Laman Webantu   KM2A1: 4741 File Size: 10.2 Kb *



H. Rais: Spesis Yang Mengancam Atau Terancam?
By Rozaid Rahman

16/6/2001 11:08 pm Sat

[Kerajaan tentunya tidak tahan dengan kritik atau sudah tertewas dikritik kerana tidak mampu mematahkan hujah. Tuduhan menghasut dan penangkapan ISA adalah langkah mudah pemimpin negara yang sudah lemah dan tidak bermaya lagi kerana apa yang dilukirkan oleh Hihamuddin itu benar belaka atau ada logiknya.

Kerajaan merasa terancam oleh Hishamuddin kerana kerajaan memang pincang. Jika tidak tangkapan melalui akta ISA atau hasutan tidak akan dirancang. - Editor]

http://www.agendadaily.com/details.php?id=36


HISHAMUDDIN RAIS: Spesis Yang Mengancam Atau Terancam?

Analisa Oleh ROZAID RAHMAN

KUALA LUMPUR, Jumaat 15 Jun - Benarkah seorang makhluk bebas seperti Hishamuddin Rais benar-benar merbahaya sehingga mampu mengancam keselamatan negara?

Sekurang-kurangnya itulah pandangan pihak berkuasa di Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang telah mengklasifikasikan beliau sebagai 'militan jalanan'.

Sukar untuk kita 'dispute' rumusan yang dibuat oleh pegawai-pegawai penyiasat yang mengumpul data mengenai Hishamuddin kerana kita tidak mengekorinya sebagaimana mereka mengekorinya sepanjang masa.

Menurut laporan laman web Malaysiakini.Com, aktivis sosial itu yang kini sedang ditahan selama dua tahun di kem Kamunting telah dituduh mendakwa 'pilihan jalan raya' adalah langkah terbaik untuk mengantikan kerajaan bukannya 'pilihan raya umum'.

Pertuduhan KDN

KDN, lapor Malaysiakini, mendakwa Hishamuddin telah berkata bahawa dalam sejarah politik dunia, tidak ada seorang diktator yang dapat dijatuhkan melalui pilihan raya. Hanya ada satu jalan sahaja untuk menumpaskan rejim seperti ini - tidak lagi dalam pilihan raya tapi dalam pilihan jalan raya.

Laman web itu yang telah memetik salinan laporan KDN berhubung aktiviti Hishamuddin sehingga membawa kepada penahanannya selama dua tahun di Kamunting, melaporkan bahawa aktivis itu mengeluarkan kenyataan berkenaan ketika berucap di hadapan 500 orang dalam satu ceramah anjuran sebuah parti politik di Taman Tuanku Jaafar, Seremban pada 21 Oktober tahun lalu.

Menurut laporan Malaysiakini lagi, KDN dalam perintah tahanan terhadap Hishamuddin menyebut:

'Hasutan sedemikian itu boleh merangsang orang ramai untuk bertindak menggulingkan kerajaan yang sah dengan cara kekerasan di luar undang-undang yang bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.'

Bekas pemimpin pelajar itu juga dituduh melakukan perkara yang sama semasa berucap di ceramahnya yang dihadiri lebih kurang 3,000 orang di Sentul, Kuala Lumpur pada awal Oktober 1999, lapor Malaysiakini memetik salinan daripada laporan KDN berhubung penahanan Hishamuddin.

Selain beliau, tiga lagi pemimpin Parti Keadilan Nasional yang turut ditahan di kem itu Naib Presiden Tian Chua, Ketua Pemuda Mohamad Ezam Mohd Nor dan ahli jawatankuasa pusat parti itu Saari Sungib.

Semalam, laman web yang sama telah menyiarkan laporan mengenai sebab-sebab Tian Chua ditahan di bawah ISA dengan memetik dari sumber yang sama.

Tian pula didakwa cuba menggunakan internet untuk menghasut orang ramai supaya berhimpun dalam demonstrasi-demonstrasi yang berlaku di sekitar ibu negara.

Selain dua pertuduhan menghasut itu, Hishamuddin turut dihadapkan dengan tiga lagi alasan, lapor Malaysiakini. Pertama menghadiri dua perjumpaan sulit dengan anasir-anasir reformasi dan satu lagi tuduhan menyertai demonstrasi anjuran gerakan reformasi.

Beliau dituduh terlibat dengan gerakan reformasi sejak 14 April 1999 hingga ditangkap di pejabatnya di Bangsar, Kuala Lumpur 14 April lalu.

Jerita Batin & Suara Kebebasan

Bagi umum, lebih-lebih lagi pembaca kolum tetapnya, jeritan batin Hishamuddin berhubung suara kebebasan sudah semacam satu khutbah harian atau mungkin mingguan, bergantung kepada sejauh mana kekerapan seseorang itu membaca tulisannya atau mendengar ceramahnya celotehnya (ceramah?).

Tetapi orang masih tidak jemu-jemu membaca karyanya kerana ia kaya dengan unsur-unsur sindiran tajam tetapi halus dan adakalanya humor.

Ada orang berkata, kerjaya Hishamuddin di jalanan adalah seperti kita masuk ke pejabat. Tetapi konotasi itu pun tidak benar juga kerana bukan setiap hari dia berdemonstrasi.

Pada kebanyakan masa (jika tidak menghadiri forum atau majlis), Hishamuddin dengan mudah boleh ditemui di tempat lepaknya di Bangsar Utama setiap petang di bawah restoran mamak di mana pejabatnya terletak betul-betul di atas restoran tersebut.

Pernah selepas Hishamuddin ditahan di bawah ISA, kawan-kawannya berkata, entah-entah pegawai Special Branch dah lama mengendap Hishamuddin dengan menyamar sebagai pekerja restoran itu. Tetapi Hishamuddin tidak kisah dengan itu semua.

