Laman Webantu   KM2A1: 4662 File Size: 8.6 Kb *



TAG 152: Bersuaralah Wahai Insan
By Harun Rashid

8/6/2001 9:37 am Fri

TAG 152

[Sekali pandang tindakkan membeli Nanyang itu akan menjahanamkan MCA. Semakin lama semakin bertambah bantahan bukan sahaja dari luar malah dari dalam MCA dan Nanyang itu sendiri. Malah beberapa pemimpin MCA sendiri sudah mula bimbang MCA akan tertendang dalam pilihanraya nanti. Akhbar milik Nanyang popular kerana ia lebih bebas, kritis dan berkecuali serta dapat memenuhi citarasa pembaca dan pembeli. Inilah sinar Nanyang selama ini yang tidak akan dapat ditandingi oleh Star kerana pembaca Star termasuk masyarakat bukan Cina juga dan setengahnya membeli untuk melihat iklan dan angka-angka atau gambar sahaja.

Krisis Nanyang ini menggambarkan wartawan dan penulis Cina mempunyai prinsip dan begitu bersatu serta jitu dalam tindakkan mereka. Wartawan melayu seharusnya mempelajari sikap mereka yang sanggup kehilangan kerja demi membela suara anak bangsa - bukannya akur sahaja dan terus berkhidmat kerana sayangkan gaji untuk bersekongkol membunuh dan merosakkan minda bangsa sendiri.
- Editor
]


Terjemahan SPAR-05-009

http://home.yqi.com/harunrashid1/74SpeakOut.html


Bersuaralah Wahai Insan

(Speak Out, Good Man)

Harun Rashid

Laporan terkini daripada para wartawan dan sidang pengarang The Star memperakukan betapa MCA (dan juga Ling) telah bertahun lamanya menggunakan akhbar untuk memutar-belitkan minda orang awam, menyokong kepentingan MCA dan menjadikannya satu taktik di mana barisan editorial itu menyerang orang-orang tertentu.

Gerakan dan para pemimpinnya adalah antara mereka yang telah dihenyak begitu. Dengan demikian adalah di anggap kena pada tempatnya apabila pembelian dua akhbar lagi oleh MCA itu dikecam oleh Presiden Gerakan dan tindakan ini memberi keyakinan rakyat marhaen bahawa Gerakan boleh ditonjolkan semula sebagai sebuah parti politik yang berprinsip dan beretika. Persepsi rakyat bahawa Gerakan merupakan sebuah parti komponen BN dan penyokong UMNO yang lembab walaupun terus setia menyaksikan segala kerja bajingan BN, mungkin perlu satu kajian semula. Gelagat keberanian dan bersikap lantang ini merupakan sesuatu yang sudah sepatutnya lama berlaku.

Di kalangan MCA, memang masih ada lagi orang-orang berprinsip yang prihatin memberikan satu perkhidmatan yang terbaik untuk para pengundi mereka dan sudah tentu peka kepada pelbagai persepsi dan pergolakan suasana politik negara. Pemimpin MCA yang berjenis ini telah berani mengambil pendirian berprinsip menyuarakan bantahan mereka terhadap sikap biadap yang ditonjolkan oleh UMNO dalam usaha memalapkan bintang beberapa pemimpin muda Keadilan. Kita seharusnya memberikan kepujian yang tinggi kepada pemimpin jenis ini.

Gerakan merupakan parti yang berkuasa di Pulau Pinang, walaupun berkongsi kuasa itu dengan MCA. Majoriti pengundi tidak berapa serasi dengan dasar-dasar UMNO, dan kejelekan ini sudah pasti akan merebak ketika pemilu yang akan datang. Sudah muncul kini satu persoalan di kalangan MCA dan Gerakan, apakah UMNO sudah menjadi satu bebanan untuk terus menang di Pulau Pinang.

Ada orang berkata politik membolehkan orang-orang berkongsi bantal, dan ini semakin nyata kiasannya di Pulau Pinang. Tidak berapa lama dulu Mahathir telah ditanya akan pendapatnya mengenai kedudukan Ketua Menteri Pulau Pinang. Ini dilihat sebagai satu kelemahan di kalangan para pemimpin tempatan. Kini, suasana yang menyerlahkan kecenderungan untuk lebih bersikap bebas sudah semakin nyata. Para pengundi sudah menunjukkan minat untuk mengetahui siapakah antara pemimpin mereka yang berani dan siapa pula yang mudah menikus.

Kemelut akhbar yang mencetuskan jurang-dalam di kalangan pengundi Cina, ditambah pula dengan isu Sekolah Wawasan dan ketegasan UMNO mahukan kuota kemasukan pelajar Universiti, telah menjolok persoalan, di manakah kepentingan masyarakat Cina itu lebih baik sekali diperjuangkan. Pihak pembangkang, sama ada Keadilan, DAP ataupun PAS, merupakan kumpulan yang paling berkesan membantu masyarakat Cina. Sebagai pampasan kepada usaha itu ia memberi peluang untuk membersihkan segala kejijikan dan keaiban yang sudah lama menghantui negara.

