Laman Webantu   KM2A1: 4750 File Size: 22.6 Kb *



TAG SP 174: B3 Pengalaman Seorang Wiramarhaen Yang Bergaya
By Sheryll Stothard

17/6/2001 11:03 pm Sun

TAG 174

[Isham Rais tetap hidup walaupun tercampak di merata negara dalam usia yang terlalu muda. Tidak ramai "budak kampung" mampu melakukan yang serupa walaupun tinggi pendidikkan mereka atau menghafal pelbagai bahasa kerana itu bukan penentu segalanya. Semangat dan iman itulah bekal yang sepatutnya - dan itu tidak akan dapat dipelajari walaupun di universiti yang ternama kerana ia lebih bersifat teori sahaja. Kali ini Isham telah disumbat ke intitusi ISA yang lebih gila tetapi kita percaya beliau akan mampu menghadapinya kerana beliau sudah cukup berpengalaman menghadapi onak dan ranjau dalam hidupnya. ISA tidak akan mampu menewaskannya - sebaliknya ia adalah lambang kemenangannya. - Editor]




Terjemahan: SPAR-09-007


Pengalaman Seorang Wiramarhaen Yang Bergaya - Siri 3

(Isham Rais: Adventures of a trendy rebel - Part 3)

Oleh: Sheryll Stothard


Sewaktu Isham Rais meninggalkan Malaysia dalam tahun 1975, beliau baru sahaja mencecah ke usia 21 tahun. Kebanyakan dari masanya di luar negara untuk selama 20 tahun itu, beliau merantau tanpa berbekal apa-apa, malah ada kalanya tanpa membawa sebarang dokumen perjalanan dirinya. Sehinggalah apabila Belgium secara rasmi memberikan perlindungan kepadanya pada tahun 1982. Beliau sebelum itu tidak diperakui di mana-mana negara, segala yang menjadi miliknya dirampas dan seringkali bersendirian. Beliau tidak pernah beristeri (seperti yang didakwanya), sebuah keluarganya sendiri, harta benda yang digadaijanji atau sebuah kereta, tidak pernah merasa menyesal meninggalkan segala yang menjadi miliknya dan tidak pernah luntur semangat perjuangannya. Dengan lain perkataan, calon yang tepat untuk menjadi suatu khayalan atau dongengan romantis seorang yang hidup dalam buangan.

Pertemuan pertama saya dengan "dongengan" ini adalah di pejabat Kesatuan Pelajar Universiti New South Wales Australia (UNSW) dalam tahun 1987. Pada masa itu, Isham Rais telahpun meninggalkan Australia dan sedang menjalani kehidupan yang kurang diketahui ramai di Eropah. Pada salah satu dinding pejabat tersebut terpampang sebuah poster yang besar mengenainya.

Saya adalah pelajar tahun pertama dari UM, sedang bercuti di Sydney. Saya pernah mendengar namanya, tetapi segala faktanya telah bercelaru. Gambar dirinya tanpa disedari telah diharamkan di kampus, namanya turut tidak disebut di dalam masyarakat umum, sebagaimana yang terjadi apabila sesebuah keluarga membuang gambar dari album keluarga apabila seorang ahlinya yang mengaibkan keluarga telah melarikan diri. Itu membuatkan "dongengan" ini bahkan lebih menarik minat - saya sendiri, hampir memasuki usia 21 tahun, dan seperti semua pelajar yang lurus, gemar memikirkan bahawa saya adalah seorang Sosialis-Marxis - satu label yang lebih bergaya dari jenama pakaian Armani.

Saya berkembang bersama-sama kisah-kisah pengorbanan dan mereka yang terkorban kerana pegangan masing-masing, kisah-kisah protes dan memberontak kerana perjuangan. Hakikat bahawa Hishamuddin Rais wujud, dan tidak pernah mengkhianati "pegangannya" (biarpun apa yang dimaksudkan selepas itu) telah mengekalkan "dongengan" tersebut. Dari sekalian ramai aktivis di Sydney, persetujuan ramai tentang perkara berkenaan adalah sama. Saya tidak perlu bertanya tentang dirinya, seorang pelajar Australia di pejabat kesatuan pelajar UNSW dengan rela hati membantu memberikan maklumat, dan menambah, dengan satu kebencian terhadap pembangunan yang tulen : "Andrew si burung merak itulah yang telah menyebabkan beliau pergi".

