Laman Webantu   KM2A1: 4463 File Size: 11.0 Kb *



Menjejakki Kerjaya Rahim Noor
By Adam Abdul Kadir

15/5/2001 1:12 am Tue

[Hukuman yang teramat ringan ke atas Rahim Nor telah mempersendakan sistem perundangan negara. Pertuduhan yang begitu lembut keatasnya menunjukkan pendakwaraya sudah tidak boleh diharap lagi untuk menegakkan keadilan di negara ini. Rahim Nor bukan seorang yang berjasa kepada negara walaupun jika beliau tidak memukul Anwar. Polis begitu bermaharaja lela sejak Rahim Nor menerajuinya. Banyak tragedi ngeri di mana rakyat tidak berdosa menjadi mangsa polis terjadi ketika era Rahim Nor.

Rencana ini mendedahkan Rahim Nor seorang yang memang panas-baran tetapi dia hanya bertindak kerana tertekan. Perkataan 'bapak anjing' tidak mungkin menyebabkan dia kepanasan kerana Anwar tidakpun nampak siapa yang memukulnya kerana mata sudah ditutup dan gari pula terikat di tangan. Siapa yang menekan Rahim Nor jika tidak seseorang yang berada di atasan....

Alasan panas baran untuk mengelak dari hukuman tidak boleh diterima kerana nanti semua penjenayah boleh memberikan alasan yang serupa untuk menyalahkan orang lain pula.

Walaupun Rahim panas baran - dan mungkin tidak dapat mengawal dirinya dia mungkin akan mendedahkan perkara sebenar jika sudah terlalu tertekan. Rakan-rakan Rahim dulu ada menceritakan sikapnya seperti ini.

Ini adalah sesuatu yang amat ditakuti oleh pihak konspirator. Dengan memberitakan kesihatan yang tidak baik - Rahim mungkin akan dipenjarakan dalam keadaan yang tidak memenjarakan. Pihak BA harus menyiasat apakah Rahim memang berada di dalam penjara atau dipisahkan di tempat rahsia kununnya kerana sakit yang entah apa pun tidak dikhabarkan atau disahkan oleh sebarang pakar tempatan.
- Editor
]



Setelah 2 tahun peristiwa mata "blue black" berlalu akhirnya Rahim ke penjara. Mahu tidak mahu beliau kena terima kenyataan bahawa beliau terpaksa bermalam di penjara selama sebulan. [bukan dua? - Editor]

Memang sesuatu yang tragik dan tidak pernah berlaku dalam sejarah Malaysia seorang IGP meletakkan jawatan kerana kesalahan jenayah dan akhirnya ke penjara untuk menjalani hukuman ke atas tuduhan yang beliau mengaku bersalah. Samada beliau yang benar-benar bertanggungjawab mencederakan Anwar tidak menjadi persoalan utama di sini tetapi kenyataanya, beliau telah mengaku bersalah dan beliau harus menerima hukuman ke atas pengakuannya.

Secara peribadi saya berpendapat ini adalah sesuatu yang tragik bukan sahaja kepada PDRM tetapi kepada diri Rahim sendiri. Seorang yang berada di kemuncak dan di sambung kontrak untuk 2 tahun tiba-tiba jatuh. Walau bagaimanapun sebagai seorang pegawai tertinggi dalam PDRM walau apa sahaja alasan yang diberikannya, beliau tidak patut bertindak sedemikian. Rahim memberitahu beliau tidak dapat mengawal dirinya apabila di panggil sebagai "Bapa Anjing" tetapi bagi saya walaupun apa sahaja perkataan yang digunakan oleh Anwar beliau tidak patut bertindak sedemikian.

Sepatutnya Rahim mengawal dirinya sendiri daripada bertindak sedemikian. (Sebab itu agaknya nenek moyang masyarakat India menjelaskan "kesabaran itu lebih luas dari lautan") Jika dia bersabar seketika sudah tentu hidupnya tidak menjadi sebegini.

