Laman Webantu   KM2A1: 4732 File Size: 6.3 Kb *



Ibu Ezam: Tembak Sahajalah Saya - Siapa Penakut Sebenarnya?
By BICT

15/6/2001 9:04 am Fri

Sumber: [r4mc] / http://www.keadilanhuluselangor.zzn.com

Tembak sahajalah saya, kata ibu Ezam

KAMUNTING - Ibu Ketua Pemuda keADILan, Puan Isah 'berterus-terang' dengan pihak polis dan meminta mereka 'menembak sahaja beliau' daripada dilengah-lengahkan didalam perjalanan ke Kamunting untuk melawat Saudara Ezam Mohd. Noor.

Saksi yang menyertai konvoi kenderaan dari Kuala Lumpur ke Kamunting hujung minggu lalu menceritakan bagaimana keluarga tahanan telah sengaja 'dilengah-lengahkan' oleh pihak berkuasa melalui dua sekatan jalanraya sebelum sampai ke Kamunting.

Keluarga Saudara Tian dan Saudara Mohd. Ezam telah ditahan polis di kedua-dua sekatan tersebut. Malah, di satu sekatan, bapa kepada Saudara Hishamuddin telah 'ditahan' seketika dan diberitahu bahawa beliau tidak dibenarkan untuk melihat anaknya - sehingga beberapa orang lain dari rombongan itu menjelaskan perkara yang sebenarnya.

Kecewa dengan tindakan melengah-lengahkan konvoi tersebut, Puan Isah dikatakan telah meminta pihak polis untuk 'menembak sahaja' beliau daripada menyekatnya menemui Saudara Ezam. Selepas itu, barulah kenderaan keluarga beliau dibenarkan meneruskan perjalanan ke kem tahanan Kamunting.




Mahathir sekadar jaguh TV: Ibu Ezam

IPOH: Puan Isah Osman, ibu kepada Ezam Mohd Noor, Ketua Pemuda Keadilan yang masih ditahan di bawah ISA, berkata Dr Mahathir Mohamad sekadar jaguh di kaca televisyen, tetapi penakut tidak berani bersemuka dengan keluarga tahanan ISA.

Beliau membandingkan kewibawaan Ezam dengan Dr Mahathir Mohamad dan anak-anaknya yang penuh dengan kuasa dan kekayaan. Beliau kata beliau tidak gentar sama sekalipun dengan Perdana Menteri. Walaupun kali ini adalah kali yang keempat puteranya ditahan oleh polis, beliau tidak bersedih atau menangis kerana anaknya menentang kezaliman. Beliau hanya bersabar dan berdoa.

Biro Penyelarasan Masyarakat Cina Parti Keadilan Negeri Perak telah mengadakan satu ceramah Mansuhkan ISA yang dinamakan "Ceramah Tuntutan Keadilan" di Dewan Chin Woo, Ipoh, 13 Mei lalu. Selain daripada Puan Isah, ahli panel yang diundang khas untuk memberi ceramah adalah Cikgu Khalil Shah (Pengerusi Keadilan Negeri Perak), Dr Sanusi Osman (Setiausaha Agung PRM), Koh Swe Yong (Bendahari PRM), Dr Xavier Jeyakumar (Ahli MPT Keadilan), Puteri Reformasi Nurul Izzah Anwar Ibrahim, Cik Jane Lee Soo Chen (Ketua Pemuda Dewan Perhimpunan Cina Selangor) dan YB Azmin Ali (ADUN Ulu Kelang, Selangor).

Walaupun cuba bertemu dengan Perdana Menteri dan Ketua Polis Negara, Isah dilarang dan hanya dapat berjumpa dengan wakil-wakil mereka sahaja. "Adakah mereka ini tidak berani berjumpa dengan saya?" tanyanya.

Isah memberi amaran tangan yang menghayun buaian boleh menghancurkan kuasa pemerintah. Beliau berkata, "Tiada kuasa kezaliman yang boleh berkekalan. Kebenaranlah yang akan menewaskan kezaliman."

Dalam ucapan pembukaan ceramah, Dr Lee Boon Chye selaku Pengerusi Penganjur dan Penolong Setiausaha Keadilan Negeri Perak mengingatkan para hadirin keistimewaan hari 13 Mei 2001. Ini kerana ia bukan sahaja Ulang Tahun Peristiwa 13 Mei, tetapi Perayaan Hari Ibu tahun ini juga jatuh pada hari yang sama.

"10 orang ibu menderita kerana nasib anak belum pasti diketahui. Bahkan mereka tidak tahu anak mereka berada di mana," kata beliau.

"13 Mei juga mengingatkan kembali peristiwa pertarungan antara kaum. Tetapi kini, keadaan sudah berubah. Rakyat sudah mula sedar dan menolak isu-isu perkauman yang sering digunakan oleh pihak kerajaan BN khasnya UMNO, MCA dan MIC untuk mendapatkan undi dalam pilihanraya dan memecah-belahkan perpaduan rakyat."

Tambah beliau, "Kini, satu kempen memansuhkan ISA (AIM) telah dilancarkan bukan sahaja untuk membebaskan semua tahanan ISA, tetapi juga untuk membebaskan 22 juta penduduk Malaysia yang tertekan di bawah Akta ISA yang zalim."

Cikgu Khalil pula menceritakan betapa hebatnya tentangan rakyat kini terhadap penyalahgunaan ISA sejak undang-undang ini diperkenalkan oleh pihak British yang masih memerintah pada tahun 1948 untuk menentang kegiatan Komunis yang subversif dan ganas.

Dr Sanusi Osman pula kagum dengan kesemua 10 tahanan ISA sebagai pemimpin muda sekarang yang penuh bersemangat dan patriotik. "Hanya dua buah negara di dunia ini yang masih mengamalkan undang-undang ISA iaitu Malaysia dan Singapura. Di Malaysia, ia digunakan untuk menangkap pejuang-pejuang rakyat yang menentang penyalahgunaan kuasa, penyelewangan, kekejaman dan kezaliman pihak pemerintah," katanya.

Dr Xavier Jeyakumar memberitahu para hadirin bahawa apabila pihak British memperkenalkan ISA, ada peruntukan "judicial preview" (semakan kehakiman) yang mem-bolehkan seseorang tahanan ISA itu membawa kesnya ke mahkamah untuk perbicaraan. Ini sering berlaku dalam tahun-tahun 50-an dan 60-an.

Tetapi Perdana Menteri Mahathir Mohamad telah menggunakan kuasa parlimen untuk mengugurkan peruntukan ini pada satu ketika dulu. Dengan itu, tidak ada lagi peluang perbicaraan di mahkamah untuk sesiapa yang dikena-kan tahanan ISA untuk masa kini.

Jane Lee Soo Chen berkata, "Sudah bermula satu gerakan politik yang baru dan diterima oleh rakyat. Ia merupakan satu pukulan kepada politik perkauman yang dipraktikkan oleh kerajaan BN."

Puteri Reformasi Nurul Izzah mewakili keluarganya memberikan sokongan kepada semua orang tahanan ISA dan keluarga mereka masing-masing.

Sebagai penceramah terakhir, Azmin Ali merayu semua penyokong reformasi tidak berasa terlalu sedih atas hukuman penjara 18 bulan pada dirinya. "Kejadian ini hanya satu dari siri tekanan dan ugutan dari pihak pemerintah. Kalau itulah perancangan pihak tersebut, rakyat akan terus bangkit menentang kezaliman," katanya.