Laman Webantu   KM2A1: 4641 File Size: 7.1 Kb *



Pengunduran Daim - Punca Dan Kesannya
By Dr Syed Husin Ali

6/6/2001 8:32 am Wed

PENGUNDURAN DAIM - PUNCA DAN KESANNYA

Oleh Dr Syed Husin Ali

Tun Daim Zainuddin telah membuat kejutan besar apabila beliau meletakkan jawatan bukan saja sebagai Menteri Kewangan bahkan Bendahari UMNO juga. Khabarnya beliau telah membuat keputusan muktamad selepas mengadakan pertemuan di Honolulu pada penghujung bulan Mei dengan kira-kira 20 orang tokoh korporat besar yang rapat dengannya.

Beberapa orang pemimpin UMNO serta pemerintahan BN menyesali tindakan beliau dan menganggapnya sebagai satu kerugian besar kepada pemerintahan. Sebenarnya, Daim sendiri menyedari bahawa sekarang ini, kehadiran atau ketiadaan beliau sebagai menteri dan juga bendahari parti tidak ada bezanya. Segala-galanya sudah ditentukan mengikut kehendak dan kuasa Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad seorang diri saja.

Ramai orang, termasuk saya sendiri, tidak menyangka Daim akan berhenti kerana kami mengetahui hubungan beliau dengan Mahathir dari segi sejarah, kepentingan ekonomi dan juga perkongsian rahsia begitu rapat sekali. Namun begitu, kami mengetahui juga bahawa perbezaan dasar, percanggahan pendapat dan juga pertentangan kepentingan semakin besar di antara mereka sejak tahun lalu lagi.

Daim sering dikemukakan sebagai tokoh yang berkebolehan untuk menyelamatkan kemerosotan ekonomi negara. Apabila beliau dilantik pada kali pertama sebagai Menteri Kewangan, Malaysia menghadapi kemerosotan ekonomi, akibat kejatuhan harga barangan utama keluaran negara di pasaran dunia.

Semasa beliau menjadi menteri itu keadaan ekonomi pulih, dan ramai yang memuji bahawa ini ialah kerana kebolehan Daim. Tetapi, sebenarnya faktor penting yang memulihkan ekonomi negara ialah kerana harga barangan utama itu telah naik semula. Daim berhenti kononnya sebagai penyelamat ekonomi negara.

Kali kedua beliau diangkat menjadi Menteri ialah selepas Datuk Seri Anwar disingkir setelah diaibkan pada tahun 1998. Ketika itu sebahagian besar wilayah Asia, termasuk Malaysia, sedang menghadapi krisis kewangan. Apabila abad ke-21 bermula, keadaan mulai pulih, bukan di Malaysia saja, bahkan juga di negeri-negeri lain yang pernah terjejas oleh krisis kewangan itu.

Sekarang ini, terdapat banyak tanda-tanda yang menunjukkan bahawa keadaan ekonomi di Malaysia sedang menurun dan akan terus merosot lebih teruk lagi, akibat jangkitan kemerosotan ekonomi Amerika Syarikat. Simpanan asing menurun, pasaran saham merudum, beberapa kilang asing ditutup, ramai pekerja dibuang, dan gaji sebenar merosot akibat kenaikan harga barang.

Langkah menyuntik RM3 bilion kononnya untuk menepis jangkitan itu, pada hakikat sebenarnya, ialah untuk mengadakan projek-projek yang boleh menyelamatkan anak-pinak serta suku-sakat Dr Mahathir. Dalam keadaan ekonomi negara bertambah tenat dan sumber kekayaan kian terhakis akibat perbelanjaan membazir untuk projek-projek mega, semakin tegang pertentangan di antara Daim dengan Mahathir, terutama sekali dalam dua bidang.

