Laman Webantu   KM2A1: 4749 File Size: 23.5 Kb *



TAG SP 173: B1 Pengalaman Seorang Wiramarhaen Yang Bergaya
By Sheryll Stothard

17/6/2001 11:35 pm Sun

TAG 173

[Mengimbau perjalanan hidup Hishamuddin Rais atau Isham Rais yang semangat juangnya tidak lekang walau kemana pun beliau dibuang atau terhumban. Dia masih seperti dulu-dulu dan tetap mengancam walaupun kerap diselimuti oleh tuduhan berunsur dongengan. Tidak kenal maka tidak cinta - oleh itu kisah hidupnya perlu dibaca agar ia dapat menjawab mengapa beliau amat dikehendakki oleh pihak berkuasa. Ia bukan kerana bom atau senjata di tangan - tetapi semangat juang yang tetap membara walau kemana dicampakkan dirinya.
- Editor
]


Terjemahan: SPAR-09-007


Pengalaman Seorang Wiramarhaen Yang Bergaya (Siri 1)

(Isham Rais: Adventures of a trendy rebel - Part 1)

Oleh: Sheryll Stothard

Beberapa hari selepas Hari Raya, pada lewat petang pada bulan Oktober tahun 1975, sebatang tubuh berdiri di tebing sebatang sungai yang terletak di utara pekan Golok. Untuk sampai ke Thailand hanya memerlukan lima minit berakit merentasi air yang cetek itu.

Waktu maghrib hampir tiba, masa yang sangat sesuai untuk menyeberangi sungai itu. Beliau mengarahkan pengayuh sampan yang sudah tua itu untuk membawanya ke seberang dengan tambang 20 sen. Beliau tidakpun menoleh ke belakang apabila mereka memulakan perjalanan ke sebelah sana. Hanya apabila beliau menjejakkan kakinya di atas bumi negeri Thai barulah beliau melontarkan pandangan ke belakang.

"Saya masih ingat pokok buluh di tebing sungai dan lelaki tua mengayuh sampan kembali ke sebelah Malaysia. Matahari sedang terbenam. Itulah buat pertama kalinya saya merasai satu kebebasan." Oliver Stone hampir-hampir menangis.

Sesuatu yang melucukan tentang saat-saat penggambaran filem ini berkenaan sejarah Malaysia adalah, sewaktu semua drama ini ditayangkan di sempadan Thai-Malaysia kepada seorang penonton pakcik nelayan dari Rantau Panjang, ahli-ahli dari cawangan khas (SB) membuat spekulasi sama ada Hishamuddin Rais adalah termasuk di dalam kumpulan para pembantah yang bertudung di Sydney yang membuat demonstrasi terhadap kunjungan rasmi Perdana Menteri Malaysia Tun Abdul Razak.

Tanpa mereka sedari, selepas setahun bersama-sama gerakan bawah tanah, Wiramarhaen yang paling bergaya di Malaysia itu, akhirnya pergi meninggalkan Malaysia. Pemberontakan tidak dapat bertahan lama di Malaysia. Sekurang-kurangnya, tidak sebelum zaman Mahathir dan Anwar. Secara tradisi, penanaman "nilai-nilai" seperti kewarakan, kemuliaan, rasa hormat dan budi bahasa yang bercampur baur dengan sistem feudal yang kita warisi melalui arahan tersembunyi dan merbahaya dari satu kuasa baka, begitu menyukarkan untuk benih-benih pemberontakan bercambah. Jebat telah mendapat pengajaran yang amat bermakna manakala Tuah menerima imbuhan di atas kesetiaannya.

