Laman Webantu   KM2A1: 4497 File Size: 25.7 Kb *



B2: ISA Dari Perspektif Hukum Islam
By Ali Muda

18/5/2001 4:49 pm Fri

http://mindarakyat0.tripod.com/2001mei/2001-1469.htm


ISA dari perspektif hukum Islam - Bahagian 2


6. ISA dari perspektif Islam

Berbalik kita kepada persoalan ISA dari perspektif Islam. Bagaimanakah pendirian Islam terhadap undang-undang atau akta yang sebegini menindas rakyat yang tidak sehaluan dengan kerajaan? Apakah ada dalam peruntukan syariat Islam sebarang hukum yang membenarkan pihak kerajaan melakukan tangkapan dan tahanan tanpa bicara terhadap yang tertuduh?

Untuk menjawab persoalan ini, kita terpaksa membuka Al-Quran, kitab hadis dan kitab feqah tentang hukum dan peraturan dalam hubungan rakyat-pemerintah.

Al-Quran memerintahkan supaya para pemerintah yang mewakili rakyat ditaati selepas ketaatan kepada Allah s.w.t. dan Rasul-Nya s.a.w. Allah s.w.t. berfirman maksudnya:

'Wahai orang-orang yang beriman, taatilah kamu kepada Allah, taatilah kamu kepada Rasul dan Ulil Amri (wali, penjaga, ketua dan pemerintah) di kalangan kamu, sekiranya kamu berselisih pendapat dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu merujuk Allah (al-Quran) dan Rasul (al-Sunnah) sekiranya kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari Akhirat?' (al-Nisa': 59)

Dalam mentaati Ulil Amri ini, sudah tentu bukan ketaatan yang mutlak kerana sekiranya begitu, ia (Ulil Amri) itu telah menjadi al-Toghut dan ini bertentangan dengan kehendak ayat al-Nahl: 36 yang dibawakan sebelum ini. Sedangkan ketaatan kepada Allah dan Rasul itu tidak boleh dijual beli atau dikompromi dengan sesuatu apa pun. Itulah keimanan yang sejati. Ketaatan yang dikompromi dengan selain Allah dan Rasul adalah ketaatan puak munafiqin yang berpura-pura beriman di atas kekufuran yang diselindungi.

Jadi Ulil Amri yang wajib ditaati ialah pemerintah yang telah taatkan Allah dan Rasul sedangkan dia tidak mengeluarkan perintah melainkan yang bertepatan ataupun tidak bercanggah dengan perintah Allah dan Rasul sahaja. Tatkala Ulil Amri itu mengeluarkan perintah atau undang-undang yang bercanggah dengan peraturan Islam, maka tiada lagi ketaatan kepada Ulil Amri itu, bahkan haram mentaatinya melainkan dalam keadaan terpaksa seperti diugut bunuh. Ini adalah hukum untuk semua orang Islam, termasuklah polis. Ini bertepatan dengan ajaran baginda s.a.w. dalam sebuah hadis yang bermaksud:

'Tiada ketaatan dalam keadaan maksiat kepada Allah, ketaatan hanyalah dalam perkara makruf' (Sahih Al-Bukhari 9/109; Sahih Muslim, Bab al-Imarah 8/39; dan lain-lain)

Sebagai sebuah agama yang lengkap, Islam tidak mengabaikan perbincangan hukum dalam hubungan rakyat -pemerintah. Bahkan ada bab khusus yang membahaskan persoalan ini dalam kitab feqah yang dikarang oleh ulama Islam sebagai susunan kepada perundangan lengkap yang wujud secara berselerak dalam al-Quran dan hadis. Bab tersebut dinamakan Bab al-Bughah (Bab Tentang Pemberontak Bersenjata) dalam kitab-kitab feqah.

Dalam membincangkan bab ini, satu hakikat yang wajib disedari ialah Ulil Amri ketika zaman ulama penulis kitab-kitab itu merupakan pemerintah yang sedang mentadbir sebuah daulah (negara) Islam dengan mendaulat al-Quran dan al-Sunnah sebagai sumber perundangan dan pentadbiran mereka.(Perlu disebutkan bahawa sistem khilafah yang bertunjangkan al-Quran dan al-sunnah telah dihapuskan secara rasmi oleh si laknat Mustafa Kemal Attartuk pada Mac 1924). Walaupun di kalangan khalifah yang menjadi pemerintah ketika itu ada yang disejarahkan sebagai zalim atau fasiq (tanpa pengesahan jelas tentang kezaliman mereka selain daripada tulisan para penulis buku sejarah), namun perundangan masih bersumberkan dua sumber wahyu Allah s.w.t. itu.

