Laman Webantu   KM2A1: 4726 File Size: 10.6 Kb *



TAG SP 169: Dua Belas Tahun Yang Tunggang-langgang
By Harun Rashid

14/6/2001 6:51 pm Thu

TAG 169

[Hakim Hishamuddin telah meletakkan hak seseorang yang tertuduh serta hak polis ketempat yang sewajarnya. Sejak Mahathir berkuasa (beliau menjawat menteri dalam negeri sekian lama) hak polis kerapkali mengatasi hak rakyat melalui banyak akta seperti ISA sedangkan itu bercanggah dan telah melanggar serta mengatasi perlembagaan. Perlembagaan lebih mementingkan hak dan kebebasan rakyat - bukannya kebebasan polis.

Kes Hakim Muhammad Kamil pula menyerlahkan seseorang yang amat berkuasa telah cuba mencampuri atau menggangu proses perbicaraan. Eusoff Chin mengaku menalifon tetapi mengatakan sekadar ingin kes dipercepatkan dan beranggapan kata-katanya telah di salah faham. Tetapi mengapa Eusoff berdiam sahaja bila Hakim Arrifin Jakka masih belum menyediakan keputusan bertulis terhadap Anwar sedangkan ia telah menjangkau had 3 bulan. Tanpa ini rayuan tidak dapat dikemukakan.

Apa yang berlaku hari ini telah menunjukkan institusi polis dan kehakiman sudahpun tunggang-langgang tetapi sengaja dibiarkan oleh Mahathir kerana ia memberi banyak kegunaan buat dirinya. Dalam semua kes seperti penangkapan Anwar dan penyingkiran Tun Salleh Abbas orang yang paling seronok adalah Mahathir seorang....
- Editor
]


Terjemahan: SPAR-05-011

2001-06-13

Dua Belas Tahun Yang Tunggang-langgang

(Twelve Years Overturned In A Day)

oleh: Harun Rashid

Undang-undang Inggeris adalah hasil sejarah tamadun yang menjelajahi ribuan tahun yang panjang. Sepanjang musim itu keluhuran undang-undang dapat dicerna untuk berlaku adil kepada semua yang berdepan dengannya. Kebanyakan peraturan dan panduan telah difikirkan masak-masak. Kemunculan sesuatu peristiwa baru adalah amat sukar akan berlaku. Seandainya terserlah ketidakadilan, undang-undang itu akan menyorot kebelakang untuk memantau semula kesilapan lama yang mungkin telah terjadi.

Peristiwa begitu terjadi di Amerika Syarikat, apabila seorang hakim memutuskan agar setiap anggota polis yang menangkap seseorang itu diperlukan terlebih dahulu membacakan dengan lantangnya hak orang yang ditahannya itu untuk menghubungi peguamnya dan dia tidak perlu menjawab soalan polis itu sebagai balasan (kerana jawapan itu boleh digunakan sebagai bukti di mahkamah nanti). Hak diam membisu merupakan hak keramat yang dimuliakan.

Peraturan ini dianggap penting untuk membetulkan kezaliman polis yang berleluasa satu ketika dulu dalam mencari bukti untuk mengenakan orang yang tertuduh. Polis didapati terlalu ghairah dalam kaedah soal-siasat mereka, menyebabkan banyak pengakuan yang ditarik-balik akhirnya. Pihak pembela kerap mengaku di mahkamah terbuka betapa pengakuannya itu adalah palsu kerana terdesak, diugut dan dizalimi.

Ketika peraturan itu mula-mula diperkenalkan, mahkamah telah dihantui masalah terpaksa melepaskan penjenayah yang sudah dikenakan hukuman. Ini melibatkan ribuan pihak pembela. Masyarakat tidak mahu melihat mereka yang didapati bersalah dan dihukum untuk satu tempoh yang lama dibebaskan berasaskan kesilapan teknikal. Namun, keadilan mensyaratkan agar semua pihak menerima layanan yang adil dan saksama.

