Laman Webantu   KM2A1: 4565 File Size: 17.7 Kb *



MBD: Gelas Tertepis Air Tertumpah
By Wartawan Kini

28/5/2001 2:39 am Mon

[Kami menyiarkan kembali rencana ini untuk mengimbau lagi. Apa yang berlaku sakarang adalah apa yang telah terancang.... Perhatikan beberapa laman sekarang sudahpun hilang mereka yang mendokongnya dari belakang walaupun mungkin masih beroperasi. Ada banyak lagi perancangan sedang diatur oleh Mahathir untuk mengekalkan kuasa dan ini dilakukan senyap-senyap dalam bentuk tulisan penulis upahan dan khabar angin yang sengaja ditiup sebagai umpan untuk melihat di mana berlubang. Disitulah beliau akan melancarkan serangan dengan polis bertopeng melengkapkan skrip yang dirancang.
- Editor
]

http://www.parti-pas.org/utama/
mei2000/13mei2000_kini.htm

12 May 2000 Edisi 138
8 Safar 1421


Sorotan Perhimpunan Agung Umno

Pemilihan Rafidah Aziz sebagai Ketua Wanita Umno yang baru telah menghantar isyarat yang salah kepada para perwakilan Umno. Rafidah tokoh Umno yang dikaitkan dengan rasuah. Rafidah juga dianggap orang Mahathir yang amat lantang dan setia. Kemenangan Rafidah itu mewajarkan para perwakilan Umno memilih dua orang lagi tokoh Umno yang dikaitkan dengan rasuah dan politik wang sebagai Naib Presiden. Lalu menanglah Muhammad Muhd Taib dan Muhyiddin Yassin. Demikianlah klimaks dalam pemilihan Majlis Tertinggi Umno.

Umno sebuah parti politik terbesar di Malaysia yang mempunyai keanggotaan seramai 2,813,625 orang dengan 165 bahagian serta 17,909 buah cawangan memulakan perhimpunan agungnya pada 11 Mei, iaitu tepat tarikh ke 54 penubuhan parti itu. Sekali lagi perhimpunan politik yang diwarnai dengan latarbelakang merah, putih dan kuning dipegerusikan oleh Tan Sri Sulaiman Ninam Shah, Pengerusi Persatuan Tuan-Tuan Punya Bas Ekspres Malaysia.

Dewan Merdeka PWTC yang besar itu dipenuhi lebih 3,000 orang termasuk seramai 2010 para perwakilan dan juga 18 buah pertubuhan politik dari 16 buah negara asing. Lapan orang wakil pemerhati dari Indonesia, terdiri daripada Parti Golkar dan PAN, tetapi tiada ada wakil dari parti PKB dan PDI-P. Banyak parti-parti Komunis dijemput hadir, antaranya dari Cina, Cuba dan Vietnam. Tidak ada Parti Islam dari negara Islam diundang.

Pengerusi Tetap Persidangan, Tan Sri Sulaiman Ninam Shah dengan suara besar dan garau memulakan sidang antara lainnya dengan memperkenalkan satu senarai panjang para pemimpin Umno. Apabila beliau memperkenalkan nama Rafidah Aziz sebagai Ketua Wanita Umno yang baru dipilih, kedengaran bunyi "boo" yang kuat di kalangan para perwakilan. Nampaknya, ramai di kalangan Umno yang masih tidak dapat menerima kemenangan Rafidah dengan kelebihan 12 undi mengatasi Dr Siri Zaharah. Rafidah kelihatan tersenyum kecil dan menggelengkan kepalanya apabila mendengar ejekan "boo" itu. Tetapi lensa kamera sempat menayangkan raut muka Tan Sri Aishah Ghani, Pengerusi Tetap Wanita yang kelihatan terkejut dan cemas.

Sulaiman Ninam Shah yang menang sekali lagi sebagai Pengerusi Tetap telah membuat satu kesalahan kecil dengan tak disengajakannya, iaitu apabila mengumumkan bahawa Dr Mahathir Mohamad telah dipilih menjadi Presiden Umno selama tiga tahun lagi sehingga tahun 2000. Apakah Sulaiman dalam tak sedar telah menghantar isyarat supaya Mahathir segera berundur!

