Laman Webantu   KM2A1: 4389 File Size: 7.7 Kb *



Pencabar Aziz Shamsuddin Digantung?
By Kelawar UMNO

5/5/2001 9:20 pm Sat

Berikut adalah berita terbaru dari sumber tertinggi dalam parti UMNO yang bersidang baru-baru ini. Saya merasa berita ini belum disiarkan di mana-mana lagi kerana ia agak sensitif sehingga berita perdana negara pun tidak menyiarkannya.

Mustapha Kamal Mat Nawi yang menang mengalahkan Datuk Aziz Shamsuddin akan dikenakan tindakkan disiplin digantung selama 6 tahun kerana dituduh menggunakan politik wang. Soal bukti tidak jadi masalah kerana ia boleh diatur sebagaimana Anwar diaibkan. Demikianlah dahsyatnya Aziz Shamsuddin ini. Akan adalah seekor dua yang tampil nanti dengan bukti untuk mengnyahkan Mustapha terkebil-kebil dari kemenangannya yang sah di sisi demokrasi.

Dalam pemilihan bahagian baru-baru ini Aziz tewas sebanyak 6 undi sahaja ditangan Mustapha. Aziz mendapat 129 undi manakala Mustapha beroleh 135 undi.

Mustapha merayu agar diadakan pemilihan semula sebagaimana kes Fuad Hasan lawan Ahmad Bujang yang seri itu tetapi besar kemungkinan dia akan dinafikan dari mendapat peluang itu. Ahli-ahli dan pemimpin Umno yang lain tidak berani masuk campur untuk simpati kepada Mustapha.

Saya berharap dengan pendedahan ini jawatankuasa disiplin tidak akan menggantung Mustapha. Setidak-tidaknya lakukan pemilihan semula.

Saya juga percaya Mahathir mungkin membaca tulisan ini dan menukar tektiknya. Dia membaca tulisan Marhain Tua kerana dia ke Dubai baru-baru ini melihat sesuatu yang ditulis oleh Marhain Tua. Malah dia mungkin juga membaca tulisan oleh Pena Suasa, Amin Sapiro, CDB, Dahlia dan lain-lain lagi kerana banyak rahsia yang tidak sepatutnya keluar menyebabkan rencana ditukar.

Saya berharap lebih banyak lagi pendedahan dibuat di laman web kerana ahli-ahli UMNO amat bergantung kepadanya untuk menumbangkan Mahathir.

-Kelawar UMNO-




[Rujukan Tambahan: - Editor]


http://www.agendamalaysia.com/detailinf.asp?gnum=12&num=829

SEGERA: DATUK AZIZ SHAMSUDDIN TEWAS DI GOPENG

IPOH, Ahad 15 April - Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Abdul Aziz Shamsuddin tewas enam undi di tangan Mustapha Kamal Mat Nawi untuk kerusi ketua Umno Bahagian Gopeng dalam satu pertandingan sengit malam ini.

Pada tahun 1995, Mustapha menewaskan Aziz yang ketika itu adalah ketua bahagian dan setiausaha politik kepada Perdana Menteri. Bagaimanapun, beliau yang sebelum ini disebut-sebut akan memenangi semula jawatannya itu gagal untuk merebut balik jawatan lamanya.

Aziz mendapat 129 undi manakala Mustapha pula memperolehi 135 undi. Aziz tidak hadir pada persidangan perwakilan yang berlangsung di sini malam ini kerana sedang menjalani rawatan di sebuah pusat perubatan di Kuala Lumpur.

Dengan kekalahan ini, beliau menjadi ahli Majlis Tertinggi Umno yang pertama tewas dalam pemilihan bahagian yang sedang berlangsung di seluruh negara sepanjang bulan ini.


© 2001 AgendaMalaysia




http://www.agendamalaysia.com/detailinf.asp?gnum=12&num=914

Analisis Berita

TERBARU : FUAD HASSAN & AHMAD BUJANG SERI

Oleh Rosli Ismail


TERBARU : FUAD HASSAN & AHMAD BUJANG SERI

Oleh Rosli Ismail

KUALA LUMPUR, Isnin 30 April - "Perang" Umno Bahagian Gombak nampaknya belum juga selesai. Kejadian di luar dugaan telah berlaku dalam pemilihan yang berlangsung sengit pada hari Ahad apabila kedua-dua calon ketua bahagian, Datuk Fuad Hassan dan Ahmad Bujang mendapat jumlah undi yang sama banyak iaitu 331.

Keputusan yang memeranjatkan ini telah memaksa pengerusi tetap persidangan perwakilan itu mengumumkan pemilihan semula jawatan tersebut yang akan diadakan pada satu tarikh yang belum ditetapkan lagi.