Ulil Amri umat Islam hari ini amat jauh berbeza kerana mereka bukan lagi menjalankan amanah rakyat di bawah daulah Islam, tetapi negara moden dengan sistem pentadbiran sekular yang dianugerahkan oleh penjajah kepada mereka setelah penjajah selesaikan 'tugas' mereka di tanah jajahan. Antara 'tugas' penjajah ialah (1) menyelenggarakan undang-undang di tanah jajahan berdasarkan restu kerajaan mereka; (2) menyediakan pelapis daripada kalangan anak tempatan yang mampu menyambung proses sekularisasi mereka selepas anugerah 'kemerdekaan'. Para pelapis ini disediakan melalui sistem pendidikan dan media; dan (3) meninggalkan undang-undang (seperti undang-undang ISA) yang boleh memelihara survival kerajaan baru yang dikuasai oleh anak tempatan yang dididik mereka. Ulil Amri kini lebih berkiblatkan kemajuan barat daripada berkiblatkan petunjuk al-Quran dan sunnah. Bahkan ada antara mereka yang mencela perundangan Islam yang terhasil daripada petunjuk wahyu itu.

Apabila demikian kedudukan Ulil Amri umat Islam hari ini, maka mereka tiada hak lagi bagi mereka untuk mewajibkan ketaatan daripada rakyat berdasarkan ayat al-Nisa': 59 itu.

Ulil Amri kini meneruskan penggunaan undang-undang zalim yang digunakan di zaman pemerintahan beraja dan diktator berkuku besi yang memaksa rakyat tunduk tanpa soal kepada pemerintah. Rakyat tidak mampu menyoal 'kenapa'?, apatah lagi untuk berkata 'tidak!' terhadap kehendak pemerintah.

7. Al-Bughah dalam perundangan Islam

Hukum tentang al-Bughah (pemberontak/penceroboh) dalam perundangan Islam ditetapkan oleh ayat 9 Surah al-Hujurat yang bermaksud:

'Dan sekiranya dua kumpulan orang beriman saling berperang maka damaikanlah antara kedua-duanya, jika salah satu kumpulan telah menceroboh ke atas kumpulan yang lain maka perangilah kumpulan yang menceroboh itu sehingga ia kembali kepada Allah (dengan meninggalkan perbuatan menceroboh). Jika ia telah kembali, maka damaikanlah kedua-duanya dengan adil, dan berlaku saksamalah, sesungguhnya Allah suka orang-orang yang melakukan kesaksamaan.'

Dalam al-Sunnah juga terdapat beberapa hadis sahih tentang al-Bughah. Antaranya:



  1. Daripada `Abdullah bin `Umar r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya:

    'Sesiapa yang telah menghulurkan tangan dan hatinya (memberi bai`ah/kesetiaan) kepada seseorang pemimpin, maka hendaklah dia mentaatinya selagi termampu. Sekiranya datang seorang lain yang cuba menentangnya (memerangi pemimpin yang dibai`ah itu) maka pancunglah kepala penentangnya itu.' (Riwayat Muslim)

  2. Daripada Ibn `Abbas r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya:

    'Sesiapa yang melihat sesuatu perkara yang tidak disukai daripada ketuanya maka hendaklah dia bersabar. Sesungguhnya sesiapa yang berpisah daripada jamaah walaupun sejengkal lalau dia mati maka matinya adalah mati jahiliyyah.' (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

  3. Daripada `Awf bin Malik al-Asyja`ie beliau berkata, 'aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya:

    'Sebaik-baik pemimpin kamu ialah yang kamu kasihi mereka dan mereka kasihi kamu, kamu mendoakan mereka dan mereka mendoakan untuk kamu. Seburuk-buruk pemimpin ialah yang kamu benci mereka dan mereka bencikan kamu, kamu laknat mereka dan mereka melaknat kamu.' Kami berkata, 'Wahai Rasulullah, bolehkah kami memerangi mereka?' Baginda menjawab, 'Jangan! Selagi mereka bersembahyang bersama kamu kecuali orang yang diperintah oleh seorang pemimpin yang melakukan maksiat, maka hendaklah dia membenci maksiat yang dilakukan itu dan jangan sekali-kali mencabut ketaatan.' (Riwayat Muslim, Ahmad dll.)

