Laman Webantu   KM2A1: 4475 File Size: 10.2 Kb *



TAG SP 118: KWSP Yang Kering Kontang
By Harun Rashid

16/5/2001 6:29 am Wed

TAG 118

[Ada sesuatu yang sedang berlaku kepada dana yang tersimpan di dalam negara yang tidak diberitahu kepada semua secara terbuka. Malah penjaga khazanah negara sengaja dipilih dari kalangan yang diam laksana menteri yang sudah terbang entah kemana kerana ingin menyembunyikan sesuatu juga termasuk dirinya. Rakyat perlu mendesak peti khazanah ini dibuka agar dapat dihitung isinya jika tidak negara akan tergadai akibat mega berbelanja tanpa dapat membayarnya.

Dengan menunda piket, MTUC hanya memberikan masa buat penipu negara mengisi peti itu dalam diam sebelum dibuka. Sudah tentu isinya diambil dari peti lain bagai satu silapmata supaya rakyat tidak bisa nampak apa-apa terusik di dalamnya. Inilah cara Mahathir dan Daim bermain dengan tabung simpanan kita. Musuh sebenar pemain silapmata ini adalah masa kerana mereka menipu melaluinya. Hanya membuka secara tiba-tiba sahaja mampu membongkarkan segala-galanya ... betapa simpanan kita sudah kering kontang rupa-rupanya. Buktinya mudah sahaja - mintalah satu penyata - nescaya mereka akan mengambil masa yang terlalu lama untuknya kerana selama ini mereka menipu sebenarnya. - Editor]


Terjemahan SPAR 05-002-1


http://home.yqi.com/harunrashid1/67EPF.html


May 15, 2001


KWSP (EPF) Yang Kering Kontang

(Is The EPF Drained Dry?)

Oleh: Harun Rashid

Bercakap benar memang banyak pahalanya, kerana itu ia menjadi tingkahlaku yang mulia. Antara kebaikannya ialah mengelak kerja-kerja sukar untuk merencana sesuatu pembohongan. Sesuatu pembohongan yang mungkin nampak menyelerakan mempunyai ciri-ciri meleket yang mesti diulang-ulang tanpa menyimpang. Inilah yang menyulitkan kerja memepertahankan pembohongan itu, agar tidak dikesan akan kepalsuannya. Jika berlaku juga, pembohongan itu perlu dipinda atupun si pembohong perlu lari keluar negara. Kebanyakan kanak-kanak apabila mencapai usia dua belas tahun mengenepikan ciri-ciri bercakap bohong itu untuk mula bercakap benar. Hanya ahli politik Malaysia yang sengaja tidak terbabit dalam golongan seperti itu; kerana mereka terus mahu menipu.

Parti yang berkuasa di Malaysia memang terkenal kerana barisan tukang bohongnya. Walaupun ramai bilangan mereka, kepintaran berbohong adalah tidak seberapa sebenarnya. Keahlian dalam gagasan BN selalunya dianggap sebagai tauliah memulakan kerja-kerja yang penuh kepalsuan. Pembohongan dan kerja-kerja mempertahankannya adalah dasar yang utama. Pemilihan dan keutamaan terhadap pembohongan itu membezakan para menteri dengan para pegawai kerajaan, yang mencari pangkat dan peluang dengan menyediakan pakar terlatih untuk bersekongkol berdolak-dalih. Para menteri tidak dibenarkan tersenyum ataupun tertawa ketika berbohong secara bersahaja. Begitu juga dengan para pendengarnya. Inilah yang membuatkan dunia luar geleng kepala.

Politikus Malaysia yang berkuasa telah membahagikan pembohongan itu dalam dua bentuk yang bergaya. Ada pembohongan berbentuk terbuka, yang disahajakan intipatinya sehingga diulang-ulang oleh pihak media dan diulang-cakap laksana belatuk sedang bercinta. Ada pula pembohongan berbentuk kiasan yang tersebar laksana api dalam sekam. Politikus yang merangkap lanun-lanun terhormat di Malaysia ini memang pintar dengan pembohongan berkias itu sehingga berjaya menonjolkan seorang wira dunia ketiga. Inilah kejayaan paling besar bahana pembohongan secara rahsia itu sehinggakan para politikus menjadi megah dengan apa yang dianggap satu kejayaan menipu yang amat mega.

Halangan terbesar daripada pembohongan berkias itu sehingga menggelapkan kilauannya berputik daripada kemunculan sepupunya yang bernama Si-Ingin-Tahu yang amat gemar mencetuskan keraguan dan spekulasi. Keadaan ini amat bertepatan dengan apa yang menghantui KWSP (Kumpulan Simpanan Wnag Pekerja: EPF) yang kini menjadi halaman untuk segala bentuk kacau-bilau sengaja dibiarkan tersibar secara melilau.

Sikap MTUC sudah mengecewakan rakyat marhaen kerana bertindak menunda tarikh mahu berpiket secara aman seolah-olah mahu bermain-main. MTUC mengalah kepada kerajaan yang menjanjikan satu penyelesaian kepada segala tuntutannya. Tetapi, sejak dulu lagi kerajaan tidak pernah mengemukakan penyata terperinci KWSP itu walaupun perdana menteri menjanjikannya begitu. Alasannya adalah amat mudah sekali; wang ataupun dana yang dikatakan masih ada itu sudah pun lama menghilangkan diri. Perkara ini bukannya masalah sembarangan kerana itu segala tindakan menudung bangkainya terpaksa terus diusahakan.

