Laman Webantu   KM2A1: 4729 File Size: 10.3 Kb *



TAG SP 170: 1,001 Malam di Malaysia.... [ATimes]
By Anil Netto

14/6/2001 8:19 pm Thu

TAG 170

[Sesudah hampir 1,000 hari Anwar dipisahkan dari rakyat dengan jeriji besi, pengaruh beliau masih belum padam lagi. Malah ia semakin mengancam sehingga Mahathir pula yang seperti kesakitan dan menggelabah sekarang ini. Kalau isu Anwar menyedarkan orang melayu dan menggigit Umno, Isu Nanyang pula telah membangkitkan kesedaran masyarakat Cina sehingga retak MCA dibuatnya. Sekarang dua isu kehakiman pula menjelma di saat perhimpunan agung Umno semakin tiba. Tanpa sokongan kaum Cina dan pengundi hantu undi siapa lagi yang boleh diharapkan untuk memenangkan BN nanti?

Sekarang pihak polis bertopeng sudah terngangga disergah oleh Hakim Hishamuddin. Pihak SPR dan Hakim bertopeng pula sudah teraib oleh Hakim Muhammad Kamil. Apakah tidak lama lagi akan muncul satu lagi keaiban? Perhimpunan agung nanti mungkin akan memberikan beberapa jawapan.... - Editor]


Terjemahkan SPAR-03-027

1,001 Malam di Malaysia....

(1,001 Malaysian Nights....)

Oleh: Anil Netto


Pada satu malam 20 September 1998, ketika mantan timbalan perdana menteri Anwar Ibrahim sedang bercakap-cakap dengan sekumpulan penyokong di rumah kediamannya sendiri, anggota polis yang mengenakan topeng berski dan bersenjata semi-automatik telah memecah masuk rumahnya untuk menariknya pergi. Bermulalah perubahan dalam arus aliran politik Malaysia yang tidak ada patah-baliknya lagi.

Kini, 1,000 malam akan mengingati peristiwa itu kembali, bertepatan pada 16 Jun nanti. Akan terimbau hari kenangan di tahun 1998 ketika Anwar memimpin puluhan ribu rakyat marhaen Malaysia melangkahkan tapak di tengah-tengah ibukota sambil melaungkan kata keramat 'Reformasi' berkali-kali dan 'Mahathir-Undur' bertubi-tubi.

Secara kasarnya tidak banyak yang berubah sejak hari yang sungguh bersejarah, walaupun Anwar ditangkap juga akhirnya. Kini, beliau menahan kesakitan tulang belakang yang terselisih dan 'cervical spondylosis' yang amat pedih. Dengan penyakit yang menghambat nafasnya itu, dia terpenjara untuk 15 tahun lamanya. Insan yang pernah satu ketika dulu dianggapnya sebagai seorang guru tetapi kini sudah bertukar menjadi seteru, Mahathir Mohamad, yang sudah pun menjangkau 76 tahun usianya, sudah menghampiri ambang ke-20 tahun memegang tampuk kuasa, namun belum menunjukkan keinginan untuk bersara.

Namun, di sebalik dasar suasana akan terserlah satu pergolakan yang semakin terdedah - dalam politik, media, masyarakat, malahan dalam badan kehakimannya. Dalam setiap detik pergolakan semua itu terkait juga haruman nama insan yang satu ketika dulu dianggap menjadi pewaris takhta peninggalan Mahathir, walaupun 32 bulan sudahpun berlalu dia dianiayai dan tersorok di sebuah kamar berjeriji besi, menghalangnya bertentangan mata dengan sesiapa yang mahu berinteraksi.

Semakin ketara kini, wawasan Mahathir mahukan sebuah negara yang berstatus maju pada 2020, yang pernah memacu harapan dan keghairahan negara, sudah semakin nampak lompong. Pada suku pertama tahun ini sahaja, ekonomi negara hanya mampu membangun setakat 3.2 persen sahaja, jauh sekali bezanya dengan capaian 8.3 persen yang dijangkau tahun yang lalu. Selain kejatuhan ekonomi Amerika Syarikat yang dikatakan penyebab utama kejatuhan itu, ada satu kesedaran betapa keyakinan politik sudah lama menghilang. Kini, wawasan 2020 seorang diktator tua sudah tidak lagi diminati orang.

Pada 1 Jun, kawan Mahathir yang paling akrab, dan sungguh berkuasa dan kaya raya, Daim Zainuddin melepaskan jawatannya sebagai Menteri Kewangan negara, sebelum berlangsungnya persidangan tahunan UMNO pada 21 Jun nanti. Ketika berkuasa, Daim bukannya popular sangat di banyak tempat dan beliau kerap dihantui kritikan hebat kerana urusan niaga yang dahsyat-dahsyat. Apatah lagi dengan pelbagai usaha penyelamatan terhadap syarikat anak-didik dan para kroni yang tidak disenangi. Ramai pengamat yang berkata pengunduran Daim akan mendinginkan segala kritikan hangat yang mungkin dicetuskan pada hari perdebatan.

Prospek ketumbuhan semakin malap, Mahathir masih mencuba merangkul kuasa dengan menahan 10 aktivis reformasi pada April lalu dengan penggunaan ISA yang paling zalim itu. Empat antara mereka sudah pun dikeluarkan daripada tahanan.

Kemarahan rakyat semakin meluap tetapi disebarkan melalui ruangan siber menyebabkan kerajaan semakin kecut sehingga memikirkan perlu mengekangnya. Sejak penyingkiran Anwar itu, Internet telah memainkan peranan yang paling jitu menyemarakkan gerakan reformasi walaupun halangan dan hambatan semakin diketatkan setiap hari. Hari-hari kebelakangan ini contohnya, Laman Reformasi yang satu ketika dulu merupakan laman terkemuka pergerakan reformasi telah digodam untuk kedua kali. Kali ini ada diselitkan pesanan yang berunsurkan pro-Mahathir pula.