  4. Daripada Huzayfah bin al-Yaman r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya:

    'Akan ada selepasku para pemimpin yang tidak mengikut petunjukku dan tidak melakukan sunnahku. Akan ada di kalangan kamu pemimpin yang hatinya seperti hati syaitan dalam jasad manusia.? Aku (Huzayfah) bertanya, 'Bagaimana harus aku lakukan jika aku sempat dengan suasana itu wahai Rasulullah?' Jawab baginda, 'Kamu dengar dan taat walaupun dia (pemimpin itu) menyebat kamu dan mengambil harta kamu, hendaklah kamu dengar dan taat.' (Riwayat Muslim, al-Bayhaqi dll.)

  5. Daripada `Ubadah bin al-Somit beliau berkata,

    'Kami telah membai`ah Rasulullah s.a.w. untuk dengar dan taat dalam keadaan kami suka atau benci, kami senang atau susah, mengutamakan pemimpin daripada diri kami dan untuk tidak menentang pemimpin melainkan terdapat kekufuran yang jelas hukumnya dalam agama Allah.' (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

  6. Daripada Abu Dzar bahawa Rasulullah s.a.w. berkata,

    'Wahai Abu Dzar, bagaimanakah kamu sekiranya nanti kamu berada di bawah pemimpin yang tamak dan tidak membahagikan harta al-faie ini?' Jawab Abu Dzar, 'Demi Allah yang mengutuskan tuan dengan kebenaran, aku akan pikulkan pedang atas bahuku dan memeranginya sehingga aku bertemu tuan.' Baginda pun bersabda, 'Mahukah jika aku tunjukkan kepadamu yang lebih baik daripada itu' Iaitu engkau bersabar sehingga engkau menemuiku.' (Riwayat Imam Ahmad, dalam sanadnya terdapat perawi bernama Khalid bin Wahaban, Ibnu Hibban menthiqqahkannya manakala Abu Hatim pula mengatakannya majhul)



Semua hadis di atas dan beberapa hadis lain yang berkaitan boleh didapati dalam kitab Nayl al-Awtor (7/171-173) oleh Imam al-Syawkani, kitab al-Tasyri` al-Jinai al-Islami (2/671-673) karangan Syeikh Dr. Abdul Qadir `Awdah dan juga kitab-kitab lain.

Terdapat beberapa takrifan yang dibuat oleh ulama Islam tentang al-Bughah (pemberontak bersenjata) seperti di bawah:



  1. Mazhab Hanafi mentafrifkan al-Bughah sebagai 'orang-orang yang keluar daripada mentaati pemimpin yang sah secara tanpa hak (tidak sah)' (Hasyiyah Ibn `Abidin, 3/426; Syarhu Fath al-Qadir, 4/48)

  2. Mazhab Maliki pula mentakrifkannya sebagai 'sekumpulan orang Islam yang menentang pemimpin tertinggi (al-Imam al-A`zom) atau timbalannya untuk tujuan menghalang sesuatu hak yang wajib ke atasnya (al-Bughah) atau kerana pemimpin itu telah melakukan kesalahan.' (Syarhu al-Zurqani, m.s. 60)

  3. Al-Bughah pada mazhab Syafie pula bermaksud 'orang-orang Islam yang menentang pemimpin secara kekerasan dan meninggalkan ketaatan atau enggan menunaikan hak yang wajib ke atas mereka, dengan syarat mereka (al-Bughah) itu memiliki kekuatan senjata, mempunyai alasan penentangan dan mempunyai ketua.' (Nihayah al-Muhtaj, 8/382)

  4. Manakala mazhab Hanbali pula mentakrifkannya sebagai 'orang-orang yang keluar daripada mentaati pemimpin walaupun yang tidak adil, dengan alasan yang patut (ta'wil sa-igh) dan mereka mempunyai kekuatan senjata walaupun tidak mempunyai ketua.' (Asna al-Matolib, 4/111)

  5. Menurut mazhab al-Zahiri pula, 'menentang pemimpin yang sah atas alasan yang salah dalam hal agama atau menentang kerana tuntutan keduniaan.' (al-Muhalla, 11/97,98)

  6. Syiah Zaydiyyah mentakrifkannya sebagai 'orang yang berpegang bahawa pihaknya betul dan pemimpin salah lalu dia memeranginya dengan kumpulan yang ada kekuatan senjata.' (al-Rawdh al-Nadhir, 4/331)



