Laman Webantu   KM2A1: 4706 File Size: 21.2 Kb *



TAG SP 166: Surat Perletakan Jawatan
By Raja Ahmad Aminullah

12/6/2001 11:10 am Tue

[Kalau Utusan Melayu memang membela melayu ia sepatutnya tidak memandang bulu kerana nyawa dan sakit manusia itu akan mengurangkan lagi satu (atau seribu) daya kekuatan dan bilangan orang melayu. Adalah tidak wajar memarahi seseorang hanya kerana ia inginkan seorang rakyat mendapat rawatan yang terbaik buat dirinya yang teramat sengsara kesakitan akibat keganasan pegawai tertinggi kerajaan juga. Keengganan untuk memberi rawatan luar serta menuduh bukan-bukan Anwar mahu lari adalah tidak wajar sama sekali kerana polis mempunyai kakitangan yang mencukupi untuk mengawasi. Begitu juga dengan keengganan untuk menemui dan bersetentang mata dengan isterinya sedangkan itulah insan yang lebih mengetahui sakit-demam pahit-getir keadaan suaminya.

Kerajaan telah melakukan satu kezaliman di atas kezaliman sehingga sakit Anwar semakin memudaratkan dengan sengaja mempertikaikan hak kemanusiaan dengan pelbagai soalan yang melecehkan dan merugikan masa serta tenaga. Jika beginilah layanan kerajaan jangan menyesal nanti jika rakyat sudah hilang kesabaran. Petandanya kini sudahpun mula kelihatan kerana rakyat berbilang bangsa termasuk dalam Umno sendiri sudahpun terasa bahang. Simpati itu akan menggoncangkan kerajaan BN sehingga tumbang dan semua yang terbabit dalam kekejaman ini akan dipertanggungjawabkan.
- Editor
]


Terjemahan : SPAR-09-05


Surat Perletakan Jawatan Raja Aminullah


Raja Ahmad Aminullah Raja Abdullah
Kuala Lumpur,
Malaysia.

4 Jun 2001

Yang Berbahagia Tan Sri Kamarul Ariffin, Pengerusi Eksekutif, Utusan Melayu Malaysia Bhd,
46, Jalan Sow Lin,
Kuala Lumpur.

Yang Berbahagia Tan Sri,

Surat Perletakan Jawatan

Saya menulis surat ini dengan hati yang berat. Namun saya terpaksa juga menulis terutama sekali selepas saya dijemput untuk bertemu dengan tuan tempoh hari. Secara ringkasnya, saya tidak pernah menjangkakan pertemuan pada petang itu akan membawa kepada apa yang telah berlaku.

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menghulurkan setinggi-tinggi penghargaan saya di atas keprihatinan Tan Sri terhadap perkara ini sepertimana yang diluahkan semasa pertemuan kita dua minggu lalu. Selama ini saya sering menganggap Tan Sri sebagai kenalan dan kawan. Secara peribadi, rasa hormat saya terhadap Tan Sri tidak akan berubah tetapi izinkan saya untuk memberikan pandangan saya ke atas perkara yang diminta oleh Tan Sri pada 14 Mei 2001 yang lalu.

Dalam pada kita berbincang dengan mesra dan penuh minat berkenaan dengan kebudayaan, keseniaan halus, perfileman dan masalah-masalah sosial di kalangan orang-orang Melayu pada petang yang tenang itu, Tan Sri memberitahu saya bahawa Yang Amat Berhormat Perdana Menteri amat marah dengan surat rayuan berkenaan rawatan perubatan Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang saya usahakan bersama-sama dengan sekumpulan kawan-kawan.

Menurut Tan Sri walaupun perkara tersebut belum lagi diperkatakan secara langsung kepada Tan Sri oleh YAB, namun maksud yang lebih kurang serupa telahpun diperkatakan. Surat tersebut telah ditulis sebagai satu rayuan kepada Perdana Menteri untuk memberikan pertimbangan yang sewajarnya kepada pilihan perubatan Datuk Seri Anwar Ibrahim memandangkan penyakit beliau telah berada di tahap yang membimbangkan.