Penangkapan Borong

Pada satu pagi Ahad, 8 Dis. 1974, beberapa ribu pelajar di Malaysia telah mendapat pengajaran yang amat bermakna. Selepas seminggu para pelajar berperang dengan gas pemedih mata dan Unit Simpanan Persekutuan (FRU), pihak universiti akhirnya menyerah dan membuka pintu pagar kepada pihak berkuasa. Segerombolan polis menyerbu masuk ke dalam kampus bermula pada pukul 2.00 pagi di Universiti Malaya Kuala Lumpur untuk melakukan tangkapan secara besar-besaran. Para pelajar diarahkan untuk berbaris dan diperiksa - sesiapa yang termasuk di dalam "senarai" sebagai pembakar semangat dibawa pergi.

Serbuan besar-besaran ke atas universiti-universiti ini dipanggil Operasi Mayang - atau Operasi "menghentikannya dari awal-awal lagi" (mayang merujuk kepada tunas sesuatu tumbuhan).

Di seberang tambak, Singapura turut mengambil tindakan yang sama. Mereka yang terlibat di dalam penangkapan ini menyertai Anwar Ibrahim, yang penahanannya seminggu lebih awal telah menyemarakkan kebangkitan pelajar pada 3 - 8 Disember.

Melalui Operasi Mayang, seruan Anwar supaya para pelajar bangun menjadi "Suara Nurani Hati Majoriti" yang mengadakan perhimpunan di seluruh negara dari 1971 hingga 1974 telah berjaya disenyapkan.

Para Wiramarhaen telah dikumpul dan disumbat ke dalam lokap, Akta Universiti dan Kolej dipinda, sebarang bentuk penentangan dan bantahan yang baru bermula daripada para pelajar dimusnahkan dengan berkesan dekali. Apa yang mengejutkan setiap orang, adalah sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelum ini di mana ISA (Internal Security Act) telah digunakan ke atas beberapa orang pemimpin pelajar, termasuk Anwar, yang berada di Kem Tahanan Kamunting di Taiping selama dua tahun. Walau bagaimanapun. Seorang pelajar telah berjaya memboloskan diri. Beliau adalah Hishamuddin Rais, dan merupakan - untuk sekian lamanya - duri yang menikam buat Malaysia, satu kenangan silam yang ingin dilupakan apabila negara ini telah mengecewakan generasi mudanya.

Kelas tahun 1974:

Bulan Nov, 1994 - sewaktu saya sampai di Baze II, majlis telahpun berlangsung dengan meriahnya. Ia adalah satu majlis tahunan penghujung tahun buat Turnaround Managers Inc. Group, sebuah syarikat urusniaga korporat berprofail rendah tetapi menjalankan projek-projek yang berprofail tinggi. Kepakaran mereka - mengambil alih projek-projek dan syarikat-syarikat yang tenat dan menjadikan sebaliknya, begitu juga dengan nama syarikat. Saya memerhati orang ramai yang berhimpun itu - Halim Saad berdiri di satu sudut sedang berbual-bual bersama dua lelaki bekas pelajar Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK). Beberapa eksekutif kanan dari Renong bertukar-tukar bahan jenaka dengan seorang penulis urusniaga di bar. Saya dapat mengenalpasti beberapa wajah yang tidak asing lagi dari industri pengiklanan. Tidak salah lagi ianya membariskan kumpulan yang bercampur baur.

Dari tanggapan pertama yang dibuat sekali imbas itu, walau bagaimanapun, saya menyedari sesuatu yang mengaitkan kesemua mereka bersama adalah bahawa kebanyakannya berusia empat puluhan, tidak kurang daripada itu. Saya dapat melihat Hishamuddin - yang dikenali sebagai "Isham" Rais di kalangan teman-temannya - dengan agak mudah di celah-celah kesesakan itu. Saya berada di sana atas jemputannya untuk bertemu dengan beberapa lagi ahli Kelas '74 Universiti Malaya yang terkenal itu. Kamaruzzaman Yacob merupakan Presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM) pada masa berlakunya tindakan keras pelajar pada tahun 1974. Beliau menghabiskan masa selama dua tahun di Kamunting, ditahan di bawah ISA. Alim Latif, kini sebagai pembantu editor bersama Utusan Melayu, merupakan editor akhbar persatuan, Mahasiswa Negara, Adi Satria, seorang pengarah kanan di agensi pengiklanan McCann-Erickson, pada masa itu merupakan naib setiausaha PMUM telah juga menghabiskan masa selama lebih kurang dua tahun di Kamunting bersama-sama Kamaruzzaman dan Anwar Ibrahim.