Dr. Abdul Qadir `Awdah berkata, 'para ulama Islam tidak sekata dalam membuat takrifan tentang al-Bughah kerana mereka berselisih pendapat tentang syarat-syarat (bukan tentang rukun-rukun) sesuatu kumpulan itu boleh dikatakan melakukan pemberontakan terhadap kerajaan yang sah. Walau bagaimanapun mereka bertungkus-lumus berijtihad untuk melahirkan suatu takrif yang disepakati yang meliputi rukun-rukun asasi yang menyebabkan sesuatu penentangan itu dikira pemberontakan (al-Baghyu). Maka satu takrif atau definisi yang disepakati oleh seluruh ulama Islam tentang al-Bughah ialah 'penentangan terhadap pemerintah secara kekerasan.' Dari sini bolehlah dikeluarkan tiga rukun asasi terhadap jenayah al-Bughah iaitu (1) menentang pemerintah; (2) penentangan secara kekerasan atau bersenjata; (3) ada niat melakukan jenayah.' (atau dalam istilah undang-undang barat disebut mens rea) (Dr. `Awdah, al-Tasyri` al-Jinai al-Islami, 2/674)

Setelah ketiga-tiga rukun asasi ini wujud pada gerakan penentang pemerintah, barulah mereka dikira al-Bughah dan wajiblah pemerintah mencegah perbuatan mereka secara hikmah, bukan terus menahan tanpa bicara, mencedera atau membunuh mereka. Ini berdasarkan ayat 9 Surah al-Hujurat yang tersebut di atas yang pertama sekali memerintahkan supaya diadakan perdamaian. Perdamaian ini boleh dicapai dengan pertemuan, perbincangan, muzakarah dan soal-jawab supaya semua pihak berpuas hati. Peluang mesti diberikan secara saksama kepada kedua-dua pihak untuk menyatakan pendirian mereka kepada umum, bukan hanya satu pihak (pemerintah) yang boleh menggunakan kemudahan kerajaan (yang merupakan hak semua rakyat yang membayar cukai) seperti siaran tv dan radio, akhbar-akhbar perdana, stadium, dewan-dewan serba guna dan sebagainya. Sekiranya kemudahan itu tidak boleh diberikan juga kepada rakyat pembangkang, batalkan peraturan mengutip cukai ke atas mereka dan jangan menghalang mereka untuk mewujudkan kemudahan siaran suara mereka sendiri dengan sekatan permit.

Sekiranya peluang untuk mereka bersuara secara sah disekat sedangkan itu adalah hak mereka yang wajib ditunaikan pemerintah, maka ada di kalangan mereka yang tidak mampu lagi duduk diam lalu keluar beramai-ramai di jalan raya secara aman tanpa senjata, ketika itu mereka TIDAK dikira sebagai al-Bughah dan pemerintah tidak berhak menghalang mereka untuk bersuara.

Apabila memberikan rakyat bersuara secara sah itu merupakan kewajipan, maka kerajaan yang tidak menunaikan kewajipan itu adalah kerajaan yang fasiq dan zalim. Mentaati pihak yang fasiq dan zalim adalah tidak wajib, bahkan rakyat wajib mencegahnya daripada terus berlaku fasiq dan zalim.

Tentang perkara ini Ibn `Abidin menyebutkan dalam kitabnya al-Durr al-Muhtar yang terkenal dengan nama Hasyiyah Ibn `Abidin (3/430) bahawa 'keengganan untuk mentaati pemerintah dalam perkara maksiat bukanlah al-baghyu (pemberontakan), sebaliknya adalah menjadi kewajipan setiap muslim untuk tidak taat dalam maksiat, kerana tiada ketaatan melainkan dalam perkara makruf?.' (Dr. `Awdah, ibid, m.s. 675)

Tindakan aktivis reformasi keluar berdemontrasi disebabkan mereka tidak diberi ruang untuk bersuara secara sah seperti pihak kerajaan dan penyokongnya miliki. Apatah lagi apa yang mereka ingin suarakan ialah tentang ketidakadilan pemerintah dalam membuat pendakwaan di mahkamah, rasuah, penyelewengan wang rakyat, penyalahgunaan kuasa, skandal pihak atasan, dan yang terbesar sekali ialah kezaliman yang amat jahat ke atas seorang yang besar jasanya kepada negara dengan membuat tuduhan zina dan liwat tanpa saksi. Jadi mereka adalah pejuang kebenaran, penyeru makruf pencegah mungkar, bukanlah al-Bughah, pemberontak atau penceroboh.