Segala-gala dalam persidangan Umno itu kelihatan berjalan licin mengikut skrip. Sulaiman hanya membacakan skrip yang telah disediakan di atas meja. Beliau kemudian menjeritkan tiga kali slogan "Merdeka!". Slogan itu diteriakan hanya beberapa hari selepas pelbagai perintah Mahathir termasuk "menghalau" para perwakilan yang berkeliaran di KL supaya pulang semula ke kampung masing-masing. Termasuk arahan kebudak-budakan Ibupejabat Umno yang tidak membenarkan pintu hotel perwakilan diketuk dan akhir sekali kedengaran pantang larang bahawa tidak dibenarkan para calon atau wakilnya mengedar kad nama kepada para perwakilan. Termasuk sama para calon penting diminta menandatangani surat ikrar. Tetapi itu semua kecil jika berbanding arahan MT supaya dua jawatan tertinggi Umno itu jangan ditandingi.

Kemudian kelihatan lensa kamera tv menggambarkan barisan kepimpinan Majlis Tetinggi Umno yang duduk di pentas tinggi. Sama ada disengajakan atau tidak, kelihatan berdiri sebelah menyebelah ketika lagu Umno dikumandangkan ialah Ibrahim Ali di sisi Adnan Yaakob, Menteri Besar Pahang. Dua orang yang disebutkan itu ada perhubungannya dari segi "p*nggung". Ibrahim Ali ketika menjadi Ketua Pemuda Parti Semangat 46 pernah berkata bahawa dia sanggup mencium punggung Mahathir kalau tergamak masuk Umno semula. Adnan Yaakob pula kelihatan menayangkan p*nggungnya pada hari penamaan calon pilihanraya kecil di Sanggang tidak lama dulu.

Doa kemudian dibacakan sebelum lagu. Umno meneruskan tradisi kesekularannya. Mula-mulanya doa kemudian muzik. Hamid Othman membaca doa antara lainnya supaya "janganlah dicabut kenikmatan yang ada". Hamid berdoa agar kenikmatan itu berkekalan. Memang baik doa itu tetapi siapa sebenarnya yang menikmati kekayaan negara yang melimpah ruah di Malaysia ini? Masih ramai rakyat yang miskin, susah dan sengsara, di kota dan di desa. Hamid lupa mendoakan kesejahteraan mereka.

Dua tahun sudah persidangan Umno tidak disertai oleh Anwar Ibrahim. Tetapi wajah-wajah Musa Hitam dan Tengku Razaleigh Hamzah juga tidak kelihatan di skrin tv. Mungkin mereka datang tetapi tidak kelihatan. Di barisan atas Majlis Tertinggi itu kelihatan gabungan pemimpin-pemimpin tua yang keletihan dan sakit, mengantuk dan menguap, termasuk Senator yang membacakan doa sebentar tadi. Kelihatan sama di pentas MT itu beberapa orang bekas menteri dan MB yang telah ditolak rakyat dalam pilihanraya lalu, termasuk yang tumbang di Parit. Manakala orang-orang muda yang ada di saf kepimpinan MT Umno itu terdiri daripada jenis "yes- men" yang tidak berwibawa, kerana berfungsi sebagai "All The President's Men"

Termasuk sugul dan bermasalah kelihatan di barisan kepimpinan Umno itu ialah bekas MB Kedah, Sanusi Junid yang baru-baru ini menampar dan menerajang kelihatan duduk bersebelahan dengan Datuk Hussein Ahmad, bekas Ketua Penerangan Umno dan Ketua Umno Rantau Panjang yang terkenal dengan sikap garang sepak terajang. Tidak ramai muka intelektual dalam barisan MT Umno itu. Bagaimanapun dua pemegang Phd yang rapat dengan Anwar Ibrahim iaitu Dr Afifuddin dan Dr Ibrahim Saad kelihatan seperti orang yang salah tempat dalam Umno.