Inilah kali pertama dalam siri pemilihan jawatan bahagian yang sedang berlangsung sekarang, calon yang bertanding mendapat undi yang sama banyak dan memaksa persidangan ditangguhkan ke satu tarikh lain untuk pemilihan semula.

Fuad Hassan adalah bekas anggota exco Kerajaan Negeri Selangor yang tewas di tangan bekas setiausaha sulit timbalan perdana menteri, Mohd Azmin Ali di kawasan Dewan Undangan Negeri Hulu Klang pada pilihan raya umum 1999.

Pemilihan jawatan Umno bahagian ini disifatkan sebagai yang tersengit di Selangor selepas Hulu Langat. Ia telah memaksa perdana menteri sendiri turun ke bahagian ini untuk menenangkan keadaan namun kunjungan tersebut masih tidak dapat meredakan kehangatan pemilihan.

Kekosongan jawatan ketua timbul apabila bekas menteri pusat, Datuk Paduka Zaleha Ismail mengundur diri daripada politik sepenuhnya. Keputusan tersebut mewujudkan dua kem di Gombak. Satu diketuai oleh Fuad, yang menyandang jawatan timbalan ketua bahagian sebelum ini manakala satu kem lagi dipimpin oleh naib ketua sekarang, Ahmad Bujang.

Dalam pertandingan malam semalam, persaingan di antara dua kem ini amat jelas kelihatan bukan sahaja untuk jawatan ketua tetapi juga untuk lain-lain jawatan. Jawatan timbalan telah dimenangi oleh orang Fuad iaitu Yuzahari Mohd Yusof, dengan memperolehi 340 undi menewaskan orang kanan Ahmad iaitu Annual Tahir yang meraih 320 undi. Annuar hanya kekurangan 20 undi sahaja daripada lawannya.

Yang menariknya ialah, keriuhan dan kegembiraan kemenangan di sebelah Fuad hanya untuk seketika sahaja kerana sebaik sahaja keputusan bagi kerusi naib ketua pula diumumkan, tiba giliran orang Ahmad Bujang pula menyorak gembira. Calon mereka Hanipah Ismail, mendapat 351 undi menewaskan calon Fuad, Abu Samah Bacik yang memperolehi 309 undi.

Kemenangan bersilang juga mewarnai jawatan ketua wanita dan ketua pemuda bahagian dalam pemilihan yang berlangsung hujung minggu lalu.

Jawatan ketua Pemuda dimenangi oleh Said Anuar Said Ahmad yang menyokong Ahmad manakala Datuk Rakibah Manaf yang menyebelahi Fuad memenangi jawatan ketua Wanita.

Said Anuar merupakan anggota exco Pergerakan Pemuda Umno Malaysia. Rakibah pula adalah bekas exco Kerajaan Negeri Selangor yang digugurkan dalam pilihan raya umum lalu.

Sidang perwakilan Umno Bahagian Gombak telah berlangsung di dewan Kelab Golf Perangsang di Rawang. Keputusan pemilihan jawatan hanya diumumkan pada jam 12.27 tengah malam (Isnin 30 April).

Ia ditunggu dengan penuh debaran oleh para perwakilan sejak lepas waktu Maghrib lagi apabila pengiraan undi mula dijalankan. Gombak yang meliputi satu kawasan yang agak luas mempunyai jumlah perwakilan yang besar iaitu hampir 700 orang kesemuanya.


Kira-kira jam 12.00 tengah malam telah tersebar desas-desus di sekitar dewan mengatakan orang-orang Ahmad telah menyapu bersih semua jawatan utama dan beliau kelihatan bersalaman dengan para perwakilan dengan wajah yang ceria.

Bagaimanapun tidak lama kemudian Pengerusi Tetap Ungku Raja Ibrahim Raja Kahar memanggil Fuad dan Ahmad Bujang masuk ke dalam bilik kiraan undi dan mereka kemudian kelihatan keluar dari bilik tersebut kira-kira 15 minit selepas itu.

Sebaik sahaja beredar keluar, wajah Ahmad tidak lagi menampakkan keceriaan dan Raja Ibrahim kemudian mengumumkan kepada seluruh perwakilan bahawa kedua-dua calon itu memperolehi undi yang sama banyak.

Beliau turut mengumumkan bahawa mengikut Perlembagaan Umno, pemilihan semula jawatan berkenaan perlu dibuat semula. Katanya, soal ini akan dikemukakan dulu kepada Badan Perhubungan Umno Negeri Selangor untuk mendapat kepastian mengenai tarikh pemilihan semula.


© 2001 AgendaMalaysia