Saya menjadi sangat berminat disebabkan wujudnya maklumat-maklumat bertapis ini, khabar-khabar angin, ketaksuban pelajar terhadap sesorang yang dianggap hero dan perkara-perkara yang sebahagian benar. Beliau tidak mudah didekati dan menjadi lambang kepada segala bentuk larangan keras yang dikenakan selama saya menjalani kehidupan di UM. Dan beliau hidup dalam buangan. Bagi saya (dan saya percaya, kepada ramai juga rakan sebaya yang lain), dengan mementingkan diri sendiri telah meletakkan harapan agar beliau akan terus menjadi orang buangan dan mengekalkan konsep yang salah ini.

Tiada Alasan :

Biarpun beliau telah pulang ke tanah air dalam bulan November 1994, saya dapat rasakan bahawa terdapat sebahagian dari diri saya ini yang mahukan beliau terus mengekalkan identiti sukar untuk didekati itu. Saya lebih dewasa kini dan, dengan umur yang meningkat, tidak lagi dapat mengekalkan perasaan taksub kepada apa yang dipanggil hero dan idealisme. Marxisme - dan juga, sebarang ideologi lain yang saya telah tergoda untuk mengikutinya - telah terjejas dengan kematangan. Saya menjadi seorang yang sinis dan seronok untuk menghapuskan segala slogan yang begitu saya kagumi semasa kehidupan saya yang terbentuk di zaman belajar dahulu. Pengetahuan membawa kepada hilangnya rasa tidak bersalah dan dengan kehilangan ini, seperti kebanyakan rakyat Malaysia yang sebaya dengan saya, saya hilang rasa percaya kepada keyakinan diri saya sendiri.

Namun "dongengan" Hishamuddin Rais masih hidup dan membara; sebagaimana saya tidak pernah dipaksa untuk menghadapinya, saya juga tidak perlu untuk membuangkannya. Walau bagaimanapun, masanya telah tiba untuk saya berhadapan dengan dongengan dan kebenaran itupada satu malam di dalam bulan Disember 1994, di gerai tertentu di Bangsar, apabila saya berbincang tentang beberapa kemungkinan untuk Men's Review, majalah yang saya sedang sunting, bersama beberapa teman rapat saya.

"Anda tahu siapa yang saya begitu ingin sekali lihat sebagai penghias kulit muka majalah ini?" Hishamuddin Rais." Saya membuat spekulasi pula. "Agaknya di mana dia berada sekarang."

"Kalau kamu boleh dapatkan orangnya, mungkin ia kan menjadi kulit muka yang terbaik sekali", kawan saya yang gemarkan dongengan merangkap seorang yang sinis berkata dengan penuh ghairah. Seorang lagi yang lain membongkok ke hadapan dan berbisik dengan kuatnya, " Jangan lihat sekarang, tetapi saya rasa beliau sedang berada di sebuah meja betul-betul di belakang kamu!"

Dan benarlah orang itu adalah beliau. Dengan semua spekulasi yang mengatakan bahawa beliau "sedang berada di bawah pengawasan polis" atau bersembunyi jauh di Negeri Sembilan, di sini pula Hishamuddin Rais berada, di salah sebuah gerai kegemaran saya di KL, sedang menikmati teh tarik bersama beberapa orang teman. Sangat mudah didekati. Saya tidak boleh berdalih lagi sekarang. Saya tidak ada alasan lagi.

Terus terang saya katakan, saya lebih berharap beliau tidak berada di situ. Saya tidak fikir saya benar-benar mahu mendengar jawapannya kepada soalan yang akan menentukan - buat pertama kali dan selamanya - sama ada sesuatu yang sinis telah berada di puncaknya dan sama ada, selepas berhadapan dengan kebenaran, saya akan terpaksa melupakan terus satu lagi dongengan. Soalan yang saya tahu akan saya ajukan kepadanya, namun berasa keberatan untuk mengetahui jawapannya adalah: "Adakah berbaloi semua itu?"

Peristiwa melarikan diri :

Seminggu selepas Isham Rais, Kamarazaman Yacob, Abu Zer Ali dam Yunus Ali berjaya memboloskan diri dan meninggalkan Universiti Malaya, mereka berempat memutuskan untuk cuba meninggalkan negara ini dengan bantuan diplomat Timur Tengah yang bersimpati.

