Laman Webantu   KM2A1: 4733 File Size: 21.6 Kb *



TAG SP 171: B2 Isham Rais : Pengalaman Wiramarhaen Yang Bergaya
By Sheryll Stothard

15/6/2001 5:12 pm Fri

TAG 171

[Tidak syak lagi Hishamuddin Rais bukan sebarang pejuang kerana tetap perihatin dan aktif serta sentiasa muncul bila diperlukan. Inilah insan yang memperjuangkan nasib kaum tani dan setinggan waktu muda-muda dulu sehingga kerajaan datang mencengkam dan beliau hidup terbuang. Setelah kembali ke tanah-air Hishamuddin masih seperti dulu - membela pihak yang teraniaya dan ditekan. Akibatnya beliau telah ditangkap melalui akta ISA dan kini telah dibuang ke Kamunting. Sekaligus ini membayangkan beliau bukan sebarang wirawan kerana sentuhan beliau cukup mengancam dan setaraf dengan Ezam yang tidak memerlukan sebarang bom atau roket di tangan kerana suara dan keazaman itulah yang lebih berkesan.

Sekarang ini sudah muncul pelbagai kumpulan pendesak agar Hishamuddin dibebaskan kerana mereka sudah cukup kenal siapa beliau. Beliau sudah lama memperjuangkan nasib kita - sekarang tibalah giliran kita pula untuk membelanya. Bukankah kita semua dianggap sebagai keluarganya? - Editor]

Terjemahan : SPAR 09


Isham Rais : Pengalaman Wiramarhaen Yang Bergaya (Siri 2)

(Isham Rais: Adventures of a trendy rebel)

Oleh : Sheryll Stothard


Pada tahun 1970, sebagai pengerusi Persatuan Bahasa Melayu di universiti, Anwar menjadi satu suara yang utama menyeru agar lebih banyak sokongan diberikan kepada Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Rasa tidak puas hati timbul di kalangan kebanyakan pelajar yang menggunakan bahasa Melayu di dalam percakapan seharian yang mendapati bahawa terdapat jurang yang besar di antara apa yang diperkatakan dan apa yang dipraktikkan di dalam perlaksanaan polisi Bahasa Malaysia, yang begitu ketara berlaku di universiti.

"Dalam tahun 60an, polisi tersebut lebih banyak diperkatakan di mulut sahaja." Philip Koh menerangkan seperti apa yang diingatinya. "Walaupun ia telah diiktiraf secara rasmi sebagai bahasa kebangsaan, bahasa Melayu tidak langsung diberikan perhatian dan menerima layanan, terus terang saya katakana, yang meragukan."

Pada bulan Oktober 1970, sebagai tanda memprotes (membantah), sekumpulan pelajar, yang dikatakan dipimpin oleh Anwar, telah bergerak sekeliling kampus dan "memadamkan semua papan tanda dan notis yang ditulis di dalam bahasa Inggeris " (dari dakwaan kenyataan #2 di dalam perintah tahanan ISA Anwar).

Tindak balas ini pada dasarnya adalah satu luahan rasa kecewa di kalangan pelajar yang, menggunakan perantara bahasa Melayu, merasakan bahawa penggunaan Bahasa Inggeris yang berleluasa di dalam dewan-dewan kuliah dan buku-buku telah membentuk sikap membeza-bezakan (diskriminasi) terhadap mereka.

Walaupun Anwar telah menamatkan pelajaran dari UM pada tahun 1971, beliau terus menjadi pemimpin tidak rasmi pelajar di kampus. Kedudukannya pada barisan pucuk pimpinan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), dan Majlis Belia Malaysia dan kesan pengaruhnya yang terus disemai di dalam persatuan-persatuan seperti Persatuan Kebangsaan Pelajar-pelajar Islam Malaysia (PKIM), Gabungan Pelajar-pelajar Islam Malaysia dan PMUM, telah memastikan bahawa beliau tetap menjadi sebahagian dari aktivis-aktivis pelajar sehinggalah kepada peristiwa tindakan keras 1974.