Di samping menghargai rawatan profesional yang telah diberikan dengan sebaiknya oleh pasukan perubatan negara di dalam mengubati Datuk Seri Anwar, para penandatangan surat tersebut juga merayu dengan perasaan rendah diri agar pihak kerajaan dapat menunjukkan sifat belas kasihan dan perikemanusiaan terhadap seorang rakyat yang pernah memberikan khidmatnya kepada negara.

"Kami dengan rasa rendah diri merayu agar Datuk Seri Anwar Ibrahim diberikan pilihan untuk menjalani rawatan mengikut kemampuannya. Dari apa yang kami tahu, kami dimaklumkan bahawa beliau berharap agar dapar dirawat oleh Dr. Thomas Hoogland di Klinik Alpha di Munich, Jerman.

"Seperti yang kita ketahui, seorang tahanan tidak akan diketepikan dari menerima rawatan pakar pilihannya sendiri. Langkah kerajaan yang terpuji dan berperikemanusiaan terhadap perkara ini akan diberi penghargaan yang tinggi bukan sahaja oleh rakyat Malaysia tetapi juga masyarakat antarabangsa."

108 penandatangan surat tersebut mewakili berbagai-bagai kumpulan di dalam masyarakat, yang berbeza dari segi pengalaman, bidang kerjaya, minat dan penumpuan. (Saya sertakan satu salinan surat rayuan tersebut untuk penelitian Tan Sri).

Tan Sri juga ada memberitahu saya mengenai Setiausaha Agong parti (Tan Sri Khalil Yakob) yang amat marah dengan inisiatif tersebut dan telah memaklumkan secara langsung kepada Tan Sri. Tan Sri juga memberitahu saya bahawa terdapat beberapa orang lagi yang menyatakan kekesalannya mereka dengan tindakan saya menyelaraskan rayuan ini.

Walau bagaimanapun seandainya kita mengimbas kembali kepada wawasan asal Utusan Melayu dalam tahun 1930-an, saya masih boleh menggambarkan bagaimana perjuangan untuk mempertahankan kepentingan orang-orang Melayu itu akan merangkumi kepentingan SEMUA orang Melayu tanpa mengira kecenderungan mereka terutama sekali apabila ungkapan tersebut bersangkutan dengan perkara-perkara kemanusiaan. Oleh itu sebarang rayuan kemanusiaan biarpun diselaraskan oleh "orang kita" tidak sepatutnya menggamit reaksi marah seperti itu.

Utusan Melayu telah ditubuhkan dengan sokongan "rakyat" di dalam tahun 1930-an daripada segenap lapisan masyarakat. Sokongan telah datang daripada rakyat di jalanan dan juga daripada istana-istana. Polisi awal pengarangnya dirangka dengan jelas bagi mencipta satu masyarakat moden yang terbuka dan tidak mengamalkan sistem feudal (ketuanan/ bangsawan).

Pada pandangan saya, langkah untuk menyingkirkan saya daripada Lembaga Pengarah Utusan Melayu (M) Bhd. itu sama seperti untuk menyekat kebebasan saya bagi menyatakan pendapat. Akhbar Utusan yang pernah pada satu masa dahulu bertanggungjawab dalam menggerakkan rakyat untuk menyedari akan ketidakadilan sistem penjajahan British dan seterusnya memberikan dorongan untuk menyegerakan proses kemerdekaan negara di mana ia dilihat sebagai mewakili "rakyat", kini ia mewakili satu segmen yang kecil di dalam masyarakat.

Saya merasa aneh apabila tindakan menghantar satu surat rayuan yang berdasarkan keikhlasan dan berniat jujur telah mengundang "kemarahan" sedemikian. Apakah menjadi satu kesalahan buat sekumpulan kecil rakyat (yang mengambil berat mengenai rawatan perubatan seorang rakyat yang telah memberikan sumbangan yang bukan sedikit kepada masyarakat ini) yang menyuarakan rayuan mereka berdasarkan rasa simpati yang mendalam dan perikemanusiaan?