Hubungan aktivis pelajar Timur Tengah - Malaysia bermula pada tahun-tahun sebelumnya dengan memasukkan isu Palestin sebagai isu yang paling digemari di dalam agenda para pelajar. Iaitu keganasan Israel yang disokong oleh US sejak 1948 berakhir dengan penaklukan Semenanjung Gaza, Semenanjung Sinai, Tebing Barat dan Bukit Golan di Syria selepas Perang Enam Hari dalam bulan Jun 1967 dan Perang Oktober pada tahun 1973.(Perang Oktober menjadi fokus bantahan pelajar-pelajar yang diketuai oleh Anwar di Kedutaan US dalam tahun 1973.)

Rancangan yang diatur adalah untuk keluar melalui sempadan Malaysia-Thai di Golok, Kelantan. Mereka akan berpecah, dengan Kamaruzaman (Zaman) dan Abu Zer mengambil laluan tengah dan Isham dan Yunus mengambil laluan selatan melalui Mersing ke Kota Baru. Tempat pertemuan sepatutnya adalah di hadapan Panggung Wayang Rex di Kota Bharu pada pukul 5.30 petang seminggu selepas itu.

Mereka berempat, dengan ditemani oleh seorang diplomat Asia Tengah, tiba seperti yang dirancangkan di Kota Bharu. Di sini, ceritanya menjadi agak samar. Kamaruzaman Yacob, di dalam buku tulisannya "Bersama Anwar Ke Penjara", mendakwa bahawa perjalanan merentasi sempadan telah digugurkan kerana orang hubungan Timur Tengah mereka di KL menasihatkan sedemikian. Isham, walau bagaimanapun, memberikan cerita yang berbeza.

"Ia telah dibatalkan kerana seseorang di dalam kumpulan itu telah berubah fikiran," katanya, dengan sedikit kemarahan. Dalam perjalanan ke Kota Bharu, Zaman menerima berita bahawa isterinya, bersama-sama teman wanita Isham pada masa itu, Juliet Chin (yang merupakan setiausaha Kesatuan Pelajar Universiti Singapura), telah ditahan semasa cuba meninggalkan negara ini. Sudah tentu, anak muda Presiden PMUM itu keberatan untuk meninggalkan isterinya di belakang. Isham membuat spekulasi yang agak pedas, "Saya rasa beliau hanya mahu menduduki peperiksaan akhirnya."

Mereka kembali ke KL. Isham amat marah dengan perkembangan ini dan memastikan bahawa Zaman menyedari akan hal itu. Di KL, mereka berempat berpisah. "Saya tidak mengucapkan selamat tinggal kepada Zaman," Isham mengingatnya, dengan suara yang membayangkan sedikit penyesalan. Mereka tidak bertemu semula sehingga 10 tahun kemudian di London. Zaman kemabali ke universiti dan berjaya menduduki peperiksaan terakhirnya.

Sebaik sahaja selepas itu, beliau telah ditangkap di Negeri Sembilan dan menyertai Anwar Ibrahim, Adi Satria dan tahanan-tahanan pelajar yang lain di Kamunting, Perak. Bukunya, Bersama Anwar Ke Penjara, telah diterbitkan dalam tahun 1994, menceritakan kisah tentang pengalamannya sebagai aktivitis pelajar sehinggalah ke tempoh masa tahanannya di bawah ISA. Sentuhan kisah yang begitu tersendiri itu memberikan pengetahuan yang bernilai tentang dunia pelajar-pelajar yang ditahan, sehinggalah kepada kisah menarik tentang Anwar yang menyanyi di bilik air dan sering mengusik lamunan romantik Zaman terhadap isterinya.

Ternyata, bekas Timbalan Perdana Menteri itu berupaya mengekalkan daya kelucuan yang sihat sepanjang dua tahun beliau berada di Taiping.

Penyeludup-penyeludup Indonesia :

Isham tinggal di rumah Abu Yaacob, wakil PLO ke Malaysia, selama lebih kurang seminggu, sehingga apabila pihak polis mula mencarinya di situ. Dengan pertolongan Rohana Ariffin, isteri Abu Yaacob, beliau menjumpai satu lagi "rumah yang selamat" di satu kawasan setinggan di Keramat. (Rohana Ariffin kemudiannya telah bercerai dengan Abu Yaacob. Beliau menyertai Universiti Malaya sebagai kakitangannya dan kini sedang mengambil cuti sabatikal dan berada di Sydney, Australia. Abu Yaacob kemudiannya digugurkan daripada kepimpinan PLO sekarang dan kini membuka sebuah kedai runcit di Emiriah Arab Bersatu).