"Lincoln lingkup!" :

Ini adalah satu masa yang membawa Isham bertemu dengan Anwar. "Walaupun pada hakikatnya kami tidak "bergaul rapat" bersama, kami berkongsi banyak persamaan pendapat di dalam kebanyakan isu-isu termasuklah isu-isu antarabangsa. Biarpun cara pendekatan Anwar terhadap isu-isu tersebut adalah lebih Islamik, dan saya, sosialis, kami berada di atas landasan yang sama.

"Landasan yang dikongsi bersama" oleh mereka itu buat pertama kalinya dibuktikan melalui tunjuk perasaan (demonstrasi) besar-besaran anjuran PKPMI pada tahun 1971 bagi membantah kunjungan Perdana Menteri Thai ke Malaysia di atas apa yang dipercayai sebagai layanan yang buruk oleh kerajaan Thai terhadap penduduk-penduduk yang beragama Islam di Selatan Thailand. Tunjuk perasaan itu, yang melibatkan ribuan orang, bermula di Lapangan Terbang Subang dan diteruskan ke sepanjang Lebuh raya Persekutuan dan Lembah Pantai. Para pelajar akhirnya disembur dengan gas pemedih mata dan terpaksa masuk semula ke dalam kampus. Seramai tujuh belas orang, termasuk Anwar, telah ditahan kerana menyekat lalu lintas.

"Ia benar-benar mempolitikkan saya," kata Isham, apabila mengenangkan kejadian itu. Ia juga merupakan episod pertama bagi beberapa siri tunjuk perasaan dan bantahan yang diselaraskan secara bersama oleh Isham dan Anwar, salah satu kejadian yang penting adalah bantahan di hadapan Pejabat Kedutaan Amerika dalam tahun 1973. Isunya adalah mengenai sokongan Amerika terhadap keganasan Israel dalam Perang Oktober (atau Perang Yom Kippur) pada tahun 1973 yang berakhir dengan Semenanjung Sinai dirampas dari rakyat Palestine. " Apabila perang bermula, kesatuan pelajar menjelaskan pendirian dengan segera dan kami percaya kami terpaksa melakukan tunjuk perasaan. Pada bulan 13hb.Oktober, PMUM menganjurkan satu tunjuk perasaan di hadapan Kedutaan Amerika. Lebih kurang seribu dari kami yang menerima semburan gas pemedih mata," Isham menceritakan seperti yang diingatinya.

Tiga hari kemudian, satu tunjuk perasaan yang lebih besar, yang dianjurkan oleh MBM yang diterajui oleh Anwar, dimulakan di Kedutaan Amerika di Jalan Ampang, dan bergerak ke Pusat Lincoln (Lincoln Centre) yang berdekatan. Di Kedutaan, salah seorang pelajar berjaya menurunkan bendera Amerika dan ia dibakar. Apabila kumpulan tersebut bergerak ke Pusat Lincoln, adalah jelas bahawa mereka tidak akan dapat dihalang dengan gas pemedih mata sahaja. Anwar mengetuai kumpulan yang ramai itu, disokong oleh Isham dan beberapa pemimpin yang lain, menyeru agar Pusat tersebut ditutup, dengan melaungkan "Lincoln tutup, Lincoln lingkup!"

Menjelang lewat petang, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri Ghazali Shafie tiba untuk bercakap kepada para pembantah. Beliau berjaya mengurangkan ketegangan dengan memujuk kumpulan tersebut supaya beredar ke Masjid Negara untuk menunaikan sembahyang.

"Kami menuntut agar kerajaan Malaysia menutup Pusat Lincoln dan memutuskan ikatan diplomatik dengan US," Isham tertawa. "Anda boleh lihat bahawa kedudukan kami pada masa itu adalah bersandarkan kepada semangat penuh yakin (optimistik) golongan muda."

Ini telah membawa kepada satu perjumpaan bersama Perdana Menteri Tun Abdul Razak dan sekumpulan pemimpin pelajar, termasuk Anwar dan Isham. "Semasa minum petang di kediamannya, beliau menjelaskan kepada kami tentang pendirian rasmi kerajaan terhadap isu US-Israel. Beliau menerangkan bahawa Malaysia tidak boleh terlalu menekan kerana US pada bila-bila masa sahaja boleh mengeluarkan simpanan timbunan getahnya dan harga-harga getah akan terjejas.