Selepas Isham membuat pembukaan, seseorang berimej korporat menepuknya dari belakang dan tertawa, "Jadi bagaimana dengan ahli komunis kegemaran kita?" Mereka yang lain semua tertawa, Isham yang paling kuat sekali. Sebelum sempat Isham menjawab, seseorang yang lain telah datang menyeretnya untuk dibawa bertemu dengan seorang lagi teman lama yang telah menghilangkan diri.

Saya berdiri di pinggir dunia asing yang tertutup ini memerhatikan Isham yang bergerak di celah-celah kesesakan mereka yang pernah satu ketika dahulu menjadi Wiramarhaen, kini menggerak dan mengoncangkan dunia korporat, membangkitkan kenangan silam yang telah pudar ditelan masa dan perubahan. Kemesraan dan perasaan saling mempercayai menyelubungi suasana pertemuan semula pada malam itu.

Selepas 20 tahun, anak yang telah meninggalkan keluarga untuk hidup sendiri telah pulang semula ke pangkuan. Apabila datang berita mengenai orang buangan Malaysia yang paling terkenal akan kembali ke Malaysia "tanpa syarat" - saya menjadi tertarik. Kebanyakan dari masa saya di Universiti Malaya telah digunakan untuk membincangkan keadaan yang menyedihkan mengenai hal-ehwal kegiatan pelajar - atau tiada langsung - di negara ini. Terlalu sedikit untuk membuat pilihan dari badan-badan utama pelajar yang kurang bersifat perkauman seperti PMUM dan semua kumpulan yang tanpa segan-silu bersifat perkauman yang berselindung di sebalik apa yang di panggil sebagai persatuan-persatuan "bahasa".

Di antara nama-nama yang muncul di dalam "Ke manakah perginya semua aktivis?" pemikiran yang mendalam kami adalah "Pengasas Suara Nurani Hati Majoriti" sendiri, Saudara Anwar Ibrahim (kini Datuk Seri). Biarpun nama Anwar seringkali digunakan di dalam perbincangan kami, ketokohannya telah hilang. Beliau yang merupakan Menteri Pendidikan (pada masa itu), telahpun membuang imej sebagai Wiramarhaen dan menjadi ahli parti pemerintah yang dihormati. Beliau adalah graduan UM yang telah berbuat baik, menjadi isyarat kepada kami untuk berusaha bersungguh-sungguh.

Semangat Yang Bebas

Secara tidak langsung (walaupun bukan salahnya), kenaikan Anwar yang mendadak di dalam barisan kerajaan telah menimbulkan satu pengaruh yang negatif terhadap aktiviti-aktiviti yang tulen. Kini, pemimpin-pemimpin pelajar yang bercita-cita tinggi menyimpan niat lain di dalam agenda mereka - dan muncullah baka baru yang ingin mengikuti jejak Anwar.

Mereka menirunya di dalam serba serbi, sehinggakan menguasai sepenuhnya gaya pidato beliau. Pergilah ke mana-mana ceramah anjuran PMUM, debat atau demonstrasi sekarang dan anda akan memahami apa yang saya maksudkan. Satu-satunya perkara yang tidak dapat ditiru oleh kumpulan yang cabuk ini adalah kesanggupan Anwar untuk dipenjarakan atas sebab pegangannya. Kemudian sekali lagi, mereka mempunyai alasan untuk memainkan isu-isu kemiskinan dan imperialisme di dalam agenda mereka, berbanding dengan konsert-konsert ganas dan membuat gesaan-gesaan berbau keagamaan terhadap rakan-rakan sebaya mereka.