Sebaliknya, berdasarkan Surah al-Hujurat: 9 itu, dalam konteks pertikaian sekarang, pihak pemerintahlah yang telah memberontak dan menceroboh hak rakyat untuk berhimpun secara aman di bawah jaminan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, perlembagaan negara dan seluruh agama dunia. Jika pemerintah telah melakukan pencerobohan, maka ayat itu menyuruh ''jika salah satu kumpulan telah menceroboh ke atas kumpulan yang lain maka perangilah kumpulan yang menceroboh itu sehingga ia kembali kepada Allah (dengan meninggalkan perbuatan menceroboh)''. Maka berdasarkan mesej daripada al-Quran ini, wajiblah setiap orang yang mengaku beriman dengan al-Quran menentang kumpulan yang menceroboh (iaitu pemerintah) ke atas kumpulan yang lain (rakyat yang tidak sehaluan dengan pemerintah).

Dalam kitab yang sama Dr. `Awdah berkata lagi, 'Antara perkara yang disepakati oleh seluruh mazhab dalam Islam, bahawa tidak harus pemerintah memerangi al-Bughah sebelum diketahui sebab penentangan mereka. Apabila mereka mendakwa tentang kezaliman dan penyelewengan dan mereka benar dalam dakwaan itu, maka menjadi kewajipan pemerintah menghapuskan dulu kezaliman dan penyelewengan itu. Selepas itu barulah pemerintah menyeru mereka supaya kembali taat dan mereka wajib kembali taat (selepas kezaliman dan penyelewengan dihapuskan). Jika mereka enggan, maka pemerintah berhak memerangi mereka'' (ibid, m.s. 679)

Kalau demikianlah prosedur menghadapi golongan pemberontak bersenjata yang diajar oleh Islam (al-Bughah), maka tindakan aktivis reformasi TIDAK SEDIKIT PUN menjadikan diri mereka sebagai al-Bughah yang harus dihapuskan oleh pemerintah. Ini berdasarkan sebab-sebab berikut:



  1. Mereka tidak bersenjata dan tidak menentang secara kekerasan, sebaliknya hanya cuba bersuara dan ingin menyatakan kepada rakyat umum tentang pendapat mereka yang tidak mendapat tempat di arena siaran perdana.

  2. Mereka keluar untuk memberitahu rakyat akan kezaliman dan penyelewengan pemerintah.

  3. Mereka hanya mengajak rakyat menukar pemerintah secara demokrasi kerana pemerintah kini tidak mengubah kemungkaran dan maksiat walaupun setelah berpuluh tahun dinasihati.

  4. Pemerintah tidak mencuba untuk menghapuskan terlebih dahulu kezaliman dan penyelewengan yang didakwa, sebaliknya teruskan memukul, menangkap dan memenjarakan rakyat yang berhimpun untuk menentang kezaliman dan penyelewengan itu.


Sekiranya mereka bukanlah al-Bughah seperti yang diperuntukkan dalam syariah Islam, maka perbuatan 'agamawan' UMNO (tidak sesuai untuk dinamakan ulama) menggunakan nas-nas hadis tentang hukuman al-Bughah seperti di atas adalah satu perbuatan menyelewengkan amanat Nabi s.a.w. dan cuba mengadakan pendustaan di atas nama Islam.

Nampaknya agamawan UMNO seperti Astora Jabat, Wan Zahidi WanTeh, Mustafa Taib dan suku-sakatnya dalam JAKIM dan YADIM kerap menggunakan hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim daripada Ibn `Abbas r.a. yang bermaksud 'Sesiapa yang melihat sesuatu perkara yang tidak disukai daripada ketuanya maka hendaklah dia bersabar. Sesungguhnya sesiapa yang berpisah daripada jamaah walaupun sejengkal lalu dia mati maka matinya adalah mati jahiliyyah.'

'Sesuatu perkara yang tidak disukai'? itu ditafsirkan oleh agamawan-agamawan terbabit sebagai semua perkara yang tidak disukai rakyat termasuk perkara maksiat dan kezaliman pemerintah. Menurut mereka, rakyat tidak harus sama sekali menentang pemerintah berdasarkan hadis ini. Rakyat kena bersabar sahaja.

