Laman Webantu   KM2A1: 4715 File Size: 6.7 Kb *



Saya Tahu Identiti Pemanggil: Dzaiddin
By Berita Harian

13/6/2001 5:48 pm Wed

[Rencana ini secara berkiasnya telah menunjukkan siapa yang membuat panggilan talifon kepada Hakim Muhammad Kamil. Hanya seorang yang berkuasa dalam bidang kehakiman sahaja yang boleh mengarahkan sesiapa antara anak-buahnya (kata Hakim Lamin).

Hakim Muhammad Kamil tidak perlu membuat lapuran polis kerana peguam negara boleh menyiasatnya tanpa menunggu apa-apa lagi. Apa yang telah dilakukan oleh Hakim Muhammad Kamil setakat ini sudahpun mencukupi untuk tindakkan selanjutnya oleh pihak yang berkenaan.

Soalnya... di mana Eusoff Chin sekarang?? - Editor]


http://www.emedia.com.my/z/Current_News/BH/ Wednesday/Mukadepan/20010612230626/Article/pp_index_html


Saya tahu identiti pemanggil: Dzaiddin

KUALA LUMPUR, Selasa - Ketua Hakim Negara, Tan Sri Mohamed Dzaiddin Abdullah, berkata beliau tidak terkejut apabila mengetahui identiti pemanggil yang dikatakan mengarahkan seorang Hakim Mahkamah Tinggi supaya membatalkan dua petisyen pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Likas.

'Saya tahu pemanggil itu...Saya tidak terkejut,' katanya dalam sidang akhbar di kamarnya di Bangunan Sultan Abdul Samad di sini hari ini.

Mohamed Dzaiddin berkata beliau tidak terkejut kerana sebelum ini Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Muhammad Kamil Awang, sudah menamakan bekas pegawai tertinggi kehakiman itu antara Ketua Hakim Negara, Presiden Mahkamah Rayuan dan Hakim Besar Sabah dan Sarawak.

Beliau juga mengesahkan menerima surat daripada Muhammad Kamil yang dihantar melalui tangan pagi ini yang mendedahkan identiti pemanggil itu, tetapi beliau enggan mendedahkan nama pegawai terbabit.

Ketua Hakim Negara mengulas kenyataan Muhammad Kamil semalam, yang mendakwa bekas pegawai tertinggi badan kehakiman mengarahkan Hakim Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu itu membatalkan dua petisyen pilihan raya Likas.

Mohamad Dzaiddin berkata, beliau tidak pernah menerima sebarang laporan daripada hakim lain berhubung perkara yang sama sejak menjadi Ketua Hakim Negara pada Disember tahun lalu.

Ditanya sama ada peruntukan dalam undang-undang membenarkan Ketua Hakim Negara mengarahkan hakim untuk membatalkan sesuatu kes, Mohamed Dzaiddin berkata, beliau tidak boleh berbuat demikian.

Katanya, berdasarkan kepada pengalamannya sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Tinggi, beliau tidak menerima arahan seumpama itu daripada ketuanya.

Beliau berkata, jika ada hakim menerima arahan seumpama itu, mereka perlu mengikut tindakan Muhammad Kamil.

Mengenai tindakan yang boleh diambilnya, Mohamad Dzaiddin menyerahkan kepada Muhammad Kamil untuk membuat laporan polis berhubung dakwaannya itu.

'Muhammad Kamil yang membuat dakwaan itu dalam penghakimannya ketika membenarkan petisyen pilihan raya, jadi dialah orang yang sesuai untuk membuat laporan polis jika beliau ingin berbuat demikian.

'Bagi saya, tindakan yang sesuai berhubung perkara ini adalah Muhammad Kamil atau sesiapa saja membuat laporan polis. Selepas ini bolehlah polis memulakan siasatan,' katanya

Mohamed Dzaiddin berkata, beliau bukan pihak yang terbabit dalam kontroversi itu dan tidak akan mengambil tindakan membuat laporan polis terhadap dakwaan Muhammad Kamil.

Beliau berkata, setakat ini beliau tidak tahu sama ada Muhammad Kamil sudah membuat laporan polis atau belum.

'Saya ada bercakap dengan beliau pagi ini tetapi saya tidak tanya mengenai laporan polis. Tengoklah mungkin esok, selepas laporan dibuat dan siasatan dimulakan, saya tidak bertanggungjawab lagi berhubung perkara itu.

'Jika laporan polis dibuat saya akan menunggu keputusan siasatan sebelum mengambil tindakan selanjutnya,' katanya.

Mohamed Dzaiddin berkata, Peguam Negara juga boleh memulakan tindakan menghina mahkamah terhadap bekas pegawai tertinggi badan kehakiman yang dinamakan itu tanpa menunggu hasil siasatan polis.

Bagaimanapun, katanya, pada kebiasaannya Peguam Negara akan menunggu hasil siasatan sebelum mengambil tindakan seterusnya.

Sementara itu, bekas Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Lamin Yunus, menafikan beliau adalah bekas pegawai tertinggi yang membuat panggilan kepada Muhammad Kamil.

Katanya, beliau tidak mempunyai kuasa untuk memilih hakim mendengar petisyen pilihan raya kerana ia terletak dalam bidang kuasa Hakim Besar Malaya atau Hakim Besar Sabah dan Sarawak.

Beliau berkata, Ketua Hakim Negara mempunyai kuasa penuh terhadap badan kehakiman.

'Sebagai Presiden Mahkamah Rayuan, saya tidak terbabit...saya tidak membuat panggilan,' katanya ketika dihubung di sini hari ini.

Lamin yang bersara Mac lalu, berkata beliau tidak ingin membuat sebarang tekaan bekas pegawai yang membuat panggilan itu kerana tidak mahu terbabit dalam kontroversi itu.

Bekas Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Chong Siew Fai, berkata beliau tidak ingin membuat sebarang ulasan kerana dakwaan Muhammad Kamil itu tidak khusus dan samar.

Chong yang bertanggungjawab memilih hakim mendengar petisyen pilihan raya di kedua-dua negeri itu, berkata Muhammad Kamil tidak menamakan bekas pegawai terbabit dalam penghakimannya dan dakwaan itu samar ketika memberitahu pemberita, semalam.

Katanya, hakim berkenaan sudah menamakan pegawai itu kepada Mohamed Dzaiddin dan terpulang kepada Ketua Hakim Negara menanganinya.

Sementara itu, bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohd Eusoff Chin, gagal ditemui di rumahnya di Petaling Jaya dan diberitahu belum balik dari Melaka.

Jumaat lalu, Muhammad Kamil membenarkan dua petisyen pilihan raya dan mengisytiharkan pemilihan bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Yong Teck Lee pada pilihan raya negeri pada 13 Mac 1999 tidak sah dan terbatal.

Dalam alasan penghakimannya, Muhammad Kamil berkata: 'Pada pandangan saya ia adalah satu penghinaan kepada kebijaksanaan seseorang untuk diarah melalui telefon supaya petisyen itu dibatalkan tanpa perbicaraan.'

Semalam, beliau berkata pemanggil itu adalah bekas pegawai tertinggi badan kehakiman tetapi enggan menamakan pengenalan orang terbabit.

Muhammad Kamil kini bertugas di Mahkamah Tinggi Sivil di sini dan akan bersara pada 25 Jun ini. Sebelum ini, beliau menjadi Hakim Mahkamah Tinggi di Kuching dan Kota Bahru.