Peraturan itu menjadi satu piawaian amalan mempertahankan setiap kes jenayah dalam rangka menentukan pihak pembela telah diberitahu dulu akan segala haknya dengan jelas oleh pihak polis. Seandainya hak itu tidak dibacakan degan jelasnya, pihak pembela boleh dibebaskan oleh mahkamah, walaupun wujud bukti lain yang mungkin menunjukkan kesalahannya. Dengan cara ini polis digalakkan untuk menentukan hak asasi setiap individu yang ditangkapnya.

Peraturan itu merupakan satu bahan sejarah, menunjukkan pentingnya hak-hak orang yang dituduh itu melangkau kesangsian pihak polis. Anggota polis yang melanggar hak-hak si banduan terpaksa mempertahankan tindakannya, dan menjadi tidak berupaya apabila hakim mengarahkan dilepaskan yang tertuduh. Peraturan ini menjadi satu hambatan ke arah perilaku professionalisme anggota polis.

Apabila seseorang 'dianiayai' oleh polis bererti dia dikenakan tuduhan yang palsu dan sengaja diada-adakan. Dalam banyak hal, ia merupakan kerja jijik polis walaupun ia berpunca daripada niat jahat seseorang dalam badan kehakiman. Kadangkala pendakwa raya mengemukakan satu kes secara tersilap. Apabila kesilapan itu dikesan, semua tuduhan digugurkan dalam nama keadilan. Memang tidak banyak kes di mana pendakwaraya menuduh dengan niat jahat, secara mengada-ngadakan tuduhan untuk menyebabkan hukuman yang palsu dikenakan kepada rakyat yang tidak berdosa, selalunya disebabkan dendam dan muslihat politik. Kita lebih kerap mendapati kes mahakamah dibatalkan kerana bukti yang tidak mencukupi.

Selalunya kita kurang mendengar kes mahakamah di mana hakim bertindak memihak-mihak (bias). Lagi sukar kita mendapat kes di mana hakim telah ditekan (ataupun disogok dengan duit - rasuah) untuk memberikan keputusan pengadilan yang bertentangan dengan fakta yang dibentangkan. Hanya dalam masyarakat haprak yang membolehkan kebebasan seseorang hakim itu dimusnahkan oleh campurtangan penguasa dengan cara menggunakan ugutan ataupun ancaman. Berlakunya kereputan badan kehakiman sebuah negara dalam Komanwel disebabkan tindak-tanduk seorang bajingan tentunya merupakan satu pengecualian yang haprak dalam zaman moden ini.

Tetapi, inilah yang terjadi di Malaysia. Kecurangan segelintir hakim di negara ini dalam menjalankan tugas untuk menegakkan keluhuran undang-undang telah dirakamkan selepas perdana menteri yang masih berkuasa menyingkirkan ketua hakim negara Tun Salleh Abas pada 1989. Namun, tidak ada seorangpun hakim yang berani melaporkan secara terbuka sebarang campurtangan tertentu dalam keputusan setiap kes yang dikendalikannya.

Pendakwa raya masih diberikan peluang menjadikan mahkamah sebagai pentas lakonannya laksana drama bersiri, sambil hakim duduk memberikan pendapat yang memudahkan lakonan itu untuk menyekat sebarang bantahan yang berlandaskan pengalaman undang-undang keramat mahkamah Inggeris itu oleh pihak peguambela.

Kini akhirnya, seorang hakim telah mendedahkan dalam satu penghakimannya betapa ada tekanan daripada atasan untuk mengabui tindakannya. Dia telah mengumumkan keputusannya yang bebas itu sambil menyatakan juga betapa dia mendapat kekuatan berbuat demikian daripada ketaqwaannya. Rupanya campurtangan melalui telefon itu bukan sahaja tertuju kepadanya. Rupanya panggilan untuk tujuan begitu merupakan satu amalan biasa. Kini tercatat sudah dalam rakaman perundangan betapa seorang hakim pernah cuba dipengaruhi ketika membuat penghakimannya. Ini sudah tentu mempertikaikan keadilan dalam keseluruhan badan kehakiman itu di Malaysia.