Ucapan Dasar Presiden bermula tepat jam 10.05 pagi. Mahathir mengambil tempat di rostrum dan berucap dengan penuh yakin setelah menang tak bertanding. Mahathir berucap selama satu jam empat puluh lima minit. Ucapan yang panjang itu termasuk memuatkan terjemahan empat buah surah Al-Quran dan disudahi dengan doa yang dibacakan oleh Mahathir sendiri. Ternyata Mahathir yang tidak menjanjikan Umno akan lebih Islam daripada Pas telah mengambil contoh kaedah ucapan kepimpinan Pas yang bersulamkan petikan surah Al-Quraan dan doa.

Mahathir memulakan ucapannya dengan menyebut sejarah Umno sendiri. Terutama 11 Mei ini merupakan ulangtahun ke 54 parti itu. Sejarah Malayan Union dan hak orang Melayu disentuh dalam pembukaan ucapan Presiden Umno itu. Tepukan pertama diterima oleh Mahathir apabila beliau berkata peranan Umno ialah untuk menyatukan orang Melayu. Para perwakilan lupa bahawa Mahathir pernah dituduh sebagai pemecah kesatuan orang Melayu.

Kemudian pemimpin nombor satu Umno itu yang dilatih sebagai seorang doktor perubatan mulai bercakap sebagai seorang ahli sosiologi. Mahathir mengupas tentang penghijrahan orang Melayu dari desa ke bandar. Pandangan Mahathir tidak tepat apabila berkata orang desa yang berhijrah ke bandar kemudian menjadi kaya dan pendapatan mereka berlipat kali ganda. Lalu orang Melayu di kota itu, kata Mahathir tidak mengenang jasa dan lupa diri. Mahathir lupa hakikat sosio-ekonomi bahawa kesan urbanisasi itu juga telah menyebabkan peningkatan kadar kemiskinan orang Melayu di kota. Ertinya bukan semua orang Melayu yang berpindah ke kota itu menjadi kaya. Ramai yang hanya berpindah tempat tetapi meneruskan kemiskinan mereka di kota. Mereka tinggal di kawasan sesak dan kawasan setinggan. Mereka golongan pekerja berpendapatan rendah. Mereka tidak ada kemahiran.

Dalam keadaan media massa dalam negeri dan juga luar negara memberi liputan yang agak banyak kepada Musa Hitam yang baru dilantik sebagai Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM), Mahathir mengambil kesempatan membidas Musa Hitam secara tidak langsung. Ada sesetengah orang, kata Mahathir menyeru supaya orang Melayu "kurang ajar sedikit". Jadi secara tidak langsung Mahathir menyalahkan seruan "kurang ajar" itu sebagai sebab orang Melayu sekarang tidak mengenang budi dan tidak bersyukur kepada Umno. Musa Hitam yang selalu berkata wujudnya "sindrom bisu" di dalam Umno mendapat sedikit habuannya dari Mahathir.

Mahathir yang tidak mahu mengaku akan kemerosotan teruk sokongan yang Umno dapat dari orang Melayu dalam pilihanraya lalu, kini cuba memperkecil-kecilkan Pas dan Parti Keadilan Nasional. Mahathir menganggap parti-parti itu sebagai parti serpihan. Manakala Umno pula bagi Mahathir adalah kumpulan tunjang majoriti. Istilah siapa kumpulan majoriti, dan siapa pula minoriti pernah terjadi di Rusia pada zaman Revolusi Bolshevik. Kumpulan Bolshevik (majoriti) dan kumpulan "Menshevik" (minoriti). Mahathir mungkin hendak meyakinkan tetamu asing dari parti-parti komunis yang ada di Dewan PWTC itu bahawa Umno semacam juga seperti Bolshevik yang majoriti itu.

Mahathir kelihatan risau juga dengan internet yang banyak sekali website menggelarkan pelbagai jenama bagi kata gantidiri Perdana Menteri. Mahathir menyebut tentang dirinya digelar "mahazalim" dan "mahafiraun" dengan tujuan untuk menimbulkan kebencian orang kepadanya dan juga Umno. Kemudian Mahathir menyentuh tentang budaya buruk yang wujud di dalam Umno tentang para calon yang bertanding menggunakan bomoh. Pendedahan bomoh ini telah mendapat tepukan yang gemuruh. Mungkin memang meluas wujudnya perkhidmatan jampi serapah bomoh dalam proses pemilihan Umno. Umno sekarang sudah jadi semacam di zaman Firaun di Mesir dulu yang terkenal banyak tukang sihir.