Beliau tinggalah di sini selama beberapa bulan dan menyamar sebagai pekerja kilang yang telah dibuang. "Agak pelik, sebenarnya," beliau tertawa, "Saya memesan dua akhbar setiap hari dan Far Eastern Economic Review. Orang-orang di situ sudah tentu merasa curiga."

Pada bulan April 1975, satu waran telah dikeluarkan untuk menangkapnya. Beliau gagal untuk muncul di Johor Bahru bagi menjawab tuduhan menghalang tugas seorang pegawai polis semasa bantahan di Tasek Utara dalam bulan September tahun sebelumnya. Gambarnya telah diterbitkan di dalam akhbar-akhbar. Di ketika itu beliau tahu sudah sampai masanya untuk berpindah.

Tempoh yang berikutnya dalam tahun itu, beliau berpindah dari satu rumah yang selamat ke rumah yang lain di dalam kawasan Lembah Kelang, termasuk rumah penyair politik Usman Awang. Pihak berkuasa kini percaya bahawa beliau telahpun meninggalkan negara. Beliau cuba tetapi tidak berjaya untuk berhubungan dengan penyeludup-penyeludup Indonesia bagi membantunya meninggalkan Malaysia.

Dalam bulan Oktober, Abu Zer menghubungi Isham. Beliau berjaya memperolehi cop visa kemasukan palsu dalam passport Isham, dan merancang pelarian seterusnya. "Beliau telah mengupah seseorang untuk membawa kami ke sempadan Golok di dalam sebuah Volkswagen," Isham menceritakan. Mereka akan mengambil jalan yang sama seperti usaha mereka yang gagal lapan bulan sebelum itu. "Kali ini ia akan menjadi kenyataan".

Segalanya berjalan dengan lancar, dan Isham berjaya ke Kuantan di mana mereka berjumpa dengan orang hubungan Abu Zer yang seterusnya akan membawa Isham menyeberangi sempadan Golok.

Tetapi Isham akan meneruskan langkahnya tanpa Abu Zer. Abu Zer telah membuat keputusan awal-awal lagi untuk tidak meninggalkan negara dan kemudaiannya pergi bersembunyi di dalam hutan menyertai PKM. Secara rasmi beliau masih lagi bebas. Apabila saya menyoal Isham pada fikirannya apa yang telah berlaku kepada sahabat yang menolong beliau meninggalkan Malaysia, beliau berkata, "Saya bukanlah orang yang patut ditanya tentang Abu Zer" dan mengubah tajuk perbualan.

Isham mengucapkan selamat tinggal kepada Abu Zer di Kuantan dan beliau bersama orang hubungan itupun menuju ke Kota Bharu. "Di KB, kami tinggal semalam di rumah seorang lelaki. Beliau seorang yang baik yang dikelilingi oleh beberapa orang perempuan." Isham menambah, dengan sini: "Saya agak mereka itu adalah pelacur."

Orang Australia Yang Tolol :

Pada keesokan harinya, orang hubungan telah pergi ke sempadan untuk memeriksa keadaan pantai sama ada selamat untuk diseberangi. Ada beberapa sekatan jalan dari KB ke pekan sempadan Rantau Panjang, pos terakhir Malaysia sebelum Golok. "Saya mencadangkan kami mengupah dua orang perempuan untuk menemani kami ke sempadan supaya bolehlah kami melepaskan diri sebagai pelancong dalam perjalanan sehari melalui sekatan jalan", kata Isham.

Duduk di antara dua pelacur (yang tidak menyedari diri mereka digunakan untuk tujuan penyamaran), Isham berjaya melepasi empat sekatan jalan ke Rantau Panjang. Apabila sampai ke pekan, mereka berhenti di sebuah kampung berhampiran Sungai Golok, sungai yang memisahkan kedua-dua buah negara.

Selepas memberitahu kedua-dua perempuan itu menunggu dengan pemandu, Isham dan rakannya meneruskan perjalanan ke sungai dan berakit menyeberangi ke sebelah Thailand. "Kami meyakinkan kedua-dua pelacur tadi yang kami akan kembali dan membawa mereka menyeberangi ke Golok untuk membeli-belah," Isham ketawa. "Mereka tidak tahu langsung akan apa yang kami lakukan!"

