Laman Webantu   KM2A1: 4668 File Size: 3.8 Kb *



Perhimpunan 9 Jun : Jangan Tidak Pergi!
By Dahlia

9/6/2001 1:01 am Sat

[Setiap perjuangan tidak akan berjaya tanpa ada pengorbanan. Kita sebenarnya lebih zalim kerana telah cukup faham tetapi masih terus berdiam membiarkan kezaliman sedangkan apa yang diperlukan hanyalah menghadirkan diri dengan aman. Itu bukan satu kesalahan kerana perlembagaan lebih tinggi dari sebarang undang-undang. Itulah hak yang kerapkali ditafsirkan sebagai penderhakaan sedangkan itu dijamin oleh perlembagaan.

Sudah tiba masanya untuk rakyat bangkit jika tidak bersedialah untuk terus hidup di dalam penjajahan dan menjadi mangsa diperkotak-katikkan oleh insan behati setan. Jika tidak kita sebenarnya telah bersekongkol memperbesarkan kandang musang dan mempersempitkan reban ayam. - Editor]



Perhimpunan 9 Jun : Jangan Tidak Pergi!

Assalamualaikum wbth,

Saya fikir, sudah sekian lama kita melihat dan merasai kesan daripada kerakusan kuasa Mahathir Mohamad selaku Perdana Menteri Malaysia menggunakan kuasa yang diberi rakyat menerusi pilihanraya kepada kerajaan pimpinannya. Kita juga sudah berbulan-bulan melihat pelbagai sandiwara berlaku di depan mata kita. Kita semua mengeluh. Lepas satu satu. Tidak cukup dengan hukuman "olok-olok" kepada Rahim Nor dan di"kidnap" di IJN, isu al-Maunah, isu perpaduan Melayu kununnya, isu DSAI dan perubatan beliau, isu pendakwaan ke atas Azmin Ali yang kununnya menipu mahkamah, isu penangkapan pemimpin BA, isu perletakan semua jawatan oleh anak Mahathir dalam semua syarikat, isu Daim dan Mahathir, isu Fauzi di Beserah, isu Khalil Yaacob di Pahang, isu MCA/Nanyang dan ratusan isu yang berjela panjang yang masih dalam kantong kerajaan yang rakyat tidak dapat mencium baunya.

Yang malang sekali ialah apabila rakyat Malaysia membisu dan membiarkan ia terus berlaku, lepas satu satu.

Kalau kita tidak berani untuk menyuarakan hak kita, maka eluk saja kita duduk diam-diam. Jadi rakyat bisu , pekak dan tuli.

Pendek kata, Jangan Peduli dan Jangan Pergi. Selimutkan tubuh badan erat-erat dengan selimut dan tekup bantal di telinga, tutup mata. Jangan peduli atau ambil pusing apa yang berlaku dalam negara ini, kerana yang bertanggungjawab bagi mempertahankan agama dan bangsa dari dibinasakan oleh pemimpin yang ada hanyalah sekelumit rakyat yang sedar, rakyat yang bertimbangrasa dan rakyat yang cintakan agama dan bangsanya.

Jangan bicara lagi soal ruang dan peluang. Bila lagi ruang dan peluang itu diberi kepada kita? Dan bila lagi boleh kita buktikan bahawa kita adalah rakyat yang waras dan merdeka? Bila lagi kita harus buktikan yang kita rakyat yang masih ada maruah dan prinsip? Bila lagi? Nak tunggu pilihanraya? Jangan haraplah kalau peti undipun boleh bertukar dalam perjalanan atau dikira "lost in transit". Atau selagi adanya ratus ribuan pengundi hantu yang sedia menjadi pengundi, asalkan berbaloi dengan ganjaran yang diterima.

Jadi, tak payah bercakap banyak sangat. Cubalah fikirkan bersama. Semua ruang ditutup. Jangan sampai kita sendiri jadi bosan dengan karenah yang kita sendiri letakkan dalam perjuangan ini.

Oleh itu, kepada seluruh masyarakat yang bertanggungjawab dan sedar, kepada mereka yang berkeupayaan untuk hadir esuk, silalah hadir di perhimpunan ini. Jangan perlekehkan usaha-usaha murni ini. Fahamilah perasaan rakyat yang dianiayai, dizalimi dan ditindas!!

Kalau tidak kita, siapa??

Jom kita turun esuk. InsyaAllah.. semoga Allah memberikan kekuatan kepada kita semua.

Wassalam

Dahlia/KL
8 Jun, 2001