Laman Webantu   KM2A1: 4569 File Size: 11.3 Kb *



TAG SP 135: Mengembalikan Demokrasi
By Harun Rashid

28/5/2001 7:38 pm Mon

TAG 135

[Walaupun hak demokrasi semakin tercalar, ada pelbagai cara untuk mengajar kerajaan yang sudah kurang ajar. Tetapi ia mesti dilakukan bersama dengan memboikot atau memprotes apa saja yang sedang menyerang kita. Hanya dengan kesungguhan ini kita akan mampu membaiki keadaan kerana ia amat berkesan dan sukar ditumpaskan. Reaksi Mahathir sekarang yang sudah menggelabah itu harus dijadikan ukuran. Dia sudah semakin tertekan oleh arus kesedaran sehingga melakukan semakin banyak kesilapan yang dengan sendirinya akan membuat beliau terhumban.

Sudah tiba masanya untuk rakyat mengambil pendekatan ofensif kerana dengan cara ini Mahathir tidak akan mampu menepis. Ini ibarat permainan badminton di mana kita yang ramainya berjuta-juta menonton perlawanan seorang pemain yang sudah menyuap semua pengadil pertandingan. Hanya dengan menjerit kita akan mampu membuatnya meragam. Jika berdiam kita akan tewas walaupun diadakan seribu lagi pertandingan. - Editor]


Terjemahan SPAR-05-007


Mengembalikan Demokrasi

(Restoration of Democracy)

- Harun Rashid

Apabila kuasa perundangan negara dapat diputar-belitkan oleh kuasa eksekutif, ia sudah tentu menyekat pembabitan rakyat marhaen sehingga hukum negara itu diperkotak-katikkan mengikut nafsu serakahnya sahaja. Demokrasipun hilang entah ke mana dan amatlah sukar untuknya menjelma semula.

Kesukaran itu memanglah satu hakikatnya tetapi tidak bermakna ia menjadi sesuatu yang sudah tidak mungkin. Pengalaman negara di mana demokrasi itu dapat dipulihkan kembali, merakamkan beberapa tahap yang perlu diambil perhatian. Pertama, kesedaran rakyat marhaen betapa hilangnya hak asasi manusia. Kedua, Perakuan rakyat jelata bahawa ketua eksekutif itu adalah seorang yang zalim dan tamak haloba. Ketiga, adanya keghairahan rakyat marhaen menebus dosa untuk mendapatkan kembali hak mereka yang telah hilang dan menamatkan segala kerja bajingan yang dilaksanakan oleh pemimpin yang zalim dan rakus itu.

Malaysia kini sudah sampai ke tahap ketiga. Kalau ada satu pilihanraya umum hari ini, sudah tentu keputusannya akan menghumbankan kerajaan yang sedang berkuasa dan mengalu-alukan kemasukan reformasi yang amat diperlukan. Masalah yang paling dekat ialah tidak ada pemilu di negara ini yang bersih dan tidak akan dijangkakan untuk sekian waktu sehinggalah dua tahun dari sekarang. Memang pemilu dijangkakan di Sarawak dalam satu waktu yang terdekat ini. Nampaknya akan lahir satu gelombang pertandingan yang hangat antara pihak yang sudah lama mencengkam kuasa dengan kumpulan pembangkang yang semakin bertenaga.

Rakyat marhaen di Malaysia bukan sahaja sudah kehilangan hak asasi mereka. Parti yang sedang memegang tampuk kuasa sudah menunjukkan betapa rakusnya mereka sehinggakan banyak tabungan rakyat marhaen seperti dana pencen dan sebagainya yang sudah kering kontang digodam dan dibaham oleh para menteri untuk memperkayakan diri mereka melalui beberapa wakil proksi dan syarikat pak-pacak di merata negeri.

Para menteri adalah para konspirator yang hanya sanggup bersuara menyanggah perkara yang menyakitkan hati mereka kerana dinafikan hak agihan barang rompakan khazanah rakyat. Melihatkan gelagat kebajingan ini semua, rakyat marhaen sudah bangkit kini sehingga mengejutkan kumpulan perdana menteri yang naik takut melihatkan adanya kelemahan di pihak mereka.