Sudahpun diketahui ramai sehingga kini mengenai usaha ini yang melibatkan kumpulan yang kecil dan tidak berkepentingan. Sungguhpun demikian di antara mereka itu adalah rakyat yang telah memberikan sumbangan yang tidak ternilai kepada masyarakat dan negara ini. Sesetengahnya pula adalah golongan muda yang berkebolehan untuk terus memberikan sumbangan ke arah membangunkan masyarakat kita. Mereka datang daripada berbagai bidang kerjaya, pengalaman hidup; mempunyai perbezaan kepentingan dan juga penumpuan. Inisiatif ini adalah semata-mata berdasarkan kepada asas kemanusiaan dan perasaan belas kasihan.

Tan Sri,

Pemilihan kaedah rawatan perubatan yang telah dipohon oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim bukanlah disebabkan beliau bersikap memilih perawatan, tetapi selari dengan peruntukan undang-undang yang sedia ada yang membenarkan mana-mana orang yang terpenjara atau tahanan untuk membuat pilihan terhadap rawatan perubatannya.

Sudah diketahui ramai sekarang ini bahawa hak seseorang terhadap pilihan kaedah perawatannya tidak boleh ditarik dengan alasan ia sedang dipenjarakan.

Penyataan rasa perikemanusiaan itu sekarang kelihatan sebagai penyataan daripada pihak pembangkang. Rayuan perikemanusiaan kini dipandang sebagai satu kenyataan yang datangnya daripada pihak pembangkang dan ada kalanya sebagai tindakan yang subversif (bertujuan merosakkan). Bagaimana kita dapat membuat kesimpulan ini di mana sesuatu yang bernilai kelihatan berbelit-belit? Apakah jenis psikosis (penyakit sewel) yang kita ingin reka dan jadikan?

Apa yang ketara adalah bahawa satu kesan buruk telah mengambil tempat dan satu generasi sedang dilukakan. Terlalu banyak masa dan usaha telah dicurahkan terhadap perkara ini sedangkan tenaga dan masa itu sepatutnya digunakan dengan lebih berkesan dalam membangunkan masyarakat ini. YAB Perdana Menteri sendiri di dalam satu ucapan yang diungkapkan di akhbar pada 29 Mei 2001 menyatakan bahawa masyarakat ini telah menghabiskan terlalu banyak masa di dalam hal-hal politik.

Soalan saya begini; bagaimana keadaan ini boleh timbul? Siasatlah puncanya dan kita akan menemui jawapannya. Tidak perlu menggertak, mengalihkan pandangan atau membuat cubaan untuk memesongkan isu tersebut bagi membantu penyelesaiannya.

Tan Sri telah meminta saya untuk menulis sepucuk surat memohon maaf kepada YAB Dr. Mahathir bagi meredakan atau mengurangkan kemarahan beliau dan daripada itu saya akan dibenarkan untuk terus menduduki kerusi Lembaga Pengarah selain daripada terpaksa meletakkan jawatan.

Mengapa perlu saya memohon maaf kerana menjadi, pada dasarnya, seorang manusia?

Mengapa perlu saya memohon maaf kerana bertindak mengikut kesusilaan asas untuk merayu bagi pihak seorang manusia agar dibenarkan menjalani rawatan perubatan pilihannya?

Mengapa perlu saya memohon maaf kerana berkongsi asas kemanusiaan yang biasa bersama kawan-kawan saya?

Sekiranya peranan itu adalah sebaliknya atau berbagai-bagai saya akan berterima kasih kepada seseorang yang mengingatkan saya tentang asas kemanusiaan saya. Bagaimana boleh isyarat sekecil ini dikatakan telah menimbulkan kemarahan kepada YAB dan Setiausaha Agong sehingga terpaksa "dengan kejamnya membayar semula dengan harga yang setimpal" seperti Shylock di dalam sastera Shakespeare's yang bertajuk "The Merchant of Venice". Apakah kesalahan yang sangat besar telah disebabkan oleh rakyat Malaysia ini?

