Laman Webantu   KM2A1: 4346 File Size: 10.9 Kb *



Kalau Tiada Angin Masakan Pohon Bergoyang?
By CDB

30/4/2001 5:48 pm Mon

[Mokhzani mungkin dilantik untuk menjawat satu kementerian selepas berundur 'nama' dari dunia koporat. Beliau sekadar mengundur nama - bukan mengundur harta - jika tidak beliau akan melepaskan semua pegangannya dan jawatannya di alam koporat. Menurut Mokhzani sendiri, tujuannya mengundur nama itu adalah kerana ingin menumpukan lebih perhatian kepada politik. Ini bermakna ada sesuatu menantinya di sana.

Memang sudah lama menanti... Rombakkan kabinet awal tahun ini sebenarnya telah menyediakan pentas untuk Mokhzani beraksi kerana yang dilantik adalah orang kepercayaan Mahathir selama ini - termasuk pakar fitnah dan putarbelit media. Dengan pemimpin keADILan yang lantang berada di dalam penjara ISA, itu sudah cukup untuk menggerunkan sebarang pencabar dalam Umno sendiri. Lagipun polis tidak perlu memaklumkan kepada menteri dalam negeri untuk menangkap sesiapa... (termasuk menterinya sendiri?) - inilah kata Dollah Badawi. Mahathir pula sudah memberi kata-dua pemimpin politik Umno boleh di tahan ISA kerana politik wang. Tektik menghentam orang kaya dan pengunduran Daim sudahpun membuka laluan... maka Mokhzani akan dipersilakan. - Editor]


KALAU TIADA ANGIN MASAKAN POHON BERGOYANG?

Beberapa hari lepas akhbar-akhbar dan media arus perdana memberikan tumpuan khas kepada anak kedua Mahathir, Mokhzani yang kununnya telah berhenti daripada dunia korporat perniagaannya. Agak aneh bagaimana seorang yang begitu haloba mencari kekayaan dan kemewahan dunia, tiba-tiba mahu membuangnya begitu sahaja walhal tidak pula kedengaran beliau mahu mendekatkan diri dengan Allah s.w.t. atau pergi beruzlah kepadaNya sepertimana perbuatan seorang wali yang masyhur dahulu, iaitu Ibrahim bin Adham yang secara sukarela meninggalkan dunianya semata-mata kerana mahu mencari keredhaan Ilahi.

Menurut orang tua-tua kita, kalau seseorang itu berperangai aneh dan ganjil-ganjil kemungkinan dia nak buang tebiat ataupun nak mati. Membuang segala kekayaan dan kemewahan bagi anak seorang yang kaya raya dan begitu rakus membolot segala hasil mahsul negara dengan bersandarkan kekuasaan bapanya, seorang yang begitu berkuasa di negara ini, tentulah menimbulkan tanda tanya. Ini bukan kes membuang tebiat atau berperangai ganjil orang yang nak mati. Tindakan Mokhzani meninggalkan dunia korporat dan kekayaannya yang super mega itu dipercayai ada hubung kaitnya dengan perancangan bapanya, Mahathir untuk membawanya jauh ke tengah di dalam arus politik negara.

Ketika baru-baru Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat dahulu, saya pernah mengutarakan suatu pendapat bahawa apabila Mahathir meletak jawatan sebagai Perdana Menteri, beliau sama sekali tidak akan melepaskan cengkaman kuasanya kepada penggantinya. Tetapi beliau akan melantik dirinya sebagai Menteri Kanan sepertimana Lee Kuan Yew di Singapura. Pandangan saya itu mendapat reaksi spontan Mahathir keesokkan harinya apabila diajukan soalan oleh para wartawan, beliau telah menafikannya sebaliknya berkata apabila beliau berhenti nanti beliau akan perbanyakkan amal ibadat (kununnya) dan tidak lagi mahu terlibat dengan soal-soal politik.

