Laman Webantu   KM2A1: 4560 File Size: 9.9 Kb *



TAG SP 133: B2 Penipuan 'Islamic Bond'
By Harun Rashid

27/5/2001 8:07 am Sun

TAG 133

[Bon sebenarnya lebih bersifat janji membayar lebih setelah sesuatu tempoh atau nilai semakin bertambah bila masak tempohnya. Seolah-olah ia satu buah yang bila masak akan dapat dituai dan dinikmati hasilnya. Tidak kiralah jika ribut memusnahkan semua buah-buah itu atau ada serangga yang sudah memakannya atau tupai sudah menebuknya. Yang peliknya perniagaan yang dijamin oleh bon-bon itu tidak pula berbentuk pertanian yang ada masak dan bernilai bila cukup tempohnya. Ia lebih kepada spekulasi semata-mata seperti sektor hartanah yang kini sedang sakit jiwa.

Skim bon ini telah menjadi jalan mudah untuk mengutip wang dengan memaparkan pelbagai spekulasi keuntungan hadapan yang molok-molok belaka sehingga ramai tertipu dengannya termasuk bank dan dana awam juga, Apabila projek itu kantul mulalah sakit bank yang menyangganya sehingga datanglah danaharta untuk menutup malunya. Campur tolak, simpanan kita juga yang semakin terkurang jadinya bila kerugian itu ditelan melalui bon-bon baru(a) yang sudah bertukar nama. Ini semua menipu namanya.... atau permainan silapmata. - Editor]


Terjemahan SPAR-05-006


Penipuan 'Islamic Bond' - Bahagian 2 (Akhir)

(The Islamic Bond Scam)

Bon yang dikeluarkan oleh syarikat niaga mempunyai risiko yang lebih tinggi, kerana cagarannya merupakan segala aset yang dimiliki oleh syarikat itu. Selalunya mereka yang mempunyai tuntutan terhadap aset korporat mempunyai prioriti ataupun keutamaan ke atas pemegang saham korporat itu.

(Penjelasan penterjemah: Bon adalah surat janji yang menjanjikan bayaran faedah dua kali setahun; setiap enam bulan mengikut amalan pasaran bon sejagat. Pasaran jual-beli bon selalunya mengambil kira tempoh kematangan bon itu dan nilai faedah yang dibayar setiap enam bulan. Seorang pembeli bon pada tahap awalnya tidak semestinya pemilik bon itu sepanjang hayatnya. Itu sebabnya ada satu ketika dulu bon keluaran Brazil diberikan premium 'potongan harga' sehingga lapan puluh peratus lebih rendah daripada harga asalnya di pasaran bon Amerika. Ciri-ciri keperitan ini nampaknya tidak akan jauh berubah untuk menghenyak bon-bon keluaran beberapa syarikat tertentu yang diproksikan kepada nomini oleh si Raja Kaaapuuur !!)

Seandainya pengeluar bon gagal melunaskan bayaran faedah berjadualnya, seorang pemegang bon itu, boleh memaksa sesebuah syarikat yang kantul itu menggantung operasinya untuk dikendalikan oleh seorang pentadbir yang dilantik oleh mahkamah. Oleh kerana proses ini memakan masa yang lama, kemungkinan berlakunya kemungkiran ini kerap dipantau secara dekat, dan seandainya terserlah sebarang kelemahan, harga jualan bon syarikat itu di pasaran terbuka dan nilai bonnya akan terjejas dengan teruknya.

Oleh kerana beberapa pemegang bon mempunyai tanggungan bayaran cukai yang tinggi, bon yang menjanjikan bayaran faedah yang tinggi sebelum tiba tempoh tarikh matangnya, menjadikan bon itu satu alat niaga yang menarik. Apabila matang, bon itu pun dibersarakan dengan pembayaran faedahnya sekali. Bon jenis ini semakin naik harganya mengikut peredaran masa kerana faedah yang tertunggak itu menjadi terkumpul secara kompaunding. Kemudahan menukar bon itu dengan bon-bon lain sebaik sahaja ia matang, pembayaran cukai daripada faedah yang terkumpul itu boleh ditangguhkan sehingga hari kiamat. Inilah bon yang disebut 'zero coupons' (di Hongkong dan Taiwan ia disebut 'Jelo Kupong' - penterjemah) menjadi alat perbankan yang popular disebabkan ciri-ciri mengelat pembayaran cukai itu. Namun, ia menjadi alat yang popular kepada pihak yang mengeluarkannya disebabkan alasan lain pula. Dana yang diperlukan itu mudah diperdapatkan tanpa dikenakan sekatan faedah sepanjang tarikh kematangannya, dan tidak ada pula sekatan untuk mengirimkan wang yang diperlukan untuk satu tempoh yang terdekat. Lagipun tidak perlu diuruskan perakaunan kepada bon itu sepanjang hayatnya. Memang menyeronokkan.

(Catatan penterjemah: Adalah difikirkan waras dan sesuai untuk diberikan sedikit penjelasan mengenai dunia bon ini. Ia adalah laksana wayang James Bond juga, kerana itu tidak ramai anak Melayu yang mempunyai peluang berkecimpung dalam bidang ini kerana risikonya yang dikatakan tinggi. Sebenarnya semua itu adalah omongan sahaja kerana habuannya yang sebenarnya tinggi. Yang penting di sini ialah pembabitan pelbagai instrumen lain dalam sistem perbankan yang melicinkan operasi 'zero coupons' itu kerana apa juga keluaran kertas janji perbankan, ada satu kemestian betapa tukang-pegang janji terakhir ialah Bank Pusat sesebuah negara di mana bank itu didaftarkan. Di sinilah terserlah kuasa yang ada pada seorang menteri kewangan yang punya kuasa mengarahkan bank pusat negaranya mengeluarkan surat perjanjian kepada hutang yang dikeluarkan itu. Inilah yang ditakrifkan sebagai 'Guarantor of Last Resort'. Apabila menteri kewangan mampu bersekongkol dengan perdana menteri dalam semua kerja-kerja janji-menjanji itu alamat punahlah negara akhirnya. Semua kerja-kerja bajingan ini boleh diperkotak-katikkan seandainya para pemimpin dalam kabinet ataupun MT parti adalah jenis yang pintar dan setongkang dengan kumpulan bijaksana mengengsot get keretapi sahaja.)