Kesatuan diharamkan :

"Tun Abdul Razak benar-benar berjiwa nasionalis," kata Isham apabila mengingatkan pertemuan tersebut. "Beliau memahami isu tersebut. Itulah sebabnya beliau menjemput kami untuk berdialog. Saya merasakan perkembangan itu sangat memberangsangkan." Apabila tahun 1974 menjelang, semangat para pelajar masih tidak tergugat. Pihak berkuasa masih belum lagi mengambil sebarang tindakan menghukum yang serius. Walau bagaimanapun isu-isu yang terlibat adalah isu-isu yang berada di luar sempadan negara. Keadaan ini berubah apabila muncul insiden Tasik Utara.

Dalam bulan September tahun itu, Isham menerima satu telegram dari penghuni-penghuni setinggan di Tasik Utara, berdekatan Johor Bahru, yang meminta bantuan. Kerajaan Negeri Johor baru sahaja mengeluarkan satu notis pengusiran kepada sekumpulan besar penghuni-penghuni setinggan. Sebidang tanah yang didiami mereka itu akan dibangunkan menjadi padang golf.

Isham, dengan ditemani beberapa pelajar seperti Adi Satria, Abu Zer Ali dan Yunus Ali Hassan, turun ke Johor Bahru tepat pada masanya apabila menyaksikan sendiri traktor-traktor majlis Perbandaran memusnahkan rumah-rumah setinggan. Rombongan kedua diatur, dan kali ini sebuah bas yang penuh memuatkan pelajar-pelajar dari UM turun menyertai pelajar-pelajar lain dari USSU (kesatuan pelajar-pelajar Universiti Singapura) dan para penghuni setinggan yang telahpun mendirikan sebuah kem di hadapan pejabat Ketua Menteri Osman Saat. Selepas tiga hari dan tiga malam, pihak polis menyerbu masuk. Isham adalah di antara yang ditangkap dan dimasukkan ke dalam lokap selama seminggu. "Mereka menyerbu masuk pada lebih kurang pukul 3.00pagi sewaktu kami sedang tidur." Isham menceritakan.

Di KL pula, PMUM menganjurkan tunjuk perasaannya sendiri yang kemuncaknya berakhir dengan peristiwa bersejarah di mana universiti telah diambil alih. Rampasan kuasa yang singkat itu telah menyebabkan kesatuan pelajar diharamkan dan bangunan kesatuan di kampus ditutup. Para pelajar sedang di dalam proses perundingan bersama pihak universiti untuk membuka kembali bangunan tersebut pada lewat bulan November apabila menerima berita tentang masalah di Baling, Kedah.

"Sungguhpun berita-berita disembunyikan dari pengetahuan ramai, kami mendengar bantahan besar-besaran golongan petani di Kedah dari pelajar-pelajar yang kembali untuk memulakan penggal baru,"kata Isham. Peningkatan inflasi bersama-sama dengan penurunan harga getah telah menambahkan lagi perasaan kecewa golongan petani miskin dengan kerajaan, menyebabkan mereka turun ke jalan-jalan raya di Baling. Adi Satria berkata, " Ribuan melakukan tunjuk perasaan di jalan raya. Ianya adalah satu manifestasi kepada kemiskinan dan kekecewaan."

Pada pukul 10.00 pagi 3hb. Disember, 1974, ribuan pelajar berhimpun di Padang Kelab Selangor (kini Dataran Merdeka) untuk menyuarakan sokongan mereka kepada para petani di Baling. Walau bagaimanapun, sebelum tunjuk perasaan tersebut sempat bermula, Unit Simpanan Khas (FRU) menyerbu masuk dan menyemburkan gas pemedih mata kepada para pelajar. Para pelajar telah berpecah di merata tempat di KL, dihambat oleh polis. "Anwar telah ditangkap berhampiran Masjid Negara bersama-sama sekumpulan pelajar," Isham memberitahu. "Mereka menyemburkan gas pemedih mata sehingga ke dalam masjid. Malah pihak polis memasuki masjid tanpa menanggalkan kasut terlebih dahulu untuk menangkap pelajar-pelajar dan menyumbat mereka beramai-ramai ke dalam trak."

