathir ialah; 'Itu semua adalah khabar angin' yang saya tahu ialah, saya hanya akan menerima peletakan jawatan daripada Anwar sekiranya beliau tidak lagi berupaya melakukan tugas kerana sakit atau terlantar sakit sehingga tidak dapat bangun. Saya juga hendak menolak desas-desus yang mengatakan saya dan timbalan saya ada masalah besar 'kalau tidak sependapat dalam beberapa perkara tu biasalah.'

Keesokan harinya, Anwar dipecat.

Itulah paradoksnya seorang yang bernama Mahathir Mohamad. Tetapi sama ada kita menyayanginya atau membencinya, beliau telah berjaya melaksanakan apa jua perancangan politiknya tanpa gagal sejak hampir 20 tahun yang lalu walaupun kes Anwar ini akan dikenang sebagai kes yang paling sukar dan rumit yang pernah dikendalikannya sejak memegang tampuk pemerintahan negara.

Menjelang jam 11 pagi 18 Julai ini, Dr Mahathir akan menyambut ulangtahun yang ke-20 sebagai ketua kerajaan Malaysia. Menjelang tarikh itu beliau akan mencatat sejarah dan namanya akan terukir di dalam Malaysian Books of Record sebagai perdana menteri Malaysia yang paling lama berkhidmat. Jika rajin membuat sedikit kajiselidik, ada kemungkinan juga beliau adalah perdana menteri yang paling lama berkhidmat di dunia selepas perang dunia kedua - yang dipilih secara demokratik iaitu melalui pilihan raya umum.

Dalam pemikiran Dr Mahathir, itu adalah salah satu sebab mengapa kuasa dunia yang lain cemburu ke atas pencapaian dirinya.

Jadi, dengan perkembangan-perkembangan yang sedang berlaku di hadapan mata kita sekarang, apakah pula perancangan politik Dr Mahathir agaknya. Pelantikan Ali Abul Hassan mungkin memberi sedikit indikasi. Lawatannya ke Gua Musang juga boleh jadi satu indikasi. Jumaat ini (20 April), beliau akan sekali lagi ke Kelantan - kali ini Kota Bharu - untuk lawatan kerja selama sehari. Dalam tempoh sebulan ini, beliau melakukan dua lawatan kerja ke Kelantan - satu perkara yang jarang-jarang dilakukannya.

Di pasaran, para analis membuat andaian bahawa pelantikan Ali Abul Hassan telah memberi satu tamparan hebat kepada Tun Daim Zainuddin yang kini semakin menyepi dan ketidakhadirannya dalam beberapa program atau mesyuarat utama telah menimbulkan tanda tanya mengenai hubungannya dengan Dr Mahathir.

Daim bukan sahaja tidak hadir di Parlimen ketika Dr Mahathir melancarkan program perancangan 10 tahun baru-baru ini malah beliau juga tidak kelihatan pada mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno Isnin lalu (16 April).

Kembalinya pasukan pengurusan krisis di keliling Mahathir sudah tentulah bertujuan untuk melemahkan kedudukan Daim, kata seorang analis pasaran. Petunjuk-petunjuk pasaran katanya seperti mengesahkan sentimen ini. Pelantikan Ali Abul, seorang yang digelar 'Mahathirista' pula dilakukan ketika desas-desus sedang bertiup kencang mengatakan Dr Zeti Akhtar Aziz akan diganti oleh seorang lagi 'Mahathirista' sebagai gabenor bank pusat itu.

Orang yang dimaksudkan itu ialah Datuk Nor Mohamed Yaacop, yang juga penasihat kewangan kepada perdana menteri. Nor Mohamed bukanlah muka baru dalam industri perbankan. Beliau pernah berkhidmat di Bank Negara sebagai penolong gabenor dan kemudiannya penasihat kepada gabenor sebelum dilantik ke jawatan sekarang, Mei tahun lepas. Sebelum itu beliau pernah berkhidmat dengan Kumpulan Rashid Hussein dan juga Kumpulan Abrar.

Ali, akan bekerjasama dengan Nor Mohamed yang pada pandangan kebanyakan penganalisa akan menjurus ke arah pelantikannya (Nor Mohamed) sebagai gabenor yang baru. Walaupun semalam Dr Mahathir telah menjelaskan bahawa pelantikan Ali Abul Hassan sebagai penasihatnya yang kedua adalah disebabkan oleh bebanan kerja yang semakin bertambah tetapi para penganalisa masih tertanya-tanya justifikasi di sebalik pelantikan itu melainkan ia hanyalah sebagai batu loncatan kepada satu tugas yang lebih besar dan drastik.

Jadi, apakah Nor Mohamed akan benar-benar dihantar ke Bank Negara untuk mengantikan Zeti yang dikatakan akan dilantik ke satu jawatan baru dalam kerajaan?

Ini hanya akan terjawab seandainya Dr Mahathir merasakan bahawa telah tiba masanya untuk beliau melantik menteri kewangan yang baru bagi mengantikan Daim yang pada pandangan Dr Mahathir sudahpun selesai melaksanakan tugas-tugasnya ekoran pemecatan Anwar. Semua orang sedia maklum bahawa pelantikan semula Daim ke jawatan lamanya itu adalah untuk meletakkan semula sistem dalam perspektif yang 'betul' ekoran krisis yang ditinggalkan akibat pemecatan Anwar.