Sebagai rakyat negara ini, kita telah diasuh dengan tradisi sejarah yang lama. Jelas sekali kita ingin belajar dari sejarah itu. Kita tidak mahu senario dari Sulalatus Salatin (Catatan Sejarah Melayu) di mana seorang anak muda Hang Nadim yang telah dikorbankan (kerana ditakuti kebolehannya) diulangi sekali lagi. Sama ada kejadian itu akan diterjemahkan bulat-bulat atau secara kiasan, ia akan dilihat sebagai satu kes menembak si penyampai pesanan selain daripada mengendahkan pesanan itu.

Mungkin saya merasakan adalah satu anggapan yang munasabah apabila,, dengan menyertai sebuah parti, sungguhpun organisasi pemerintah, saya tidak akan dihalang dari mempunyai (dan menyatakan) sebarang pandangan apatah lagi berkenaan hal-hal perasaan belas kasihan sesama manusia dan asas kemanusiaan yang biasa.

Tidak pernah saya sedari tentang wujudnya sebuah (parti) polisi, di samping untuk menghina dan menafikan segala sumbangan dari bekas Timbalan Presiden Parti (ini sudah tentu berlawanan dengan amalan sebelum ini dan dari kebiasaannya), semua orang dilarang dari menyatakan rasa prihatin dan empati terhadap keadaan kesihatan beliau, tidak kira pertalian atau keutamaan politik, atau tiada satupun.

Saya telah berulangkali memberitahu kawan-kawan saya bahawa ini adalah satu inisiatif yang bersifat perikemanusiaan. Apabila jawapan Dr. Mahathir terhadap isu tersebut dipolitikkan, itu bukanlah apa yang kita lakukan atau niat kita.

Saya mengharapkan satu masyarakat yang lebih baikhati dan lemah-lembut, dikenali sebagai masyarakat penyayang yang telah dijaja ke sana ke mari, tetapi tidak diamalkan secara umum - akan muncul, membanjiri dan membasuh dosa-dosa akibat dari kerja yang telah dibuat dan yang telah ditinggalkan yang menyelubungi kita kini pada ketika ini.

Sesetengah kawan memberitahu yang saya mungkin terlalu lurus untuk meganggap bahawa rayuan tersebut akan membangkitkan perasaan kemanusiaan yang sama. Untuk ini saya seringkali menjawab bahawa saya sentiasa bersikap optimis dan selalu memilih untuk percaya kepada kemurahan hati dan kebaikan manusia, dan sifat kemuliaan hati seseorang.

Saya tidak cenderung untuk menjadi seorang pembangkang. Selama hampir 15 tahun saya telah memberikan sumbangan kepada masyarakat ini berdasarkan keupayaan saya melalui aktiviti-aktiviti NGO, aktiviti-aktivi sosial, menganjurkan forum-forum dan seminar-seminar termasuk seminar yang pertama kali mengenai 2020 di peringkat kebangsaan pada tahun 1991 di Ipoh, Perak. Saya juga pernah menerajui UMNO dari peringkat cawangan sehinggalah ke peringkat bahagian (sebagai Timbalan Ketua Bahagian).

Ternyata saya bukanlah seorang yang tidak berupaya untuk memahami realiti politik. Saya tidak berupaya untuk menyanggupi layanan tidak perikemanusiaan dan bersifat kejam terhadap seorang pemimpin kanan negara kita.

Ramai orang telah memberitahu saya tentang apa yang mereka fikirkan secara peribadi mengenai perkara ini. Ramai yang berada di dalam UMNO, bahkan juga dari kalangan barisan kepimpinan, yang telah menyatakan perasaan mereka terhadap perkara ini secara sulit. Langkah mereka memilih untuk tidak menyatakannya secara terbuka adalah berdasarkan pilihan mereka secara individu. Saya tidak sekali-kali akan membuat penilaian mahupun spekulasi mengenai hal ini, walaupun ada orang yang telah bercakap mengenai "budaya takut", sindrom bisu, untuk menunggu sehingga PM sudah tiada lagi sebelum membuka mulut.