Kenangan Yang Memilukan :

Menyusul selepas itu adalah insiden yang kini terkenal sebagai "Bebaskan Anwar" di hadapan Muzium Negara di Jalan Bangsar. Pelajar-pelajar, telah menyekat trak-trak FRU yang mengangkut Anwar dan mereka yang ditahan di masjid, dan memaksa pihak polis untuk melepaskan mereka. Namun demikian, kebebasan Anwar tidak bertahan lama. Apabila beliau kembali pada petang itu untuk mengikat jamin pelajar-pelajar yang telah ditangkap, beliau telah ditahan di balai polis Bangsar. Apabila para pelajar mendapat tahu tentang perkara ini, mereka sudah tidak boleh bersabar lagi. Para pelajar dari UM, UKM dan ITM berkumpul di pintu masuk UM di Lembah Pantai dan memulakan tunjuk perasaan, bantahan terhadap penahanan Anwar yang kemudiannya berlarutan selama seminggu.

Di awal-awal pagi 8 Disember 1974, Operasi Mayang dimulakan, dan kegemilangan aktiviti-aktiviti pelajar itu tidak pernah berulang kembali.

"Hishamuddin Rais!" seseorang memanggil. Isham meletakkan cawan yang berisi kopi minumannya dan menoleh untuk melihat sipemanggil itu. Seorang yang tidak dikenali berjalan ke arah Isham memberikan isyarat mengenali dirinya dengan satu lambaian dan senyuman. Kami sedang berada di Tebing Sungai Pasar Seni, menikmati makan tengah hari di tempat terbuka, di pertengahan sesi temuramah itu. Saya agak terkejut melihatkan masih ramai yang mengenali dirinya - walaupun selepas dua dekad.

"Anda tahu," beliau melamun, seperti boleh membaca fikiran saya, "Semuanya bermula pada 3hb. Disember,1974. Dua puluh tahun kemudian, pada tarikh yang sama - 3hb. Disember, 1994, selepas 9 hari disoal siasat sebaik sahaja kembali ke tanah air dari luar negara, saya bebas kembali." Beliau terhenti sejenak seperti memberi masa untuk satu kesan yang dramatik, lantas ketawa. "Dramatik, bukan?" Sambil saya turut ketawa bersamanya, saya memerhatikan gelagatnya yang merenung ke seberang sungai, seolah-olah cuba mencari-cari bangunan-bangunan yang biasa dilihatnya dahulu di kawasan yang telah banyak berubah dengan bangunan-bangunan pencakar langit itu. Sementara saya menunggunya kembali ke saat ini, saya teringat sesuatu yang telah diperkatakan oleh Jomo. "Kepulangan Isham ke Malaysia selepas 20 tahun adalah satu kenangan yang memilukan tentang perubahan kepada apa yang pernah mengikat kita bersama, dan sejauh mana kita telah berubah. Ianya seperti satu pelompatan masa. Kita semua telah berubah. Tetapi Isham tidak pernah berubah."

Kemudian, beliau berpaling secara tiba-tiba, meninggalkan perkara yang silam. Di wajahnya terukir sebuah senyuman yang membuatkan dirinya kelihatan seperti berusia 22 tahun semula. "Saya sudah kembali - itu sudah pasti!"

Pengembaraan Isham Yang Ganjil :

Selepas seminggu bertelagah dengan pihak polis di pintu masuk Universiti, para pelajar menyedari bahawa masanya pasti tiba apabila pihak universiti yang semakin bimbang akan menyerah dan membuka semua kampus di seluruh negara kepada FRU. Hishamuddin "Isham" Rais dan Adi Satria berada di Kolej ke 7 UM pada malam Sabtu, memikirkan peluang mereka sekiranya satu tindakan keras diambil oleh pihak kerajaan. Adi memutuskan bahawa beliau akan "selamat" jika terus berada di kampus, dengan alasan, tidak seperti Isham, beliau bukanlah ahli Kelab Sosialis. Isham pula, walau bagaimanapun, membuat keputusan untuk tidak mengambil risiko dan meninggalkan kampus untuk bermalam di dalam kawasan hutan berdekatan tangki air di Kolej ke 5.

Pada pukul 2.00, awal pagi Ahad, Operasi Mayang bermula. Pihak polis menyerbu kawasan kampus Universiti Malaya, Institut Teknologi Mara dan Universiti Sains Malaysia di Pulau Pinang. Di Singapura, tindakan keras yang sama dikenakan di Universiti Singapura dan Institut Teknologi Nanyang.