Untuk memudahkan kerja-kerja itu, ketua EPF baru sahaja diganti dengan seorang lagi khadam kerajaan, yang dipilih dengan secara teruji untuk menentukan rakyat marahaen akan terus kelabu mata. Rakyat marhaen mesti disonglap matanya agar tidak dapat melihat isi gua yang kering kontang kerana dibalun empat puluh penyangak yang lahapnya laksana jembalang.

MTUC sepatutnya melakonkan peranan Ali Baba dengan kuncikata 'Semar Inseng' untuk memulakan perkiraan yang dirancangkan. Tetapi tidak, kerana pengumuman tertundanya majlis itu berasaskan janji-manis perdana menteri yang memberi jaminan perkara itu akan dikaji. MTUC telah termakan umpan yang dihulurkan dan menodai semangat kesatuan sekerja yang mahukan kerajaan bersikap mulia. Inilah caranya anyaman pembohongan itu dikiaskan secara bersahaja menangguhkan tindakan segera dengan janji-janji yang tidak bermakna.

Bukan sahaja EPF yang mencetuskan keraguan. Keseluruhan kementerian kewangan pun terlibat juga. Segala dana yang diuruskannya adalah tulang belakang negara. Segala syarikat mega yang diuruskannya adalah gambaran ekonomi negara. Sayang, semua itu tidak pernah mengeluarkan lapuran suku tahunannya, dan tidak ada sebarang penyata menunjukkan betapa sihatkah ekonomi negara.

Menteri Kewangan tiba-tiba menghilangkan diri (kerana bercuti - penterjemah). Inilah yang mencuit keraguan betapa buku penyata akaun penuh dengan angaka yang merah warnanya. Dengan ghaibnya menteri itu menteri nombor dua dan ketiga yang memberikan jawapan yang diperlukan. Tetapi, angka yang diminati itu tidak pula ditunjukkan. Mereka tegak berdiri di hadapan peti besi mega yang sudah tidak berisi. Sesiapa yang mahu melihatnya sengaja dihalang, sambil menuding jari ke arah merreka yang berminat mengetahui ceritanya dengan bertegas bahawa semua itu adalah rahsia kerana menjaga keselamatan negara. Kalau ada pun penilaian yang perlu dilakukan, ia mesti datang daripada mereka yang namanya memang disenaraikan.

Pelbagai soalan yang sulit-sulit terus kekal tidak terjawab. Kenapakah bon-bon yang mahu digunakan untuk membayar hutang system LRT (Light Rail Transit) tidak dapat dijual? Apakah disebabkan maruah kerajaan yang ada sudah bergitu tercemar sehinggakan EPF pun segan membeli dan menjamah bon-bon kerajaan? Apakah alasannya diperlekehkan sahaja segala tuduhan korupsi yang berjela-jela panjangnya yang menghala ke arah pejabat menteri kewangan? Kenapakah kemelut penipuan bon palsu bernilai RM5 bilion dulu yang dikeluarkan oleh sebuah agensi kerajaan sengaja dipengapkan? Apakah dana itu sudah ghaib juga? Benarkah Rancangan Malaysia kedelapan hanya satu lakonan menunjukkan masih banyak lagi simpanan dana kerajaan?

Banyak lagi soalan yang boleh menjadikan satu buku tebalnya. Semua itu dianggap tidak relevan mengikut hakim badut yang menghisap gula-gula. Kementerian pertahanan kerap berada di awang-awang, mencari jalan membeli jet-jet pejuang; dan kerap terumbang-ambing di lautan mencari jalan membeli kapalselam yang teknologinya ketinggalan zaman. Mereka masih tidak mampu meyakinkan sesiapa untuk membeli segala kelengkapan itu dengan bertukar niaga dengan minyak sawit negara. Rakyat marhaen memang sudah membaca unsur-unsur songlapan dalam pertukaran niaga semacam itu. Begitu juga dengan usaha memperteguhkan kelengkapan pertahanan bukan disebabkan musuh negara tetapi disebabkan rakyat marhaen sahaja.

Sumber asli negara yang sepatutnya menjadi warisan bangsa kini digunakan untuk menekan rakyat jelata. Lebih ramai anggota polis dan tentera, lebih banyak kereta perisai perlu dibelanjakan untuk mengganyang rakyat yang mahu bertindak mengembalikan demokrasi. Akan dibina lebih banyak penjara lagi, lebih ramai pegawainya akan dicari dan lebih ramai banduan akan diisi di kamar berjeriji besi. Semua ini adalah satu usaha yang amat sukar semata-mata mahu mempertahankan pembohongan yang besar-besar.

Masih ada caranya mengembalikan keyakinan untuk menyegarkan pasaran bon agar pulih semula. Mulakan dengan berkata benar. Itu bukannya kerja yang sukar. Biarkan pengoditan bebas dilaksanakan oleh orang luar. Lakukan kepada kementerian kewangan dulu. Di waktu yang sama hentikan segala pemikiran haprak berbelanja besar membeli kelengkapan tentera dan hentikan segala projek mega yang ada.

Kalaulah KWSP dan banyak dana yang lain didapati kerugian disebabkan kegagalan pengurusan, eloklah bertindak membetulkan keadaan. Kalaulah dana itu sengaja dihamburkan untuk tujuan berpolitik, mereka yang bertanggungjawab harus diketepikan untuk menyekat pembohongan yang berlanjutan. Kalau ada kemungkinan dilakukan penyelamatan, betapa sedikitpun, lakukan secara terang-terangan. Kalau para politikus sudah berbohong selama ini, marilah kita dapatkan cerita yang sebenarnya daripada mereka semua.

harunrashid@yqi.com

Terjemahan SPAR 05-002-1



Link Reference : Harun Rashid Worldview: Is The EPF Drained Dry?