Mereka berjaya menyeberangi sempadan ketika hari sudah senja. Isham hendak terus ke Bangkok, tetapi tiada teksi yang sanggup melakukan perjalanan malam ke sana. Pada keesokannya Isham pergi ke Haadyai dan menaiki keretapi ke Bangkok berseorangan.

Dari Bangkok, Isham menaiki kapal terbang ke Hong Kong, dengan harapan akan meperolehi visa ke Australia. "Ketika itu berlaku pengeboman Danang di Vietnam dan kami terpaksa terbang sepanjang pantai untuk mengelakkan kawasan itu," katanya mengenang kembali penerbangan Bangkok-Hong Kong yang mengambil masa lima jam."

Di Kedutaan Australia Hong Kong, Isham menyedari yang ia tidak mungkin dapat pergi ke Australia. "Seorang pegawai yang bertanggungjawab bahagian visa, K Rice, memberitahu saya, "Maafkan saya Encik Rais, tetapi anda adalah seorang yang tidak dibenarkan masuk ke Australia. Dan bahlol itu terus mengecop passport saya - DILARANG MEMASUKI AUSTRALIA."

Beliau tinggal di Hong Kong selama seminggu, menimbang pilihan yang ada. "Saya memikirkan, kenapa tidak mencuba Timur Tengah? Jadi saya meminjam sedikit wang, terbang semula ke Bangkok dan mengambil penerbangan termurah ke Amman, Jordan."

Perjalanan ke Damsyik dan Seterusnya :

Isham tiba di Amman pada satu pagi di awal musim sejuk dalam tahun 1975. Beliau tidak mengenali sesiapapun di Jordan. Beliau tidak mempunyai idea langsung untuk melakukan sesuatu hatta di mana hendak dimulakan. Harapan tunggalnya adalah nama satu tempat yang pernah didengarinya dari Abu Yaacob. "Ianya adalah nama sebuah hotel di Damsyik, Syria - Hotel Karnak - diberikan oleh Abu Yaacob." Beliau terangkan, " Ini adalah tempat di mana aktivis Palestin berkumpul. Jika bernasib baik, saya berharap seseorang akan mengenali nama Abu Yaacob."

Beliau merancang semua itu semasa sedang duduk di sebuah kafe di kawasan diplomat di Amman, dengan hanya berbekalkan beg plastik yang mengandungi pakaian dan duit US300 dalam poketnya. Beliau cuba memohon visa di tiga buah kedutaan - Iraq, Libya dan Algeria. " Yang dua pertama memberitahu saya perlu membuat permohonan dari Kuala Lumpur. Algeria sebenarnya mengatakan boleh, tetapi siapa pula yang saya kenali di Algeria?"

Isham mengambil keputusan untuk mencuba pilihan Syria. Beliau menjumpai hostel pelajar untuk tinggal beberapa malam, dan cuba untuk mendapatkan visa dari kedutaan Syria. Dua hari kemudiannya, apabila beliau berjaya memperolehi visa, beliau menyewa sebuah teksi ke sempadan Syria menuju Damsyik. " Nabi Isa a.s. mengambil jalan yang masyhur itu dari Damsyik ke Jerusalem," beliau ketawa ketika memperkatakannya, "Saya mengambil laluan berlawanan. Saya selalu sahaja mengambil langkah yang bertentangan."

"Perjalanan itu amat menarik," Isham meneruskan lagi, "Saya juga melihat buat pertama kalinya, Tebing Barat yang dijajah." Isham tiba di Damsyik pada awal petang dan mencari Hotel Karnak." "Pemandu teksi tidak menolongpun. Saya berjaya mencari hotel itu keesokannya, meninggalkan pesanan yang saya adalah kawan Abu Yaacob yang mencari seseorang yang mengenalinya, saya pun terus menanti."

Akhirnya saya menyedari pilihan Hotel Karnak bukanlah idea yang bagus. Seseorang kemudiannya muncul. "Ingat tak orang hubungan Timur Tengah dalam cubaan pertama kami menyeberangi Thailand? Jadi, abang beliau yang muncul di hotel itu mencari saya." Terang Isham. Tetapi tiada apa yang berhasil dari pertemuan itu.