Untuk menaikkan semangat kemelayuan dan semangat juang orang-orang Umno, lalu Mahathir menyebut tentang keazaman dan kesungguhan Datuk Azhar Mansor yang belayar seorang diri mengelilingi dunia. Semangat seperti Azhar itulah yang Mahathir kehendaki dalam pembentukan "klon baru" bagi orang Melayu iaitu "Melayu Baru". Untuk jangan dituduh Melayu Baru itu sebagai imej golongan korporat yang tamak dan serakah, Mahathir berkata Melayu Baru itu adalah golongan yang dapat membendung nafsu. Bagi Mahathir Melayu Baru ialah golongan yang berpegang kuat pada agama Islam dan nilai-nilai murni. "Bukannya kaki arak dan kaki judi" ujar Mahathir. Tak lama selepas kalimat Mahathir itu, kamera tv segera memalingkan lensanya tepat kepada Megat Junid.

Mahathir yang berkali-kali cuba untuk menegaskan hubungan kuat Umno dan Islam itu tidak mengupas lebih lanjut soal Islam. Mahathir segera kemudian berpindah kepada persoalan ekonomi seperti DEB dan penswastaan. Sampai ke hari ini Mahathir kelihatan masih risau dengan tuduhan bahawa dasar-dasar penswastaan yang kerajaan bawa itu bertujuan untuk memperkayakan kroni-kroni yang rapat dengan pucuk pimpinan kerajaan. Mahathir cuba menafikannya. Tetapi Mahathir lupa bahawa dialah orangnya di dalam Persidangan Agung Umno tahun 1998 dan 1999 telah mendedahkan senarai kroni-kroni yang mendapat pelbagai projek penswastaan. Yang didedahkan Mahathir senarai tidak lengkap. Kononnya kroni-kroni rapat dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang banyak mendapat faedah. Manakala orang ramai yang tahu hal sebenarnya mahukan Mahathir mendedahkan senarai lengkap kroni-kroninya sendiri yang terdiri daripada anak-pinak, saudara-mara dan kawan-kawan rapatnya.

Untuk membuktikan Umno itu memperjuangkan kepentingan Melayu dan Bumiputera maka Mahathir menyenaraikan seratus satu macam dasar membantu rakyat pribumi, seperti dana pinjaman dan pendidikan, biasiswa pelajar, AP, lesen dan permit, MARA, sewa rendah, potongan harga murah, perniagaan francais dan lain-lain lagi. Tetapi Mahathir berkata dia kesal kerana orang Melayu yang sudah naik itu kemudiannya "tolak jatuh tangga" yang mereka naik itu. Yang ramai orang faham, orang yang "sudah bakar jambatan" kini telah pulang semula ke dalam Umno. Yang "tolak jatuh tangga" masih belum dikenal siapa pula mereka?

Kemudian Mahathir pemimpin Selatan yang tidak bergambar di barisan depan di Havana baru-baru ini, bercakap pula soal globalisasi. Tidak banyak perkara baru yang disentuh mengenai isu dunia tanpa sempadan di segi ekonomi itu. Kecuali Mahathir mengingatkan para perwakilan akan ancaman kuasa asing yang mahu menjatuhkan kerajaan Malaysia. Lalu Mahathir menyebut betapa betul dasar "kawalan matawang asing" yang diperkenalkannya semasa kegawatan ekonomi baru-baru ini. Mahathir segera menyindir Camdesus, Pengarah IMF yang terpaksa meletakkan jawatan lebih awal. Manakala "George Soros telah rugi besar" Mahathir menempelak. Dalam masa yang sama Mahathir membandingkannya dengan Soros dan Camdesus. Dua orang itu telah jatuh, tetapi Mahathir kini terus berkuasa! Inilah agaknya bentuk "kenikmatan yang berpanjangan" yang Hamid Othman doakan awal-awal itu.