Isham, walau bagaimanapun, sama sekali berbeza. Beliau adalah, seperti Anwar, seorang yang akan mengingatkan kita bahawa pernah pada suatu masa dahulu, para pelajar di universiti lebih memberansangkan, bijak dan begitu prihatin terhadap isu-isu yang sebenar. Namun, tidak seperti Anwar, beliau tidak pernah ditangkap dan diasuh kembali memasuki aliran utama di dalam masyarakat Malaysia. Beliau tidak pernah berada cukup lama untuk menjadi bahan sendaan. Kenangan tentang keperwiraannya itu sentiasa terpelihara. Ini menyerlahkannya sebagai satu ikon yang sempurna yang dapat menarik golongan muda kita dan (saya akui kini) idealisme yang masih mentah dan sikap untuk bangun memberontak berdasarkan suara nurani hati yang sepatutnya dimiliki oleh semua golongan muda yang mempunyai rasa hormat terhadap diri sendiri.

Professor KS Jomo dari Fakulti Ekonomi Universiti Malaya turut mengingati diri Isham Rais dengan bayangan yang hampir serupa, namun tidaklah sebegitu idealistik seperti anggapan para belia kita. "Isham adalah pemimpin yang diiktiraf di kalangan kumpulan pelajar bertentangan budaya yang cukup bergaya. Beliau merupakan seseorang yang amat kental semangatnya berdikari dan gemar membuat kejutan. Semangat ini tidak semestinya berteraskan politik." Jomo, yang pada masa itu menyampaikan kuliah di USM, telah dipertemukan dengan Isham melalui seorang pelajarnya, sebaik sahaja sebelum insiden Tasik Utara pada bulan September 1974.

"Beliau telah menjual kepada saya satu salinan cetak rompak "The Enemy" oleh Felix Green." Jomo mengenang kembali secara sinis. "Anda harus ingat bahawa di dalam tahun 70-an, adalah begitu bergaya sekali untuk menjadi seorang aktivis. Terdapat unsur-unsur ekstrovert dan menunjuk-nunjuk di dalam kumpulan-kumpulan yang sebenarnya tidak begitu terlibat di kedua-dua universiti, UM dan USM. Mereka inilah yang sebenarnya begitu "bergaya" itu - rambut panjang, penampilan bersahaja yang dibuat-buat. Saya tidak fikir Isham berjaya meyakinkan sesiapapun yang beliau adalah seorang ahli yang berdisiplin bagi mana-mana organisasi sayap kiri. Begitu juga sekarang." "Malahan, saya sering menegaskan bahawa penindasan terhadap pelajar-pelajar tahun 1974 itu adalah satu kes penyekatan yang melampau. Maksud saya, dengan meletakkan Anwar di Kamunting. Saya tidak fikir ada sesiapapun yang akan percaya bahawa Anwar adalah satu ancaman kepada keselamatan negara, kecuali mungkin kepada mereka yang tidak berfikir dan terlalu berimaginasi."

Peguam Philip Koh, yang merupakan pelajar tahun pertama fakulti undang-undang UM tempoh 1973-74, menyatakan bahawa sebahagian pelajar yang penuh bersemangat dengan "darah muda" pada masa itu telah tersilap langkah. "Walau bagaimanapun ada satu idealisme yang tidak dapat ditemui pada kehidupan yang nazak dan tidak menarik langsung yang dilalui oleh para pelajar pada masa sekarang." Koh adalah penolong setiausaha Persatuan Undang-undang UM semasa peristiwa tindakan keras itu.

