Laman Webantu   KM2A1: 4527 File Size: 13.3 Kb *



TAG SP 127: Darurat di Malaysia
By Harun Rashid

23/5/2001 10:12 am Wed

TAG 127

[Jika Mahathir begitu kuat dia tidak akan menggunakan ISA. Beliau sudah merasa tergugat sehingga terdesak menggunakan akta zalim itu dengan alasan palsu aktivis reformasi mahu berperanng dengan peluru tentera yang hidup sedangkan dengan peluru kata sahaja pun BN sudah jatuh sebelum tersentuh. Dan gambar Anwar yang lebam sahaja sudah cukup untuk menggegarkan sebarang pemilu sehingga Mahathir menjadi cemburu ia lebih laku dari gambar mudanya dahulu. Lagipun Mahathir sendiri mencederakan Umno tanpa perlu pembangkang banyak berkata-kata. Isu keahlian Umno baru untuk kaum Cina AKAR itu adalah salah satu darinya.

Malaysia pada hakikatnya sudah berada dalam keadaan darurat kerana segala-galanya ingin dikawal dan disekat termasuk ruang untuk bersuara - bukan sahaja di jalanraya malah di parlimen juga (melalui speaker robot) dan di mahkamah (melalui hakim robot yang mengugut 'contempt of court') serta di alam siber (melalui akta hasutan). Tindakkan menekan rakyat dan menahan tanpa bicara hanya akan mempermudahkan Mahathir tersungkur jua kerana itulah yang berlaku di banyak negara. Kemarahan rakyat yang terperam itu akan menjadi bom maut buat Mahathir yang akan meletup bila cukup tekanannya dan ramuannya. Bila ini berlaku polis dan tentera pun tidak akan dapat berbuat apa-apa seperti yang terbukti di Serbia kerana picu senjata sudah terkunci dengan sendirinya oleh sesuatu yang tidak dapat dibunuh walau oleh sebarang senjata milik tentera.
- Editor
]


Darurat di Malaysia

(The Emergency In Malaysia)

Oleh: Harun Rashid - Mei 21, 2001

Pengisytiharan darurat, mempermudahkan usaha menangani peristiwa yang menyulitkan kerajaan untuk melindungi rakyat jelata daripada tindakan yang dianggap menyulitkan proses pemerintahannya. Secara kasarnya, ini ada kaitan dengan tindakan rakyat marhaen yang berbondong-bondong secara bebas tanpa memikirkan kemungkinan terjejasnya undang-undang yang menentukan keselamatan negara.

Keghairahan merobah iklim politik kerap dilihat sebagai penyebab pengisytiharan darurat. Dengan gambaran betapa penunjuk perasaan yang marah-marah terlibat dengan kemusnahan harta-benda. Kumpulan manusia itu mudah membayangkan satu suasana yang menggugat, seolah-olah mencetuskan satu bentuk ancaman kepada pihak polis ataupun tentera. Presiden Filipina yang terbaru (Arroyo), telah mengisytiharkan darurat untuk menangani himpunan manusia yang ramai bilangannya yang menunjukkan kemarahan untuk menyerbu masuk perkarangan istana presiden dan menarik beliau keluar daripada istana itu. Pengisytiharan beliau itu telah dicemuh oleh rakyat jelata, dan sebaik sahaja ugutan yang mencabarnya menjadi reda, dia telah menarik balik tindakannya. Tindakan itu memberikan gambaran betapa beliau memang amat sensitif kepada amalan berdemokrasi.

Apabila keadaan darurat diisytiharkan, ia memberikan kuasa berlebihan dan istimewa kepada pegawai yang terlantik. Pihak polis dan tentera diberikan arahan menggunakan beberapa undang-undang istimewa yang sengaja dikhaskan kepada keadaan seperti itu. Undang-undang tentera mungkin diisytiharkan untuk membolehkan angkatan tentera mengambil-alih kuasa politik untuk sementara, dan memerintah negara sehinggalah keadaan darurat sudah reda.

Undang-undang khas itu sudah pasti menyekat kebebasan hak-hak setiap rakyat biasa, sehinggakan ia merupakan sesuatu yang berbahaya terhadap amalan demokrasi. Apabila memegang tampuk kuasa, pihak tentera mungkin keseronokan dengan kuasa kepimpinan negara, sehinggakan menjadi culas dan sengaja melambatkan pengembalian proses demokrasi itu. Kalau kuasa semacam itu diberikan pula kepada pihak polis, gelagat mereka sudah pasti amat sukar untuk diawasi. Para pembangkang yang telah ditahan, merupakan satu ancaman yang mesti terus diperam untuk satu masa yang tidak ada ketentuan tempohnya.

