Laman Webantu   KM2A1: 4754 File Size: 4.4 Kb *



AM: Yahaya Ismail: HQ Umno Kebudak-budakkan
By Rosli Ismail

18/6/2001 9:41 am Mon

[Mungkin reformis kurang senang dengan akhbar Bebas tetapi yang peliknya Umno juga kurang senang. Sudah tentu kerana tidak mahu dikritik memanjang sedangkan itu berguna juga untuk membaiki apa yang terkurang. Kalau beginilah sikap Umno ia tidak akan mampu bertahan kerana parti pembangkang sendiri mengizinkan wartawan lawan ataupun bebas membuat liputan.
- Editor
]


http://www.agendadaily.com/details.php?id=16

Isu Akhbar BEBAS Dilarang Buat Liputan: Yahaya Ismail Kata HQ Umno Kebudak-budakan

Oleh ROSLI ISMAIL

KUALA LUMPUR, Ahad 17 Jun - Ketua pengarang akhbar tabloid Bebas, Yahaya Ismail menyifatkan keputusan Ibu Pejabat Umno melarang media yang dicopnya pro-pembangkang meliputi Perhimpunan Agung Umno 21 Jun ini sebagai satu tindakan 'kebudak-budakan' yang boleh menjejaskan kredibiliti parti itu sendiri.

Katanya beliau tidak menduga Umno yang melaung-laungkan soal menegakkan demokrasi telah mengeluarkan satu bentuk larangan yang boleh mencetuskan pandangan serong orang-ramai terhadapnya.

'Saya tidak kisah jika tidak dapat pas akhbar untuk membuat liputan perhimpunan itu kerana sebenarnya banyak cerita menarik lain mengenai Umno yang boleh dikutip di serata coffee house dan di luar Dewan Merdeka tapi apa kena mengena akhbar saya dengan pro-pembangkang,' katanya dengan nada kesal.

Yahaya menegaskan demikian ketika mengubungi Agendadaily hari ini untuk mengulas mengenai larangan berkenaan yang turut melibatkan akhbar miliknya.

Ia diumumkan oleh Setiausaha Agung Umno Tan Sri Khalil Yaakob dalam satu majlis taklimat kepada para wartawan mengenai perhimpunan itu semalam.

Selain Bebas turut dilarang membuat liputan perhimpunan itu ialah akhbar internet, Malaysiakini.Com dan HarakahDaily.

Ini adalah kali pertama dalam sejarah Perhimpunan Agung Umno sekatan seumpama itu dibuat.

Khalil memberitahu media yang tidak berdaftar dan tidak mempunyai kad perakuan akhbar dari Jabatan Penerangan Malaysia tidak akan dibenarkan membuat liputan pada Perhimpunan Agung itu yang bermula dengan persidangan Pemuda dan Wanita pada 20 Jun.

Serentak dengan itu Yahaya mempersoalkan sikap double standard Ibu Pejabat Umno mengenai hal ini kerana membenarkan media luar negeri yang kerap dicop memutarbelitkan berita mengenai Malaysia membuat liputan Perhimpunan Agung itu.

'Tidakkah ini menjadi bahan tertawa orang. Media asing yang asyik menghentam kita dibenarkan tetapi media dalam negeri diketepikan. Di mana lojiknya larangan itu,' tegasnya lagi.

Yahaya yang telah mengikuti perhimpunan itu sejak bertahun-tahun lamanya juga berkata setahu beliau Pas, Dap dan Keadilan sendiri tidak pernah melarang media arus perdana meliputi perhimpunan agung mereka.

'Kenapa Umno perlu over react sampai begitu sekali? apa teruk sangatkah akhbar tabloid macam kita ni,' tegasnya.

Wartawan veteran itu yang terkenal dengan kelantangannya bersuara menambah, akhbar miliknya yang diterbitkan dua kali sebulan itu mempunyai Permit Penerbitan (PP) daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan bukan sebuah suratkhabar haram.

Bekas pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) ini berkata, sejak diterbitkan akhbarnya mengambil sikap tidak memihak dan memuatkan artikel-artikel yang mengkritik perkara-perkara yang dirasa tidak betul dalam Umno.

'Ini semata-mata untuk menyedarkan mereka tentang kepincangan itu agar para pemimpin parti itu tidak tidur dibuai mimpi. Tak kanlah akhbar saya kena siar semua cerita bodek baru boleh dibenarkan masuk ke dalam Dewan Merdeka,' katanya.

Yahaya berkata, beliau berharap para pemimpin Umno mengambil sikap terbuka dan memahami peranan media dan tidak membuat keputusan-keputusan yang dilihat orang sebagai tidak matang dan penuh dengan emosi.

Katanya para pemimpin yang baik dan dihormati adalah mereka yang sanggup menerima kritikan untuk memperbaiki diri sendiri bukan meletakkan hijab di hadapan mata sehingga tidak nampak lagi dunia nyata.