Ini merupakan satu pendustaan dalam agama. Sebab pendustaan ini dilakukan mungkin kerana mereka jahil atau tidak cukup ilmu atau cuai tentang hadis lain yang mengkhususkan hadis ini, walaupun mereka tidak akan mengaku kejahilan mereka. Kalau benar mereka tidak jahil tentang hadis yang mengkhususkan itu dan mereka mengetahui serta sedar akan maknanya, maka sesungguhnya mereka telah melakukan kesalahan yang besar iaitu menjual agama Allah s.w.t. dengan dunia yang sedikit.

Kita mengatakan mungkin mereka jahil kerana mereka gagal menyelaraskan hadis yang membawa makna umum di atas dengan hadis yang mengkhususkan makna umum itu. Ajaran mereka itu menyebabkan berlaku percanggahan antara nas-nas yang sahih. Cuba kita lihat satu hadis lain yang boleh difahami sebagai bercanggah dengan hadis daripada Ibn `Abbas di atas jika tidak dilakukan penyelarasan antara hadis yang umum dengan hadis yang khusus. Hadis itu ialah yang bermaksud;

'Sesiapa di antara kamu yang melihat kemungkaran maka hendaklah dia mencegahnya dengan tangan, kalau tidak mampu, dengan lidah, kalau tidak mampu, dengan hati, yang demikian itu (cegah dengan rasa benci di hati) adalah selemah-lemah iman.' (Riwayat Muslim daripada Abu Sa`id al-Khudri)

Apakah mungkin Rasulullah s.a.w. mengajar umat Islam dua perkara yang bertentangan? Dalam hadis Abu Sa`id al-Khudri ini baginda menyuruh sesiapa yang melihat kemungkaran (tanpa menyebut siapa yang melakukan kemungkaran itu) hendaklah dia mencegahnya setakat kemampuannya sama ada dengan tangan (kekuatan) atau lidah atau hati. Tetapi mencegah dengan hati adalah selemah-lemah iman. Adakah mungkin baginda menyongsang ajaran baginda sendiri dengan menyuruh supaya bersabar sahaja terhadap kemungkaran pemerintah sehingga mengkritik (mencegah dengan lidah) pun tidak boleh? Tidak mungkin!

Sebaliknya bila diteliti betul-betul keumuman makna 'sesuatu perkara yang tidak disukai?' dalam hadis riwayat Ibn `Abbas itu khusus untuk perkara-perkara yang bukan kemungkaran seperti bentuk fizikal atau asal keturunan seseorang pemerintah itu. Ada pun bila pemerintah sendiri melakukan kemungkaran (yang sudah pasti rakyat yang beriman tidak menyukainya), maka mencegahnya dengan lisdah dan hati adalah wajib. Ini diperkuatkan lagi oleh sebuah hadis sahih yang lain yang bermaksud;

'Dengar dan taatlah, walaupun pemerintah yang dilantik ke atas kamu merupakan seorang hamba kulit hitam yang kepalanya berbentuk seperti sebiji anggur.' (Riwayat al-Bukhari daripada Anas bin Malik)

Sifat-sifat fizikal luaran pemerintah inilah yang dimaksudkan dengan 'sesuatu perkara yang tidak disukai'? dalam hadis Ibn `Abbas tadi, iaitu sesuatu perkara yang tidak disukai oleh rakyat tetapi bukan termasuk kemungkaran. Jadi hadis Ibn `Abbas itu ialah hadis umum yang makna sebenar hanya boleh difahami secara betul setelah dikhususkan oleh hadis Anas bin Malik tersebut. Kalau tidak dikhususkan, ia boleh bercanggah dengan maksud hadis Abu Sa`id al-Khudri pula. Dalam ilmu Usul al-Fiqh, percanggahan makna antara dua atau lebih nas yang sahih sebegini dipanggil al-ta`arudh. Masalah Al-ta`arudh ini mesti diungkai supaya semua nas yang sahih dapat diamalkan (ma'mul bihi)dan tiada mana-mana nas sahih yang terabai (muhmal). Tidak menjadi masalah kalau nas yang bercaggah itu adalah antara yang sahih dengan yang dhaif, kerana yang dhaif itu boleh dibuang terus. Tetapi jika kedua-duanya adalah nas yang sahih, maka adalah wajib ke atas orang yang beriman beramal dengan semua perintah wahyu yang sahih. Soalnya, bagaimana hendak beramal jika antara kedua-duanya ada percanggahan? Inilah yang perlu diselesaikan secara penyelarasan atau menghimpunkan (al-jam`u) antara nas-nas itu, iaitu nas yang umum dihimpunkan bersama nas yang khusus lalu dikeluarkan makna yang paling dekat dengan tujuan umum syariat (maqasid syar`iyyah)

