Laman Webantu   KM2A1: 4397 File Size: 6.5 Kb *



AM: Sah - Pencabar Aziz Digantung
By AM

6/5/2001 11:55 am Sun

[Rencana ini mengesahkan lapuran di KM2 oleh penulis Kelawar UMNO. Mustapha Kamal Mat Nawi telah digantung hak bertanding 6 tahun sehingga tahun 2007. Lawannya, Aziz Shamsuddin tewas dengan 6 undi sahaja.

Mustapha digantung kerana didapati bersalah atas dakwaan 'melanggar tatatertib pemilihan jawatan'. Oleh itu jawatan ketua bahagian yang dimenangi adalah terbatal dan akan dipangku oleh timbalan ketua bahagian sehinggalah pemilihan yang akan datang. Tidak ada pemilihan semula.

Walaupun Mustapha boleh merayu kita sangsi dia akan mendapat simpati kerana Aziz Shamsuddin adalah orang kanan sang presiden. Mustapha mungkin bermasaalah untuk membela diri jika orangnya sendiri berjaya dibeli untuk mengaku melakukan politik wang dalam pemilihan ini.

Sikap hipokrit dan berpura-pura memang menjadi darah daging Umno, dan kita tidak heran Mustapha terbuang kerana lagikan Anwar boleh disisihkan dengan beberapa pengakuan seseorang yang pernah berdamping seiringan. Semasa berita ini ditulis tidak disebut pula bukti kukuh bagaimana Mustapha melanggar tatatertib kerana tiada lapuran polis pun dibuat ataupun mahkamah memberi keputusan sedemikian. Sepatutnya Mustapha dipanggil membela diri dahulu sebelum dijatuhkan hukuman bukannya dihukum dulu dan diumumkan boleh membuat rayuan. Nampak jelas tiada keadilan diberikan kerana terhukum gantung secara spontan. - Editor]


http://www.agendamalaysia.com/detailinf.asp?gnum=12&num=941

Analisis Berita

UMNO : DOLLAH KFC & MUSTAPHA KAMAL MAT NAWI DIGANTUNG BERTANDING HINGGA 2007

Oleh Wartawan AM

KUALA LUMPUR, Sabtu 5 Mei - Mustapha Kamal Mat Nawi yang menewaskan Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Abdul Aziz Shamsuddin dalam pemilihan jawatan ketua Umno Bahagian Gopeng, Perak adalah salah seorang daripada enam pemimpin Umno yang digantung hak bertanding hingga 2007 kerana didapati bersalah atas dakwaan melanggar tatatertib pemilihan jawatan baru-baru ini.

Seorang lagi tokoh yang ditarik balik kemenangannya minggu lalu ialah Datuk Abdullah Omar atau lebih dikenali sebagai ?Dollah KFC? yang mengalahkan ketua Umno Bahagian Muar, Abdul Malik Munip untuk jawatan ketua.

Seorang lagi ketua Umno bahagian yang digantung hak bertanding ialah Datuk Zainol Mat Isa dari Baling, Kedah. Beliau menewaskan penyandang jawatan, bekas timbalan menteri pusat, Datuk Raja Ariffin Raja Sulaiman pada pemilihan bulan lalu.

Pengerusi Lembaga Disiplin Umno, Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen ketika memberitahu demikian dalam satu sidang akhbar di Ibu Pejabat Umno hari ini, bagaimanapun berkata, kesemua mereka yang dikenakan tindakan itu berhak mengemukakan rayuan.

Katanya, keputusan ini juga bermakna jawatan yang mereka menangi pada pemilihan bahagian bulan lalu terbatal dengan sendirinya.

Beliau memberitahu, antara pelanggaran tatatertib yang dimaksudkan itu ialah menggunakan wang, menganjurkan makan percuma, menaja percutian dan ugut mengugut.

Sebelum ini, Timbalan Presiden Umno Datuk Sri Abdullah Ahmad Badawi telah pun memberitahu para wartawan bahawa mana-mana ketua Umno bahagian yang didapati bersalah oleh Lembaga Disiplin parti maka keputusan kemenangannya akan dibatalkan dan pemilihan tidak perlu diadakan semula. Sebaliknya, jawatan itu akan dipangku oleh timbalan ketua bahagian sehingga pemilihan akan datang.

Pada pemilihan di Gopeng, Mustapha telah menewaskan Aziz dengan kelebihan cuma enam undi. Beliau mendapat 135 undi manakala Aziz yang ketika itu sedang menjalani pembedahan di Institut Jantung Negara (IJN) mendapat 129 undi.

Kempen pemilihan itu dikatakan cukup sengit hingga ada yang menyifatkannya jika ada poster calon dipasang ia tidak ubah seperti kempen pilihan raya kecil.

Terdapat juga dakwaan mengatakan ramai yang berpeluang menjamu selera percuma di coffee house hotel-hotel ternama sekitar Ipoh semasa kehangatan kempen pemilihan itu dan wang khabarnya silih berganti tangan.

Ada juga desas-desus yang tersebar luas waktu itu mengatakan terdapat pihak-pihak tertentu yang berusaha bersungguh-sungguh untuk memastikan kekalahan Aziz sebagai satu tamparan kepada Perdana Menteri Datuk Sri Dr Mahathir Mohamad.

Malah ada juga cakap-cakap mengatakan orang-orang dari Parti Keadilan Nasional sendiri turun padang secara sukarela ?berkempen? untuk memastikan kekalahan Aziz kerana mendakwa beliau adalah konspirator utama mengakibatkan kejatuhan bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Sri Anwar Ibrahim.

Usaha-usaha yang sama dikatakan digerakkan ke atas bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Tan Sri Megat Junid Megat Ayub yang bertanding menentang Tan Sri Ramli Ngah Talib di Pasir Salak.

Sementara itu Dollah KFC yang menewaskan Malik dalam satu persaingan sengit yang disifatkan sebagai ?The Ceasar Palace Match? di Johor telah menghadapi masa depan politik yang pada mulanya kelihatan amat cerah tetapi kini penuh dengan ketidaktentuan.

Abdullah yang menerajui restoran makanan segera KFC sebagai timbalan pengerusi eksekutif mendapat 254 undi manakala Malik 209 undi.

Sekalipun Abdullah sebelum itu mendapat 80 pencalonan mengatasi Malik yang mendapat kira-kira 40 pencalonan sahaja ramai para pemerhati politik tempatan meletakkan harapan mereka 50-50.

Abdullah sebenarnya gagal dalam cubaan pertama pada tahun 1998 di mana berlaku pertandingan tiga penjuru antaranya, Malik dan ketua Umno bahagian ketika itu, Abdul Aziz Yassin (abang kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin). Pada pemilihan tahun itu, Malik telah berjaya menewaskan Abdullah dan Aziz.

Tetapi kali ini Abdullah berjaya merampas kerusi Umno bahagian itu dari tangan Malik. Sudah tentulah keputusan Lembaga Disiplin itu memberi tamparan hebat ke atas masa depan politiknya.

Dalam pada itu, lain-lain pemimpin bahagian yang turut dibatalkan keputusan pertandingan mereka dan dikenakan tindakan tatatertib yang sama ialah Ketua Penerangan Gopeng, Mohd Anuar Baharuddin; Ketua Penerangan Umno Selayang, Rahmat Abdullah dan Timbalan Ketua Bahagian Bagan Serai, Perak, Zaki Hj Din.


© 2001 AgendaMalaysia