Malaysia sekarang ini berada dalam keadaan darurat. Inilah keadaan darurat yang menyelubunginya sejak perdana menteri yang ada memegang tampuk kuasa. Dia memang seronok dengan keadaan ini dan tidak menunjukkan sebarang minat untuk mengakhirinya. Seseorang pemantau yang prihatin, tentu sedar betapa pengisytiharan keadaan darurat sebenarnya bukan termasuk dalam bidang kuasa seorang perdana menteri. Kuasa sebenarnya adalah hak mutlak seorang raja kepada segala raja dan sultan di negara ini. Kuasa ini dipegang oleh raja yang bergelar Yang DiPertuan Agong yang berhak memerintah selama lima tahun tempohnya. Tetapi, keadaan darurat di negara ini sudah berkuatkuasa sejak beberapa raja saling bertukar peranan menaikki takhta di kerajaan pusat itu. Ini menunjukkan seolah-olah mereka juga turut merasa selesa dengan keadaan darurat yang menggugat rakyat jelata.

Setiap rakyat marhaen merasakan betapa keadaan darurat yang berkuatkuasa itu adalah satu penipuan, yang tidak diperlukan sehingga kebanyakan rakyat merasakan betapa pengisytiharan itu dilaksanakan secara tidak sah. Apabila keadaan ini dicabar, para hakim yang bersidang di mahkamah Malaysia, memperakukannya. Tindakan mereka itu menghampakan sebilangan besar rakyat jelata yang tidak percaya dengan keputusan mereka. Lantas mereka telah merestui segala undang-undang purba yang merelakan kerja-kerja bajingan itu. Perilaku bidang guaman dan pengadilan menjadi kabur di mahkamah negara. Satu usaha untuk memperbaiki semula maruah mahkamah seiras dengan sistem perundangan British amat diperlukan supaya segala sifat putar-belit dan kelentongan yang menodai sistem kehakiman negara dapat dihumbankan.

Ada satu undang-undang negara yang menjadi berkesan apabila diisytiharkan keadaan darurat yang diberi nama ISA (Internal Security Act: Akta Keselamatan Dalam Negara). Undang-undang ini memberikan kuasa kepada perdana menteri menangkap sesiapa sahaja yang diminatinya. Orang yang ditangkap itu tidak mempunyai hak untuk mendapatkan bantuan guaman ataupun berjumpa sanak keluarganya bila-bila masa. Tidak ada barang bukti yang diperlukan lagi dan tidak ada undang-undang lain untuk melindungi hak yang ditangkap itu. Yang ditangkap terus disumbat ke dalam bilik soal-siasat pihak polis cawangan khas. Merekapun digasak dan dilanyak oleh tukang siasat dan para al-gojo yang digaji oleh pihak polis (dengan cukai pendapatan rakyat marhaen - penterjemah)

Mereka yang menerima pengalaman ini telah melaporkan betapa azabnya kesiksaan yang dikenakan. Segala gambaran keazaban yang mereka lalui begitu menyayat hati sehinggakan kita menyoal sendiri apakah jenis manusia bajingan yang sanggup bersukan dengan mendera sesama insan sambil menerima gaji bulanan kerana gelagat kebinatangan mereka itu? Ramai sanak saudara mangsa telah menyatakan betapa yang didera itu berubah rupa dan perwatakan mereka kerana terlalu lama diazab dan didera sehinggakan merobah perlakuan mental dan psikologi mereka. Perdana menteri sengaja berlagak pekak dan tuli kepada keadaan ini sambil pihak polis terus berlagak ceria melakonkan tarian mengikut irama sumbang yang didendangkan oleh perdana menteri itu. Kita tidak pasti apakah perdana menteri ada membuat kajian mengenai gelagat Idi Amin, namun yang pastinya dia tidak terlupa mengamalkan segala taktik bajingan diktator hitam bumi Afrika itu. Yang kita tahu perdana menteri memberikan upahan dan imbuhan yang tinggi-tinggi kepada mereka yang sanggup sebulu dengan tindakan jijiknya itu. Dia juga menyediakan habuan yang bukan kepalang azabnya kepada mereka yang sanggup mencabarnya.

Semakin jelas bagaimana perdana menteri merasa senang bersekongkolan dengan para diktator sejagat yang lain. Seperti mereka juga dia mengharapkan kematian orang yang tidak berdosa tidak akan mencemar segala lakaran indah di pusaranya. Namun, dia harus disedarkan roh yang sudah pergi itu masih lagi ada suaranya. Sekarang inipun mereka bercakap kepadanya daripada perut bumi. Dia mungkin tidak mendengarnya, tetapi, tidak lama lagi suara-suara itu akan semakin hampir kepada telinganya.

Keadaan darurat yang diisytiharkan di Malaysia merupakan sesuatu yang aneh. Pada dasarnya, para menteri dan mereka yang rapat dengan kuasa yang ada, kerap sangat berbangga dengan perihal perundangan Malaysia yang meniru sistem perundangan British. Kita tidak perlu debatkan isu ini secara serius. Cukuplah setakat memperakukan betapa British telah menyumbang kepada perundangan Malaysia ketika mencengkamkan kuasa ketuanan penjajahannya di negara ini.