Di Kolej ke 7 UM, para pelajar mengunci pintu pagar dan berjaya menyekat pihak polis sehingga kira-kira pukul 7.00 pagi, sebelum menyerah juga akhirnya. Antara pelajar yang ditangkap adalah Adi Satria, yang sudah terlambat untuk mendapat tahu bahawa "senarai yang paling dikehendaki" adalah lebih dari hanya senarai ahli-ahli Kelab Sosialis. Turut ditahan adalah seorang pelajar pra siswazah fakulti ekonomi dari Johor - juga bernama Hishamuddin, yang tidak bernasib baik kerana telah memilih untuk menumpang di Kolej ke 7 pada malam itu dan telah disangkakan sebagai Isham Rais (Ini tidak akan menjadi nasib malangnya yang terakhir gara-gara tersilap identiti. Beberapa tahun kemudian, "Hishamuddin" ini jugalah yang ditahan semasa sedang dalam transit di Lapangan Terbang Karachi, Pakistan di atas perkara yang sama).

Pada petang esoknya, Isham Rais memutuskan bahawa persisiran laut adalah laluan selamat untuk cuba meninggalkan kampus. Pada masa itu musim hujan, dan petang itu, Isham bernasib baik kerana hujan telah turun dengan lebatnya beserta ribut, membantu melindunginya dengan berkesan sekali dari polis-polis yang bergerak dalam kumpulan yang besar di sekeliling kampus. Beliau bergerak merentasi air hujan yang mencurah-curah ke atas bukit di belakang Kolej ke 5 menuju ke Pantai Hills, menjadikan rumah mewah Doshi sebagai mercu tanda. Apabila beliau tiba di sebuah rumah yang telahpun dikenal pasti sebelum itu sebagai "rumah yang selamat" tidak jauh dari situ - rumah seorang bersimpati yang merupakan ahli kepada Middle Eastern Diplomatic corps, beliau terus menuju ke bilik air untuk bercukur kerana pihak polis telah menyebarkan gambarnya secara meluas. Sebuah kereta dengan nombor plat diplomat tiba dan membawa anak muda yang sedang dalam pelarian itu ke satu lagi kawasan diplomat di dalam bandar. Di sana, beliau disertai oleh Kamarazaman Yacob, Abu Zer Ali dan Yunus Ali, tiga aktivis yang berjaya keluar menembusi jaring. Buat seketika mereka berempat adalah selamat dan terlepas dari ditangkap secara kekerasan.

Insan-Insan Anih:

Bulan Nov '94 - pada hari kedua kepulangannya ke Malaysia, Hishamuddin Rais menaiki bas menuju ke daerah kelahirannya di Jelebu, Negeri Sembilan - bersendirian. Tempat pertama yang dicarinya adalah Panggung Wayang Ruby, di mana banyak masa dihabiskan oleh pembuat filem yang sedang meningkat ini semasa mudanya. Seperti di dalam satu babak dari Cinema Paradiso (membiasakan diri kepada rujukan filem - kebanyakan dari kehidupan Isham diceritakan seperti satu babak dari berbagai filem), Isham berdiri di lot kosong berhadapan dengan apa yang pernah menjadi panggung wayang kegemarannya, dengan kamera "Super 8"nya. Kini ia menjadi sebuah terminal bas. Seorang lelaki menghampirinya, memadamkan kenangan silam tersebut.

Beliau menyangka Isham adalah pemaju hartanah yang berminat dengan tanah tersebut. Sesuatu yang tidak diduga sering menghinggapi Isham yang, sehingga November 1994, dikehendaki oleh polis Malaysia atas dakwaan yang berkaitan bantahan besar-besaran orang awam terhadap pembangunan tanah di Tasek Utara dan pengusiran penghuni-penghuni setinggan di Johor Bahru dalam bulan September 1974.