Akhbar-siber bebas, Malaysiakini, masih lagi dikerumuni setiap hari. Namun, kebebasan media percetakan semakin tertambat apabila dua akhbar harian Cina akan diambil-alih oleh MCA, yang merupakan parti politik nombor dua terbesarnya dalam gagasan parti yang memerintah negara. Akan tetapi, dalam beberapa hari selepas itu tertubuhlah satu Perikatan Penulis Bebas yang mengandungi lebih dari 90 orang penyumbang yang menghentikan sumbangan mereka kepada dua akhbar harian itu. Dalam masa dua minggu selepas pengambil-alihan itu, tiga laman web yang bebas dan menggunakan Bahasa Cina sebagai pengantarnya dilahirkan dan memulakan peranannya.

Pengambilan akhbar Cina oleh MCA itu telah menggegarkannya kerana ada pihak penentang yang mahukan mesyuarat tergempar parti diadakan untuk menyekat pembeliannya. Pada masa yang lalu, MCA telah memainkan peranan utama dalam menarik majoriti undi Cina memangkah calon BN. Seandainya masyarakat Cina yang merupakan 25 persen undi yang ada seluruh negara berpecah belah, ia akan memberi musibah kepada Mahathir, lebih-lebih lagi apabila sokongan Melayu terhadap UMNO sudah jauh tersasar sejak Anwar diusir keluar.

Sememangnya, pada pemilu 1999, parti pembangkang terutama PAS dan Keadilan yang dipimpin oleh isteri Anwar, Wan Azizah telah mendapat laluan yang baik menerbus pangkalan tradisi sokongan Melayu. Satu barisan pembangkang yang baru sangat menjalin ikatannya, kini mampu mengaum lantang menyanggah barisan yang memerintah pada pemilu yang dijangkakan pada 2004 nanti.

Pencetus kecemasan orang Melayu ialah mata lebam yang dialami oleh Anwar ketika dalam tahanan untuk siasatan, sehingga membuatkan rakyat marah terhadap undang-undang yang zalim. Ketua Polis Negara yang membaham mata Anwar, Rahim Nor terpaksa melepaskan jawatannya dan baru sahaja dibebaskan daripada penjara atas hukuman selama dua bulan. Dia diberikan potongan satu pertiga kerana berkelakuan baik dalam tahanan dan dibebaskn pada Sabtu lalu.

Pergerakan anti-ISA dan anti-ambil-alih-media sebagai contohnya, melambangkan satu bentuk kebangkitan rakyat marhaen dalam era reformasi. Walaupun sebahagian besar masyarakat masih apatetik, keresahan di kalangan masyarakat Melayu dan Cina akan menghantui pentadbiran Mahathir sehingga tercungap dibuatnya.

Igauan ini menjadi hebat lagi apabila badan kehakiman tiba-tiba bertindak keluar daripada kepompong yang menjerut martabatnya selepas tersingkirnya ketua hakim negara yang sungguh berwibawa ketika itu, pada 1988 dulu. Penyingkiran Tun Salleh Abas secara aibnya dan diikuti oleh pengguguran lima Hakim Mahkamah Tinggi yang bersatu cuba membantunya menyebabkan badan kehakiman itu menjadi satu badan yang kehilangan martabatnya. Akibatnya ia terjerumus ke kancah kehinaan yang penuh kebajingan yang tidak mudah dimuliakan semula dengan mudahnya.

Akan tetapi dalam jangka masa beberapa minggu yang terbaru, para hakim telah menaikkan kening manusia dengan tindakan berani mereka. Yang terbaru terserlah Jumaat yang lalu apabila seorang hakim di Sabah membatalkan keputusan kerusi DUN Likas yang dimenangi oleh BN berasaskan daftar pengundi yang tidak sah. Daftar itu dikatakan telah dipenuhi oleh nama bukan warga Malaysia dan juga pengundi hantu. Tindakan hakim itu menggegarkan keseluruhan proses pengundian di Malaysia. Akan tetapi gegaran yang lebih hebat meledak apabila hakim Muhammad Kamil Awang, menyatakan bahawa dia telah menerima panggilan telefon menggesa beliau membatalkan kes itu tanpa perlu didengar dulu - satu pendedahan yang menggoncangkan masyarakat guaman hingga mencetuskan taufan kontroversi. Kemudian, dia menyebut pula bahawa manusia yang menelefon pada pertengahan 1999 dulu mengarahkannya membatalkan petisyen itu merupakan ketuanya dalam badan kehakiman.

Apabila setiap hakim mencetuskan perilaku membetulkan sesuatu, bersemaraklah harapan besar di merata negara, walaupun hanya segelintir yang menaruh harapan akan berlakunya perubahan. Sesungguhnya, Mahathir terus mencengkam kuasa di Putrajaya, yang merupakan pusat pentadbiran negara, sedangkan negara yang dizaliminya sudahpun berubah tanpa berpatah balik lagi.

Adalah semakin sukar untuk menudung keresahan rakyat. Mungkin itulah bahananya yang dicetuskan walaupun secara kecilan oleh tindakan memenjarakan seorang insan di Sungai Buluh. Walaupun dia terpenjara di kamar kecil, pengaruhnya yang besar tidak pernah terpencil untuk melakar suasana politik tanahair seperti yang telah mengalir 1,000 hari lamanya.


-Anil Netto-
Rabu 13 Jun, 2001.

Terjemahkan SPAR-03-027




Asal:

AsiaTimes: http://www.atimes.com/se-asia/CF14Ae02.html atau KM2: 4274 - 1,001 Malaysian Nights....