Kalau seorang Pegawai Tertinggi Polis boleh bertindak sedemikian rupa tanpa dapat mengawal diri bagaimana pula dengan anggota dan pegwai rendah yang seolah-olah mendapat lesen untuk memukul dengan alasan di provokasi oleh si tertuduh.


k.raveendran

Seberang Perai


***ikuti tulisan Adam A.Kadir rakan Rahim semasa di Universiti Malaya


Menjejaki kerjaya Rahim Noor

Oleh: ADAM ABDUL KADIR


POLITIK diertikan sebagai seni serba mungkin. Pengertian ini mencerminkan kehidupan manusia. Apa-apa sahaja mungkin berlaku kepada manusia. Begitulah yang dihadapi oleh Rahim Noor, bekas Ketua Polis Negara. Beliau merentasi pelbagai kemungkinan untuk tiba di kemuncak kerjaya, dan hanya memerlukan satu kemungkinan sahaja untuk merombak segala yang beliau bina selama ini.

Menoleh kembali, kemungkinan itu boleh dielak. Bagaimana kalau beliau tidak meninggalkan meja mesyuarat dan pergi ke bilik Anwar Ibrahim di tahan di Ibu Pejabat Polis di Bukit Aman? Jawapannya tidak relevan lagi kerana ia tidak dapat mengubah keadaan yang sudah berlaku. Soalan begini berasaskan apa yang disebutkan dalam bahasa Inggeris sebagai hindsight atau tolehan kembali.

Mendiang Presiden Truman yang menjadi Presiden Amerika Syarikat dari 1945 hingga 1953 pernah berkata, telahan ke hadapan seorang Presiden hanya sebaik tolehan ke belakang seorang budak berusia 12 tahun. Beliau ketika itu didatangi sedikit sebanyak rasa kesal mengenangkan keputusan beliau menggugurkan bom atom di Hiroshima dan Nagasaki di Jepun yang membunuh beratus ribu manusia. Bagaimanapun, kesalan tidak dapat membawa apa-apa perbezaan terhadap apa yang sudah berlaku. Kalau pun ada, ia merupakan satu pengajaran untuk dijadikan teladan dan sempadan.

Rahim sebenarnya sudah bersara setelah mencecah usia 55 tahun, tidak berapa lama sebelum kejadian itu berlaku. Beliau dikatakan diberi sambungan khidmat selama dua tahun.

Berhentinya Anwar Ibrahim daripada tampuk Timbalan Perdana Menteri telah mencetuskan rentetan kekacauan. Ini telah menguji kemampuan polis mengawal keamanan dan pastinya berupa satu masalah yang mencabar hemah seorang ketua polis seperti Rahim. Apa yang berlaku seterusnya sudah menjadi sejarah.

Minat Rahim yang asal ialah untuk menjadi seorang ahli politik, sekurang-kurangnya itulah yang boleh dikesan sejak beliau menuntut di peringkat HSC atau Higher School Certficate, dalam tingkatan enam di Victoria Institution di Kuala Lumpur. Rakan-rakan sedarjahnya bercerita, Rahim apabila ada kelapangan selalu berulang ke Parlimen untuk mengikuti ucapan dan debat di situ.

Ketika di Universiti Malaya, beliau dan saya memahami pembawaan dan keutamaan masing-masing. Beliau memilih tempat dalam kepimpinan UMSU, kependekan University of Malaya Students Union, dan saya dalam kepimpinan PBMUM atau Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya. Di bawah kepimpinan Anwar Ibrahim kemudiannya, PBMUM menjadi kenderaan politik pelajar sebelum berpindah kepada ABIM.

Bagaikan dijanji-janji dua orang bekas aktivis kampus UM tahun-tahun enam puluhan menghadapi adegan penentuan di Bukit Aman 30 tahun kemudian! Bak Gary Cooper melakukan draw atau beradu tembakan pistol dengan musuhnya pada detik 12 tengah hari dalam filem pemenang Oscar, High Noon.

Kali terakhir Rahim, Anwar dan saya dalam majlis rasmi ialah ketika menyambut kunjungan rasmi Perdana Menteri Pakistan, Benazir Bhutto dalam tahun 1996. Tempatnya ialah Lapangan Perbarisan di Parlimen.

``Mengenangkan panty raid di kampus dulu, engkau sangka akan jadi IGP?'' saya tanya bergurau. Jelas sekali Rahim ingat episod lama itu. Beliau tersenyum geli.

``Engkau pun boleh sangka jadi speaker?'' jawabnya, juga secara humor.