Pertama, Daim berbeza pendapat dengan Mahathir tentang beberapa dasar untuk memulihkan ekonomi. Daim merasakan bahawa perlu peranan lebih besar yang dimainkan oleh kuasa pasaran. Oleh itu beliau lebih suka 'sangkutan' (atau pegging) ringgit dengan dolar dikaji semula dan tidak terus ditetapkan pada kadar RM3.8 bersamaan US$1.00. Beliau juga merasakan nilai ringgit perlu disesuaikan berikutan kejatuhan nilai yen dan juga mata wang beberapa negara tetangga, supaya kita boleh bertanding dengan lebih berkesan untuk menjual barangan eksport. Sebaliknya, Mahathir mahu terus mempertahankan 'pegging' dan tidak mahu menilai semula ringgit.

Kedua, dalam keadaan sumber kewangan dan kontrak-kontrak besar semakin berkurang berikutan kemerosotan ekonomi, Daim dan Mahathir bersaingan bahkan semacam berebut-rebut untuk mendapatkan sumber kewangan dan kontrak yang masih ada, untuk menyelamatkan kroni atau suku-sakat masing-masing.

Presiden MTUC pernah menyatakan bahawa beliau diberitahu Mahathir tidak mengetahui lebih awal dan konon tidak sempat menentang langkah menyelamatkan Syarikat MAS dan Time.Com (sebenarnya Tan Seri Tajuddin Ramli dan Tan Seri Halim Saad).
Cerita ini susah hendak dipercayai. Kemungkinannya, Mahathir lebih gembira sekiranya wang untuk menyelamatkan kepentingan dua orang tokoh ini digunakan guna menyelamatkan kepentingan anak-pinaknya dalam syarikat-syarikat yang terpaksa dijual.

Dalam suasana yang kalut ini Mahathir telah mengangkat bekas Gabenor Bank Negara, Tan Seri Ali Abul Hassan yang pernah menghadapi tuduhan korupsi tetapi terselamat, sebagai seorang lagi Penasihat Ekonomi beliau. Sebelum itu, beliau melantik Dr Mohd Nor Yackub, bekas Timbalan Bank Negara yang dikatakan bertanggungjawab secara langsung atas kerugian kira-kira RM15 bilion wang rakyat kerana menjalankan arahan pihak atas untuk berspekulasi dengan wang sterling pada tahun 1993. Daim tidak mempunyai hubungan yang baik dengan kedua-dua orang ini. Beliau melihat perlantikan mereka sebagai tamparan kepadanya.

Apakah kesan pengunduran Daim kepada ekonomi dan politik negara? Dari segi ekonomi, tidak akan ada perubahan dasar sekarang. Yang baik, dasar menentang penguasaan IMF, Bank dunia dan juga WTO serta globalisasi yang merugikan negara membangun akan terus ditentang, walaupun dengan kata-kata serta retorik semata-mata. Yang tidak baiknya, dasar pembangunan yang masih menekankan projek-projek mega membazir akan diteruskan. Begitu juga amalan kronisme, nepotisme dan rasuah akan terus berlanjutan. Ada kemungkinan Mahathir melantik dirinya sebagai Menteri Kewangan dengan Ali Hassan dan Md Nor memainkan peranan harian lebih besar. Jikalau tidak, Mahathir mungkin akan melantik seorang pak turut yang setia dan boleh menjamin segala kepentingan serta kehendaknya.

Dari segi politik, pengunduran Daim ini pasti akan meruncingkan lagi keadaan perpecahan atau krisis dalam UMNO dan BN. Kemungkinannya, cabaran kepada Mahathir akan lebih kuat lagi dalam Perhimpunan Agung UMNO. Adakah Daim akan dapat mendorong Datuk Abdullah Badawi menentang Mahathir? Dan sanggupkah Abdulah menentang Mahathir? Walaupun Mahathir masih boleh berpura-pura senyum, hatinya tentu gundah gulana, kerana sebagai Menteri Kewangan dan Bendahari UMNO begitu lama, Daim mengetahui banyak tentang pekong Mahathir. Tetapi mungkin beliau terpaksa menutup mulut kerana Mahathir pun mengetahui segala pekongnya. Adakah Daim akan bergabung tenaga dengan BA? Mengenal Daim serta segala kepentingannya, ini tidak mungkin berlaku; jauh panggang dari api. Tetapi apa yang mustahil dalam politik?