"Sebagai pelajar-pelajar tahun pertama, kami lebih banyak bertindak sebagai pemerhati di dalam semua kekecohan itu. Walau bagaimanapun kami tidak memisahkan diri kami dari isu-isu tersebut. Saya dapat memahami perspektif Isham kerana ia mengatasi batas perkauman bagi menangani isu perjuangan golongan-golongan tertentu di dalam masyarakat." Walaupun Koh berpandangan positif tentang apa yang berlaku di dalam tempoh tersebut, beliau menyatakan rasa kesalnya terhadap tindak-balas ganas yang keterlaluan oleh puak sayap kanan yang menyusul selepas itu. "Kawalan ketat yang dikenakan adalah menyeluruh, dari mengetatkan lagi Akta Universiti dan Kolej (AUKU) kepada tindakan meracun pokok-pokok di Sudut Pidato. Tujuan universiti diwujudkan sebagai pusat penyelidikan dan pembelajaran yang bersungguh-sungguh telah hilang."

Bagi mereka yang kebanyakannya memasuki UM selepas 1974, kepulangan Isham Rais ke Malaysia telah dibayangkan sebagai perjalanan pengalaman bukan dongengan, yang saya rasakan telah menjangkaui batasan masanya. Di dalam banyak hal, saya sendiri mewakili pelajar-pelajar selepas era 1974, yang mewarisi AUKU yang lebih ketat dari kelas '74. Dari satu segi, mengkagumi mereka, dari satu segi yang lain, merasa marah kerana semangat tinggi mereka itu telah menyebabkan sayap kami dipatahkan, suara kami dilenyapkan dengan berkesan sekali. Mereka telah mengalahkan kami sehingga kepada peringkat itu - mereka telah dianggap pahlawan yang gugur syahid. Semua yang muncul selepas itu tidak dapat menandinginya.

Sungguhpun tidak akan ada Anwar Ibrahim yang lain, kini ada Isham Rais. Orangnya sendiri. Bagaikan sebuah ikon dalam keadaan diawet dengan sempurna sekali yang terperangkap di dalam jurang masa. Apa lagi yang dimahukan oleh seorang bekas penuntut UM?

Pembentukan Seorang Wiramarhaen:

Walaupun kebanyakan orang lebih suka percaya bahawa kerjaya Isham Rais sebagai seorang Wiramarhaen yang bermatlamat bermula di Lembah Pantai, saya lebih percaya yang semuanya bermula di Jelebu, Negeri Sembilan, tempat di mana zaman kanak-kanaknya dihabiskan. Oleh kerana beliau telah dimasukkan ke sekolah pada usia yang lebih muda dari sepatutnya oleh ibunya yang merupakan seorang guru, Isham yang masih muda itu begitu cepat terserlah dengan tanda-tanda untuk menjadi lebih matang dari umurnya. Beliau sangat kuat membaca - kesemuanya, dari Jules Verne kepada akhbar di dalam tulisan jawi.

Berada di bawah umur adalah sesuatu yang akan menghantuinya semasa di Universiti selepas itu - apabila semua orang dengan gembiranya ke Singapura menggunakan passport sendiri bagi melakukan lawatan antara universiti. Isham menamatkan persekolahan menengahnya di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) - satu lagi perkara yang dikongsi bersama Anwar. Malahan, biarpun Anwar telah meninggalkan MCKK untuk melanjutkan pelajaran di UM, beliau masih ingat akan kunjungan yang kerap dibuat oleh Anwar ke kolej itu untuk apa yang dikenali pada masa itu sebagai Malam Pidato pada setiap hari Khamis dan Jumaat.

"Tempoh masa saya di MCKK telah meradikalkan pandangan saya," ia mengingati kembali. Itu adalah era selepas tahun 1969, kenangan rusuhan kaum masih lagi segar dalam fikiran pelajar-pelajar muda Melayu di kolej tersebut. "Saya terperangkap dalam sistem yang pelik, tinggal dengan 500 pelajar lelaki Melayu lain yang berkongsi satu pandangan ideologik yang merujuk kepada kejadian 1969. Saya merasa terpinggir oleh debat cetek yang berlaku apatah lagi saya enggan mengambil posisi perkauman. Sebenarnya ketika detik inilah saya dengan ikhlas ingin meninggalkan Kolej Melayu." Tetapi Isham terus bertahan, bersama dengan kawan-kawan kelas pertengahan-atasan, dibesarkan dalam sekolah berasrama penuh tulen yang dibentuk untuk mempertahankan status quo, bukan untuk bangun menentangnya. "Malahan," Isham ketawa sambil menceritakan hari-hari yang dilaluinya di MCKK, "Cawangan khas (SB) mahu tahu kenapa dan bagaimana saya boleh menyeleweng selepas dibesarkan dalam keadaan baik itu."

