Laman Webantu   KM2A1: 4731 File Size: 3.6 Kb *



Kos Tiket MAS berbeza di Malaysia & Singapura
By Lim Guan Eng

15/6/2001 9:43 am Fri

[BUNGARAYA]

Kos Tiket MAS berbeza di Malaysia & Singapura

Kenyataan Akhbar Naib Pengerusi Kebangsaan DAP Lim Guan Eng 14 Jun 2001


MAS Mesti Menjelaskan Mengapa Kos Tiket Penerbangan Ke Melbourne Dari Singapura Adalah 50% Lebih Murah Daripada Kos Tiket Penerbangan Dari KLIA

-


DAP menentang keras cadangan MAS menaikkan harga penerbangan tiket domestik, dikatakan sampai 30%, kerana ini menyalahi tanggungjawab sosialnya sebagai syarikat penerbangan nasional. Tanggungjawab sosial MAS kepada negara mesti diakui oleh MAS bila kerajaan pusat menyuntik wang rakyat sebanyak RM1.8 bilion untuk menyelamatkan MAS sungguhpun MAS menghadapi kerugian besar.

Rakyat dipaksa membayar RM8 sesaham MAS, sungguhpun harga pasaran sahamnya di Bursa Saham Kuala Lumpur hanya RM3.60 sesaham, ataupun bayaran lebihan premium sebanyak 122%. Jelas harga saham yang dibayar adalah terlalu tinggi bila MAS mengalami kerugian sebanyak RM1.3 bilion dalam tahun 2001. Wang rakyat sebanyak RM1.8 bilion tidak akan mendapat pulangan bila MAS dijangka menghadapi kerugian lebih teruk sebanyak RM1.32 bilion dalam 2002 sebelum menurun kepada kerugian RM255 juta dalam tahun 2003.

Dengan pulangan negatif daripada pelaburan RM1.8 bilion ini, adalah keterlaluan MAS bercadang untuk menaikkan tambang domestik ke atas rakyat Malaysia. MAS harus ingat bahawa rakyat sudah membayar harga tinggi menyelamatkan MAS yang tidak mahu dibayar oleh mana-mana pihak. Adakah menaikkan tambang domestik cara MAS membalas budinya kepada rakyat Malaysia?

MAS juga tidak mengambil kira kepentingan nasional dan rakyat bila menetapkan tambang penerbangan daripada KLIA lebih tinggi daripada penerbangan daripada Singapura. Saya telah menerima aduan rakyat bertanyakan mengapa tambang penerbangan MAS daripada Singapura ke Melbourne adalah Singapore Dollar 540 sedangkan penerbangan MAS daripada KLIA ke Melbourne adalah RM 2015(off-peak) dan RM2116(peak).

Kalaupun 540 Singapore dollar ditukarkan kepada RM, ia hanya RM1150 ataupun hampir 50% lebih murah daripada penerbangan daripada KLIA sebanyak RM2100. Perlu ditegaskan destinasinya sama, hanya tempat bertolak tidak sama. Kalau pun terbang daripada KLIA ke Singapura untuk pergi ke Melbourne, hanya tambahan RM444 ataupun RM1,600 kesemuanya, yang jauh lebih murah daripada penerbangan MAS daripada KLIA sebanyak RM2100.

Tindakan MAS ini merugikan rakyat Malaysia yang ingin bertolak daripada KLIA. Ia juga tidak bersemangat nasional kerana merugikan KLIA yang akan kehilangan pendapatan 'airport tax" bila ramai rakyat Malaysia, khususnya dari kawasan Selatan akan memilih bertolak daripada Singapura. Adalah pelik sekali MAS sebagai sistem penerbangan nasional seakan-akan menggalakkan rakyat Malaysia menggunakan lapangan terbang Singapura.

Saya telah bertanyakan perkara ini dengan pejabat tiketing MAS yang terkejut tentang soalan saya dan tidak dapat menjawab. Oleh itu, MAS mesti menjelaskan mengapa kos tiket penerbangan MAS ke Melbourne daripada Singapura adalah 50% lebih murah berbanding dengan kos tiket penerbangan daripada KLIA.

- LIM GUAN ENG -