Laman Webantu   KM2A1: 4405 File Size: 13.1 Kb *



Jika Anwar Lumpuh, Kerajaan Mahathir Akan Roboh
By CDB

7/5/2001 8:48 pm Mon

[Jika Mahathir mempunyai polis yang bertopeng, dia juga mempunyai doktor yang bertopeng. Sebagai seorang doktor Mahathir memang arif bagaimana mahu memusnahkan seseorang tanpa dikesan sebagaimana kes racun arsenik yang menggemparkan dulu. Pembedahan saraf di dalam negara tentunya akan memudahkan lumpuh atau mati kerana peralatan bedah dapat dicemari dengan kuman berbahaya seperti AIDS atau JE. Jika lapuran scan dan diari Anwar pun boleh dicuri - tidak mungkin semua peralatan bedah akan selamat dari dikotori.

Penahanan sebegitu ramai pemimpin keADILan disaat Anwar amat memerlukan rawatan penting mungkin juga bertujuan untuk memastikan sakit Anwar tidak merangsang keseluruh negara dan menjangkau Umno sendiri. Sakit Anwar ini mungkin bom sebenar yang amat ditakuti - bukannya bom militari. Malangnya ramai tidak sedar Mahathirlah yang memasang dengan sengaja bom ini kerana dia sudah tidak punya hati. Malangnya rakyat Malaysia masih berdiam diri dan begitu malas walaupun untuk bersolat hajat untuk mendesak Anwar diberikan rawatan pilihan dirinya sendiri. Kita sendiri mungkin bertanggungjawab juga dan harus dipersalahkan juga kerana membuat Anwar lumpuh atau terbunuh nanti. Dengan berdiam diri - kita menyiksa dan membunuhnya juga dalam tidak kita ketahui. Mungkinkah kita lebih kejam dari Mahathir sebenarnya kerana mengaku mempunyai hati dan menjerit reformasi? - Editor]


JIKA ANWAR LUMPUH, KERAJAAN MAHATHIR AKAN ROBOH!

Sehingga ke hari ini, sudah lebih 5 bulan Dato' Seri Anwar Ibrahim terlantar di HKL kerana kesakitan tulang belakang akibat dibelasah setengah mati oleh si Bapak Anjing yang kini sedang dikurung di dalam kandang besi di Kajang itu. Manakala si Bapak Serigala yang berkuasa di Putrajaya pula menuduhnya berpura-pura sakit atau pun cuma sakit pinggang sahaja. Semasa Anwar lebam matanya dulu, dituduhnya Anwar memukul diri sendiri. Ketika Anwar diracun dengan arsenik beliau dituduh pula diracun oleh isterinya sendiri, Wan Azizah. Saya khuatir jika ditakdirkan Anwar mati maka si Bapak Serigala itu mungkin akan menuduh pula Anwar berpura-pura mati untuk meraih simpati dan supaya rakyat bangkit menentang kerajaan. Demikianlah, jika kebencian sudah menguasai perasaan, tiada sebarang kebaikan pun yang akan kelihatan meskipun seseorang itu sedang mengaji al Quran. Sebaliknya, bila kesukaan menyelubungi diri kalau seseorang itu tak mandi sepuluh hari pun akan dikatakan berbau wangi.

Tiada sesuatu yang paling buruk dan zalim telah dilakukan oleh regim diktator yang tidak berhati perut itu melainkan wewenangnya mempolitikkan isu kesakitan dan penyakit yang dideritai Anwar dalam keadaan si hamba Allah itu tidak lagi berupaya untuk mengurus sendiri dirinya di katil hospital. Apa sebenarnya yang dikehendaki Mahathir daripada semua ini? Apa sebenarnya niat dan tujuan beliau? Apa sebenarnya kemahuan yang beliau inginkan terjadi kepada Anwar? Lumpuh? Mati? Binasa? Merana? Atau menyerah kalah sebagai seorang pengecut, daripada berterusan menentangnya? Apakah Mahathir masih mahu melihat Anwar tunduk dan 'menyerah diri' daripada terus memberontak dan berkeras kepala? Jika inilah yang si mamak jahannam itu inginkan, maaflah - beliau tersilap orang! Anwar bukanlah orangnya yang dapat memenuhi kemahuan seorang penguasa yang rakus dan zalim terhadap hak-hak rakyat dan tidak segan silu merompak dan menyamun wang ringgit rakyat semata-mata untuk menyelamatkan anak-anak dan kroninya.


Mahathir sebenarnya sengaja mendedahkan dirinya kepada gelombang kemarahan rakyat dengan berterusan mempolitikkan kesakitan Anwar sebagai sesuatu yang tidak penting . Meskipun Anwar sudah diperapnya di dalam penjara untuk tempoh selama sehingga beliau (Mahathir) berkemungkin telah masuk kubur, namun ketakutannya terhadap manusia bernama Anwar Ibrahim telah memaksanya melakukan sesuatu yang dikira bakal memusnahkan Anwar sebelum tamat tempoh hukumannya. Tidak ketinggalan dalam merealisasikan niat jahatnya itu, anjing-anjing upahan bercawat ekor seperti Syed Hamid Albar, Chua Jui Meng dan Dr Razak Kechik menyalak-nyalak bagai si gila yang terlepas dari pasungan. Chua Jui Meng yang terkenal begitu tebal sikap perkaumannya itu tanpa segan silu menyalak-nyalak mengalahkan seorang doktor pakar walhal beliau hanya berkelulusan undang-undang!