Mungkin juga dia telah lali bermain aci-aci lot dengan pihak berkuasa. Adakalanya jika dia terasa dia sedang diperhatikan, dia langsung meninggalkan teman-teman lain yang duduk semeja dengannya di kedai mamak itu.

Dia akan menghilangkan diri secara tiba-tiba dan tidak kembali lagi. Kawan-kawan menganggap, Hishamuddin berbuat demikian untuk mengelak orang yang sekadar datang bersembang dengannya turut terpalit jika sesuatu berlaku padanya.

Pertemuan Terakhir

Kurang lebih seminggu sebelum Hishamuddin ditangkap, penulis secara kebetulan singgah sebentar di restoran di bawah pejabatnya untuk minum teh tarik dengan seorang teman lagi.

Tiba-tiba dia muncul. Seperti biasa juga Hishamuddin apabila bertembung dengan penulis, perkara pertama yang dia nak tahu sangat ialah perkembangan terkini dalam Umno.

Dia ternyata mengikuti dan berminat untuk mengetahui perkembangan dalam Umno dengan tekun dan serius. Dan apabila kita bercerita mengenai perkembangan politik Umno, dia tidak pernah 'potong' jalan atau menyampuk di tengah jalan.

Dia akan mendengar dan kemudian barulah kami terlibat dalam 'perdebatan' hangat. Pengalaman dan intelektualitinya seringkali menjadikan dia ke hadapan dalam setiap hujah tetapi dia akur dengan hujah orang lain apabila ada unsur logik dan justifikasi.

Malah dia juga sempat komen tentang laman web penulis dengan berkata langkah untuk menjadikan 80 peratus kandungan berita dan rencana dalam bahasa kebangsaan adalah satu langkah yang tepat.

'Kalau nak orang baca tentang politik, kamu memang kena pergi ke medium bahasa Melayu,' katanya. Hishamuddin adalah seorang penagih internet.

Setiap pagi dia akan melayari berita terkini dan tidak akan tidur selagi tidak melayari laman-laman kegemarannya untuk kali terakhir.

Kritis, Humor & Menghiburkan

Beliau mempunyai kolum khas dalam Malaysiakini. Dan sekali sekala akan menulis untuk ruangan Merdeka Square dalam majalah akhbar The Sun edisi Ahad. Salah satu rencananya yang penulis tidak dapat lupakan ialah bertajuk 'Kaki Kayu' yang disiarkan dalam edisi Ahad The Sun beberapa bulan lalu.

Ia menceritakan pengalaman Hishamuddin berkunjung ke Stadium Shah Alam untuk menyaksikan pertandingan akhir Piala Malaysia di mana pasukan yang bertanding malam itu ialah Negeri Sembilan - negeri kelahirannya dan pandangan kritisnya ke atas cara masyarakat Malaysia meraikan bolasepak dan cara pemain bolasepak menghiburkan penonton dan penyokong mereka.

Sepertimana dirinya yang tidak hipokrit, Hishamuddin berterus terang dalam artikel itu bahawa malam pertandingan akhir itu agak membosankan dan tidak lengkap kerana tidak terdapat 'cheap red wine' dijual untuk mereka berpesta.

Kita boleh bilang dengan jari berapa ramai anak Melayu yang sangat berbakat dalam bidang penulisan dengan menguasai kedua-dua bahasa Melayu dan Inggeris dengan baik.

Sama ada anda menyukainya atau membencinya, Hishamuddin adalah salah seorang daripada penulis dengan anugerah bakat semulajadi. Pemerhatiannya yang tajam dan mindanya yang kritis menjadikan penulisannya gagah dan menghiburkan.

Tulisannya bersahaja, kadang-kala halus dan ada ketika-ketikanya Hishamuddin boleh membikinkan orang ketawa tanpa henti. Dia sering mengkritik secara satira dan bersahaja tanpa memaksa-maksa pembaca menerima kritikannya itu.

Tetapi kini sudah pastinya mereka semua akan merindui tulisannya. Kita tidak tahu bagaimanakah penghujung cerita sipendemo ini.

Cari Makan, Demo & Dr M

Adalah amat sukar untuk ditelan hakikat bahawa seorang manusia sepertinya boleh membawa bencana kepada negara jika dibiarkan bebas dan turun ke jalanan setiap minggu atau bulan berdemonstrasi bersama-sama pelajar atau golongan pro reformasi.

Dia pernah berseloroh dengan penulis dan berkata jika Dr Mahathir Mohamad letak jawatan sekarang, dia akan menjadi seorang penganggur. Bila penulis bertanya, kenapa begitu, Hishamuddin dengan ketawanya yang berkikik-kikik berkata, ini kerana dia tidak boleh 'cari makan' dengan berdemonstrasi lagi.

Maksud Hishamuddin, dia tidak lagi seronok melakukan kerja-kerja berdemo jika Dr Mahathir sudah 'pencen'.

Dia Adalah Dia

Pernah orang berkata, dengan Hishamuddin ini apa yang hendak dihairankan sangat kerana andai kata esok lusa, kerajaan lain berkuasa atau Anwar Ibrahim sendiri menjadi perdana menteri, Hishamuddin akan mengelolakan satu demo baru pula.

Mungkin memprotes apa saja yang dia rasa tidak kena dengan jiwa bebasnya itu.

Hishamuddin Rais, kata mereka, perlu dibiarkan sebagaimana dirinya yang kita semua kenali. Dia adalah dia walaupun siapa jua yang memerintah.

Tetapi sudah pastinya pandangan ini tidak akan dikongsi bersama oleh mereka di KDN. Mungkin kerana dia adalah satu spesis yang mengancam bukan terancam.