Laman Webantu   KM2A1: 4756 File Size: 3.3 Kb *



BK: Likas: Eusoff Chin Arah Hakim - Syed Husin Ali
By BK

18/6/2001 9:30 am Mon

http://berita-keadilan.net/bmelayu/ berita/likas17jun.htm

Kes Likas: Eusoff Chin arah hakim

KUALA Lumpur: Tun Eusoff Chin ketika menjadi Ketua Hakim Negara memberikan arahan kepada Hakim Muhammad Kamil Awang agar menolak petisyen terhadap pilihanraya negeri kawasan Likas di Sabah.

Ini dinyatakan oleh Dr. Syed Husin Ali (Presiden PRM) ketika diminta memberi komen mengenai keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu mengisytiharkan kemenangan Datuk Yong Teck Lee di DUN Likas sebagai tidak sah kerana kewujudan pengundi hantu.

"Eusoff Chin cuba mengarahkan Hakim Kamil agar menolak petisyen tersebut berdasarkan keputusan-keputusan yang pernah dibuat oleh Augustine Paul menolak petisyen pilihanraya dalam kes-kes lain sebelum itu. Saya percaya beliau tidak bertindak sendirian bahkan saya percaya ia dilakukan atas arahan pihak eksekutif," jelas Syed Husin.

Keputusan bersejarah Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu ini membuktikan kewujudan pengundi hantu dalam daftar pengundi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR). Kewujudan pengundi hantu ini bukan sahaja berlaku di Sabah tetapi juga di seluruh negara.

Ini membolehkan calon-calon Barisan Nasional memenangi pilihanraya, sekalipun sokongan tempatan kepada mereka tidak begitu kukuh. Penggunaan pengundi hantu dari kawasan luar dibuktikan oleh penahanan 11 buah bas semasa pilihanraya kecil Lunas. Selain itu petisyen tehadap keputusan Parlimen Sungai Siput juga sudah difailkan. Walaupun terdapat bukti-bukti kukuh yang dikemukakan oleh calon BA, Dr. Jayakumar ia ditolak.

Syed Husin juga mendesak SPR agar segera memulihkan keyakinan rakyat dengan membersihkan daftar pengundi di seluruh negara. Ini menyebabkan integriti SPR sebagai badan bebas boleh dipertikaikan. Tambahan pula aduan mengenai pengundi hantu di Likas telah dibuat sebelum pilihanraya tetapi SPR tidak mengambil sebarang tindakan.

"SPR mesti memulihkan keyakinan rakyat terhadapnya. Daftar pengundi perlu dibersihkan dari perngundi hantu dan nama-nama pengundi yang tidak wujud. Dalam usaha ini SPR perlu telus dan bertanggungjawab," ujar Syed Husin.

Tindakan berani Hakim Kamil juga dipuji dan dialu-alukan sebagai tanda keberanian sesetengah hakim untuk bertindak berdasarkan fakta tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak.

Dr. Chandra Muzaffar (Timbalan Presiden Keadilan) dalam kenyataannya menyifatkan keberanian hakim-hakim memulihkan harapan rakyat kepada institusi kehakiman untuk mendapatkan pembelaan dan keadilan.

Beliau berkata satu-satunya cara untuk mempertahankan kebebasan dan integriti badan kehakiman adalah apabila hakim-hakim bertindak berani tanpa rasa takut atau pilih kasih.

Apabila lelaki dan wanita yang berkhidmat dalam institusi kehakiman, polis, perkhidmatan awam, dalam pakatan pemerintah, dan harap- harapnya di dalam kabinet menunjukkan keberanian dan kejujuran dalam menjalankan tugas, kezaliman dan penindasan di dalam negara ini akan dapat dihapuskan.