Sekarang kita akan bincangkan Bon Islam ataupun Bon Islamik pula. Kebanyakan pengeluar bon Islam memilih kaedah pengeluaran 'zero coupons'. Populariti bon jenis ini terletak kepada tidak perlunya membayar balik dana yang dipinjam. Bon Islam yang matang selama sepuluh tahun dan jika dijual pada hari ini, tidak perlu dipeningkan untuk mengetahui apa kisah yang terjadi kepada pengeluarnya sepuluh tahun dari hari ini. Hmmmmm. Dia dapat wangnya dan anda sedang memiliki bonnya. Sepuluh tahun adalah satu masa yang lama. Seseorang boleh dapat darah tinggi menunggukan masa itu, mengomel sendirian mengenai pulangan wang yang dipinjamkannya.

Bayangkanlah sepuluh tahun pun tiba, dan wang pokok mengikut nilai asal bon itu menjadi matang. Kalau seseorang itu bernasib baik, wang pokok itu terbayar bersama dengan faedahnya. Tidak kiralah apa namanya, tempohnya adalah tetap. Apa juga jumlah yang berlebihan daripada nilai pokok adalah dikira riba. Seandainya, pada saat tarikh kematangan surat janji itu semakin menghampirinya, tukang pengeluar surat janji itu tidak berupaya melunaskan hutangnya, kerana tidak ada tabung dana simpanan untuk peruntukan itu, apa pula jadinya?

Menyedari masalah ini, pengeluar asal itu akan mengeluarkan satu lagi bentuk bon untuk sepuluh tahun menggantikan bon yang matang itu, dan dia pun terus bersiulan ataupun bersialan untuk sepuluh tahun lagi. Sementara menunggu sepuluh tahun lagi itu, syarikat itu boleh jatuh bankrap, mungkin dijual kepada Danaharta, Danamodal dan Credit Restructuring Agency (CRA). Inilah kaedahnya bagaimana hutang tertunggak dan bertimbun merata-rata di seluruh Malaysia masakini.

(Catatan Penterjemah; Hahaaaa...Siapakah yang mampu membeli berjuta-juta harganya bon-bon yang terbaru itu nanti???? Tentulah tabung simpanan pencen, tabung amanah orang Islam dan sebagainya. Siapa pula yang akan mengeluarkan bon-bon 'Jelo Kupong' itu nanti?? Tentulah para kroni, syarikat pak-pacak, anak-anak dan sukusakat Raja Kaaaapuuur sahaja!)

Sudah menjadi dasar terbuka parti pemerintah yang sedang berkuasa, untuk melengahkan segala bebanan hutang agar tidak terlangsai. Hanya hutang yang mustahak sahaja yang dilunaskan. Para kroni diselamatkan dan mereka yang mempunyai kepentingan politik yang mendesak diberikan keutamaan. Kerana semua inilah makanya bon Islam itu akan dijadikan satu alat perbankan yang sungguh hebat kegunaannya. Apabila dana yang diperlukan itu sudah dialihkan daripada perbendaharaan Islam yang kaya raya itu, keperluan untuk melunaskan pembayaran balik secara berjadual itu akan diubah secara beragenda juga. Tembok hutang itu akan dinaikkan lagi tanpa memikirkan keperluan masa depan lagi.

Inilah bentuk kewangan yang kini lebih terkenal sebagai 'Skim Ponzi' di kalangan orang kewangan. Dalam rancangan ini sumber wang yang baru diperdapatkan untuk mengenepikan mangsa lama di pinggiran. Apabila keuntungan yang menggunung sudah dikumpul, satu upacara selamat tinggal pun dirancang untuk membolehkan si 'tukang-sapu' beralih untuk bersara di sebuah taman yang indah rupanya. Secara teorinya, harmoni adalah pengukur kata sekarang ini. Si pembeli bon yang memegang kertas janji itu akan terus dengan pegangannya, menyimpan kertas-kertas janji yang nilainya lebih rendah daripada tisu jamban.

Urusan mempromosikan 'bank Islam' dan bon 'Islam' sudah menular begitu luas sehingga ia menjadi satu kerja-kerja penipuan yang besar yang seolah-olah direstui oleh Bank Negara Malaysia. Satu masa depan yang cerah sengaja digembar-gemburkan untuk aktiviti perdagangan jenis ini. Warga Islam di seluruh dunia sengaja dipengaruhi untuk menderma kepada tabung khas 'dana pelaburan' ini. Kepada Malaysia, rencana ini dilihat sebagai satu muslihat untuk parti yang berkuasa cuba mengelat dengan kerjasama dan pembabitan para kroni yang bersifat lintah darat. Semua pihak mengharapkan rencana ini akan berjaya.

Sama-samalah berdoa ia tidak akan menepati sasarannya.

-Harun Rashid-

Terjemahan SPAR-05-006 (Hongkong)

Link Reference : Harun Rashid Worldview: The Islamic Bond Scam