Saya memilih untuk berpegang kepada semangat kemanusiaan yang tidak dapat dilemahkan dan kemuliaan sifat seseorang insan.

Tan Sri,

Apabila saya memasuki pejabat Tan Sri pada petang itu, saya dapat merasakan suasana yang kurang menyenangkan. Namun demikian, sebagai seorang yang menghormati Tan Sri, saya terpaksa mengurangkan rasa kurang selesa Tan Sri pada petang itu.

Akhirnya selepas perbincangan yang berkisar tentang kebudayaan, dan Tan Sri menyatakan rasa simpati Tan Sri secara peribadi terhadap keadaan kesihatan Datuk Seri Anwar, Tan Sri telah mencadangkan supaya saya memohon maaf kepada Dr. Mahathir bagi memastikan kedudukan saya di dalam Lembaga Pengarah Utusan Melayu (M) Bhd. terjamin.

Saya menyedari bahawa di dalam masyarakat ini kita masih belum ketandusan orang-orang yang mempunyai sifat belas kasihan dan juga sifat prihatin di dalam hati mereka. Mungkin ini bukanlah masanya untuk saya menyentuh tentang peranan para intelektual atau orang-orang yang berkedudukan baik yang dewasa ini dilihat oleh orang kita sebagai berkelakuan seperti satu bidalan burung unta - lebih suka untuk membenamkan kepalanya di dalam pasir.

Satu hari nanti sejarah pasti akan memberitahu kita bahawa kumpulan ini akhirnya telah membenarkan diri mereka diperkotak-katikkan sehinggakan mata mereka tidak dapat melihat, telinga mereka tidak dapat mendengar suara tangisan yang datang perut masyarakat mereka, walaupun perasaan tersebut bagai menyentak-nyentak tangkai jantung mereka.

Saya telah diasuh supaya membiasakan diri dengan tradisi dan budaya masyarakat Melayu. Di dalam konteks peribadi, saya ditekankan dengan pendidikan, yang mungkin kelihatan remeh-temeh dan tidak begitu penting, tetapi cukup besar untuk mempengaruhi kehidupan kita. Pembelajaran yang saya maksudkan itu adalah prinsip tauhid, yang mengajar kita bahawa kesetiaan kita yang tiada kesudahannya adalah kepada Yang Maha Pencipta. Sebarang keraguan atau kebimbangan yang mencabul kesucian tidak boleh menyebabkan prinsip ini diketepikan. Pemahaman ini bukan dirangka untuk menjadikan kita sebagai manusia yang luarbiasa tetapi hanyalah untuk membantu kita mengemudikan kehidupan kita sebagai warganegara alam sejagat yang memilih untuk percaya kepada Tuhan yang Maha Besar.

Kita telah menahan diri kita dari menyatakan pandangan kita dengan jujur, ikhlas dan saksama. Malah sebagaimana perumpamaan Melayu yang berbunyi "bagai bajak wangkang makan berangkat", kita masih terus mengatakan YA walaupun hati nurani kita mengatakan sebaliknya.

Semua perbincangan kita mengenai kehalusan budaya menjadi tidak bererti apabila pada hakikatnya menunjukkan suara kita tidak kedengaran pada masa ianya perlu diperdengarkan. Kesemua pengetahuan dan pengalaman kita sepatutnya berupaya untuk mendorong kita bertindak selari dengan suara hati kita. Di manakah nilai-nilai kebudayaan yang kita banggakan, pantun, yang kita baca di skrin televisyen, walhal pada waktu yang sama sifat kemanusiaan kita disembunyikan dan tidak diluahkan?

Pada saat-saat begini saya teringat beberapa baris ayat dari seorang penyair Palestin Mahmud Darwish;

"Ke mana kita pergi sekarang
Selepas langit terakhir"??..

Ke mana pula surat rayuan ini boleh ditujukan selepas semua permohonan dari berbagai peringkat masyarakat telah ditolak?