Orang-orang buangan Malaysia seringkali menjadi insan-insan yang anih. Saya mengatakan anih kerana berdasarkan keadaan bagaimana mereka melarikan diri dan seterusnya hidup dalam buangan. Bagi saya, "buangan" sering membawa erti satu keadaan menghilangkan diri secara paksa atau tanpa kerelaan dari negara seseorang kerana sebab-sebab politik, seperti pembuangan yang dipaksa Sakharov ke Gorky dan pengusiran Solzhenitsyn ke Switzerland.

Dalam sejarah Malaysia yang terbaru, kita telah melihat kepulangan beberapa "orang buangan". Dengan penarikan semula pengharaman Parti Komunis Malaya dan apa yang telah terima secara meluas sebagai era selepas 1987 "polisi bebas" kerajaan, Malaysia telah mengalu-alukan mereka yang telah meninggalkan tanah air untuk pulang menjadi sebahagian dari Malaysia Sejahtera. Orang-orang buangan, bagaimanapun, membawa imej yang buruk kepada negara - sama ada dari segi ekonomi, kebudayaan dan atau politik - dan Malaysia tidak terkecuali, di dalam hal ini. Nampaknya kita seperti memanggil semua orang pulang - dari doktor-doktor kepada golongan-golongan penentang.

Perbezaan di antara orang-orang buangan yang asli dan orang-orang buangan Malaysia yang lazim, walau bagaimanapun, terletak di dalam proses dan alasan mengapa seseorang itu terpaksa hidup dalam buangan. Kecuali Raja Abdullah, yang dibuang negeri oleh British ke Seychelles berikutan pembunuhan Birch dan beberapa ribu orang yang disyaki "komunis" dalam tahun 40an dan 50an, agak sukar untuk menentukan mana-mana kes yang diketahui ramai berkenaan dengan orang-orang Malaysia yang "dibuang negeri" - jika benar-benar berpandukan kepada makna perkataan itu.

Namun, apabila seorang rakyat Malaysia pulang kembali selepas tinggal beberapa lama di luar negara, akhbar-akhbar dan orang-orang awam mengalu-alukan saat itu sebagai "Kepulangan orang buangan". Seringkali terdapat sesuatu yang romantik berkenaan dengan keadaan orang buangan - sama ada membebankan diri sendiri atau sebaliknya, dan sebagai anggota akhbar, saya terutamanya bersalah menyumbang sesuatu yang terbaik dari "Boy's own" selayaknya kepada mitos romantik ini. Melihat kepada fakta-fakta yang padu, bagaimanapun, adalah sukar untuk menyanggah pendapat bahawa ramai dari orang-orang buangan kita adalah sebenarnya pelarian-pelarian yang kelebihannya dibesar-besarkan.

Ketakutan dan kebencian :

Rehman Rashid, seorang yang baru pulang ke tanah air dan merupakan bekas wartawan, adalah contoh yang baik. Beliau meninggalkan negara dengan kehendak sendiri selepas disoal siasat oleh Cawangan Khas terhadap satu rencana yang ditulisnya di New Straits Times menyatakan kekesalannya terhadap penutupan tiga akhbar dengan kemunculan Operasi Lalang dalam bulan Oktober 1987. Beliau menerima satu tawaran kerja dengan Asiaweek di Hong Kong dan lantas meninggalkan negara ini. Beliau kemudiannya kembali dan menulis sebuah buku yang sangat mendapat sambutan - A Malaysian Journey - di mana beliau sering merujuk kehidupannya di seberang laut sebagai "tahun-tahun kehidupan dalam buangan". Satu pujian buat Rehman, bagaimanapun, beliau mengakui bahawa perasaan menyerah kalah kepada ketakutan dan kebencian yang telah memaksanya untuk meninggalkan negara ini. Beliau tidak dapat menjadi seorang wartawan sepertimana dirinya sebelum itu, dan oleh yang demikian, beliau telah membebankan dirinya sendiri dengan hidup dalam buangan di luar negara.


....Bersambung ke Siri 3....


(SHERYLL STOTHARD adalah Naib Presiden Parti Rakyat Malaysia (PRM). Pada asalnya beliau menulis artikel ini untuk Men's Review bulan Februari dan Mac 1995. Artikel di atas adalah yang kedua dari lima siri).


Terjemahan : SPAR 09




Asal:

Isham Rais: Adventures of a trendy rebel (Part 2)

http://www.malaysiakini.com/Column/
2001/05/2001052901.php3