Kumpulan-kumpulan Militia :

Walau bagaimanapun semasa menunggu - seperti aktivis pelajar tulen, Isham sudahpun membuat perhubungan dengan pertubuhan kebangsaan pelajar Syria. Isham menimbang pilihan yang ada dan membuat keputusan untuk memasuki Iraq. "Saya bersahabat dengan seorang pelaajar Palestin Kristian yang boleh bertutur dalan bahasa Inggeris. Beliau memberitahu saya bahawa adalah sukar untuk mendapatkan visa ke Iraq, tetapi beliau mempunyai seorang kawan di Lebanon yang boleh membantu."

Keika itu, Iraq diketuai oleh Said Ahmad Hassan Al-Bakr, presiden yang dinaikkan oleh Saddam Hussein selepas revolusi 1968. Ini juga merupakan tempoh yang menggemparkan di Timur Tengah dan saya hanya boleh membuat spekulasi bahawa Isham, si "Saya hanya budak kampung" dari Malaysia yang berusia 22 tahun sudah tentu terfikir sama ada beliau telah mengambil langkah yang betul pada masa yang tepat.

Melangkaui sempadan Syria, Lebanon dengan cepat menjadi ibu pejabat untuk berbagai kumpulan militia dari merata-rata kawasan sekitarnya. Di dalam negeri, pertembungan antara militia Kristian Lebanon dan kumpulan Muslim Druze akhirnya menyemarak menjadi perang saudara. Ini akhirnya mendorong penaklukan Isrtael ke atas Lebanon dalam tahun 1978 dan 1982 dan juga penglibatan Suria dalam kekecohan itu.(Syria secara rasminya memasuki perang itu apabila menghantar tentera Ke Beirut pada tahun 1988).

Untuk pergi ke Beirut dalam tahun 1976 bukanlah mudah, Isham kemudiannya menyedari. "Anda terpaksa menunggu sehingga peperangan berhenti sebelum boleh menyeberangi sempadan. Saya sentiasa diberitahu di stesen bas, hari ini tidak selamat, datang semula esok. Ianya adalah biasa sahaja di kawasan dunia sebelah situ."

Akhirnya tibalah harinya ketika ianya menjadi 'selamat'. Dan Isham berserta rakannya meninggalkan Damsyik ke Beirut dengan teksi. Perjalanan itu membawa mereka ke jantung Beirut Barat yang dikuasai Muslim - dan ke dalam peperangan.

Di dalam Bandar, berbagai kumpulan militia mendirikan kem-kem. Ia kelihatan seperti perang saudara Sepanyol yang menarik beratus-ratus pejuang-pejuang 'bebas' merentasi dunia dalan tahun 30an. Isham mempunyai banyak masa - beliau akhirnya terbiasa dengan kenyataan bahawa segala-galanya mengambil masa yang lama di Timur Tengah - dan dalam menunggu orang hubungan Iraq untuk berhasil, beliau melakukan sepertimana wiramarhaen muda dari Malaysia. Beliau menyertai peperangan. Hanya masa yang berjaya dibunuh oleh Isham di Beirut. Kenyataannya, agak menakjubkan yang beliau tidak terbunuh.

"Saya tidak terlatih langsung," beliau ketawa, "Tugas saya adalah menjaga blok kediaman di Beirut Barat." Isham telah membiasakan diri dengan gaya kehidupan perang saudara itu. "Saya kerap dimarahi oleh pejuang lain disebabkan oleh sikap leka saya terhadap penembak curi. Saya langsung tidak memahami akan tindakan saya itu."

Beliau tinggal di Beirut selama empat bulan sehinggalah orang hubungan itu datang. "Saya akhirnya berjumpa lelaki ini - Eddie Zanariri - seorang Palestin yang akan menolong saya memasuki Iraq. Beliau adalah pelajar Universiti Amerika Di Beirut, menjaga hal-ehwal antarabangsa untuk kesatuan pelajar Palestin."

Dengan perolehan visa itu, Isham meninggalkan Beirut menuju ke Baghdad. Itu, walau bagaimanapun bukanlah kali terakhir beliau melihat Bandar yang rosak akibat perang yang pernah dikenali sebagai Paris timur tengah.

....bersambung....


(SHERYLL STOTHARD adalah Naib Presiden Parti Rakyat Malaysia (PRM). Pada asalnya beliau menulis artikel ini untuk Men's Review bulan Februari dan Mac 1995. Artikel di atas adalah yang kedua dari lima siri).

Terjemahan: SPAR-09-007-3




Asal:

Isham Rais: Adventures of a trendy rebel (Part 3)

http://www.malaysiakini.com/Column/2001/05/2001053003.php3