Apalagi yang boleh dibuat apabila suara perikemanusiaan tidak boleh diluahkan? Dan apabila diluahkan telah ditolak tanpa banyak soal?

Ini adalah kerana selain dari inisiatif kami berbagai kumpulan individu-individu, NGO-NGO, parti-parti politik dan yang terbaru sekali SUHAKAM telahpun mengemukakan rayuan mereka dan telah menerima respons yang negatif.

Bahkan berita tentang persetujuan YAB Perdana Menteri untuk bertemu dengan perwakilan barisan pemimpin parti politik dengan syarat bahawa seorang dari mereka tidak dibenarkan turut serta itu ternyata amat malang sekali.

Rakyat akan tergerak untuk bertanya; adakah ketidak-sediaan untuk bertemu dengan wanita ini, seorang isteri, seorang ibu, bukan disebabkan beliau seorang doktor, bukan disebabkan beliau seorang professional (walaupun beliau adalah semua itu malah lebih lagi), satu pengesahan tentang tanggapan bahawa, di dalam analisa terakhir seseorang itu tidak akan dapat bertentang mata dengan seseorang (atau pasangannya) yang telah dizaliminya?

Masalahnya adalah sebahagian dari golongan intelek kita tidak melaksanakan tanggungjawab mereka. Kita memilih jalan yang mudah kerana ianya kurang merumitkan dan tidak membebankan, pada akhirnya naluri perikemanusian kita yang sepatutnya membuka mata dan telinga kita, dan mendorong kita untuk memperkatakan kebenaran seolah-olah dipendamkan begitu sahaja.

Pernyataan tentang kebenaran ditunda manakala alat-alat untuk mengalih perhatian digunakan dan direka di dalam jentera-jentera sosial dan politik. Marilah kita berharap agar awan hitam yang menyelubungi kita akan berlalu pergi secepat mungkin.

Kita perlu berusaha untuk melebarkan perasaan belas kasihan, kasih sayang dan sifat mengambil berat di dalam masyarakat kita.

Dari segi praktikalnya sepertimana di dalam kes Datuk Seri Anwar Ibrahim, ia bermakna kita perlu menjauhi "memakan daging" saudara sendiri. Kita mesti berazam untuk membuang tabir yang telah menyebabkan kita tidak percaya kepada diri sendiri; dan untuk membuang jauh-jauh perasaan bimbang dan ragu-ragu yang tidak sepatutnya berdasarkan kepada prinsip kita.

Tan Sri,

Saya amat menghormati Tan Sri sebagai seorang yang berpengalaman yang telah memberikan sumbangan kepada masyarakat termasuk perkara-perkara yang berkaitan dengan kesenian dan kebudayaan. Saya ingin mengucapkan terima kasih atas nasihat, pimpinan dan inspirasi yang telah Tan Sri curahkan kepada saya selama 14 tahun saya bersama syarikat ini.

Janganlah merasa bimbang kerana saya memahami kesulitan yang Tan Sri hadapi dan tidak sekali-kali berniat untuk mendatangkan sebarang kemudaratan atau menyinggung perasaan Tan Sri.

Apa yang telah saya nyatakan hanyalah luahan perasaan saya melalui jalan yang amat sederhana sekali. Saya sebenarnya mengharapkan agar ini dapat dilaksanakan melalui cara yang lain; saya telah merujuk kepada suara hati saya dan inilah respons daripada saya.

Di antara memohon maaf kerana menyelaraskan sepucuk surat rayuan bagi mendapatkan pertimbangan terhadap pilihan kaedah rawatan perubatan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berdasarkan kepada sifat belas kasihan, dan terpaksa untuk meletakkan jawatan dari lembaga, jawapan saya adalah terang dan jelas.

Dengan ini saya mengemukakan perletakan jawatan saya.

Yang benar,


(Raja Ahmad Aminullah Raja Abdullah)

Terjemahan : SPAR-09-05





Asal:

http://www.freeanwar.com/updates/../facnews/suratraja080601.htm