Laman Webantu   KM2A1: 4621 File Size: 5.1 Kb *



BH: Daim letak jawatan
By Berita Harian

3/6/2001 8:46 pm Sun

[Mahathir sudah lama tahu Daim ingin meletak jawatan dan semua keputusan terletak di tangan Mahathir sendiri. Bagaimana pula beliau mengatakan tidak tahu-menahu mengenainya dulu? Satu pembohongan telah berlaku oleh raja pembohong nombor satu - malangnya orang Umno masih terus percaya dan mengampu. - Editor]


http://www.emedia.com.my/Current_News/BH/Sunday/ Mukadepan/20010602222225/Article/pp_index_html


Daim letak jawatan

KUALA LUMPUR: Tun Daim Zainuddin menamatkan spekulasi berbulan-bulan berhubung kedudukannya dengan meletakkan jawatan Menteri Kewangan kelmarin.

Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad, mengesahkan Daim, 62, menyerahkan surat peletakan jawatannya kelmarin tanpa memberikan sebarang sebab.

'Ya, ya dia hantar surat kepada saya, dia hantar semalam. Saya terimalah. Dia tak beri sebab apapun,' kata Perdana Menteri selepas menghadiri istiadat pengurniaan darjah dan pingat kebesaran sempena ulang tahun Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di Istana Negara, di sini, semalam.

Dr Mahathir bagaimanapun tidak menjelaskan mengenai kedudukan jawatan lain yang disandang Daim dalam Kabinet dan Umno. Selain Menteri Kewangan, Daim juga memegang jawatan Menteri Tugas-Tugas Khas, Bendahari Agung Umno dan Ahli Parlimen Merbok.

Ini adalah kali kedua Daim meletakkan jawatan Menteri Kewangan sesudah menyandangnya selama tujuh tahun pada 1991. Beliau kembali menyertai Kabinet sebagai Menteri Tugas-Tugas Khas pada 1998 dan disusuli pelantikan sebagai Menteri Kewangan dalam rombakan Kabinet pada Januari 1999.

Sumber yang rapat dengan Daim pula berkata portfolio Menteri Tugas-Tugas Khas dipercayai turut dimansuhkan berikutan peletakan jawatannya.

Daim juga dikatakan akan meletak jawatannya sebagai Bendahari Umno dan Pengarah Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN).

Spekulasi berhubung kedudukan Daim dalam Kabinet hangat diperkatakan sejak bulan lalu apabila beliau mengesahkan mengambil cuti selama dua bulan bermula awal April dan berakhir pada 31 Mei.

Beliau memberi alasan bercuti bagi membolehkannya memberi tumpuan kepada tugas menggerakkan ekonomi negara.

Bagaimanapun, sepanjang bercuti, Daim masih ke pejabat bagi membereskan semua fail pembangunan kecuali tidak menghadiri mesyuarat Kabinet dan Majlis Tertinggi Umno.

Sepanjang cutinya, Daim diwakili Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Mohamed Nazri Abdul Aziz dalam Kabinet.

Kelmarin, sekembalinya dari Jakarta selepas menghadiri sidang kemuncak Kumpulan 15 Negara Membangun (G15), Dr Mahathir menolak spekulasi bahawa Daim akan meletakkan jawatan.

Bagaimanapun, semalam Dr Mahathir menjelaskan, beliau menerima surat peletakan jawatan Daim itu dan juga membuat keputusan menerimanya.

Menurut Perdana Menteri, dua bulan lalu Daim meminta kepadanya untuk meletakkan jawatan.

'Saya suruh dia pergi cuti dulu, minta dia fikir semula tapi nampak dia buat keputusan nak berhenti,' katanya.

Ditanya sama ada Kabinet turut membincang peletakan jawatan itu, Perdana Menteri berkata: 'Yang ini bukan hal Kabinet, kabinet tak bincang. (Keputusan) saya seorang saja.'

Mengenai pengganti Daim, Dr Mahathir berkata setakat ini beliau belum memikirkannya.

'Kalau ada sesiapa yang nak..' katanya sambil berseloroh kepada wartawan.

Menurut Dr Mahathir, sepanjang Daim bercuti, beliau berada dalam keadaan sukar untuk menjawab pertanyaan pelbagai pihak mengenai peletakan jawatan itu ketika Daim mungkin bertukar fikiran.

'Saya terimalah, sebab dia dah minta dah 10 bulan. Jadi (sepanjang tempoh itu), orang dok tanya saya, saya tak boleh jawab, takut nanti dia kata tak, mana boleh saya cakap,' katanya.

Berikut adalah soalan pemberita kepada Dr Mahathir:



Datuk Seri, benarkah Tun Daim sudah meletakkan jawatannya?

Ya, ya dia hantar surat kepada saya.


Bila Datuk Seri?

Dia hantar semalam.


Di dalam surat itu, apa kandungannya?

Surat letak jawatanlah.


Bila berkuat kuasa?

Daripada 1 Jun


Apa alasan yang Tun Daim beri?

Dia tak beri sebab apa pun. Dia, dua bulan dulu, dia minta nak letak jawatan.


Adakah Datuk Seri menerima surat peletakan jawatannya?

Ya, saya terimalah.


Apakah sudah ada pengganti Tun Daim?

Belum fikir lagilah... kalau ada sesiapa yang nak!


Peletakan jawatan itu diterima oleh Datuk Seri?

Saya terimalah, sebab dia minta dah dua bulan, tu orang dok tanya saya, saya tak boleh jawab, takut nanti dia kata tak, mana boleh saya cakap.