Episod yang dimaksudkan ialah satu peristiwa dalam tahun 1966. Ketika itu budaya kampus tidak melarang perbuatan nakal siswa-siswa `menyerang' Asrama Ketiga, iaitu asrama siswi, dengan cara memasuki ruang rekreasi di bahagian bawah asrama itu dan merampas jemuran- jemuran di situ. Itu berlaku pada malam Krismas. Nampaknya, siswi- siswi juga menjangka itu akan berlaku, dan mereka dikatakan sengaja tinggalkan jemuran berkenaan.

Esoknya, sejak pagi-pagi lagi berpuluh panties atau pakaian dalam tergentang pada seutas tali dari pokok tembusu hingga ke bingkai atas pintu besar perpustakaan. Siswi-siswi yang keluar masuk perpustakaan berlagak `sadin' sahaja dan menerimanya dengan penuh geli hati. Kalau ada pun reaksi, mereka kelihatan tersipu-sipu. Mereka begitu sporting. Ia tidak langsung menjadi isu.

Seperti juga siswa lain, Rahim terseret sama untuk ikut serta, tetapi setakat mendaki bukit kecil berumput di bahagian hadapan asrama, dan tidak lebih daripada itu. Kami hanya memerhati rakan-rakan yang jauh lebih nakal meluru masuk!

Untuk mereka dalam kontemporari siswa-siswi pertengahan tahun enam puluhan, Rahim mencapai kedudukan kepegawaian paling tinggi dalam perkhidmatan kerajaan, selain daripada Halim Ali, bekas Ketua Setiausaha, dan mereka yang bertaraf menteri dalam kabinet dan Parlimen.

Masih segar dalam ingatan saya bagaimana Rahim memberitahu saya bahawa beliau akan meninggalkan Bank Negara untuk menyertai polis. ``Nampaknya aku tak ada potongan banker. Aku tak boleh duduk-duduk buat kerja dengan angka sepanjang hari,'' katanya. Itu dalam tahun 1969, selepas peristiwa 13 Mei.

Rupa serius Rahim seperti yang kelihatan di muka akhbar bukan datangnya selepas beliau menjadi polis nombor satu. Dalam usia awal dua puluhan pun beliau memang mempunyai mirip serupa itu. Suaranya tumpat. Ketika berkempen untuk menyertai jawatankuasa Students Union di UM, beliau mengetuk dari pintu ke pintu asrama-asrama dengan wajah penuh azam dan serius.

``Aku tak pernah menengok orang muda yang serius macam Rahim ini,'' komen seorang siswa senior setelah Rahim menjengah mukanya di kamar tidur siswa itu.

Rahim bukan sahaja serius, beliau juga baran. Short-tempered menurut kata Inggeris. Selalunya beliau dapat mengawal sikap baran ini, tetapi kadang-kadang tidak terkawal. Dalam keadaan tidak terkawal, Rahim boleh mengata hitam itu hitam, tanpa berlindung di sebalik kata- kata lunak. Rakan-rakan yang mengenali beliau di Lembah Pantai bersetuju akan hakikat ini.

Kecenderungan dan bakat beliau sebagai pemimpin tidak begitu terjejas oleh perwatakan demikian. Ini kerana beliau menjalankan tugas dengan baik. Beliau difahamkan menerima laporan-laporan yang menggalakkan ketika mula-mula bertugas di bawah Muhammad Shamsudin, Pengarah Pengurusan Polis, dan akhirnya di bawah Tun Haniff Omar, Ketua Polis Negara sebelum Rahim.

Seorang yang pernah melahirkan penghayatan terhadap Rahim ketika di kampus dahulu ialah Wan Mohd. Mahyiddin, ketua penyelidik di Ibu Pejabat UMNO.

``Tengok muka Rahim itu. Selalu very determined,'' katanya. Wan Mahyiddin tahu apa yang dikatakannya. Mereka sama-sama berkecimpung dalam UMSU. Jawatan Naib Presiden UMSU yang disandang oleh Wan disambut kemudiannya oleh Rahim. Wan kehilangan minat dan bukan ketiadaan kemampuan untuk terus belajar, lalu meninggalkan UM sebelum lulus. Sejak itu beliau bersama UMNO. Sampai sekarang.

Mengikuti tajuk-tajuk berita berkenaan detik-detik terakhir kerjaya Rahim, isteri saya turut menumpang simpati. ``Beginikah berakhirnya satu kerjaya besar?'' Demikianlah risiko hidup yang sentiasa diancam oleh serba kemungkinan.