IMF, kawalan mata wang, penyusunan dan pengstrukturan semula konglomerat-konglomerat yang sering dikaitkan dengan Umno; penerbitan dan penjualan bon baru serta penarikan semula kedatangan pelabur asing - semua itu adalah tugas utama yang dipertanggungjawabkan ke atas Daim selepas pasca pemecatan Anwar.

Dan orang yang disebut-sebut akan dilantikan oleh Dr Mahathir untuk mengantikan Daim ialah tidak lain dan tidak bukan, Tengku Razaleigh Hamzah. Lawatan ke Gua Musang awal bulan ini dan sekali lagi ke Kelantan Jumaat ini seolah-olah sebagai satu proses meminang semula Ku Li.

Tetapi barang diingat bahawa permainan catur yang digerakkan oleh Dr Mahathir ini bukan sekadar melibatkan satu langkah tetapi mungkin juga dua atau tiga langkah serentak.

Seandainya beliau membawa semula Ku Li ke dalam kabinet dan arus perdana politik tanah air, ia bukanlah sekadar untuk memadamkan pengaruh Daim yang sejak akhir-akhir ini tidak begitu gembira dengan langkah-langkah ekonomi dan pembahagian projek serta penyusunan semula syarikat-syarikat gergasi yang ternyata tidak dilakukan mengikut cara Daim tetapi pada masa yang sama adalah untuk memperkukuhkan kedudukan Datuk Sri Abdullah Ahmad Badawi dan mengimbangi populariti Tan Sri Musa Hitam - seorang lagi nemesis politiknya.

Dr Mahathir memerlukan Pak Lah menjadi lebih terjamin, kukuh dan kuat seandainya beliau berhajat untuk menyerahkan kuasa menjelang pilihan raya umum akan datang. Sebab itulah penangkapan Ezam M.Nor and the gang di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) menjadi satu realiti juga akhirnya. Dahulu Ezam dikatakan akan ditahan di bawah ISA ketika beliau pulang dari Indonesia pada 14 Mac 1999. Tetapi di luar jangkaan semua orang beliau tidak ditahan oleh polis pun selepas berada enam bulan di perantauan dan berkempen menentang Dr Mahathir di sekitar negara Asean.

Malah beliau sekali lagi dikatakan akan ditahan ekoran pendedahannya berhubung beberapa rahsia kerajaan, pemberian projek serta kertas siasatan Badan Pencegah Rasuah (BPR) ke atas pemimpin-pemimpin tertentu. Tetapi itu juga tidak menjadi kenyataan mungkin kerana faktor pilihan raya.

Kini pilihan raya telah selesai dan pilihan raya akan datang masih jauh ke hadapan, kerajaan hanya menunggu masa dan saat yang sesuai sahaja untuk menahan bekas setiausaha politik kepada Anwar itu. Kehadiran Ezam di ceramah-ceramah umum di sana-sini dan terus menerus mengkritik dasar Dr Mahathir dan juga kewibawaan Pak Lah termasuk anak-anaknya pada pandangan perdana menteri adalah satu ancaman kepada proses peralihan kuasa yang lancar dan tenang.

Pak Lah tidak boleh dibebankan dengan ancaman-ancaman seperti ini untuk membolehkannya mengambil tampuk pemerintahan negara secara aman. Atas sebab itulah barangkali, Ezam akan merengkok di Kamunting untuk satu jangkamasa yang panjang samalah seperti mentornya, Anwar Ibrahim ketika beliau ditahan di bawah akta yang sama pada tahun 1974. Sehingga kedudukan Pak Lah terjamin, barulah peluang untuk Ezam kembali sebagai warga bebas akan menjadi kenyataan.

Kehadiran Ku Li yang pernah bersama-sama Pak Lah membentuk satu pasukan yang dinamakan Team B, pada masa yang sama akan menjadikan pengaruh Musa Hitam kendur. Kita akan tertanya-tanya bukankah dahulu Musa, Ku Li dan Pak Lah berada di dalam satu kem? Tetapi jika ditenung sedalam-dalamnya, itulah percaturan politik yang menjadikan Dr Mahathir seorang pemimpin yang kukuh - divide and rule.

Sebagaimana beliau membawa masuk Anwar dan kemudian menjadikannya sebagai seorang yang begitu banyak kuasa dan pengaruh untuk mengimbangi kuasa dan pengaruh Musa, Ku Li, Pak Lah dan kemudian harinya Daim, beliau telah menggunakan semula Daim dan Pak Lah serta lain-lain untuk mengimbangi semula pengaruh Anwar. Hari ini beliau mungkin memerlukan modus operandi yang sama untuk mengimbangi pengaruh Daim di dalam kerajaan dan pasaran. Pengaruh Musa yang semakin popular sebagai pengerusi Suhakam adalah satu lagi 'ancaman' kepada perancangan politik Dr Mahathir.

Akhir sekali, apakah keputusan anaknya Mokhzani untuk tidak bertanding mempertahankan kerusi sebagai Ketua Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Merbok ada kena mengena dengan krisis ini?

Jawapannya mungkin dalam sedikit masa lagi.

(Rabu, 18 April 2001)


© 2001 AgendaMalaysia

Link Reference : Memperkasakan Kuasa