Di sinilah terletak peri pentingnya kefahaman mendalam terhadap ilmu Usul al-Fiqh sebelum berhujah dengan mana-mana nas. Jika tidak, seseorang itu akan dilihat terumbang-ambing bila dibacakan nas lain yang bercanggah dengan maksud umum yang tidak dikehendaki dalam syariah. Inilah antara punca agamawan UMNO tidak stabil bila berhujah dan lebih suka berucap secara sehala kerana tidak berani menghadapi soalan daripada audiens. Kalau ada soal-jawab pun, jawapannya dilencongkan ke tempat lain daripada kehendak soalan si penyoal.

8. Penutup



Berdasarkan perbahasan di atas, bolehlah disimpulkan perkara-perkara di bawah:




  1. Para aktivis dan penyokong gerakan reformasi yang berhimpun untuk membantah kezaliman dan penyelewengan kerajaan tidak boleh dikira sebagai pemberontak atau perusuh (al-Bughah) kerana mereka hanya menyuarakan pandangan yang lain daripada pihak kerajaan secara aman.

  2. Menggunakan hadis-hadis yang berkenaan hukum al-Bughah ke atas mereka seperti yang dilakukan oleh agamawan UMNO adalah perbuatan cuba menyelewengkan nas-nas agama untuk kepentingan pemerintah dengan balasan keduniaan.


  3. Penggunaan polis FRU untuk memukul, menendang, memancut air gatal terhadap penyokong reformasi dan penggunaan ISA untuk menceroboh rumah, menggeledah, merampas harta benda, menangkap tanpa waran dan menahan mereka tanpa bicara adalah tidak sah dan bertentangan dengan Islam. Dengan melakukan tindakan sedemikian polis telah memperhambakan diri kepada manusia yang melanggar perintah Allah s.w.t.

  4. Undang-undang draconian seperti ISA, Akta Hasutan dan seumpamanya (yang memelihara kepentingan pemerintah, bukan rakyat) adalah batil dan bercanggah dengan Islam serta haram mempertahankannya. Undang-undang seumpama itu hanya diamalkan ketika pemerintahan beraja berkuku besi zaman sebelum Islam dan juga zaman pertengahan di Eropah.

  5. Menentang ISA (yang merupakan antara peraturan penjajah yang dikekalkan oleh UMNO/BN) adalah kewajipan setiap orang yang mengaku muslim dan setiap orang yang percayakan prinsip keadilan sejagat.

  6. Tidak harus rakyat menolong pemerintah yang zalim untuk menundukkan sekumpulan rakyat yang menentang kezaliman itu kerana itu bermakna tolong menolong dalam perkara dosa dan permusuhan, bahkan menurut mazhab Malik, adalah wajib rakyat menolong penentang kerajaan yang zalim. (Syarhu al-Zurqani, 8/60)



Pelancaran Anti-ISA Movement (AIM) oleh Barisan Alternatif dan NGO adalah ditunggu-tunggu oleh rakyat Malaysia. Semoga dengan munculnya gerakan seperti ini, rakyat akan sentiasa ingat kezaliman dan penderaan yang dialami oleh mangsa ISA, seterusnya membangkitkan semangat membenci dan menentang dalam jiwa mereka dan mereka tidak mudah lupa peristiwa lagi.

Akhir sekali saya memohon maaf di atas kelewatan menyiapkan rencana ini. Janji untuk menyiapkannya dalam masa beberapa hari hanya terlaksana setelah sebulan berlalu, disebabkan halangan-halangan yang tidak mampu saya elakkan. Inilah sahaja sumbangan kecil saya untuk membela mangsa ISA selama ini dan juga ahli keluarga mereka yang saya ibaratkan sebagai 'seberat-berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul'.

Sekian salam sejahtera daripada saya, wassalam `ala man ittiba`a al-huda.

alimuda@hotmail.com

20 Safar 1422 (14/5/2001)

....tamat....

Link Reference : MR2: Ustaz Ali Muda - ISA