Kerana adanya jentera mentadbir dengan zalim dan rakusnya, Perdana Menteri tidak pernah akur kepada ancaman rakyat marhaen melainkan dia dapat menelah sendiri akan bahaya ugutan rakyat itu. Kini dia dapat menelah ancaman yang berbahaya itu dalam bentuk rancangan berpiket yang mahu dilancarkan oleh persatuan pekerja secara menyeluruh seantero negara di mana seramai sembilan juta keahlian yang mencarum kepada KWSP - Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (EPF) akan turut serta. Pada saat-saat akhir, Perdana menteri bertindak untuk campurtangan dengan menjanjikan satu langkah 'mengkaji' segala isu yang dibangkitkan dan kemudiannya menonjolkan satu penghargaan kepada ketua persatuan sekerja itu yang menaikkan kejelekan ahli persatuannya.

Kisah sebenar yang menyangkuti KWSP itu tidakpun dibereskan. Bukannya senang untuk melaksanakannya kerana memerlukan semakan semula segala buku perakaunan dan menyorot kebelakang selama satu dekad yang lalu. Segala aktiviti panel profesional yang membuat keputusan terhadap dasar pelaburan, sama ada menjual ataupun membeli, harus menepati piawaian minima mengikut perencanaan dan hukum kewangan yang bijaksana. Satu jawatankuasa yang berwibawa perlu ditubuhkan mewakili semua pencarum kepada tabung itu untuk menyelia dan memperakukan setiap keputusan panel pelaburan.

MTUC merupakan hanya sebuah organisasi yang bertegas mahukan satu pengauditan ke atas buku-buku kewangan KWSP itu. Walaupun ia sudah menonjol ke hadapan dalam peranan itu, banyak lagi kumpulan NGO (Organisasi bukan kerajaan) yang kini bergabung mengemukakan tuntutan untuk mendapatkan perakuan agar dana pencen masih dalam keadaan selamat, diuruskan dengan berhemah dan segala dana yang ada masih tersimpan dan tidak terjejas oleh keadaan ekonomi negara yang merudum. Kegagalan perdana menteri memberikan kerjasama yang dijanjikannya itu sudah tentu akan menjadi perdebatan hangat yang akan menaikkan kemarahan rakyat marhaen.

Perangkaan yang melibatkan KNK bagi tempoh suku tahun pertama telah memperakukan betapa ekonomi negara memang lemah dan semakin lemah jadinya. Banyak bidang sedang dihantui pertumbuhan yang negatif walaupun banyak usaha dilaksanakan untuk menyorokkan fenomena ini. Namun, masih banyak cara mudah untuk mengesan dan melaksanakan pemantauan bebas akan segala aktiviti ini. Ia boleh dimulakan dengan menghitung jumlah bilik hotel yang menyala pada malam hari, sehinggalah mendapatkan maklumat daripada para pemandu teksi. Kalau kita memandu kereta menghampiri pusat pengedaran kereta EON di Shah Alam kita akan disajikan dengan pemandangan kawasan yang terbentang luas yang dipenuhi kereta yang tersadai kerana belum terjual. Semua itu adalah kereta Proton, dan pemandangan yang dilihat itu menunjukkan sudah tidak ada lagi tempat untuk menerima keluaran baru yang tidak laku. Namun, perangkaan rasmi menunjukkan perangkaan yang hebat sebagai jualan kereta yang mencanak pasarannya.

Ekonomi yang merudum sudah tentu menyerlahkan jumlah tenaga kerja yang menurun juga. Perangkaan rasmi tidakpun mencatatkan penurunan tenaga yang menganggur. Namun angka mereka yang mahukan pekerjaan sudah tentu memberikan kita isyarat yang menakutkan. Martabat kerajaan kini ada di pinggir longkang, kerana usahanya selama ini yang penuh kepalsuan, termasuklah segala perangkaan yang dikeluarkan oleh Bank Negara yang boleh disangsikan.