Apakah terlalu sukar untuk mengizinkan Anwar menjalani pembedahan di German di bawah kelolaan Dr Hoogland sehingga terpaksa dicari-cari sejuta helah dan alasan untuk tidak membenarkannya? Apakah masuk dek akal bagaimana seorang musuh yang sangat membencinya, tiba-tiba mencadangkan kaedah pembedahan yang berisiko tinggi di dalam negara walhal sudah diketahui yang musuh itu sudah beberapa kali mahu membunuhnya? Bukankah itu merupakan pengesyoran supaya Anwar dibunuh secara saintifik di dewan bedah tanpa ada sesiapa pun boleh mempertikaikannya dan mahkamah pula 'tersangatlah adil' dalam menimbangkan keadilan yang tidak tersurat? Kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh Hamid Albar dan Chua Jui Meng jelas menunjukkan bahawa keparat dua ekor tersebut memang berniat jahat dan ingin melihat Anwar mati di meja pembedahan.

Apakah tidak jahat namanya apabila seseorang pesakit dipaksa untuk memilih kaedah yang tidak diingininya? Pernahkah berlaku di mana-mana hospital atau oleh mana-mana doktor perubatan, boleh memaksa seseorang pesakit untuk bersetuju dengan suatu kaedah yang lebih berisiko daripada memilih suatu kaedah lain yang kurang berisiko ke atas nyawanya? Etika perubatan mana pula yang diguna pakai oleh si binatang Chua Jui Meng ini?


Sebenarnya keputusan untuk tidak membenarkan Anwar pergi mendapatkan rawatan keluar negeri seperti mana yang diingininya akan semakin menambahtebalkan kemarahan dan kebencian rakyat terhadap regim Firaun ini. Rakyat yang selama ini mungkin cuma sedikit simpatinya terhadap masalah Anwar, kini akan bertambah simpati dengan penderitaannya itu. Bukankah sudah menjadi fitrah manusia, apatah lagi umat Islam, akan mudah merasa belas kesian terhadap kesusahan dan penderitaan orang lain dan apabila ia dizalimi, maka tahap kebencian kepada penzalim akan kian memuncak? Jadi, apa untungnya Mahathir daripada keputusan muktamadnya untuk tidak membenarkan Anwar menjalani pembedahan di luar negeri itu? Mungkin ada segelintir si bebal dan si tolol yang menyokong keputusan Mahathir itu disebabkan kebebalan mereka, tetapi majoriti rakyat yang masih punya hati dan perasaan tetap akan bersimpati dengan nasib malang Anwar. Dan kerana simpati inilah maka UMNO kehilangan hampir 60% sokongan orang-orang Melayu dalam pilihanraya tahun 1999 dahulu. Apakah baki 40% lagi sokongan orang-orang Melayu itu bakal diterjemahkan sekali lagi dalam pilihanraya 2004 nanti? Sukar sangatkah untuk regim Mahathir memahaminya?

Kesakitan Anwar mungkin bersifat sementara meskipun betapa berat mata yang memandang, berat lagi bahu yang memikul. Ia bersifat sementara kerana jika Allah mentakdirkan beliau meninggal, maka akan hapuslah kesakitan itu pergi bersama jasad yang sudah terbujur kaku. Ia juga mungkin bersifat sementara jika kita semua membalas kesombongan jahilliyyah Mahathir yang tidak membenarkan Anwar mendapatkan rawatan di luar negeri itu dengan melakukan solat hajat beramai-ramai meminta Allah Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang dan Maha Penyembuh itu mencabut kesakitan Anwar dan menyihatkannya kembali seperti dahulu. Setakat ini kita cuma terlalu bergantung harap dengan usaha ikhtiar manusia di hospital walhal kita tahu yang mereka semua adalah orang yang terpaksa tunduk dengan tekanan demi tekanan daripada regim Firaun tersebut. Dalam keadaan kita yang kononnya mengasihi dan bersimpati dengan Anwar itu tetapi tidak pula kita mengambil inisiatif untuk membuat solat hajat misalnya, supaya Allah s.w.t. menyembuhkan beliau. Bagi Allah, hanyalah 'Kun, Fa Yakun' sahaja. Jika sudah habis ikhtiar kita untuk mendapatkan rawatan daripada manusia, kenapa tidak kita memohon kepada Tuhan yang mendatang dan menyembuhkan penyakit itu? Sudah mati akalkah kita bila Mahathir tidak membenarkan Anwar dibedah di luar negeri maka kita pasrah kepada takdir begitu sahaja?