Pihak British telah merangka undang-undang jenayah di Malaysia berdasarkan 'criminal code' yang mereka cipta di India, dan menjadikannya sesuatu yang berkesan. Anak-anak Malaysia yang terlatih di pengajian tinggi ilmu undang-undang di England dan Australia memang amat arif tentang keadilan dan kesaksamaan dalam susur galur penentuan penghukuman yang tercetus daripada sistem perundangan British itu. Hak berlebihan raja-raja terhadap rakyat jelata telah menjadi bahan ketidak-senangan rakyat sejak 'Magna Carta' ditandatangani, lebih 700 tahun yang lalu. Malaysia telah berjaya memberikan sedikit ruang kemewahan kepada raja-rajanya.

(MAGNA CARTA -catatan penterjemah:

Magna Carta ialah satu pengisytiharan politik yang memaksa King John menyetujui satu peraturan yang dirangka oleh satu kumpulan pegawai istana -baron- di Runnymede pada 1215. Para pegawai tinggi istana yang diketuai oleh Archbishop Langston telah melakar satu watikah yang menyenaraikan hak-hak dan sempadan bidang kuasa raja-raja, kesan daripada kerenah raja yang menyulitkan rakyat jelata. Watikah diraja itu telah memberikan penghormatan kepada hak-hak individu rakyat marhaen. Soalnya sekarang, raja manakah di Malaysia ini termasuk Rajakaapuuuur daripada Kerala yang menyedari hak rakyat marhaen?)

Malaysia telah melahirkan banyak manusia yang berotak pintar untuk menghayati sistem perundangan British. Mereka memang arif dalam bidang itu. Mereka sememangnya arif sehingga mampu memutar-belitkan sistem itu. Keadaan darurat yang sedang berkuatkuasa sekarang ini di Malaysia sebenarnya satu keadaan yang mereka pertahankan. Begitu juga dengan segala taktik penderaan, keazaban dan penahanan tanpa hadnya yang mereka anggap sebagai sesuatu yang perlu untuk menjamin stabiliti dan keselamatan negara ini. Nampaknya semua golongan Yang Arif ini tertinggal buku-buku perundangan mereka untuk ditimbuni debu di para buku di England dulu.

Masih ada lagi bentuk debu yang berserabut dalam minda dan jiwa para penunggang harimau garang di negara ini. Mereka takut jatuh darinya dan amat kecut kalau-kalau perbuatan mereka itu menyakitkan hati raksasa yang mereka tunggangi itu. Mereka terus berdalih memberikan alasan betapa mereka cuba memperbetulkan keadaan yang menyimpang dari dalam, sambil terus bernafas setiap hari mencuba menyekat jenayah berat daripada terjadi. Inilah pilihan mereka. Cuma, jangan ada pula orang yang keliru kepada lakonan itu sehingga sanggup menahan kemarahan dan kutukan apabila tiba masanya nanti.

Inilah keadaan darurat yang diisytiharkan di Malaysia. Ia sedang membara dan menyala dalam setiap minda warga negara ini yang cuba memperbetulkan kebajingan diri mereka di masa silam. Inilah kemaraan bahang yang membara yang mencabut akar umbi setiap pusara yang menyemadikan segala ketidak-adilan yang dijatuhkan terhadap yang menjadi mangsa dan juga yang telah melakukan azab sengsara.

Inilah keadaan darurat di Malaysia. Garis penentu semakin menyerlah memisahkan mereka yang arif mengenai hukum pengadilan yang lebih asasi dengan mereka yang memutar-belitkannya, sambil warga isteri para mangsa menyimpul jejari ke muka dan anak-anak terus melinangkan airmata. Kecanggihan teknologi memberi kita ruang melihat dengan jelas perubahan airmuka mereka dan mendengar rintihan suara mereka, mengamati renungan mata mereka, melihatkan betapa nafsu serakah yang membarah telah menyaluti hati nurani bakal pemimpin negara sehingga menjadi karat untuk menyedari keadaan sebenar darurat negara ini.

Itulah mereka yang berdiri tegak di dewan perdana, berpakaian indah dan tampan untuk disinari segala pantulan cahaya, sambil berlagak menyuarakan konsep kejujuran, kebenaran, kesatuan, dan pengabdian kepada Pencipta alam semesta.

Tidak ada di kalangan mereka itu yang sanggup menjejakkan kaki melihat gambaran segala keazaban nurani dan mendengar suara rintihan golongan yang menjadi mangsa sistem kebinatangan ini. Semua itu menusuk usus-usus pihak yang dicengkam sahaja.


- Harun Rashid.

Diterjemahkan oleh SPAR-05-005




Rencana Asal:

http:///home.yqi.com/harunrashid1/69Emergency.html

Link Reference : Harun Rashid Worldview: The Emergency In Malaysia