Memang ada keraguan betapa Bank Negara sengaja mengada-adakan perangkaan yang penuh kepalsuan, seperti juga arahan yang diberikan kepada sebuah syarikat pengauditan swasta untuk melakukan kerja yang sama untuk membuat segala perakuan. Syarikat ini tidak ada jalan lain kalau mahu mendapat kontrak pengauditan pada tahun hadapan. Inilah sebabnya angka yang sepatutnya menunjukkan kerugian tiba-tiba menjadi angka keuntungan sehingga mencetuskan kekeliruan. Hanya, apabila tidak ada pembayaran dividen barulah perkara sebenar menjadi ketahuan.

Perdana menteri masih beranggapan bahawa dia masih dalam keadaan selamat dengan cara menghambat pihak pembangkang untuk membisukan mereka. Dia menggunakan anggota polis untuk membuat segala kerja gila dan mendapatkan khidmat orang suruhan untuk melakonkan sandiwara mereka. Laksana seorang pakar silap mata, sekali-sekala diapun putarkan tongkat saktinya. Kerana itu dia mampu membelenggu setiap pendakwa raya di Jabatan Peguam Negara.

Terdapat beberapa hakim yang mudah dikotak-katikkannya. Memang tidak mudah menjatuhkan mereka semua, kerana itu segala jelingan dan sindiran rakan kerja yang lain sengaja tidak membawa sebarang makna. Bolehlah dirumuskan semua hakim yang bersekongkolan itu sengaja bersikap begitu kerana sudah terjebak dengan kerja-kerja yang dirasuk syaitan sehingga tidak mampu lagi menarik diri untuk mengamalkan tugas yang penuh kebenaran.

Apakah yang mampu dilaksanakan oleh rakyat marhaen? Sebagai langkah terakhir, rakyat marhaen masih ada kuasa untuk membetulkan kepincangan pemerintahan negara. Walaupun seorang diktator yang zalim sedang berkuasa, rakyat masih mempunyai kuasa untuk membuat pilihannya sebagai masyarakat pengguna yang tahu memilih selera. Kalau rakyat tidak suka kepada pengarang akhbar tertentu, mereka boleh memboikot akhbar itu. Kerajaan mungkin mengeluh dengan kuat, tetapi itulah caranya untuk menyagat tanpa perlu berhimpun di luar rumah. Biarkan di setiap jalanraya dan lorong dipenuhi oleh anggota polis gerak gempur yang berlagak garang, bermata juling, berdagu besi, merenung jauh menantikan rambut kaum hawa untuk ditarik dan kepala anak muda untuk dirobek.

Rakyat marhaen boleh menolak tawaran jualan kereta baru. Tanpa pembeli semua kereta itu, kilang kereta akan ditutup dan kilang besi waja akan lingkup. Pelbagai pembekal bateri, tayar, stereo, penghawa dingin, dan apa juga bentuk peralatan industri motor akan tutup juga. Kesan rentetan akan menghenyak segala rancangan kerajaan. Hanya industri pembinaan akan lebih sensitif lagi. Apabila industri pasaran kereta baru diboikot secara menyeluruh, ia akan mengejutkan banyak pihak yang masih ingat rakyat marhaen selama ini cuma berseloroh.

Semua itu akan membawa kita ke tahap nombor empat yang melibatkan pembabitan semua orang secara menyeluruh untuk menunjukkan kejelekan mereka. Penangkapan kumpulan suami dan bapa daripada pihak pembangkang oleh kumpulan cawangan khas polis yang mendera mereka semua dengan menggunakan penderaan yang sungguh zalim seperti merodok tiub getah ke dalam d###r dan menariknya semula, dengan pantas dan ganas, telah mencetuskan satu gelombang kesedaran yang berbentuk dimensi baru di kalangan rakyat negara ini.

Peralihan ke tahap nombor empat ini sedang mula berjalan sekarang ini. Ini bererti masa hadapan negara ini memang tidak boleh diramalkan lagi. Yang amat jelas ialah keadaan perdana menteri yang sudah gelabah sakan. Dia sudah dihantui api kemarahan rakyat yang mula membara, menghembuskan asap ke mukanya dan semakin ligat kipasannya dan semakin merah kerana terus menyala menunggu ketibaannya.


-Harun Rashid-

Terjemahan SPAR-05-007

Link Reference : Harun Rashid Worldview: Restoration of Democracy