Apabila Mokhzani yang terkenal kayanya dan menguasai begitu banyak syarikat-syarikat termasuk yang disenaraikan di BSKL berkata mahu mengundurkan diri dari dunia korporat, perkara pertama yang terlintas dalam kepala saya ialah 'politik'. Saya percaya pengunduran beliau daripada sektor korporat adalah untuk membolehkannya memasuki laluan baru dunia politik bersama-sama bapanya. Pergeseran Mahathir dengan Daim kebelakangan ini menguatkan andaian ini dimana Mahathir dipercayai akan memberikan kedudukan yang kukuh dan selesa kepada Mokhzani di dalam parti dan kerajaan sebelum beliau berundur diri dari jawatan Perdana Menteri.

Semenjak krisis Anwar, Mahathir sudah tidak mempercayai sesiapa pun lagi di kalangan menteri-menteri kabinetnya. Tambahan pula dalam situasi beliau yang sudah tidak lagi popular itu, beliau ingin mempastikan keadaan yang selamat buat diri dan keluarganya andaikata beliau tidak lagi menjadi Perdana Menteri. Desas desus yang bertiup kencang mengatakan adanya pakatan mahu menyingkirkannya yang didalangi oleh Daim - Badawi menguatkan sangkaannya bahawa mereka yang ada di sekelilingnya adalah musang berbulu ayam dan gunting dalam lipatan yang cukup merbahaya buatnya.

Krisis antara beliau dengan Daim masih belum menampakkan klimaksnya lagi sekurang-kurangnya untuk beberapa minggu ini. Meskipun Daim sedang bercuti kununnya untuk membereskan fail-fail projek pembangunan yang bertimbun, tetapi agak aneh dan belum pernah terjadi seseorang menteri yang mengambil cuti begitu lama menghabiskan cutinya di pejabat. Kalau begitu, apa gunanya mengambil cuti kalau masih datang membuat kerja?. Percutian Daim itu sebenarnya adalah untuk mengurangkan tekanan dan spekulasi perletakan jawatannya sebagai Menteri Kewangan. Daim dipercayai akan meletak jawatan sebaik sahaja tempoh percutiannya selama 60 hari tamat nanti.

Saya ada terbaca beberapa pandangan netters yang membuat ramalan akan kemungkinan Mokhzani akan dilantik sebagai Menteri Kewangan yang baru menggantikan Daim nanti. Meskipun andaian atau ramalan tersebut ada asasnya, tetapi saya percaya Mokhzani tidak akan dilantik sebagai Menteri Kewangan serta merta. Beliau dipercayai akan dilantik sebagai salah seorang timbalan menteri selepas dilantik sebagai seorang senator. Perlantikan Mokhzani sebagai timbalan menteri mungkin cuma untuk jangkamasa yang singkat dan akan disusuli dengan perlantikannya sebagai menteri penuh iaitu sebagai Timbalan Perdana Menteri menggantikan Badawi yang akan disingkirkan melalui satu rombakan kabinet selepas itu. Dengan Mokhzani sebagai TPM, kedudukan Mahathir sebagai PM sudah pasti tidak akan tergugat lagi. Bukan sahaja kedudukannya tidak tergugat daripada sebarang ancaman musuh-musuh politiknya, malah selepas beliau meninggalkan jawatan PM pun sudah pasti akan mendapat jaminan dan perlindungan daripada anaknya .

Apabila mendapati Mokhzani sudah berada di kedudukan yang teguh dan selamat sebagai TPM, Mahathir akan meletak jawatannya sebagai PM dan memberi laluan kepada anaknya itu menjadi Perdana Menteri, sementara beliau sendiri akan melantik dirinya sebagai menteri kanan sepertimana Lee Kuan Yew di Singapura. Badawi nampaknya terpaksa menggigit jari apabila teori ini menjadi kenyataan nanti. Kepintaran Lee Kuan Yew mencorakkan politik Singapura dan memilih bakal pengganti dengan tenang dan selamat memberikan ilham kepada Mahathir untuk mencubanya. Ketidakpastian yang sentiasa melanda warna politik negara menyebabkan Mahathir terpaksa memilih jalan yang lebih selamat untuk kehidupannya selepas bersara nanti. Dengan melantik dirinya sebagai menteri kanan juga akan membolehkan beliau memberikan tunjuk ajar dan bimbingan kepada Mokhzani dalam mengurus negara selain mempastikan segala projek-projek pembangunan yang telah dirancang terutama bandar Putrajaya dapat berjalan dengan lancar sepertimana dikehendakinya.