Para pemimpin MCA yang telah menolak pembelian akhbar itu dilihat sebagai kumpulan yang pada prinsipnya menolak segala tindakan menteri-menteri UMNO yang tidak popular. Apatah lagi tindakan yang dibuat oleh Mahathir yang sudah tidak popular itu dan juga Abdullah Ahmad Badawi. Walaupun dalam MCA pemimpin ini dianggap golongan minoriti, mereka mewakili sebilangan majoriti pengundi Malaysia. Kerana itu, merekalah dan bukannya puak pimpinan Ling, yang akan mengibarkan bendera di hari muka. Seandainya mereka tidak mendapat tempat yang sesuai dalam barisan para menteri yang ada, pengalaman dan kematangan mereka akan diterima dalam satu koalisi baru, yang akan terbentuk berasaskan susur galur demokrasi masa kini. Inilah waktu berlakunya peralihan itu.

Apabila kesedaran ini semakin mencengkam, para politikus yang mempunyai kesedaran akan terus berusaha menonjolkan peranan demokrasi untuk menguatkan kuasa kerajaan. Kegagalan dalam usaha ini, akan merancang mereka menawarkan khidmat di tempat di mana mereka mampu menunjukkan ketokohan kepimpinan yang lebih berkesan. Orang yang baik-baik memang mudah menerima sedikit kepincangan tetapi apabila perkara ini berpanjangan merekapun akan merasa mual dengan kerenah kezaliman itu sehinggakan tidak lagi bersedia menerima segala keaiban dan kebajingan di mana mereka dianggap sebagai sebahagian daripada segala kejijikan itu.

Koalisi BN-UMNO telah dipimpin oleh manusia rakus dan pelahap, yang sanggup menghamba-abdikan segala hak asasi manusia setiap rakyat negara ini. Sesiapa yang sanggup menentangnya dan memimpin golongan yang tertekan untuk mendapatkan kebebasan sudahpun dipenjarakan dengan undang-undang yang zalim sedangkan mereka yang diperalatkan untuk melaksanakan segala kekejaman itu diberikan pelbagai anugerah dan bintang sambil disaksikan oleh wajah-wajah yang bermula-muka. Semua pihak sedar akan kepalsuan yang ditaja itu tetapi tidak ada sesiapa yang sanggup bersuara menyanggahnya. Antara yang hadir termasuklah seorang gadis muda yang terpaksa menyaksikan semua itu dalam satu majlis yang dia sendiri sedar adalah dipenuhi kepalsuan yang dilumuri darah pembunuhan yang kejam.

Mereka yang menerima segala bintang gelaran itu kini terpaksa menerima hakikatnya mereka turut menganggotai satu kumpulan bajingan. Kalau tangan yang sama menyematkan bintang gelaran itu melakukan jua terhadap semua yang menerima gelaran mereka, sama ada diterima ataupun tidak, hakikatnya ialah segala kebajingan itu terpalit kepada semua. Orang yang bermaruah sudah tentu menolak semua itu, dan mengenepikan gelarannya untuk mengembalikan nama yang bersahaja dan juga segala maruah dan martabatnya. Biarlah si bajingan haprak berdiri sendirian, sambil menggilap gangsa di dada dan gelas minuman di tangannya, kerana itulah lambang kerelaannya memperjudikan martabatnya.

Seorang yang jujur tidak akan bersedia menganggotai kumpulan penyamun dan pembunuh dan segala kemasyhuran ataupun keuntungan bukannya satu pampasan untuk menganggotai satu kumpulan tukang sembelih yang palsu. Tetapi inilah persepsinya masakini.

Ketika orang yang baik-baik dirantai dan dipenjarakan, para menteri sengaja memutar-mutar ibu jari mereka, sambil bermuka-muka seolah-olah mengatakan 'bukan aku.!!' Jika demikian, adalah lebih baik kalau bersuara lantang mengenainya. Apa gunanya menyelinap sendirian sambil memeram harapan sehinggakan orang lain tidak mengetahuinya. Bersuaralah!!! Barulah kami tahu andapun mempunyai hati juga, dan hidung yang mampu menghidu satu pembohongan. Bersuaralah! Sebelum kami turut menuduh kamu turut bersalah seperti orang lain juga. Kalau anda masih berada di sarang yang jijik itu, tinggalkanlah. Sebelum terlambat.


-Harun Rashid-

Terjemahan SPAR-05-009

Link Reference : Harun Rashid Worldview: Speak Out, Good Man