Jadi, mengapa anda berubah? Saya bertanya. "Saya sendiri tidak pasti, tetapi secara teori mungkin disebabkan oleh rasa ingin tahu. Keperluan untuk mengetahui adalah keperluan asas bagi saya. Saya menyoal segala-galanya."

Memanglah senang untuk mengimbas ke belakang dan memuji pandangan bebas Isham, kita perlu pula untuk mengingati konteks tahun 1969 dan ketakutan pada ketika itu. Pelajar-pelajar muda Melayu kolej ini terpaksa pulang ke sekolah selepas cuti dengan menaiki keretapi yang dikawal oleh tentera, dengan arahan tegas untuk tidak turun sehinggalah mereka sampai ke Kuala Kangsar. Sudah tentu, rasa ingin tahu mempengaruhi Isham. Apabila keretapi berhenti di Kuala Lumpur dari Seremban, dia menyusup keluar ke Kampung Pandan untuk menyaksikan kemusnahan rumah-rumah yang terbakar. Beliau terus ke kolej, masih mempertahankan sikap anti perkaumannya.

Penuntut Tahun Pertama Yang "Punk":

Apakala Isham memasuki Universiti Malaya sebagai pelajar prasiswazah pada tahun 1971, kampus itu memang aktif. Sudut Pidato di hadapan perpustakaan utama universiti adalah tempat berkumpul pelajar-pelajar membahaskan sesuatu isu. Ia juga menjadi tapak untuk pemimpin pelajar memaklumkan rakan-rakan akan rancangan-rancangan yang sedang dilaksanakan.

"Universiti ketika itu sememangnya bebas," Adi Satria mengingati kembali, dua dekad telah berlalu. "Ia adalah tempat di mana semua pendapat boleh dibincangkan. Dan ketika itu terdapat banyak sekali pendapat - sama ada nasionalisme atau sosialisme, kiri, kanan atau di tengah-tengah. Semuanya ada di situ." Adi Satria adalah antara teman-teman terawal Isham di kampus, kedua-duanya adalah pelajar baru di kolej ke-5. Beliau merupakan naib setiausaha PMUM, dan juga adalah antara pemimpin pelajar yang ditahan pada tahun 1974 dalam Operasi Mayang.

"Dalam banyak perkara, pendirian PMUM yang progresif dalam hal-hal keadilan dan kesamaan sosial dikongsi oleh majoriti badan pelajar yang lain. Idea-idea mungkin berbeza dan pelajar-pelajar secara umumnya dihubungkan oleh satu matlamat yang sama," beliau menjelaskan. "Tetapi kita bukannya hanya sebagai pembakar semangat. Orang mudah untuk melupai bahawa ketika zaman kami, PMUM adalah pertubuhan pelajar yang berfungsi sepenuhnya. Kami mengendalikan system bas universiti, mengeluarkan biasiswa dan pinjaman. Tahukah anda bahawa PMUM adalah pertubuhan pelajar yang terkaya di Asia Tenggara (SEA) ketika itu?"

Tanpa membuang masa Isham terlibat aktif di dalam pertubuhan itu, bertanding dalam pilihanraya pada tahun pertamanya di sana. "Saya bertanding untuk kerusi majlis sebagai pelajar tahun pertama. Pemenangnya adalah Megat Junid," Isham ketawa. "Pada dasarnya saya adalah seorang anak muda "punk" tahun pertama yang baru bertanding di dalam pilihanraya. Sudah tentu saya tewas!" Tanpa merasa kecewa, beliau menyertai Mahasiswa Negara, bahagian penerbitan Persatuan Pelajar, sebagai pemberita yang bertanggungjawab hal-ehwal kebudayaan.