Krisis yang meruncing antara Mahathir dengan Daim mungkin akan mencetuskan satu lagi drama yang hebat di dalam pentas politik negara. Kecuali Daim mengambil langkah 'mengalah', sebarang tentangan samada secara langsung atau sebaliknya, akan menjerut Daim ke kancah pertarungan yang kalaupun tidak sehebat seperti yang dialami oleh Anwar, tetapi mampu menggegarkan arena politik tanahair. Dengan kemasukan Mokhzani ke dalam pentas baru politik bersama bapanya, Mahathir sudah pasti akan mendapat dokongan yang kukuh. Kedudukan Mokhzani sebagai Penolong Bendahari Pemuda UMNO akan menjadi batu loncatan kepadanya untuk melompat lebih tinggi ke atas dengan kehendak bapanya.

Ketika mana Mahathir sendiri akan terancam oleh mereka yang sedang mengintai peluang untuk menyingkirkannya secara diam-diam (diketuai oleh Badawi - Daim), kemasukan Mokhzani akan memberikan nafas baru untuk Mahathir mengukuhkan kuasanya. Saya belum dapat meramalkan portfolio apakah yang bakal diberikan Mahathir kepada anaknya itu tetapi besar kemungkinan adalah sebagai timbalan menteri dalam negeri (untuk menjaga polis) atau timbalan menteri kewangan [sebelum dilantik sebagai TPM yang saya maksudkan di atas]. Selepas Daim bersara apabila cukup tempoh percutiannya nanti, Tengku Razaleigh Hamzah dipercayai akan mengisi kekosongan yang ditinggalkan Daim.

Lawatan Mahathir sebanyak dua kali ke Kelantan baru-baru ini dianggap sebagai langkah 'masuk meminang' semula Ku Li untuk membawa masuk beliau ke dalam kerajaan.

Perlantikan Ku Li sebagai Menteri Kewangan menggantikan Daim, selain dapat mengukuhkan sokongan terhadapnya (Mahathir), juga sebagai langkah untuk merampas kembali Kelantan dari tangan PAS. Dengan kedudukkannya sebagai menteri kabinet, Ku Li diharapkan oleh Mahathir agar dapat berbuat sesuatu untuk menyekat pengaruh PAS dari terus berleluasa. Gabungan Ku Li - Mokhzani mungkin menjadi suatu acuan baru teori pengukuhan kuasa Mahathir untuk mempastikan beliau tidak digugat selagi beliau menjadi PM. Ku Li yang terhutang budi mungkin tidak lagi mencuba untuk menjatuhkannya.

Saya percaya pengunduran diri Mokhzani dari dunia korporatnya adalah sandiwara untuk mengelabui mata umum sahaja. Perancangan Mahathir untuk mengukuhkan kuasanya tidak dapat tidak mesti melibatkan penglibatan anaknya sebagai orang yang akan ditunjukkan sebagai penggantinya kelak. Ketidakyakinan Mahathir terhadap Badawi yang menjadi timbalannya serta beberapa perselisihan yang berlaku antara mereka berdua baru-baru ini akan menjadi titik tolak untuk Mahathir menyisihkan Badawi sepertimana timbalan-timbalannya sebelum ini. Hanya dengan melantik anaknya sendiri sebagai bakal pengganti barulah ancaman terhadap kerusinya itu dapat dihapuskan. Yang jelas, kemasukan Mokhzani ke dalam arena politik negara bakal mewarnai lagi pentas sandiwara yang mereka lakonkan. Logikkah mengundur diri dari dunia korporat yang serba mewah hanya semata-mata untuk memberikan tumpuan kepada keluarga, sedangkah sudah berbelas tahun kekayaan dan kejayaan tersebut dikejar?. Bagi saya, kalau tiada angin, masakan pohon akan bergoyang ? Selamat datang Mokhzani ke alam baru dunia politik bersama daddy anda !

Cucu Datuk Bahaman
30 April 2001