Keadilan meronta-ronta agar dikembalikan semula, membabitkan semua kes jenayah dan sivil yang pernah ditentukan oleh mahkamah sejak 1989. Belum pernah terjadi dalam negara ini tercetusnya peristiwa seperti ini. Semua pegawai kerajaan yang telah disuluh oleh nur kebenaran ini sedang mencuba mendinginkan suasana. Namun, bencana sepenuhnya keaiban penghakiman ini akan diiktiraf juga, bukan sahaja di Malaysia malahan di seantero dunia.

Selama sedekad yang lalu, badan kehakiman negara telah menjadi bahan pengamatan yang serius ekoran beberapa kes yang menonjol terhadap para wartawan yang telah mengecam dengan pedasnya beberapa peratuan negara yang pelik-pelik. Beberapa penghakiman yang memberikan kemenangan besar kepada perdana menteri dan parti politiknya telah menarik minat seluruh dunia.

Terdapat satu kes di mana hakim telah mengumumkan satu penghakiman yang berasaskan dalil yang disediakan oleh peguamcara plaintif. Peguamcara yang serupa telah dirakamkan bergambar ketika bersantai dengan seorang ketua hakim negara yang telah melenting dengan berkata pertemuan mereka itu adalah secara terserempak sahaja. Akan tetapi, seorang penyiasat bebas telah mendedahkan tiket kapalterbang dua keluarga yang bersantai itu menunjukkan banyak kesamaannya, menyebabkan kenyataan (mantan) ketua hakim negara itu satu kenyataan yang haprak belaka.

Seorang hakim mahkamah jenayah mempunyai seorang anak lelaki yang sedang menghadapi hukuman mati mandatori kerana gejala dadah. Hakim itu dinaikkan pangkat menjadi hakim mahkamah tinggi sedangkan kelakonannya yang sudah-sudah tidak meyakinkan dia mempunyai kebolehan yang menyerlah. Nasib anaknya itu sengaja dibiarkan tertunggu menantikan keputusan banyak peristiwa berlaku dulu. Seorang hakim lagi masih belum selesai menyudahkan kertas penghakimannya satu tahun setelah penghakiman itu diumumkannya. Tempoh kerja semacam itu hanya dibenarkan untuk tiga bulan sahaja. Pihak pembela masih tertunggu-tunggu sambil terpenjara bersendirian menantikan dengan penuh kesabaran penghakiman itu sebelum mampu mengemukakan rayuannya.

Polis Malaysia telahpun membuat pengumuman akan menyiasat kes panggilan telefon yang mengganggu hakim itu dulu. Semua pihak menunggu keputusan siasatan itu. Inilah kesan tompok keaiban yang terpalit kepada badan kehakiman Malaysia yang tidak mudah dikikiskan. Semua banduan yang sedang terpenjara sekarang ini, atas apa jenis tuduhanpun mesti dihadapkan semula di mahkamah untuk mengkaji semula kes mereka. Proses ini akan membuatkan mahkamah di Malaysia menjadi sibuk keseluruhan dekad ini dan seterusnya.

Kalau Malaysia mahu menonjolkan nama yang unggul di mata dunia, satu tribunal khas mesti ditubuhkan untuk menyiasat keseluruhan aspek pengadilan negara. Kurang daripada itu tidak akan memadai untuk membolehkan Malaysia diberi kehormatan setara dengan negara komanwel yang lain. Inilah zaman keaiban Malaysia dan perdana menteri adalah orang yang patut disalahkan kerana keaiban itu.


-Harun Rashid-

Terjemahan: SPAR-05-011

Asal: http://home.yqi.com/harunrashid1/76Twelve.html

Link Reference : Harun Rashid Worldview: Twelve Years Overturned In A Day