Kesungguhan Isham membawa kepada pelantikannya sebagai setiausaha eksekutif Gabungan Kesatuan Pelajar, satu jawatan yang disandang dengan serius sehinggakan beliau memutuskan untuk mengambil cuti sebatikal selama setahun dan menghabiskan kebanyakan masa tahun 1974 bekerja di dalam bangunan pertubuhan pelajar UM. "Ibu bapa saya terkejut, mereka tidak memahami kenapa saya tidak mahu menghabiskan pelajaran secepat mungkin dan mendapatkan pekerjaan selepas itu!"

Ini ialah era awal 70-an - masa di mana "kuasa pelajar" adalah di puncaknya. Di seluruh dunia, mahasiswa berada di hadapan dalam menjuarai berbagai isu, dari Perang Vietnam ke masalah dalaman negara, seperti kemiskinan dan rasuah. Anwar dengan kata-kata seruan kegemarannya kepada para pelajar supaya bangun bertindak untuk menjadi "Suara Nurani Hati Majoriti" telah diambil dengan seriusnya oleh pertubuhan pelajar, yang baru bermula untuk muncul sebagai satu kuasa yang menggerunkan pada masa Isham menyertai UM.

Agenda Awam:

Terdapat banyak alasan mengapa PMUM menjadi begitu kuat. Perpaduan di kalangan berbagai Perkumpulan Mahasiswa dalam kampus adalah satu faktornya. Alasan lainnya ialah hubungannya dengan persatuan-persatuan mahasiswa lain, sama ada di dalam atau di luar negara.

Melalui Pertubuhan Kebangsaan Pelajar-pelajar Malaysia, mahasiswa mempunyai hubungan dengan badan-badan pelajar antarabangsa di Thailand, Singapura dan Hong Kong. "Ianya tidak dapat dielakkan. Lagipun, isu-isu yang dikongsi - sama ada perang Vietnam atau isu Palestin, kerana ini adalah isu-isu bersama dalam tahun 70-an.

Dalam kejatuhan dan ketakutan selepas 1974, terdapat banyak spekulasi yang mengatakan PMUM dan badan-badan pelajar yang lain mempunyai perhubungan dengan organisasi Intelligen Antarabangsa, seperti CIA dan KGB. Dalam bukunya, Bersama Anwar ke Penjara, (1994), Kamaruzzaman Yaakob mendedikasikan keseluruhan bab untuk menerangkan bagaimana, sebagai pemimpin pelajar, dia telah "didatangi" oleh berbagai kumpulan. Dalam pada kemungkinan ianya benar, kebanyakan pelajar ketika itu percaya bahawa tidak satupun organisasi tersebut berjaya.

"Persatuan adalah terbuka dalam hubungannya dengan pertubuhan-pertubuhan tersebut, seperti AlFatah, cabang PLO, sebagai contoh," Isham menjelaskan. "Sebagai contoh, Abu Yacob, wakil PLO di Malaysia ketika itu, telah diundang untuk memberikan ucapan dalam forum-forum yang diatur oleh persatuan. Agenda kita adalah terbuka dalam pengetahuan awam. Kita menyokong isu-isu tersebut secara tulen dan ikhlas."

....bersambung....


(SHERYLL STOTHARD adalah Naib Presiden Parti Rakyat Malaysia (PRM). Pada asalnya beliau menulis artikel di atas untuk "Men's Review" bulan Februari dan Mac 1995).

Terjemahan: SPAR-09-007-1




Asal:

Isham Rais: Adventures of a trendy rebel (Part 1)

http://www.malaysiakini.com/Column/2001/05/2001052801.php3