Kepada Mahathir pula, usahlah saudara terlalu angkuh dan bangga dengan kekuasaan sementara yang Allah s.w.t. berikan itu dan dengan sedikit kuasa itu maka saudara boleh berbuat apa sahaja untuk melampiaskan dendam dan nafsu saudara. Dunia ini akan tetap berputar dan merakamkan sejarahnya. Hari ini saudara di atas. Esok sudah pasti saudara di bawah. Kekuasaan hari ini belum tentu menjanjikan kesenangan dan keenakkan pada esoknya. Hari ini saudara begitu megah menindas dan menganiaya Anwar hanyalah semata-mata kerana politik. Saudara merasa saudara berkuasa mutlak dan tiada siapa yang mampu menghalang saudara, namun saudara lupa bahawa sejarah tidak pernah mungkir dalam membentangkan hikayatnya bagi siapa yang pernah melalui zamannya. Tidakkah saudara melihat kehebatan penguasa-penguasa terdahulu, yang bukan sahaja memiliki kekuatan dan kekuasaan yang serba hebat, malah mampu menembusi bukit dan gunung untuk melebari kekuasaannya. Dimana dan kemanakah mereka sekarang ini ?

Saya percaya keputusan untuk tidak membenarkan Anwar mendapatkan rawatan dan pembedahan di luar negeri hanyalah disebabkan keputusan politik sempit dan dendam kesumat semata-mata. Berhujah kununnya kita memiliki kepakaran dan serba kelengkapan untuk pembedahan itu seolah-olah suatu bentuk paksaan yang kejam dengan niat yang meragukan ke atas Anwar. Apakah ada suatu jaminan bahawa ketika di dalam jagaan polis pun Anwar di belasah setengah mati, ketika di penjara diracun dengan arsenik yang hampir membunuhnya , maka kini mahu menelentangkannya di atas meja pembedahan dalam keadaan tidak sedarkan diri dan beliau akan selamat daripada tangan-tangan ghaib yang ingin menghapuskannya? Apakah tidak mungkin doktor yang bertopeng (mask) ketika melakukan pembedahan nanti merupakan bajingan yang bernama 'Doktor Mahathir' sendiri yang akan menyuntik atau memotong urat saraf Anwar sehingga mengorbankannya? Kalau ketika Rahim si Bapak Anjing membelasah Anwar di lokap Bukit Aman dulu pun ada 'pemerhati' yang bernama 'Mahathir' melihat dengan penuh 'cemas' apakah pukulan Rahim tersebut akan menghabisi riwayat Anwar, tidak mungkinkah perkara yang sama akan berlaku di dewan bedah HKL nanti ?

Oleh itu saya ingin memberi AMARAN KERAS kepada Mahathir yang gemar membaca tulisan-tulisan di laman-laman reformasi ini bahawa jika sesuatu berlaku kepada Anwar akibat keputusannya tidak membenarkan pembedahan dijalankan di luar negeri itu, maka saat kejatuhannya akan lebih cepat dari air hujan yang jatuh dari langit. Jangan beliau berfikir bahawa beliau tidak akan jatuh atau dapat dijatuhkan. Jika Anwar Ibrahim mengalami lumpuh atau mati akibat penyakitnya itu, Mahathir tidak akan dapat bertahan lagi sebagai perdana menteri. Rakyat mungkin dapat bersabar jika Anwar cuma dipenjarakan sekalipun menjangkau 15 tahun, tetapi jika Anwar mati atau lumpuh akibat politik dendam kesumat seperti iblis itu, Mahathir mesti dipertanggungjawabkan. Mahathir bukan sahaja bertanggungjawab menyebabkan Anwar mengalami penyakit slip disc akibat kekejaman Rahim Noor atas arahannya, tetapi akan bertanggungjawab ke atas kelumpuhan atau kematian Anwar. Ketika itu jika rakyat bangkit memberontak dan menjadikan Putrajaya padang jarak padang terkukur, maka jangan pula rakyat dipersalahkan. Anwar mungkin dianggap sebagai lambang keamanan bagi pendokong-pendokong keadilan dan kebenaran selama ini. Maka jika beliau sudah dianiayai terlampau kejam rakyat tidak akan sanggup berdiam diri lagi. Ini bukan soal fanatik. Ini bukan soal taksub. Tetapi persoalan seorang manusia yang diperlakukan dengan kejam dan dianiayai sebegitu rupa oleh seorang manusia bernama Mahathir yang menganggap dirinya berkuasa mutlak seolah-olah tidak ada Tuhan baginya.


Ingat Mahathir! Jika Anwar lumpuh, kerajaan anda pasti roboh !! Orang-orang UMNo sendiri yang akan bangkit dari dalam menentang kekejaman ini bersama rakyat yang lain. Dengar betul-betul Mahathir! Perhati betul-betul Mahathir! Awas betul-betul Mahathir! Jangan jadikan nyawa orang lain sebagai bahan gurauan untuk mengekalkan kekuasaan anda! Dan jangan jadikan tangisan orang lain sebagai hiburan dan kegembiraan untuk diri anda! Buruk padahnya!

Cucu Datuk Bahaman
7 Mei 2001