Mahathir tetap berasa bersalah dengan arahan tidak boleh ditandingi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden Umno. Lalu dia berusaha untuk menghalalkkan tindakannya itu dengan bercerita tentang demokrasi. "Umnolah parti yang mula-mula memperkenalkan demokarsi di negara ini," dakwa Mahathir. Tetapi dia tidak bercakap lama tentang isu demokrasi itu kerana perlu membelasah Pas. Katanya Pas sejak dulu menjalankan "strategi kebencian kepada Umno" dengan mengkafirkan Umno. Mahathir seterusnya menuduh Pas memperalatakan nasib malang Anwar Ibrahim untuk mendapat keuntungan politik. Semacam satu usaha Mahathir untuk melaga-lagakan keADILan dengan Pas.

Selepas kempen memburukan Pas dilancarkan, Mahathir terus kepada serangannya terhadap Anwar Ibrahim dengan menuduh bekas timbalannya itu tidak bermoral. Persidangan Umno sekali lagi digunakan oleh Mahathir untuk memburukkan Anwar yang kini sedang dibicarakan. Mahathir terang-terangan telah melanggar arahan jangan "menghina mahkamah" kerana menyentuh perkara yang sedang dibicarakan. Persidangan Umno tidak semacam Parlimen yang dilindungi oleh keistimewaan "bebas berucap". Jadi Mahathir sengaja mencabar larangan hakim yang banyak kali meminta semua pihak, termasuk PM sendiri, usah mengulas tentang isu yang sedang dibicarakan dalam kes Anwar. Tetapi sekali lagi Mahathir kelihatannya tidak memperdulikan para hakim dan mahkamah. Dia tidak hirau dan tidak ambil pusing. Tidak ada penghormatan yang ditunjukkan kepada institusi mahkamah. Sebaliknya Mahathir bercakap tentang "rule of law".

Kelihatnnya konsep "rule of law" telah diberi pendekatan yang baru oleh Mahathir yang cuba bertindak sebagai seorang ahli jurisprudence. Mahathir cuba untuk menghalalkan tindakannya ke atas Anwar Ibrahim. Jelaslah isu Anwar masih membayangi dalam kepala Mahathir. Mahathir bermati-matian dalam ucapannya itu cuba meyakinkan bahawa dia tidak terlibat dengan konspirasi menjatuhkan Anwar. Sambil menafi, Mahathir terus-terusan memfitnah dan menyeranah Anwar.

Pada ketika itu, lalu berlaku sesuatu di luar perancangan Mahathir. Tangan Mahathir bergerak tanpa kawalan. Ketika kata-kata hina dan kesat ditujukan kepada Anwar, tiba-tiba tangan Mahathir tertepis gelas minumannya di atas rostrum itu. Mahathir kelihatan cemas. Air dalam gelas habis tumpah ke lantai. Mahathir terhenti bercakap seketika. Nasib baik bagi Mahathir kerana gelas itu tidak jatuh dan pecah. Kalau gelas itu pecah, tentu sekali ada pihak-pihak dalam Umno yang biasa dengan bomoh-bomoh dan kepercayaan karut atau "superstitious", akan mentakrif kejadian itu sebagai petanda buruk bagi Umno.

Peristiwa air dalam gelas tertumpah telah menyebabkan Mahathir segera memberhentikan serangan fitnahnya kepada Anwar Ibrahim.

Selepas itu Mahathir hanya menumpu kepada isu politik wang dalam pemilihan Umno. Mahathir memohon para perwakilan Umno supaya menolak pemimpin-pemimpin yang rasuah. Tetapi Mahathir terlupa bahawa hanya beberapa kerusi, di atas pentas MT, di sebelahnya kini sedang diduduki oleh Ketua Wanita Umno yang baru. Ketua Wanita yang baru ini telah diperakui oleh Laporan Peguam Negara pada tahun 1995 sebagai mempunyai "kes prima facie" telah melakukan kesalahan rasuah dalam pemberian saham kepada anak menantunya sendiri. Jadi bagaimana rakyat dapat yakin Umno boleh bebas dari rasuah sekiranya pemimpin politik yang rasuah seperti Rafidah Aziz, Muhammad Muhd Taib dan Muhyiddin Yassin kembali menang dalam perebutan jawatan?